22 julai 2014
Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR (Bernama)
-- Perabotnya masih lagi elok, warna tidak ada tanda-tanda hendak pudar
manakala struktur fizikalnya nampak kukuh. Begitu juga dengan langsir di ruang
tamu rumah teres dua tingkat ini.
Pendek kata, semuanya
masih boleh dan selamat untuk digunakan dan tidak buruk ataupun lusuh.
"Abang, kita tukar
sahajalah set sofa rumah ini. Mana ada lagi orang pakai sofa macam ini. Nanti
malu kepada tetamu dan rakan yang datang", rungut Sofia.
Bagaimanapun,
permintaannya tidak mendapat respons positif daripada si suami yang
mempertikaikan tempat istirehat itu masih lagi cantik dan tidak pun menunjukkan
tanda-tanda akan rosak.
Bengang reaksi diberikan
menyebabkan Sofia mula ligat mencari helah, yang mana ini antara sedutan sketsa
berkisar 'boros perbelanjaan menjelang Aidilfitri' yang ditayangkan di
televisyen baru-baru ini.
Bagaikan mengalami
sindrom perayaan, hakikatnya cerita Sofia ini adalah antara realiti kehidupan
masyarakat hari ini yang begitu meriah berbelanja setiap kali menjelang
perayaan.
Walhal, tanpa mereka
sedari atau sengaja tidak mengendahkannya sikap ini boleh mengundang padah!
PELBAGAI PROMOSI
Tidak dinafikan, ketika
ini pelbagai promosi menarik ditawarkan oleh pusat membeli-belah memenuhi
setiap sudut kota dan luar bandar.
Bagaikan tidak
mencukupi, ada pula kewujudan peniaga bazar sementara yang menjual pelbagai
barangan seperti alas meja, pakaian tradisional, kuih raya, sekali gus
menambahkan lagi kemeriahan menyambut Aidilfitri.
Sama ada mempunyai lesen
ataupun sebaliknya, masing-masing begitu rancak bermain strategi dan gimik
untuk melariskan barangan yang dijual.
Tidak hanya bergantung
kepada potongan harga runtuh serta dendangan lagu raya, aksi-aksi mencuit hati
turut menjadi pilihan peniaga untuk menarik pelanggan, ditambah pula menjelang
akhirnya Ramadan ini.
Slogan-slogan seperti
beli dahulu bayar kemudian, promosi dalam talian juga membuatkan ramai mula
rambang mata dan mula berbelanja, hingga ada melangkaui kemampuan sendiri.
"Apabila ingin
menyambut Aidilfitri atau apa-apa sahaja perayaan, masyarakat akan membuat
persiapan bagi menyambutnya dengan meriah. Mereka akan membeli pakaian baharu,
menukar peralatan dan perabot rumah.
"Terdapat
sebahagian masyarakat tidak mengamalkan perbelanjaan berhemat. Akibatnya, ramai
menghadapi masalah kehabisan wang selepas Hari Raya Aidilfitri", kata
Pengarah Komunikasi Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul
Rahman.
HABIS DULU, FIKIR
KEMUDIAN
Bagi sesetengah mereka
beranggapan 'raya hanyalah setahun sekali', jadi apalah salahnya untuk
berbelanja lebih.
Ditambah pula dengan
bonus yang sudah ada di tangan dan gaji dimasukkan lebih awal bagi meringankan
persiapan raya, membuatkan ada yang tersilap langkah dek keseronokan berbelanja
menguasai diri.
Mereka bukan hanya
menghabiskan pendapatan semasa diterima, malahan kad kredit juga menjadi
pilihan sebagai opsyen pembayaran pada musim perayaan ini.
Walhal, penggunaan yang
tidak berdisiplin semata-mata untuk memenuhi keinginan diri boleh memerangkap
mereka kepada keberhutangan yang serius.
"Kemudahan
berbelanja tanpa menggunakan tunai seperti kad kredit, bayaran mudah membeli
perabot atau peralatan elektrik menyebabkan seseorang itu berbelanja melebihi
pendapatan.
"Sekiranya mereka
dapat menguruskan hutang itu dengan baik, tidak menjadi masalah. Tetapi,
bagaimana pula sekiranya gagal? Justeru, lebih baik penggunaan kad debit",
tegas Mohd Yusof kepada Bernama.
Jika gagal melunaskan
hutang kad kredit selain pendapatan semasa diterima habis, akibatnya mereka
bukan sahaja perlu ikat perut dan berpuasa selepas seminggu raya.
Bahkan, ada yang tidak
mampu untuk menjelaskan ansuran bulanan rumah, kereta, perbelanjaan keluarga
dan pelbagai bil lain.
BERHUTANG?
Paling membimbangkan,
apabila terdapatnya trend untuk berhutang dengan ah long disebabkan kad kredit
tidak cukup. Perkembangan ini adalah satu senario tidak sihat, kerana telah
banyak kali laporan media mengenainya didedahkan.
Tetapi, mereka
(segelintir) bagaikan tidak takut dan tidak ambil peduli, belajar daripada
mangsa sebelum ini.
"Saya pernah
dimaklumkan terdapat ramai orang datang ke syarikat peminjam wang tidak
berlesen untuk mendapatkan bantuan kewangan. Malah, syarikat itu tidak menang
tangan melayan pelanggan yang datang.
"Ini menunjukkan
ramai orang menghadapi masalah kewangan sebagai persiapan menyambut
perayaan", katanya.
Semua ini, merungkai
kepada persoalan perlukah berbelanja boros sehingga berhutang
keliling-pinggang, menggadaikan nyawa sendiri hanya semata-mata menyambut
perayaan?
Berbaloikah untuk
merasai kenikmatan sementara disebabkan ingin bergaya kereta baharu, telefon
baharu sedangkan ia di luar kemampuan sehingga perlu ikat perut?
Persoalan dan senario
ini perlu diambil perhatian serius, ujar Mohd Yusof. Berdasarkan kajian yang
pernah dijalankan FOMCA, menunjukkan 37 peratus pekerja muda berbelanja di luar
tahap kemampuan masing-masing.
Manakala, 47 peratus
responden menggunakan 30 peratus daripada pendapatan mereka untuk membayar
hutang.
HUTANG DAN MUFLIS
Sikap suka berhutang
ini, boleh menjurus mereka kepada muflis.
Data Jabatan Insolvensi
Malaysia menunjukkan bahawa 23,397 individu yang diisytiharkan muflis sepanjang
tahun 2007 sehingga September 2013 adalah dalam lingkungan umur 25 hingga 34
tahun.
Lebih membimbangkan,
apabila ada antara mereka yang belum lagi genap mencapai usia 25 tahun, tetapi
berada dalam kemelut kebankrapan.
"Kesedaran
masyarakat tentang pengurusan kewangan masih rendah. Ini kerana, pendidikan
kewangan pengguna kurang diterapkan dalam pendidikan sekolah.
"Cuma, sejak
beberapa tahun kebelakangan ini timbul usaha pelbagai pihak mengadakan program
pendidikan pengurusan kewangan. Hal ini timbul, apabila Jabatan Insolvensi
Malaysia melaporkan terdapat 61 orang diisytiharkan muflis setiap hari",
katanya.
Kurang pengetahuan itu
membuatkan ramai yang gagal membuat perancangan ataupun bajet untuk menghadapi
perayaan.
Menurut Ketua Cawangan
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Johor Baharu, Mohd Nasir Mustafa, agak
menyedihkan apabila ada antaranya tidak tahu apa yang dimaksudkan 'bajet'.
Sedangkan, bajet atau
perancangan musim perayaan ini sangat mudah untuk dibuat dan dilaksanakan
kerana hanya berlaku setahun sekali dan ada masa untuk membuat persediaan
menyimpan.
SEDIA MEMBANTU
Bagi menanganinya,
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedia membantu orang ramai
menjadi pengguna bijak.
Pelbagai program
dianjurkan selaras dengan peranannya membantu individu menguasai situasi
kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit
secara bijak.
Antaranya program Power,
yang khusus kepada golongan muda, pengurusan kewangan peribadi dan kaunseling
turut disediakan.
"Tidak salah
berbelanja tetapi haruslah mengikut kemampuan masing-masing. Cuba elakkan
daripada terpengaruh dengan persekitaran.
"Sekurang-kurangnya,
kita perlu memperuntukkan 10 peratus daripada gaji untuk menyimpan bagi
menghadapi saat kecemasan", katanya.