Jumaat, Julai 29, 2011

MASA UNTUK BERJIMAT-CERMAT



19 Julai, 2011 12:36 PM

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Kenaikan tarif elektrik yang diumum kerajaan berkuatkuasa 1 Jun lepas mungkin belum memberi banyak kesan kepada kebanyakan pengguna.

Bagaimanapun, mungkin sudah ada yang tidak lena tidur memikirkan cara untuk mengurangkan perbelanjaan dalam menjangkakan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, ekoran kenaikan tarif elektrik itu.

Sikap yang positif ini dilihat amat perlu supaya tidak perlu menokok hutang yang mungkin sudah hampir mengelilingi pinggang.

Bagi mereka yang mempunyai keluarga besar, beban kewangan sudah pastinya berlipat ganda. Jika tersilap langkah dalam perhitungan berbelanja, alamat duit gaji atau upah yang diperoleh mungkin hanya cukup menampung keperluan sampai ke pertengahan bulan.

Mungkin ada juga yang baru dapat gaji sudah mengeluh wang yang diperoleh tidak mencukupi dan terpaksa berhutang, melayangkan kad kredit ketika membeli-belah atau mencari pinjaman peribadi daripada ceti haram atau ahlong!

ZON SELESA

Tidak dapat tidak, langkah yang perlu diambil ialah untuk mengubah suai perbelanjaan "menyediakan payung sebelum hujan" atau "beringat sebelum kena berjimat sebelum habis."

Namun, bagi sesetengah pihak, cakap mungkin lebih mudah daripada untuk melakukannya tambahan apabila membabitkan barang keperluan dan jika tidak mempunyai banyak pilihan.

"Pengguna telah berada dalam keadaan selesa sejak sekian lama kerana harga barang yang boleh dikatakan masih rendah disebabkan oleh pemberian subsidi kerajaan.

"Ketika itu, kerajaan masih mampu untuk menampungnya, jadi tidak ada masalah.

"Namun apabila kerajaan tidak dapat lagi menampung kerana jumlah yang ditanggung adalah besar, maka kerajaan perlu mengkaji semua pemberian subsidi itu," kata Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) kepada Bernama di sini baru-baru ini apabila diminta mengulas isu semasa kepenggunaan berhubung kenaikan tarif elektrik dan kesan kepada pengguna.

PASARAN GLOBAL

Umum mengetahui Malaysia masih bergantung kepada import bahan makanan mentah.

Keadaan ekonomi yang tidak menentu di peringkat global berpunca daripada ketidakstabilan politik serta perubahan iklim di negara pengeluar bahan makanan mentah akan menyebabkan berlaku peningkatan harga.

"Memandangkan sebahagian besar daripada bahan makanan mentah adalah diimport, dalam kebanyakan keadaan kerajaan tidak dapat mengawal kedudukan harga barang. Hal yang sama juga berlaku kepada bahan api," kata Mohd Yusof.

Rakyat bukan sahaja perlu diperjelaskan tentang mekanisme pasaran dalam menentukan harga barang tetapi juga diberi kefahaman kesan kenaikan harga di peringkat antarabangsa kepada tanggungan subsidi.

"Dalam masa yang sama kerajaan perlu memaklumkan kepada rakyat tentang perancangan kerajaan bagi membantu golongan miskin dan yang berpendapatan rendah termasuk golongan berpendapatan pertengahan yang mempunyai banyak tanggungan apabila satu-satu subsidi itu dimansuhkan.

"Ini termasuk skim mewujudkan skim jaringan sosial yang mantap, penaiktarafan sistem pengangkutan awam yang baik dan bersepadu dan sebagainya," kata Mohd Yusof.

JANGAN HARAP SUBSIDI

Subsidi yang dikeluarkan kerajaan sebenarnya bertujuan untuk membantu golongan sasaran menikmati harga pada paras yang rendah, namun subsidi yang diberikan bersifat menyeluruh yang turut dinikmati oleh golongan berada dan warga asing yang menetap di Malaysia.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan subsidi yang besar apabila berlaku perubahan harga bahan mentah di peringkat global.

Kerajaan menyediakan peruntukan RM23.7 bilion atau 14.6 peratus daripada perbelanjaan mengurus untuk keseluruhan subsidi tahun ini.

Bagi mengekalkan harga runcit petrol RON95, kerajaan terpaksa menambah peruntukan subsidi petroleum, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM5.6 bilion daripada RM10.3 bilion kepada RM15.9 bilion.

Peruntukan subsidi minyak masak di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak juga ditambah RM700 juta daripada RM928 juta kepada RM1.6 bilion.

Untuk subsidi gula pula, meskipun harga bahan itu dinaikkan 20 sen Mei lalu, kerajaan masih menanggung subsidi gula sebanyak RM283 juta.

HEMAT BERBELANJA

Lazimnya bila menjelang musim perayaan pengguna akan berbelanja lebih daripada biasa. Ada yang merasa tidak lengkap berhari raya umpamanya jika tidak berpakaian baru dan menggantikan peralatan rumah.

Mohd Yusof berpendapat dalam menghadapi keadaan cabaran harga barang yang meningkat, pengguna perlu berhemat dalam perbelanjaan mereka.

"Buat perancangan perbelanjaan terlebih dahulu yang mengikut kemampuan.

"Kumpul wang untuk perbelanjaan musim perayaan pada awal bulan dengan menetapkan matlamat jumlah wang yang diperlukan semasa musim perayaan.

"Ini termasuk perbelanjaan membeli keperluan, makanan, perjalanan pulang ke kampung dan sebagainya," katanya.

Bagi umat Islam yang akan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang menjelang tiba, Mohd Yusof turut mengingatkan supaya mengelakkan pembaziran.

"Banyak berlaku pembaziran di bulan Ramadan termasuk ketika membeli juadah untuk berbuka puasa. Ingat untuk membeli mengikut keperluan sahaja.

"Jika mahu membeli barang keperluan, buat senarai untuk mengelakkan pembelian yang tidak perlu dan bawa wang yang setakat cukup untuk senarai barang yang disediakan," katanya.

SEDARKAN PENGGUNA

Sebagai sebuah pertubuhan kepenggunaan, Fomca, menurut Mohd Yusof sentiasa berusaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat pengguna di negara ini.

Ia termasuk menyedarkan mereka tentang peranan yang boleh dimainkan dalam menghadapi kenaikan harga barang.

Satu daripada usaha Fomca ialah Kempen Konsumer Kebangsaan yang diadakan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cupeacs) dan Petronas.

Mohd Yusof berkata tema kempen yang dilancarkan pada 2008 dan berakhir 2012 itu ialah "Perubahan Bermula Dengan Saya."

Fomca juga, katanya, turut mengadakan program jangkauan di peringkat komuniti.

Sebanyak 201 program seumpama ini diadakan di seluruh negara pada 2010 berbanding 171 program pada 2009.

Di samping itu, Fomca turut mengadakan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi program Celik Kewangan.

"Program ini diadakan disebabkan oleh masalah golongan eksekutif muda yang gagal menguruskan kewangan mereka sehingga ada yang diisytiharkan muflis.

"Menurut kajian hampir 50 peratus golongan muda yang diisytihar muflis adalah kerana kad kredit," katanya sambil menambah golongan muda ini mungkin terperangkap dengan penggunaan kad plastik ini ketika menuntut di institut pengajian tinggi lagi.

Ramai anak muda, katanya berbelanja mewah dengan kad kredit yang diberi ibu bapa dengan jangkaan mereka akan membayar hutang kad kredit apabila tamat pengajian dan menyandang jawatan tinggi.

"Malangnya ada yang menganggur walau pun sudah ada ijazah di tangan dan terperangkap dengan beban hutang kad kredit," katanya.

BUAT PERUBAHAN

Sesungguhnya pengguna di negara ini semakin perlu meneliti kemampuan kewangan mereka sebelum berbelanja.

Perancangan perbelanjaan dilihat sebagai penting bagi memastikan mereka hanya membeli barang yang benar-benar diperlukan.

Mereka juga perlu melakukan perubahan sebelum berdepan dengan kenaikan harga barang terutama menjelang musim perayaan.

Menanam sendiri sayur-sayuran termasuk menggunakan pasu bagi mereka yang tidak mempunyai kawasan bertanah mungkin dilihat remeh.

Bagaimanapun, jika ia dilakukan bersungguh-sungguh tidak mustahil usaha kecil ini jika diperluaskan dapat membantu mengurangkan perbelanjaan dan menyejukkan persekitaran.

Selain daripada pembangunan fizikal yang mencerminkan sebuah negara maju selaras dengan aspirasi Wawasan 2020, perubahan sikap juga perlu berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Rakyat Malaysia juga perlu menjadi semakin bertanggungjawab serta tahu melakukan pengubahsuaian diri dalam menghadapi sebarang keadaan yang berlaku di sekeliling mereka," kata Mohd Yusof.

-- BERNAMA

Isnin, Julai 11, 2011

PINDAAN AKTA SEWA BELI MELINDUNGI KEPENTINGAN PENGGUNA



Written by Mohd Yusof Abdul Rahman
Friday, 08 July 2011 09:45

Walaupun Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) telah dikuatkuasakan pada 15 Jun 2011, namun masih kedengaran beberapa pihak yang membantah pindaan baru Akta ini, khususnya Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia dan pengusaha kereta terpakai.

Antara bantahan mereka ialah pemeriksaan tambahan 14 perkara, yang dikenali sebagai B7, sebelum sesuatu kenderaan itu dibolehkan dipindah milik kepada pembeli baru, selain pemeriksaan wajib empat perkara yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, iaitu B5.

Selain itu, mereka juga mendakwa peraturan baru dalam pindaan ini akan melibatkan kos tambahan dan kelewatan dalam proses jual beli kereta. Mereka mendakwa melalui pindaan baru ini penjual boleh meminta deposit sebanyak 10 peratus daripada pembeli.

Terkini, ada pula yang mendakwa pindaan baru ini tidak memberi perlindungan kepada ejen penarik kereta, sebaliknya lebih banyak menyebelahi pemilik kereta sahaja.

FOMCA bersetuju bahawa kajian semula perlu dilakukan agar pemeriksaan dua kali tidak sewajarnya dilakukan. Sebaliknya dengan melalui satu pemeriksaan sahaja, sesebuah kenderaan ini telah melepasi keperluan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan peruntukan pemeriksaan di bawah Akta Sewa Beli Pindaan 2010.

Begitu juga dengan pemeriksaan 18 perkara yang dilakukan oleh Puspakom dan bayaran RM90 bagi pemeriksaan tersebut. Keperluan pemeriksaan 18 perkara mungkin tidak perlu dilakukan sepenuhnya terutamanya bagi kereta lama yang tidak dilengkapi dengan kemudahan tertentu, seperti pendingin hawa dan sebagainya. Bayaran RM90 boleh dikurangkan jika pemeriksaan tidak dilakukan sepenuhnya terhadap 18 perkara.

Walau bagaimanapun, FOMCA tidak bersetuju bahawa pindaan Akta Sewa Beli ini hanya mementingkan satu pihak sahaja, iaitu pengguna. Pengguna telah lama bersabar dengan masalah mereka hadapi sebelum ini. Pengguna tidak dilindungi, malah mengalami kerugian, apabila kereta yang dimiliknya adalah kereta potong sambung.

Demikian juga kegiatan ejen penarik kereta yang berlagak seperti `samseng’ apabila menarik balik kereta yang gagal melunaskan ansuran bulanan mereka. Di mana perginya pihak-pihak ini apabila pengguna dikasari? Walaupun sebelum ini, Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia telah mengeluarkan "Garis Panduan Mengenai Perlantikan dan Perilaku Penarik”, namun ia tidak dipatuhi sehinggalah pindaan baru Akta Sewa Beli ini dibuat.

FOMCA amat mengalu-alukan pindaan baru Akta Sewa Beli ini. Sebahagian daripada pindaan itu merupakan cadangan yang pernah dibuat oleh FOMCA sendiri. Ini bagi memastikan pengguna yang membeli melalui transaksi sewa beli dilindungi.

Bayaran deposit sebanyak 10 peratus sebagaimana yang didakwa, sebenarnya telah wujud dalam Akta Sewa Beli 1967. Semua transaksi di bawah Akta Sewa Beli perlu mengenakan bayaran perdahuluan atau deposit tidak kurang daripada 10 peratus. Cuma pada masa ini ada penjual kereta yang membuat promosi ”Sifar Wang Pendahuluan”, yang dikhuatiri melanggar Akta Sewa Beli.

Dalam pindaan baru Akta Sewa Beli ini memberikan perhatian kepada bayaran tempahan atau booking fee, yang biasanya dikenakan bagi kereta baru yang akan dilancarkan. Pindaan baru ini menetapkan bayaran tempahan sebanyak satu peratus daripada harga tunai boleh dikenakan. Jika pembatalan dibuat oleh pembeli, maka 90 peratus daripada wang tempahan akan dikembali, manakala jika pembatalan dibuat oleh penjual pula, sebanyak 100 peratus wang tempahan dikembalikan. Wang tempahan satu peratus ini pula akan dijadikan sebahagian daripada wang pendahuluan 10 peratus jika pembelian diteruskan.

Pindaan baru ini memberikan keadilan kepada pembeli kereta. Sebelum ini FOMCA sering menerima aduan tentang penjual kereta yang enggan mengembalikan bayaran tempahan, sehingga pembeli terpaksa membawa kes tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Pindaan baru Akta Sewa Beli ini bertujuan agar kepentingan pengguna terpelihara apabila membeli kereta, khususnya kereta terpakai. Selain daripada memastikan kereta yang dibeli itu bukannya kereta potong sambung atau kereta curi, ia juga memastikan kereta terpakai tersebut dalam keadaan yang selamat dan baik untuk dipandu di jalan raya.

Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa banyak kereta terpakai yang berisiko tinggi berada di jalan raya. Usaha kerajaan untuk mewajibkan pemeriksaan berkala bagi kereta terpakai juga tidak dapat dilaksanakan. Di beberapa buah negara, kereta terpakai diwajibkan melakukan pemeriksaan secara berkala dalam tempoh tertentu.

Walaupun Kerajaan tidak perlu mengenakan peraturan yang ketat tentang pemeriksaan kereta seperti ini, namun pemeriksaan kereta dalam tempoh tertentu, khususnya kereta yang telah mencapai umur tertentu, mungkin perlu dilakukan bagi memastikan kereta itu selamat dipandu di jalan raya agar ia melindungi keselamatan pemandunya dan pengguna jalan raya yang lain.

FOMCA berharap pihak kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia dan pengusaha kereta terpakai bagi menyelesaikan permasalahan yang wujud dalam pindaan baru Akta Sewa Beli. Dalam masa yang sama FOMCA tetap bertegas agar KPDNKK tidak berkompromi dalam aspek perlindungan kepada pengguna sebagaimana yang termaktub dalam Akta Sewa Beli Pindaan 2010.

Sebenarnya masih banyak lagi pindaan yang perlu dilakukan di dalam Akta Sewa Beli. Antaranya ”Skim Bayaran Mudah” yang berleluasa dijalankan pada masa ini. Pembeli di bawah ”Skim Bayaran Mudah” tidak tertakluk di bawah Akta Sewa Beli kerana transaksi tersebut tidak menepati keperluan yang ditetapkan oleh Akta Sewa Beli. Oleh itu pembeli di bawah skim ini akan menanggung sendiri risiko sekiranya berlaku sesuatu masalah berkaitan dengan pembelian tersebut.