Isnin, Julai 06, 2009

PREMIUM TAMBAHAN KERETA LAMA

Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my

Kadar maksimum 50 peratus insurans boleh dibeli di semua pejabat pos

KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan lama bernilai kurang RM10,000 akan hanya dikenakan bayaran premium tambahan (loading) tidak lebih 50 peratus menerusi skim insurans berkelompok yang boleh dibeli di semua pejabat pos mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung, berkata kadar premium tambahan itu ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pemilik kenderaan lama terus mendapat perlindungan insurans tanpa ditekan syarikat insurans.

Katanya, kadar premium tambahan maksimum 50 peratus itu ditetapkan bagi memastikan pemilik kenderaan lama yang bernilai kurang daripada RM10,000 terus mendapat perlindungan, manakala syarikat insurans pula terus mengekalkan kadar keuntungan.

"Premium tambahan akan tetap dikenakan menerusi skim insurans berkelompok yang kita perkenalkan tetapi kita menetapkan supaya kadarnya tidak terlalu tinggi, iaitu maksimum 50 peratus," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai skim insurans berkelompok yang diperkenalkan kerajaan mulai bulan ini bagi membantu mengatasi masalah mendapatkan perlindungan insurans bagi kenderaan termasuk teksi berharga kurang RM10,000.

Kelmarin, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata skim yang diwujudkan dengan kerjasama semua syarikat insurans itu dibuat berikutan masalah pemilik mendapatkan perlindungan insurans bagi memperbaharui cukai jalan.

Chor berkata, kadar premium tambahan yang akan dikenakan menerusi skim insurans berkelompok itu akan ditentukan berdasarkan beberapa faktor termasuk rekod berkaitan pemandu serta kenderaan mereka.

Sehubungan itu, katanya, pemilik kenderaan mungkin berdepan dengan proses saringan yang lebih teliti seperti penilaian terhadap rekod pemilik, pemandu, keadaan kereta serta berapa lama ia sudah berada di pasaran.

"Kita juga mungkin akan meneliti rekod tuntutan insurans pemilik berdasarkan kadar bonus tidak membuat tuntutan (NCB) sedia ada dan jika ia baik, kadar premium tambahan yang dikenakan mungkin lebih rendah berbanding mereka yang sebaliknya"' katanya.

Diminta mengulas gesaan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang meminta kerajaan mengkaji semula kadar premium insurans yang kini semakin tinggi sehingga membebankan pengguna, Chor berkata, kadarnya sekarang jauh lebih rendah berbanding negara jiran.

Beliau berkata, sebenarnya kadar perlindungan insurans bagi pihak ketiga tidak pernah berubah sejak 1978 sehingga menyebabkan syarikat insurans mengalami kerugian, sekali gus menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga bawah RM10,000.

"Kita masih ikut tarif yang ditetapkan kerajaan sedangkan negara jiran seperti Singapura, Hong Kong dan Vietnam sudah memperkenalkan kadar fleksibel yang boleh naik turun bergantung kepada syarikat insurans," katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Chor berkata, kerajaan sudah mengarahkan Bank Negara dan syarikat insurans mengkaji satu kadar munasabah bagi mengelakkan kerugian besar dan pada masa sama memberi keadilan kepada pengguna.

"Itu adalah penyelesaian dalam jangka masa pendek, tetapi bagi penyelesaian jangka panjangnya, saya percaya bahawa kita kena keluar daripada sistem kadar tetap yang kita guna pakai selama ini," katanya.

Ditanya faktor yang menyebabkan syarikat insurans mengalami kerugian seperti didakwa industri itu dan menyebabkan pengguna menanggung beban jika kadar baru dilaksanakan, beliau berkata, mereka berdepan pelbagai peningkatan kos yang ketara.

Antaranya, kata beliau, kos operasi pentadbiran, membayar jumlah pampasan tinggi kepada pengguna bila berlaku kemalangan kerana tiada had jumlah pampasan ditetapkan mahkamah dan banyak kes kereta hilang atau dicuri setiap hari.

"Memandangkan semua alasan ini, syarikat insurans berpendapat setiap RM1 yang diterima dari pelanggan, mereka mungkin perlu bayar RM2.50 dan ia menimbulkan kerugian sehingga tidak lagi mahu jual insurans pihak ketiga," katanya.

Berita Harian, 6 Julai 2009

INSURANS KELOMPOK UNTUK KERETA TUA

Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my

Pejabat pos akan kendali permohonan mulai bulan ini

KUALA LUMPUR: Masalah mendapatkan perlindungan insurans bagi kenderaan berharga kurang RM10,000, termasuk teksi akan diatasi menerusi skim insurans berkelompok yang boleh dibeli di semua pejabat pos mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata skim yang diwujudkan kerajaan dengan kerjasama semua syarikat insurans itu berikutan masalah pemilik mendapatkan perlindungan insurans bagi memperbaharui cukai jalan.

Dr Awang Adek berkata, skim baru itu akan memudahkan penduduk luar bandar berurusan tanpa perlu mencari ejen atau syarikat insurans. Ia juga mengelakkan mereka daripada menghadapi pelbagai kerenah syarikat insurans.

"Memberi perlindungan insurans kepada kereta lama memang tidak menguntungkan syarikat insurans. Namun, isu ini tidak timbul lagi kerana syarikat insurans bergabung membentuk skim berkelompok (pool insurance) untuk memudahkan orang ramai.

"Orang ramai tidak perlu bimbang dengan permohonan mereka, pejabat pos yang akan kendalikan, jika masih juga timbul masalah atau permohonan ditolak, mereka boleh melaporkan kepada saya atau Bank Negara.

"Menolak permohonan untuk mendapatkan perlindungan insurans kenderaan adalah satu kesalahan.

Jika didapati bersalah, syarikat insurans boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk disenarai hitamkan," katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam. Beliau diminta mengulas tindakan beberapa syarikat menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga kurang RM10,000 kerana dianggap merugikan.

Syarikat terbabit memberi alasan kenderaan itu berisiko tinggi untuk diberi perlindungan insurans. Dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun dan ke atas bernilai kurang RM10,000 berada di jalan raya pada masa ini, termasuk lebih 900,000 Proton dan 300,000 kenderaan keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara didaftar antara 1994 hingga 1999.

Dr Awang Adek berkata, pihaknya juga dalam usaha merombak sistem atau kaedah pembayaran insurans kenderaan yang membabitkan Bank Negara, Kementerian Pengangkutan dan syarikat insurans.

Antara perkara yang dikaji ialah bayaran insurans minimum kepada pihak ketiga, menetapkan had liabiliti yang perlu ditanggung syarikat insurans jika berlaku kemalangan, membayar pampasan secara automatik kepada mangsa dan penguatkuasaan garis panduan.

"Sistem kita perlu diubah, ada yang tidak betul, kaedah baru perlu dilaksanakan supaya semua pihak dapat keadilan dan keuntungan.

"Contohnya, sistem sekarang, tidak ada had dalam memberi pampasan, semua ditentukan mahkamah sampai ada pampasan RM3 juta kepada mangsa, merugikan syarikat insurans," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kerajaan sedang memperincikan cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membabitkan penetapan had tuntutan untuk sesuatu kemalangan.

"Sekarang tuntutan tiada had, mahkamah bebas menetapkan berapa jumlah tuntutan kepada mangsa kemalangan.

"Perkara ini masih dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan, Bank Negara dan syarikat insurans, ambil masa sikit untuk diperincikan," katanya.

Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Dr Mohd Hamdan Adnan meminta kerajaan mengkaji semula kadar premium insurans yang kini semakin tinggi sehingga membebankan pengguna berpendapatan rendah.

"Syarikat insurans juga perlu dipantau kerana laporan mendapati mereka turut menipu pelanggan untuk meraih keuntungan tinggi daripada pelanggan," katanya.

Berita Minggu, 5 Julai 2009

KERETA TUA TAK DAPAT INSURANS

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
Syarikat enggan lindung kenderaan bawah RM10,000

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat insurans kini menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga bawah RM10,000, termasuk teksi kerana dianggap merugikan.

Berdasarkan aduan yang diterima Berita Harian, syarikat terbabit memberi alasan kenderaan itu berisiko tinggi untuk diberi perlindungan insurans.

Dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun dan ke atas yang bernilai bawah RM10,000 berada di jalan raya pada masa ini, termasuk lebih 900,000 Proton dan 300,000 kenderaan keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara yang didaftar antara 1994 hingga 1999.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihaknya menerima banyak aduan mengenai perkara itu, terutama daripada pemilik teksi yang berusia 10 tahun ke atas.

Sehubungan itu, Fomca menggesa pihak berkuasa khususnya Bank Negara Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memberi penjelasan berhubung perkara itu kerana ia akan menimbulkan masalah kepada pemilik kenderaan terbabit.

Ketua Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata tindakan itu tidak adil kepada pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah yang menggunakan kenderaan bernilai di bawah RM10,000.

"Kerajaan masih membenarkan rakyat menggunakan kenderaan berusia lebih 10 tahun. Saya tidak faham mengapa syarikat insurans tertentu enggan menerima permohonan dan pembaharuan insurans bagi kenderaan di bawah RM10,000," katanya.

Mohd Yusof berkata, syarikat insurans tidak mungkin menanggung kerugian selagi kenderaan berkenaan tidak terbabit dalam kemalangan.

"Setahu saya, masih tidak ada statistik rasmi yang menyatakan bahawa kadar kemalangan bagi kenderaan bernilai bawah RM10,000 atau berusia lebih 10 tahun adalah tinggi. Lagi pun, nilai yang dilindungi adalah rendah berbanding kereta baru," katanya.

PIAM ketika dihubungi semalam memberi jaminan akan meneliti aduan itu.

Sementara itu, sebuah syarikat insurans terbabit ketika dihubungi menjelaskan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan kajian mendalam mengenai risiko dan keuntungan pada peringkat syarikat yang dibuat dari semasa ke semasa.

Jurucakapnya berkata, pihak syarikat sudah tentu mahu menjana keuntungan dan segmen perlindungan kenderaan di bawah RM10,000 dikenal pasti membawa kerugian kerana banyak tuntutan diterima.

Bagaimanapun, kajian peringkat syarikat akan terus dilaksanakan dan kemungkinan segmen itu diberi perlindungan semula jika ia didapati tidak berisiko tinggi pada masa akan datang.

Berita Harian, 4 Julai 2009