Isnin, Ogos 06, 2007

KELEMAHAN SKIM BARU HOSPITAL KERAJAAN

GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) tidak bersetuju dengan langkah kerajaan untuk melaksanakan skim bayaran penuh pesakit di hospital kerajaan mulai bulan ini. Walaupun pada dasarnya Fomca bersetuju bahawa doktor dan kakitangan perubatan sektor awam juga perlu diberi imbuhan yang baik setanding dengan rakan mereka di sektor swasta, namun mewujudkan perkhidmatan separa swasta di hospital kerajaan tidak sewajarnya dijadikan sebagai penyelesaian kepada masalah ini.

Hospital swasta memperoleh pendapatan daripada pelbagai perkhidmatan seperti prosedur pembedahan, kejururawatan, pentadbiran, penggunaan kemudahan dan perubatan.

Caj yang dikenakan oleh hospital swasta ini di luar tahap kemampuan bagi golongan tertentu. Penubuhan skim bayaran penuh pesakit juga mempunyai struktur yang sama seseperti di hospital swasta. Adakah ini petanda bagi penswastaan keseluruhan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam di negara ini?

Cadangan mewujudkan skim bayaran penuh pesakit ini adalah satu langkah yang wajar. Namun, jika diperhalusi secara mendalam, sekiranya langkah ini dilaksanakan, ia bakal memberikan impak besar kepada pengguna berpendapatan rendah.

Pada masa ini, kurang daripada 30 peratus doktor pakar berkhidmat di hospital kerajaan, untuk menampung keperluan penduduk yang bergantung kepada perkhidmatan hospital kerajaan. Kewujudan skim bayaran penuh pesakit ini akan menambahkan lagi beban kerja doktor pakar ini. Ia boleh mengakibatkan penurunan kualiti perkhidmatan mereka. Keadaan ini juga dikhuatiri boleh membahayakan nyawa pesakit jika mereka melakukan kesilapan.

Skim ini juga mempunyai kebarangkalian yang besar untuk disalahgunakan. Ada di kalangan doktor pakar ini lebih suka merujuk pesakit mereka untuk menggunakan perkhidmatan swasta doktor pakar untuk mendapatkan perkhidmatan lebih baik.

Selain beban kerja rawatan, doktor pakar hospital kerajaan juga bertanggungjawab menyelia dan melatih pelatih doktor dan pasca siswazah perubatan. Justeru, kewujudan skim ini akan membahagikan fokus pakar ini dalam mengimbangi di antara menyediakan latihan dan amalan swasta mereka.

Ini sudah tentu akan mewujudkan konflik kepentingan. Jika keadaan ini berterusan, sudah tentu akan menjejaskan kualiti dan kecekapan bakal pakar perubatan.

Dengan infrastruktur dan sumber tenaga kerja yang terhad, skim ini akan menyebabkan pesakit dipinggirkan, khususnya wad kelas dua dan tiga. Begitu juga kemudahan dan peralatan perubatan serta kakitangan perubatan akan dibuat agihan semula bagi menampung keperluan pesakit skim bayar penuh biaya rawatan ini.

Beberapa tahun lalu, sebagai sebahagian daripada dasar pengkorporatan kerajaan, hospital kerajaan diarah supaya meningkatkan kadar pulangan semula kos yang dikeluarkan.

Dalam proses penyediaan pengkorporatan dan menambah kadar pulangan semula kos, maka kerajaan mengurangkan belanja perubatan, yang sepatutnya diberikan kepada golongan berpendapatan rendah ini. Golongan berada tidak begitu bergantung kepada perkhidmatan hospital kerajaan, malah lebih selesa menggunakan perkhidmatan hospital swasta.

Keadaan ini secara jelas menunjukkan rakyat miskin semakin dinafikan hak untuk mendapatkan kemudahan perubatan di hospital kerajaan apabila khidmat swasta diwujudkan di hospital kerajaan.

Langkah reformasi hospital kerajaan ini selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan pelancongan kesihatan di negara ini. Ini menimbulkan kegusaran di kalangan pengguna apabila keutamaan diberikan kepada meningkat kemudahan bagi memenuhi permintaan pasaran ekonomi dan bukannya untuk menampung keperluan asas rakyat.

Bagi mengurangkan pengaliran keluar doktor kerajaan ke sektor swasta, kerajaan perlu menaikkan imbuhan pendapatan mereka. Sebuah suruhanjaya perkhidmatan berasingan untuk sektor kesihatan perlu diwujudkan bagi mengkaji secara sistematik imbuhan doktor dan kakitangan perubatan sektor kesihatan awam.

DATUK MARIMUTHU NADASON,
Presiden Gabungan Persatuan
Pengguna Malaysia (Fomca).

Surat & Emel, Berita Harian
4 Ogos 2007

Jumaat, Ogos 03, 2007

BANTAH HENTI OPERASI STESEN MINYAK 24 JAM

GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) membantah keputusan Persatuan Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menamatkan operasi stesen minyak selama 24 jam.

Tindakan ini mengetepikan tanggungjawab sosial stesen minyak dalam memberikan perkhidmatan kepada para pengguna.

Dalam hal ini, FOMCA bersetuju dengan pendirian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menolak keputusan PDAM itu.

FOMCA berharap KPDNHEP bersikap tegas bagi memastikan keputusan ini tidak dilaksanakan.

Begitu juga keputusan PDAM untuk meminta pengguna menanggung caj kad kredit apabila membeli minyak.

Penggunaan kad kredit merupakan suatu yang lumrah pada masa ini, walaupun ia tidak sewajarnya dijadikan sebagai satu amalan.

Dalam keadaan perniagaan lain yang menerima kad kredit sebagai salah satu kaedah pembayaran pun tidak mengenakan caj, apatah lagi bagi stesen minyak, yang rata-rata operasinya menguntungkan.

Sepatutnya kemudahan kad kredit ini perlu disediakan khususnya di pam-pam kerana ia dapat mengurangkan operasi dan dapat mengurangkan pembayaran di kaunter.

Mungkin penggunaan kad kredit boleh dijadikan sebagai kaedah pembayaran bagi operasi waktu malam bagi mengelakkan daripada kejadian stesen minyak dirompak.

Cuma pastikan tahap keselamatannya dipertingkatkan seperti mengelakkan daripada penggunaan kad kredit yang diklon.

Jika dilihat daripada keputusan PDAM ini, pengguna dijadikan sebagai mangsa kepada masalah yang dihadapi oleh mereka.

Sepatutnya PDAM perlu mengadakan perbincangan dengan pengeluar-pengeluar minyak, dan jika perlu, mendesak agar mereka juga menampung sebahagian daripada kos yang ditanggung oleh stesen minyak.

Pengeluar minyak mengaut keuntungan yang besar dalam keadaan harga minyak yang tinggi di pasaran antarabangsa.

Begitu juga dengan jumlah subsidi yang besar dan pelepasan cukai yang diberikan oleh kerajaan. Sepanjang bulan Januari hingga Jun 2007, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2.9 bilion subsidi minyak.

Pengeluar minyak tidak boleh bersikap lepas tangan’ terhadap masalah yang dihadapi oleh pengusaha stesen minyak dan membiarkan semua masalah itu akhirnya ditanggung pula oleh pengguna.

Industri minyak dianggap sebagai industri yang mewah. Pengeluar-pengeluar minyak termasuk Petronas terus mengumumkan keuntungan besar saban tahun.

Namun pengusaha stesen minyak, sebagai peruncit utama bagi pengeluar minyak ini, masih mengeluh tentang operasi mereka yang tidak menguntungkan.

Demikian juga pengguna akan terus dibebankan dengan kenaikan harga minyak apabila harga minyak meningkat di peringkat antarabangsa.

Adakah wajar pengguna diberikan tekanan bagi menampung masalah pengusaha stesen minyak ini dalam bentuk waktu operasi yang dihadkan dan terpaksa pula menanggung caj pengguna kad kredit?


Forum, Utusan Malaysia
3 Ogos 2007

BANK INGKAR ARAHAN KABINET

Kenyataan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia mensyaratkan semua bank komersial untuk mendapatkan kebenaran daripada bakal peminjam sebelum menggunakan khidmat syarikat rujukan kredit, jika dilihat dari satu sudut, merupakan satu tindakan yang positif. Namun dari aspek yang lain pula, ia menunjukkan bahawa bank-bank akan terus menggunakan khidmat syarikat rujukan kredit dalam menentukan kedudukan pinjaman seseorang pemohon.

Dalam masa yang sama, persatuan tersebut juga mengingatkan bahawa pemohon yang enggan memberikan kebenaran akan menghadapi masalah kelewatan kelulusan pinjaman.

Adakah dalam keadaan ingin mendapatkan pinjaman kewangan, seseorang pemohon itu akan menolak sebarang `permintaan’ yang dibuat oleh pihak bank? Kebiasaannya pemohon akan bersetuju apa jua syarat yang ditetapkan oleh pihak bank tanpa banyak soal jawab. Malah ada yang menandatangani borang yang disediakan tanpa membaca dahulu kandungannya kerana ghairah untuk mendapatkan pinjaman tersebut.

Justeru, tindakan bank-bank ini amat bertentangan dengan arahan Kabinet agar bank-bank dan agensi kerajaan berhenti menggunakan khidmat syarikat rujukan kredit ini. Mungkin tindakan ini dibuat kerana bank-bank komersial tempatan ini melihat diri mereka sudah cukup ‘kuat’ untuk tidak perlu mematuhi sebarang peraturan atau arahan yang dibuat oleh Kerajaan.

Di samping itu, jika dilihat daripada pelbagai caj yang dikenakan oleh pihak bank turut menggambarkan seolah-olah bank-bank ini tidak menganggap pelanggan merupakan aset yang penting, yang sewajarnya berhak mendapat layanan yang terbaik.

Walaupun Bank Negara telah mewujudkan garis panduan asas bagi caj perkhidmatan perbankan, namun bank-bank masih dapat `mengelak’ daripada menggunakan garis panduan tersebut dengan menyediakan produk yang tidak tertakluk di bawah garis panduan itu, dengan menawarkan pelbagai kemudahan.yang menarik.

Bagi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), tindakan keterlaluan bank-bank ini disebabkan oleh kegagalan Bank Negara bersikap tegas dalam mengawal selia bank-bank di negara ini. Akibatnya bank-bank boleh berbuat sesuka hati mereka mengenakan peraturan-peraturan baru serta pelbagai caj kepada pelanggan mereka, ibarat `beraja di hati bersultan di mata.’.

Bank Negara dan Kementerian Kewangan perlu memberikan perhatian terhadap perkhidmatan bank-bank di negara ini. Jangan membiarkan bank-bank ini terus-menerus mengaut keuntungan hasil daripada pelbagai caj yang dikenakan kepada pelanggan, tnpa memberikan perhatian dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan produk mereka. Jika ini dibiarkan berlaku, dikhuatiri mereka akan tumpas kepada bank-bank antarabangsa apabila liberalisasi perbankan dilaksanakan sepenuhnya.

FOMCA menyeru para pengguna menggunakan kuasa mereka menghukum bank-bank yang mengenakan caj-caj yang tidak munasabah ini dengan menutup akaun di bank-bank tersebut dan membukanya di bank-bank yang menawarkan perkhidmatan yang baik tanpa mengenakan pelbagai caj yang menentu itu.


Surat & Emel, Berita Harian
26 Julai 2007