Memaparkan catatan dengan label letter to editor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label letter to editor. Papar semua catatan

Khamis, Jun 23, 2011

KEDAI RAKYAT 1MALAYSIA PILIHAN BIJAK


Surat & E-Mel, 23 Jun 2011

Pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 22 Jun 2011, amat dialu-alukan oleh para pengguna. Kedai Rakyat 1Malaysia, yang dikendalikan oleh Mydin Mohammed Holding Bhd, pengusaha Pasar Raya Besar Mydin, akan menawarkan barangan pada harga yang lebih rendah. Kedai Rakyat 1Malaysia pertama dibuka di Stesen LRT Kelana Jaya.

Kedai Rakyat 1Malaysia ini akan menjual pelbagai barangan yang telah dibungkus semula dengan jenama ‘Kedai Rakyat 1Malaysia’. Pada masa ini sebanyak 250 jenis barangan telah dibungkus semula di bawah jenama ini.

Usaha mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia ini bertujuan untuk membolehkan pengguna membuat pilihan untuk membeli barang bukan berjenama pada harga yang lebih rendah. Dalam menghadapi cabaran harga barang yang meningkat pada masa ini, kewujudan kedai seperti ini amat diharapkan oleh pengguna.

Berdasarkan kajian, rakyat Malaysia masih memilih produk berjenama apabila membeli barangan, khususnya di pasar raya besar, walaupun wujud jenama gedung pasar raya yang menawarkan harga 30 peratus hingga 40 peratus lebih rendah. Pengguna di Malaysia dikatakan membeli produk jenama gedung sebanyak 14 peratus. Ini bertentangan dengan sikap pengguna di negara maju yang membeli 40 peratus jenama gedung.

FOMCA berharap kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia ini dapat diperluaskan di seluruh negara. Kewujudannya juga tidak sewajarnya hanya untuk menampung keperluan pengguna di kawasan bandar sahaja, tetapi juga pengguna di kawasan luar bandar. Ini dapat membantu para pengguna di luar bandar yang turut menghadapi masalah kenaikan harga barangan.

Selain membantu pengguna untuk membeli pada harga yang lebih rendah, kedai ini juga boleh dijadikan sebagai penanda aras harga barangan di pasaran sebagai perbandingan kepada pengguna. Dengan ini, kedai-kedai yang lain tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya.

Kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia ini perlu dilihat sebagai tidak bertujuan untuk melumpuhkn operasi kedai runcit yang lain, tetapi untuk mewujudkan persaingan yang sihat dan menyediakan pilihan kepada pengguna. Kedai runcit lain masih terus beroperasi dengan menjual barang berjenama yang masih mempunyai penggemarnya tersendiri.

Kedai Rakyat 1Malaysia boleh menjadi tempat untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh pengilang tempatan serta pengusaha tanaman dan ternakan tempatan, yang mungkin menghadapi masalah untuk memasarkan produk mereka di kedai-kedai dan pasar raya besar. Ini sudah pasti dapat membantu pengusaha tempatan di samping memperluaskan pasaran produk keluaran tempatan.

FOMCA juga berharap operasi Kedai Rakyat 1Malaysia ini akan berterusan dalam tempoh yang panjang. Kegagalan rangkaian pasar mini G Mart yang dikendalikan oleh Pernas Edar perlu dijadikan pengajaran agar tidak berulang kembali.

Rabu, Mac 30, 2011

PERLUAS RANGKAIAN KEDAI RUNCIT



Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menganjurkan kempen penurunan harga barang bermula 15 Jun sehingga 31 Ogos 2011. Ia akan melibatkan 50 sektor perniagaan di seluruh negara.

Sebelum itu, KPDNKK juga merancang untuk mengadakan jualan gudang yang membabitkan 20 buah syarikat pengeluar barang. Kedua-dua usaha ini sebagai langkah untuk membantu pengguna membeli barang keperluan asas pada harga yang rendah.

Kempen penurunan harga barang dan jualan gudang merupakan langkah yang baik dan amat dialu-alukan. Sebelum ini pun, KPDNKK pernah menganjurkan kempen yang seumpama ini ketika berlaku kenaikan harga barang.

Namun begitu, kedua-dua langkah ini hanya merupakan strategi jangka pendek. Kempen penurunan harga barang hanya berlangsung dua bulan setengah, manakala jualan gudang hanya diadakan dalam tempoh tertentu sahaja.

Pengguna bakal menikmati harga yang rendah ketika kempen penurunan harga barang dan jualan gudang diadakan. Selepas itu mereka terpaksa membeli pada harga biasa di kedai yang terdapat di kawasan persekitaran.

Rungutan pengguna terhadap kenaikan harga barang berlaku kepada barang keperluan asas seperti ikan, sayur-sayuran, daging, ayam dan barang keperluan. Ia dibeli hampir setiap hari, seminggu sekali atau sebulan sekali.

Kenaikan harga barang keperluan harian inilah yang perlu ditangani oleh kerajaan jika kerajaan ingin memastikan pengguna dapat membeli pada harga yang berpatutan dan munasabah.

Oleh itu, kerajaan memerlukan perancangan jangka panjang untuk tujuan tersebut. Umpamanya, kerajaan melalui pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewujudkan rangkaian kedai runcit di seluruh pelosok negara.

Pada masa ini beberapa GLC mempunyai rangkaian kedai runcit sendiri. Felda memiliki rangkaian kedai D' Mart yang sebahagian besar dibuka di Rancangan Felda, manakala Bernas telah mewujudkan pula Save More, yang beroperasi di kawasan bandar. Begitu juga Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kedai Perwira Niaga Malaysia (Pernama) yang terdapat di kem-kem tentera.

Rangkaian kedai-kedai ini perlu diperluaskan di seluruh negara termasuk menggunakan konsep francais. Untuk membolehkan rangkaian kedai ini menjual pada harga yang rendah, ia wajar mencontohi pasar raya besar yang mewujudkan jenama sendiri atau jenama gedung.

D' Mart, Save More dan Pernama boleh membuat jenama sendiri bagi barang keperluan asas dan diedarkan di semua rangkaian kedai mereka. Jika dilihat jenama gedung di pasar raya besar, harganya lebih rendah sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus berbanding barang berjenama. Strategi ini wajar digunakan oleh rangkaian kedai-kedai ini.

Selain itu, rangkaian kedai ini boleh digunakan untuk melaksanakan program kerajaan dalam membantu golongan sasar seperti Program Subsidi Beras untuk Rakyat (Subur) yang dijalankan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kerajaan secara berperingkat akan melaraskan subsidi barang makanan sebagaimana yang dicadangkan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi. Apabila pelarasan ini dilaksanakan, kerajaan perlu melaksanakan program jaringan sosial untuk membantu golongan miskin membeli barang keperluan asas pada harga yang lebih rendah.

Golongan sasar ini boleh diberikan kupon untuk membeli makanan keperluan asas.

Maka rangkaian runcit inilah yang berperanan sebagai pusat bagi membolehkan golongan sasar ini membeli barang keperluan dengan menggunakan kupon tersebut.

Forum, Utusan Malaysia, 30 Mac 2011

Selasa, Mac 29, 2011

WUJUDKAN RANGKAIAN KEDAI RUNCIT BAGI BANTU PENGGUNA BELI PADA HARGA RENDAH

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menganjurkan kempen penurunan harga barang bermula pada 15 Jun sehingga 31 Ogos 2011. Ia akan melibatkan 50 sektor perniagaan di seluruh negara.

Sebelum itu, KPDNKK juga merancang untuk mengadakan jualan gudang yang membabitkan 20 buah syarikat pengeluar barang. Kedua-dua usaha ini sebagai langkah untuk membantu pengguna membeli barang keperluan asas pada harga yang rendah.

Kempen penurunan harga barang dan jualan gudang merupakan langkah yang baik dan amat dialu-alukan. Sebelum ini pun, KPDNKK pernah menganjurkan kempen yang seumpamaini ketika berlaku kenaikan harga barang.

Namun begitu, kedua-dua langkah ini hanya merupakan strategi jangka pendek. Kempen penurunan harga barang hanya berlangsung dua bulan setengah, manakala jualan gudang hanya diadakan dalam tempoh tertentu sahaja.

Kempen penurunan harga barang diadakan di pasar raya-pasar raya besar dan gedung membeli belah tertentu, yang kebiasaannya terletak di bandar-bandar besar. Jualan gudang pula boleh dirancangkan untuk diadakan di beberapa tempat, termasuk di kawasan luar bandar.

Pengguna bakal menikmati harga yang rendah ketika kempen penurunan harga barang dan jualan gudang diadakan. Selepas itu mereka terpaksa membeli pada harga biasa di kedai yang terdapat di kawasan mereka.

Rungutan pengguna terhadap kenaikan harga barang berlaku kepada barang keperluan asas seperti ikan, sayur-sayuran, daging, ayam dan barang keperluan. Ia dibeli hampir setiap hari, seminggu sekali atau sebulan sekali.

Kenaikan kepada harga barang keperluan harian inilah yang perlu ditangani oleh kerajaan jika kerajaan ingin memastikan pengguna dapat membeli pada harga yang berpatutan dan munasabah.

Oleh itu, kerajaan memerlukan perancangan jangka panjang untuk tujuan tersebut. Umpamanya, kerajaan melalui pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewujudkan rangkaian kedai runcit di seluruh pelosok negara.

Sebagai contoh, dahulu pernah wujud rangkaian pasar mini, Kedai G-Mart dikendalikan oleh Pernas Edar. Begitu juga Bernas pernah mewujudkan Bernas Mart. Harga barang yang dijual di kedua-dua kedai ini adalah lebih rendah berbanding kedai runcit lain. Seringkali harga di kedai tersebut dijadikan sebagai perbandingan untuk pengguna mengetahui kedudukan harga semasa barang. Bernas juga pernah menyiarkan senarai harga barang jualannya di akhbar tempatan ketika berlakunya krisis kenaikan harga beras.

Namun disebabkan operasi kedai-kedai ini tidak memberikan keuntungan yang besar, maka kedai-kedai itu ditamatkan operasinya.

Jika kerajaan benar-benar serius untuk membantu pengguna membeli pada harga yang secara relatifnya berpatutan, maka rangkaian kedai runcit seperti ini perlu diwujudkan semula.

Pada masa ini beberapa GLC mempunyai rangkaian kedai runcit sendiri. Felda memiliki rangkaian kedai D' Mart yang sebahagian besar dibuka di Rancangan Felda, manakala Bernas telah mewujudkan pula Save More, yang beroperasi di kawasan bandar. Begitu juga Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kedai Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) yang terdapat di kem-kem tentera.

Rangkaian kedai-kedai ini perlu diperluaskan di seluruh negara termasuk menggunakan konsep francais. Untuk membolehkan rangkaian kedai ini menjual pada harga yang rendah, ia wajar mencontohi pasar raya besar yang mewujudkan jenama sendiri atau jenama gedung.

D' Mart, Save More dan PERNAMA boleh membuat jenama sendiri bagi barang keperluan asas dan diedarkan di semua rangkaian kedai mereka.

Jika dilihat jenama gedung di pasar raya besar, harganya lebih rendah sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus berbanding barang berjenama. Strategi ini wajar digunakan oleh rangkaian kedai-kedai ini.

Rangkaian ini perlu membuka cawangannya di seluruh negara, terutamanya di kawasan luar bandar bagi membantu golongan pengguna membeli pada harga yang rendah.

Selain itu, rangkaian kedai ini boleh digunakan untuk melaksanakan program kerajaan dalam membantu golongan sasar seperti Program Subsidi Beras untuk Rakyat (SUBUR), yang dijalankan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Demikian juga, KPDNKK telah mengadakan program pengedaran barang perlu bersubsidi mulai pada 20 Ogos 2008, dengan projek perintisnya di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang. Dalam pembentangan bajet 2011, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk program pengedaran barang perlu, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan secara berperingkat akan melaraskan subsidi barang makanan sebagaimana yang dicadangkan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi. Apabila pelarasan ini dilaksanakan, kerajaan perlu melaksanakan program jaringan sosial untuk membantu golongan miskin membeli barang keperluan asas pada harga yang lebih rendah. Golongan sasar ini boleh diberikan kupon untuk membeli makanan keperluan asas.

Maka rangkaian runcit inilah yang berperanan sebagai pusat bagi membolehkan golongan ini membeli barang keperluandengan menggunakan kupon tersebut.

Selasa, Mac 02, 2010

ATASI KEMELUT KOTAK BERINSULASI TINGGI

Perlaksanaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG).bermula pada 1 Mac 2010 telah menjadi satu kemelut di antara pengimport dan pemborong ikan dengan kerajaan. Pengimport dan pemborong ikan mengugut untuk memboikot pengimport ikan kerana tidak bersetuju dengan perlaksanaan kotak ikan tersebut.

Perlaksanaan kotak ikan berinsulasi tinggi oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ini bertujuan bagi memastikan kualiti ikan yang diimport berada dalam keadaan selamat, bersih dan segar.

FOMCA amat bersetuju dengan penggunaan kotak ikan berinsulasi tinggi ini kerana faktor keselamatan dan kualiti ikan yang diimport. Sebelum ini, ikan yang diimport dalam keadaan yang rendah kualitinya apabila dijual di pasar. Ini menyebabkan ikan yang dijual itu telah hilang khasiatnya.

Bagi menampakkan seolah-olah ikan tersebut masih segar dan baik, ada pemborong atau penjual yang merendamkan ikan-ikan tersebut ke dalam bahan kimia tertentu, antaranya pengawet mayat, yang dikenali sebagai Fomilin atau formaldehid. Ini boleh menimbulkan masalah keselamatan dan kesihatan kepada pengguna kerana formaldehid dikatakan boleh menyebabkan penyakit kanser.

Dalam hal ini FOMCA merasakan kerajaan tidak sewajarnya bertolak ansur dengan perlaksanaan kotak berinsulasi tinggi ini.

Walau bagaimanapun, kemelut yang berlaku ini perlu ditangani dengan baik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Tindakan memboikot pengimportan ikan oleh pengimport dan pemborong ikan akhirnya menimbulkan masalah kepada pengguna yang menghadapi kekurangan bekalan ikan di pasaran. Selain itu, penggunaan kotak tersebut yang dikatakan lebih mahal turut menimbulkan masalah kepada pengguna dengan kenaikan harga ikan.

Kerajaan perlu memberikan perhatian yang serius terhadap masalah yang dihadapi oleh pengimport dan pemborong ikan sehingga menyebabkan mereka memboikot import ikan. Jika masalah penggunaan kotak baru itu disebabkan oleh harga yang tinggi kerana terpaksa membeli daripada pembekal yang ditetapkan oleh LKIM, maka sewajarnya kerajaan perlu menghentikan arahan ini. Berikan kebenaran kepada pengimport dan pemborong ikan membeli kotak ikan berinsulasi tinggi sendiri asalkan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan.

Apa yang perlu kerajaan lakukan ialah menyediakan piawaian atau garis panduan tentang kotak berinsulasi tinggi yang dibenarkan untuk digunakan oleh pengimport dan pemborong ikan. Jika pembekal kotak berinsulasi tinggi ingin mendapat pengesahan piawaian daripada pihak yang ditetapkan oleh kerajaan, maka kotak itu boleh dijual kepada pengimport dan pemborong ikan.

Dengan cara ini kerajaan dapat melaksanakan peraturan perlaksanaan kotak berinsulasi tinggi, pengimport dan pemborong boleh memilih pembekal kotak berinsulasi yang menjual pada harga yang berpatutan dan pengguna tidak perlu menanggung kenaikan harga ikan dan menghadapi masalah bekalan ikan di pasaran.

Khamis, Januari 28, 2010

WARTA SEGERA LINDUNGI PENGGUNA




Akta persaingan dan peraturan kaut untung berlebihan

Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa Akta Persaingan akan diwartakan pada tahun 2010 amat dinanti-nantikan.

Pergerakan pengguna di Malaysia telah mendesak supaya akta ini diwujudkan sejak sekian lama bagi membolehkan pengguna menikmati persaingan sihat antara industri makanan dan penyedia perkhidmatan.

Akta seumpama ini telah lama wujud di beberapa buah negara, khususnya negara maju. Ia bertujuan agar tidak wujud amalan monopoli dalam kalangan industri sehingga boleh memberikan kesan kepada pengguna, terutamanya berkaitan bekalan dan penetapan harga.

Pada masa ini terdapat beberapa industri komoditi seolah-olah wujud amalan monopoli, seperti beras, gandum, gula dan sebagainya.

Akibat daripada amalan ini, pengguna sering menghadapi masalah bekalan apabila industri ini ingin mewujudkan tekanan kepada kerajaan agar menaikkan harga komoditi tersebut yang disenaraikan sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Harga 1946.

Begitu juga industri yang bersifat monopoli ini sering kali menaikkan harga barang mereka sekiranya barangan tersebut bukannya barang kawalan.

Ini menimbulkan kegusaran kepada pengguna, khususnya yang berpendapatan rendah. Oleh itu apabila Akta Persaingan ini diwujudkan, amalan monopoli ini dapat dibanteras. Selain itu pengguna juga dapat menggunakan kuasa mereka untuk membuat pilihan industri perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan yang baik.

Selain itu, kerajaan juga akan meminda Akta Kawalan Harga 1946 bagi memasukkan peruntukan mengenai anti mengaut keuntungan berlebihan (atau juga dikenali sebagai Anti Pencatutan). Peruntukan undang-undang ini juga telah lama diminta agar diwujudkan.

Pengguna sering kali berhadapan dengan kenaikan harga barangan apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga, seperti harga bahan api, komoditi keperluan asas dan sebagainya. Begitu juga apabila berlaku kenaikan tarif seperti tarif elektrik, air dan seumpamanya.

Setiap kali harga atau tarif ini dinaikkan, wujud reaksi jaringan bagi barangan lain yang menggunakan bahan yang dinaikkan harga atau tarif tersebut.

Peruntukan undang-undang yang ada pada masa ini bergantung kepada Akta Kawalan Harga, iaitu peniaga perlu meletakkan tanda harga bagi barang jualan. Sekiranya tanda harga telah diletakkan, terserah kepada pengguna sama ada untuk membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan tersebut.

Tetapi apabila Peraturan Anti Pencatutan ini dilaksanakan, jika berlaku kenaikan harga secara sewenang-wenangnya, maka tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan.

Apa yang diharapkan ialah kerajaan menggubal dan mewartakan segera Akta Persaingan dan Peraturan Anti Pencatutan bagi mengatasi masalah yang bakal berlaku apabila kerajaan menarik secara beransur-ansur subsidi bagi beberapa barang seperti gula, minyak masak dan bahan api.

Utusan Malaysia (Forum), 28 Januari 2010

Selasa, Januari 26, 2010

AWASI PENGILANG, PEMBORONG GULA





25 Januari 2010

JAMINAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa harga gula tidak dinaikkan sebelum dan selepas Tahun Baru Cina amat dialu-alukan. Jaminan ini bertujuan supaya pengguna tidak membuat pembelian panik dan mengelak pemborong menyorok bekalan itu.

Namun, bagi pengguna, yang penting bukan saja harga, malah bekalan yang mencukupi untuk menampung keperluan khususnya ketika perayaan.

Kerajaan juga perlu memantau kegiatan pengilang dan pemborong. Pengilang boleh mengurangkan pengeluaran untuk pasaran runcit dan memperbanyakkan pengeluaran untuk kegunaan industri.

Ada peruncit mengadu pemborong menjual gula harga RM1.65 sekilogram, menyamai harga ditetapkan kerajaan. Apabila keadaan ini berlaku, peruncit menjual gula lebih mahal dan bersedia untuk menerima tindakan penguatkuasa atau tidak menjualnya langsung.

Jika pilihan kedua diambil, pengguna akan ketiadaan bekalan. Akta Kawalan Harga 1946 perlu dikaji agar tindakan penguat kuasa tidak hanya dilakukan ke atas peruncit, malah juga kepada pengilang dan pemborong.

SEGERAKAN AKTA PERSAINGAN & PERATURAN ANTI PENCATUTAN

Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa Akta Persaingan akan diwartakan pada tahun 2010 amat dinanti-nantikan.

Pergerakan pengguna di Malaysia telah mendesak supaya akta ini diwujudkan semenjak sekian lama bagi membolehkan pengguna menikmati persaingan sihat antara industri makanan dan penyedia perkhidmatan.

Akta seumpama ini telah lama wujud di beberapa buah negara, khususnya negara maju bertujuan agar tidak wujud amalan monopoli dalam kalangan industri sehingga boleh memberikan kesan kepada pengguna, terutamanya berkaitan bekalan dan penetapan harga.

Pada masa ini terdapat beberapa industri komoditi seolah-olah wujud amalan monopoli, seperti beras, gandum, gula dan sebagainya. Akibat daripada amalan ini, pengguna sering berharap dengan masalah bekalan apabila industri ini ingin mewujudkan tekanan kepada kerajaan agar menaikkan harga komoditi tersebut yang disenaraikan sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Harga 1946. Begitu juga industri yang bersifat monopoli ini sering kali menaikkan harga barang mereka sekiranya barangan tersebut bukannya barang kawalan.

Ini menimbulkan kegusaran kepada pengguna, khususnya yang berpendapatan rendah. Oleh itu apabila Akta Persaingan ini diwujudkan, amalan monopoli ini dapat dibanteras. Selain itu pengguna juga dapat menggunakan kuasa mereka untuk membuat pilihan industri perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan yang baik.

Selain itu, kerajaan juga akan meminda Akta Kawalan Harga 1946 bagi memasukkan peruntukan tentang anti mengaut keuntungan berlebihan (atau juga dikenali sebagai anti pencatutan). Peruntukan undang-undang ini juga telah lama diminta agar diwujudkan. Pengguna sering kali berhadapan dengan kenaikan harga barangan apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga, seperti harga bahan api, komoditi keperluan asas dan sebagainya. Begitu juga apabila berlaku kenaikan tarif seperti tarif elektrik, air dan seumpamanya.

Setiap kali harga atau tarif ini dinaikkan, wujud reaksi jaringan bagi barangan lain yang menggunakan bahan yang dinaikkan harga atau tarif tersebut. Peruntukan undang-undang yang ada pada masa ini bergantung kepada Akta Kawalan Harga, iaitu peniaga perlu meletakkan tanda harga bagi barang jualan. Sekiranya tanda harga telah diletakkan, terserah kepada pengguna sama ada untuk membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan tersebut.

Tetapi apabila peraturan anti pencatutan ini dilaksanakan, jika berlaku kenaikan harga secara sewenang-wenangnya, maka tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan.

Apa yang diharapkan ialah kerajaan menggubal dan mewartakan segera Akta Persaingan dan peraturan anti pencatutan bagi mengatasi masalah yang bakal berlaku apabila kerajaan menarik secara beransur-ansur subsidi bagi beberapa barang seperti gula, minyak masak dan bahan api.


Rabu, Januari 20, 2010

GUNAKAN KUASA ANDA SEBAGAI PENGGUNA TEKSI


LEMBAGA Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) telah mengadakan Kempen Kesedaran Hak-Hak Pengguna Pengangkutan Awam pada 18 Januari 2010. Langkah ini amat wajar sekali dilakukan memandangkan pengguna pengangkutan awam sering mengadu bahawa perkhidmatan yang diberikan amat tidak memuaskan.

Kerajaan sendiri mengakui bahawa mereka sering menerima aduan daripada pengguna tentang kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha pengangkutan awam, khususnya teksi.

Contohnya, tidak menggunakan meter, tidak memberikan resit, mengubah suai meter dan berkelakuan membahayakan ketika memandu, merokok, memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit.

Masalah yang dihadapi oleh pengguna terhadap perkhidmatan teksi ini telah lama berlaku dan disedari oleh kerajaan sendiri. Namun tiada langkah proaktif yang diambil, sehingga pengguna secara berterusan 'dipermainkan' oleh pemandu teksi ini.

Pengguna perlu menggunakan kuasa mereka untuk tidak menggunakan perkhidmatan pemandu teksi yang enggan menggunakan meter. Begitu juga mereka perlu membuat aduan kepada LPKP sekiranya ada pemandu teksi yang didapati melakukan kesalahan.

Namun jika hanya mengharapkan pengguna sahaja membuat aduan, tanpa ada penguat kuasa yang tegas dilakukan, tidak bermakna juga. Tindakan pemantauan secara berkala dan rambang perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

Selagi masalah ini berlaku, maka selagi itulah penguat kuasa tidak boleh berhenti daripada membuat pemantauan.

Mulai 1 Januari 2010, semua teksi dikehendaki mengeluarkan resit kepada penumpang. Jika ada yang gagal berbuat sedemikian, gunakan kuasa sebagai pengguna, iaitu membuat aduan kepada LPKP dan buat salinan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) agar pemantauan dibuat terhadap aduan yang dibuat oleh pengguna.

Forum, 21 Januari 2010

PASTI BEKALAN MENCUKUPI

Jaminan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa harga gula tidak akan dinaikkan sebelum dan selepas Tahun Baru Cina amat dialu-alukan. Jaminan ini bertujuan supaya pengguna tidak membuat pembelian panik dan dalam masa yang sama juga mengelakkan pemborong daripada menyorok bekalan tersebut.

Namun begitu, bagi pengguna, yang penting bukan sahaja faktor harga, tetapi juga bekalan yang sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan harian, khususnya untuk kegunaan semasa perayaan, seperti Tahun Baru Cina.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu memantau kegiatan pengilang dan pemborong. Pengilang boleh bertindak mengurangkan pengeluaran untuk pasaran runcit dan memperbanyakkan pengeluaran untuk kegunaan industri yang lebih luas pasarannya.

Begitu juga dengan pemborong. Ada peruncit yang mengadu bahawa pemborong menjual gula pada harga RM1.65, menyamai harga runcit yang ditetapkan oleh kerajaan. Apa keadaan ini berlaku peruncit berada dalam keadaan dilema, iaitu sama ada menjual gula tersebut pada harga yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh kerajaan, dan bersedia untuk menerima tindakan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, atau tidak menjualnya langsung. Jika pilihan kedua yang diambil, maka pengguna akan berhadapan dengan masalah ketiadaan bekalan gula.

Akta Kawalan Harga 1946 perlu dikaji semula agar tindakan penguatkuasa tidak hanya dilakukan ke atas peruncit sahaja, tetapi juga kepada pengilang dan pemborong.

20 Januari 2010

Jumaat, Januari 15, 2010

PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN KESIHATAN KLINIK KERAJAAN

Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan Sistem Pengurusan Giliran dan Peringatan Temujanji (Qmars) dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mengatasi kesesakan klinik kerajaan amat dialu-alukan.

Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam usaha untuk menambahbaikkan sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam, khususnya perkhidmatan penjagaan kesihatan. Bagi mereka yang biasa berurusan dengan klinik dan hospital kerajaan amat memahami keadaan kesesakan dan tempoh masa yang agak lama untuk mendapatkan rawatan. Justeru ramai yang memilih untuk ke klinik atau hospital swasta untuk mendapatkan keselesaan mendapatkan rawatan dan tempoh masa rawatan yang singkat.

Kementerian Kesihatan telah berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan, termasuk melanjutkan tempoh masa operasi di beberapa klinik dan hospital kerajaan sehingga pada waktu malam. Usaha yang terkini ialah mewujudkan 50 buah klinik 1Malaysia.

Rakyat Malaysia, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana perlu mengambil kesempatan ini untuk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerajaan. Ini bagi mengurangkan beban kewangan mereka, khususnya dalam menghadapi cabaran kenaikan kos hidup pada masa ini.

Dalam masa yang sama kerajaan juga terus berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam agar perkhidmatan yang disediakan standing dengan perkhidmatan di hospital swasta. Peruntukan yang besar perlu disediakan bagi tujuan ini sebagaimana yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), agar peruntukan untuk penjagaan kesihatan awam mencapai 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Apa yang diharapkan ialah usaha dan penambahbaikkan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan ini hendaklah bersifat jangka panjang dan berterusan. Jangan sekadar “hangat-hangat tahi ayam” sahaja.

12 Jan. 2010

Jumaat, Februari 01, 2008

LARANGAN MOTOSIKAL DI LEBUH RAYA TIDAK WAJAR

KEPUTUSAN Kementerian Kerja Raya melarang penunggang motosikal menggunakan Lebuh Raya KL-Putrajaya dan beberapa lebuh raya lain merupakan langkah yang tidak wajar.

Ini telah menafikan hak penunggang motosikal untuk menggunakan lebuh raya tersebut.

Ramai kakitangan kerajaan dan mereka yang mempunyai urusan di Putrajaya menggunakan motosikal. Jumlah ini kian bertambah sekiranya kerajaan menaikkan harga petroleum dan kadar tol pada masa hadapan.

Dalam keadaan kos petroleum yang kian meningkat, serta kadar tol yang semakin tinggi, ramai yang memilih untuk menunggang motosikal ke tempat kerja atau ke sesuatu destinasi tertentu. Ini merupakan pilihan bagi pengguna yang tidak mahu terbeban dengan kos pengangkutan yang meningkat.

Keputusan kerajaan melarang motosikal menggunakan lebuh raya seolah-olah tidak memberi peluang kepada pengguna mengurangkan kos pengangkutan mereka dengan menggunakan motosikal sebagai salah satu alternatif pengangkutan.

Begitu juga keputusan ini bercanggah dengan permintaan Perdana Menteri pada 1 Jun 2007, agar semua lebuh raya baru mempunyai lorong motosikal yang berasingan.

Malah Perdana Menteri juga menyatakan bahawa kerajaan memang telah membuat keputusan untuk mewujudkan lorong berasingan bagi motosikal di lebuh raya. Jelas bahawa Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia telah melanggar keputusan kerajaan ini.

Amat dikesali apabila Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuh Raya boleh membenarkan pembinaan Lebuh Raya KL-Putrajaya dalam keadaan mereka menyedari lebuh raya tersebut tidak mempunyai lorong motosikal yang berasingan atau ruang bahu jalan yang lebar.

Langkah Kementerian Kerja Raya melarang mengguna motosikal di lebuh raya tersebut seolah-olah ingin menunjukkan keprihatinannya terhadap penunggang motosikal yang berhadapan dengan risiko kemalangan jika menggunakan lebuh raya itu, sedangkan dari peringkat awal lagi, pihak kementerian telah mengetahui bahawa ia tidak mempunyai lorong motosikal dan bahu jalan yang lebar.

Kerajaan sewajarnya bersikap adil terhadap pengguna motosikal apabila merangka pembinaan sesebuah lebuh raya. Nasib penunggang motosikal tidak wajar diabaikan dalam keadaan kerajaan sendiri menyedari risiko pengguna motosikal apabila menggunakan lebuh raya yang tidak mempunyai lorong motosikal yang berasingan.

Oleh itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta kerajaan menarik balik perintah larangan tersebut dan membina lorong motosikal berasingan di lebuh raya berkenaan dan lebuh raya yang lain, seperti yang diminta oleh Perdana Menteri.

Forum, Utusan Malaysia
4 Februari 2008

Jumaat, Januari 11, 2008

KAWAL GUNA SMS ELAK PEMBAZIRAN WANG

KHIDMAT pesanan ringkas atau SMS kini digunakan secara berleluasa bagi menyampaikan maklumat atau bertanyakan khabar berita. Dengan jumlah pelanggan telefon bimbit pada masa ini lebih 22 juta orang, SMS menjadi alat komunikasi berkesan bagi menyalurkan apa juga maklumat secara cepat.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, SMS bukan saja digunakan sebagai media komunikasi sebagaimana lazimnya, malah ia turut dijadikan medan untuk menyebarluaskan pelbagai bentuk sebaran yang negatif, seperti penipuan, peraduan bertujuan menipu, perhimpunan demonstrasi dan khabar angin.

Gejala tidak sihat ini menambahkan lagi jumlah penggunaan SMS bagi menggantikan surat layang yang popular suatu ketika dulu.

Menurut laporan suku tahun ketiga oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), rakyat Malaysia menghantar SMS sebanyak 39.8 bilion dalam tempoh bulan Januari hingga Oktober 2007.

Jika caj bagi setiap SMS itu sebanyak 10 sen, maka ini bermakna mereka berbelanja sebanyak RM3.9 bilion dalam tempoh itu atau dijangkakan berbelanja RM5.6 bilion sehingga akhir 2007.

Ia menunjukkan rakyat Malaysia bersedia untuk berbelanja sejumlah wang yang banyak bagi memenuhi kehendak mereka walaupun wang sebanyak itu sewajarnya digunakan untuk banyak lagi perkara lain yang berfaedah dan lebih utama.

Dengan kos hidup kian meningkat, seiring dengan peningkatan kos pendidikan, perubatan, barang makanan dan sebagainya, wang sebanyak itu sudah tentu dapat mengurangkan bebanan kewangan yang perlu ditanggung oleh pengguna.

Pengguna pada masa ini tidak sedar bahawa wang mereka banyak dibelanjakan untuk hal yang bukannya menjadi keutamaan. Apatah lagi dengan jumlah pengguna pelanggan prabayar seramai 18.3 juta pengguna dalam suku tahun ketiga 2007.

Mereka ini tidak sedar bahawa kredit habis dengan cepatnya kerana penggunaan SMS yang tidak terkawal.

Pengguna tegar dengan penggunaan SMS ini tidak sewajarnya merungut jika dibebani kos hidup yang kian meningkat kerana mereka sendiri gagal mengawal perbelanjaan kewangan dengan baik.

Sewajarnya pada 2008 ini, mereka mengurangkan penggunaan SMS yang kurang berfaedah.

Sebaliknya wang itu digunakan untuk menampung perbelanjaan barang keperluan atau menyimpan lebihan wang untuk kegunaan masa depan.


Emel & Surat, Berita Harian
10 Januari 2008

Jumaat, September 14, 2007

PEMBORONG JUAL MELEBIHI HARGA SILING

Skim kawalan harga musim perayaan Aidilfitri dan Deepavali menetapkan harga siling bagi 17 barang keperluan. Pada kali ini penetapan harga siling dibuat pada peringkat harga borong dan runcit. Ini bagi memastikan bahawa pemborong tidak menjual kepada peruncit pada harga yang melebihi harga siling borong yang ditetapkan.

Jika pada tahun-tahun sebelum ini, ramai peruncit mendakwa pemborong menjual pada harga melebihi harga siling runcit sehingga menyebabkan peruncit terpaksa menjual dengan harga yang lebih tinggi ataupun langsung tidak menjual barang tersebut kerana khuatir akan dikenakan tindakan kompaun oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Biarpun begitu, hasil pemantauan yang dilakukan di beberapa pasar basah, mendapati ramai di antara peruncit yang tidak menyedari bahawa kerajaan telah menetapkan harga siling borong . Umpamanya harga borong bagi ayam standard ialah RM5.40. Namun rata-ratanya peruncit mendakwa pemborong telah menjual ayam kepada mereka pada harga RM5.60-RM5.70. Selain itu, peruncit juga mendakwa bekalan ayam yang diterima daripada pemborong juga berkurangan, biarpun Jabatan Perkhidmatan Haiwan menyatakan bekalan ayam bagi musim perayaan adalah mencukupi.

Fenomena ini menunjukkan bahawa pemboronglah yang menyebabkan berlakunya kegawatan kenaikan harga dan kekurangan bekalan pada musim perayaan ini. Keadaan ini wujud kerana kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap pemborong melainkan adanya aduan daripada peruncit ayam sendiri. Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta agar penguatkuasa KPDNHEP membuat pemantauan rapi terhadap kegiatan para pemborong ini agar mereka tidak sewenang-wenangnya mengawal harga dan bekalan barangan.

Dalam masa yang sama, FOMCA berharap para peruncit tampil membuat aduan sekiranya ada pemborong yang menjual barang yang dikawal harganya melebihi harga siling borong yang ditetapkan. Dengan ini tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pemborong ini.

Khamis, September 13, 2007

PENIAGA NAIK HARGA PATUT TERUS DISAMAN

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) kesal dengan tindakan Persatuan Pemborong Ayam Wilayah Persekutuan, Persatuan Penjual Ayam dan Itik Perak (PADIP) dan segelintir peniaga ayam di beberapa pasar besar yang menjual ayam melebihi harga siling yang ditetapkan. Dilaporkan ada peniaga ayam yang menjual sehingga RM7.00 sekilogram.

Tindakan Persatuan Pemborong Ayam Wilayah Persekutuan, PADIP dan para peniaga yang menaikkan harga ayam ini dengan sewenang-wenangnya itu seolah-olah ingin mencabar ketegasan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). FOMCA meminta KPDNHEP tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap tindakan yang tidak bertanggungjawab ini.

Pada setiap tahun apabila tiba musim perayaan, KPDNHEP menguatkuasakan peraturan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan dengan meletakkan harga siling bagi beberapa barang keperluan harian. Ia bertujuan agar harga barang keperluan harian adalah berpatutan dan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan. Bagi musim perayaan Aidilfitri dan Deepavali tahun ini, KPDNHEP menyenaraikan 17 barang sebagai barang-barang harga terkawal.

Namun begitu, masih terdapat segelintir peniaga yang tidak mematuhi peraturan ini, seperti tidak meletakkan label berwarna merah jambu, barang yang dikawal harganya tidak mempunyai stok, menggantikan nama barang-barang yang dikawal dengan nama lain, seperti ikan kembong dikatakan sebagai ikan mabong dan sebagainya.

FOMCA berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan bertindak tegas terhadap mana-mana peniaga yang melanggar peraturan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan ini, sebagaimana amaran menterinya, Datuk Hj Shafie Hj Apdal, pada Majlis Perjumpaan Persediaan Menghadapi Musim Perayaan kelmarin.

Surat & Emel, Berita Harian
13 September 2007

Jumaat, Ogos 03, 2007

BANTAH HENTI OPERASI STESEN MINYAK 24 JAM

GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) membantah keputusan Persatuan Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menamatkan operasi stesen minyak selama 24 jam.

Tindakan ini mengetepikan tanggungjawab sosial stesen minyak dalam memberikan perkhidmatan kepada para pengguna.

Dalam hal ini, FOMCA bersetuju dengan pendirian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menolak keputusan PDAM itu.

FOMCA berharap KPDNHEP bersikap tegas bagi memastikan keputusan ini tidak dilaksanakan.

Begitu juga keputusan PDAM untuk meminta pengguna menanggung caj kad kredit apabila membeli minyak.

Penggunaan kad kredit merupakan suatu yang lumrah pada masa ini, walaupun ia tidak sewajarnya dijadikan sebagai satu amalan.

Dalam keadaan perniagaan lain yang menerima kad kredit sebagai salah satu kaedah pembayaran pun tidak mengenakan caj, apatah lagi bagi stesen minyak, yang rata-rata operasinya menguntungkan.

Sepatutnya kemudahan kad kredit ini perlu disediakan khususnya di pam-pam kerana ia dapat mengurangkan operasi dan dapat mengurangkan pembayaran di kaunter.

Mungkin penggunaan kad kredit boleh dijadikan sebagai kaedah pembayaran bagi operasi waktu malam bagi mengelakkan daripada kejadian stesen minyak dirompak.

Cuma pastikan tahap keselamatannya dipertingkatkan seperti mengelakkan daripada penggunaan kad kredit yang diklon.

Jika dilihat daripada keputusan PDAM ini, pengguna dijadikan sebagai mangsa kepada masalah yang dihadapi oleh mereka.

Sepatutnya PDAM perlu mengadakan perbincangan dengan pengeluar-pengeluar minyak, dan jika perlu, mendesak agar mereka juga menampung sebahagian daripada kos yang ditanggung oleh stesen minyak.

Pengeluar minyak mengaut keuntungan yang besar dalam keadaan harga minyak yang tinggi di pasaran antarabangsa.

Begitu juga dengan jumlah subsidi yang besar dan pelepasan cukai yang diberikan oleh kerajaan. Sepanjang bulan Januari hingga Jun 2007, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2.9 bilion subsidi minyak.

Pengeluar minyak tidak boleh bersikap lepas tangan’ terhadap masalah yang dihadapi oleh pengusaha stesen minyak dan membiarkan semua masalah itu akhirnya ditanggung pula oleh pengguna.

Industri minyak dianggap sebagai industri yang mewah. Pengeluar-pengeluar minyak termasuk Petronas terus mengumumkan keuntungan besar saban tahun.

Namun pengusaha stesen minyak, sebagai peruncit utama bagi pengeluar minyak ini, masih mengeluh tentang operasi mereka yang tidak menguntungkan.

Demikian juga pengguna akan terus dibebankan dengan kenaikan harga minyak apabila harga minyak meningkat di peringkat antarabangsa.

Adakah wajar pengguna diberikan tekanan bagi menampung masalah pengusaha stesen minyak ini dalam bentuk waktu operasi yang dihadkan dan terpaksa pula menanggung caj pengguna kad kredit?


Forum, Utusan Malaysia
3 Ogos 2007

BANK INGKAR ARAHAN KABINET

Kenyataan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia mensyaratkan semua bank komersial untuk mendapatkan kebenaran daripada bakal peminjam sebelum menggunakan khidmat syarikat rujukan kredit, jika dilihat dari satu sudut, merupakan satu tindakan yang positif. Namun dari aspek yang lain pula, ia menunjukkan bahawa bank-bank akan terus menggunakan khidmat syarikat rujukan kredit dalam menentukan kedudukan pinjaman seseorang pemohon.

Dalam masa yang sama, persatuan tersebut juga mengingatkan bahawa pemohon yang enggan memberikan kebenaran akan menghadapi masalah kelewatan kelulusan pinjaman.

Adakah dalam keadaan ingin mendapatkan pinjaman kewangan, seseorang pemohon itu akan menolak sebarang `permintaan’ yang dibuat oleh pihak bank? Kebiasaannya pemohon akan bersetuju apa jua syarat yang ditetapkan oleh pihak bank tanpa banyak soal jawab. Malah ada yang menandatangani borang yang disediakan tanpa membaca dahulu kandungannya kerana ghairah untuk mendapatkan pinjaman tersebut.

Justeru, tindakan bank-bank ini amat bertentangan dengan arahan Kabinet agar bank-bank dan agensi kerajaan berhenti menggunakan khidmat syarikat rujukan kredit ini. Mungkin tindakan ini dibuat kerana bank-bank komersial tempatan ini melihat diri mereka sudah cukup ‘kuat’ untuk tidak perlu mematuhi sebarang peraturan atau arahan yang dibuat oleh Kerajaan.

Di samping itu, jika dilihat daripada pelbagai caj yang dikenakan oleh pihak bank turut menggambarkan seolah-olah bank-bank ini tidak menganggap pelanggan merupakan aset yang penting, yang sewajarnya berhak mendapat layanan yang terbaik.

Walaupun Bank Negara telah mewujudkan garis panduan asas bagi caj perkhidmatan perbankan, namun bank-bank masih dapat `mengelak’ daripada menggunakan garis panduan tersebut dengan menyediakan produk yang tidak tertakluk di bawah garis panduan itu, dengan menawarkan pelbagai kemudahan.yang menarik.

Bagi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), tindakan keterlaluan bank-bank ini disebabkan oleh kegagalan Bank Negara bersikap tegas dalam mengawal selia bank-bank di negara ini. Akibatnya bank-bank boleh berbuat sesuka hati mereka mengenakan peraturan-peraturan baru serta pelbagai caj kepada pelanggan mereka, ibarat `beraja di hati bersultan di mata.’.

Bank Negara dan Kementerian Kewangan perlu memberikan perhatian terhadap perkhidmatan bank-bank di negara ini. Jangan membiarkan bank-bank ini terus-menerus mengaut keuntungan hasil daripada pelbagai caj yang dikenakan kepada pelanggan, tnpa memberikan perhatian dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan produk mereka. Jika ini dibiarkan berlaku, dikhuatiri mereka akan tumpas kepada bank-bank antarabangsa apabila liberalisasi perbankan dilaksanakan sepenuhnya.

FOMCA menyeru para pengguna menggunakan kuasa mereka menghukum bank-bank yang mengenakan caj-caj yang tidak munasabah ini dengan menutup akaun di bank-bank tersebut dan membukanya di bank-bank yang menawarkan perkhidmatan yang baik tanpa mengenakan pelbagai caj yang menentu itu.


Surat & Emel, Berita Harian
26 Julai 2007

Jumaat, Julai 20, 2007

MEMBANTERAS SKIM PRIRAMID DALAM JUALAN LANGSUNG

Usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mewujudkan peraturan mengenai skim piramid di dalam Akta Jualan Langsung 1993 amat dialu-alukan.

Syarikat jualan langsung sememangnya merupakan industri yang besar dengan jumlah jualan sebanyak RM6.6 bilion pada tahun 2006. Namun begitu, lantaran persaingan yang sengit di antara syarikat-syarikat ini, mereka mula mengalihkan pelan pemasaran mereka daripada menjual barang terus kepada pengguna, tetapi sebaliknya menitikberatkan kepada penajaan di kalangan ahli. Setiap ahli perlu menaja beberapa orang ahli baru yang akan diletakkan di bawahnya. Tetdapat juga yang tidak mensyaratkan ahli mencari ahli secara langsung. Mereka hanya perlu mengajak beberapa orang untuk menghadiri sesi penerangan yang syarikat anjurkan hampir setiap minggu. Ahli baru yang berjaya ditarik semasa sesi penerangan tersebut akan diletakkan di bawah ahli-ahli yang sedia ada.

Amalan seperti ini amat tidak sihat kerana ia gagal melahirkan ahli yang benar-benar berminat dalam perniagaan jualan langsung. Sebaliknya ahli-ahli lebih dibuaikan dengan pelbagai insentif yang disediakan oleh syarikat termasuk kereta mewah, rumah dan melancong ke luar negara.

Hasilnya, ahli-ahli tidak begitu mendalami tentang produk yang dipasarkan. Walaupun ada di antara produk tersebut yang memerlukan pengetahuan produk yang mendalam seperti makanan kesihatan, kosmetik, pil pelangsing dan sebagainya. Akibat daripada kegagalan ahli memahami produk yang dijual, ada di antara pembeli produk mereka yang menghadapi masalah kesihatan sehingga ada yang dilaporkan telah menyebabkan kematian.

Kerajaan perlu memastikan bahawa hanya syarikat jualan langsung yang tulen sahaja yang boleh beroperasi. Syarikat yang beroperasi bertopengkan jualan langsung tetapi tidak berhasrat untuk mematuhi Akta Jualan Langsung perlu dibanteras. Syarikat seperti inilah yang kebanyakannya terlibat dengan penyalahgunaan gores dan menang, produk tidak berkualiti dan sebagainya. Terdapat juga syarikat ini yang lebih mementingkan kepada ramainya stokis berbanding jumlah jualan sebenar produk kepada pengguna akhir.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) juga meminta peraturan skim piramid ini tidak hanya kepada syarikat jualan langsung sahaja. Malah ia perlu diperluaskan kepada skim cepat kaya kerana modus operasi kedua-duanya hampir sama. Penganjur skim ini dan mereka yang bersubahat dalam mempromosi skim ini juga perlu dikenakan tindakan yang keras. Ketiadaan peraturan berkaitan skim piramid pada masa ini menyebabkan skim-skim cepat kaya terus berluasa termasuk kini menggunakan internet.

Apabila wujudnya peraturan skim piramid ini, mereka yang ingin turut mempromosi skim cepat kaya akan berfikir berkali-kali kerana khuatir akan didakwa. Ini kerana kebanyakan skim cepat kaya ini bercambah kerana ramai yang turut mempromosinya kerana lebih ramai yang terlibat, maka lebih banyak wang yang akan mereka perolehi.

Khamis, Jun 28, 2007

HENTIKAN GUNA KHIDMAT SYARIKAT BIRO MAKLUMAT KREDIT

HENTIKAN GUNA KHIDMAT SYARIKAT BIRO MAKLUMAT KREDIT

Masalah yang telah dihadapi oleh para pengguna tentang nama mereka disenaraihitamkan oleh institusi kewangan merupakan isu yang telah lama berlaku. Pengguna sering berada dalam keadaan dilema mengapakah permohonan mereka untuk mendapatkan pembiayaan bank seperti untuk membeli rumah atau kenderaan ditolak oleh institusi kewangan. Ini kerana institusi kewangan tidak memberikan sebarang alasan penolakan permohonan tersebut.

Ini bukan sahaja berlaku untuk mendapatkan pembiayaan kewangan, tetapi juga kepada permohonan perkhidmatan telekomunikasi pascabayar, insurans, syarikat kad kredit, firma guaman dan sebagainya.

Apabila seseorang pengguna ingin mendapatkan sesuatu pembiayaan kewangan sama ada untuk tujuan perniagaan, pembelian rumah, kereta dan sebagainya ataupun ingin mendapatkan perkhidmatan sebagaimana yang dinyatakan di atas, institusi kewangan atau syarikat penyedia perkhidmatan ini akan menyemak kedudukan kredit mereka melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) atau beberapa syarikat biro maklumat kredit yang mereka langgani.

Di antara syarikat yang menawarkan biro maklumat kredit kepada institusi kewangan adalah Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) , Bris Information Services Sdn Bhd (BRIS) dan sebagainya. Sekiranya nama pemohon tersebut termasuk dalam senarai pembayar kredit yang bermasalah, permohonan tersebut akan ditolak.

CCRIS, merupakan sebuah badan di bawah BNM yang mengumpul maklumat kredit mengenai para peminjam daripada institusi-institusi kewangan. Maklumat tersebut kemudiannya dikongsikan balik dengan institusi kewangan sebagai rujukan permohonan pembiayaan kewangan.

CTOS, BRIS dan sebagainya pula mengumpul maklumat daripada sumber awam seperti surat khabar, warta kerajaan dan sebagainya. Maklumat ini akan dilanggani oleh institusi kewangan dan syarikat penyedia perkhidmatan sebagai rujukan bagi sesuatu permohonan untuk pembiayaan kewangan atau perkhidmatan. BRIS umpamanya dilanggani oleh hampir 80% institusi kewangan dan 20% lagi oleh syarikat bukan kewangan.

Wajarkah institusi kewangan atau syarikat penyedia perkhidmatan ini menggunakan khidmat syarikat biro maklumat kredit ini sebagai rujukan mereka? Adakah maklumat yang disediakan oleh syarikat ini tepat dan sentiasa dikemaskini. Sekiranya nama seseorang telah diiklankan melalui media oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sebagai muflis, syarikat kawalan kredit akan memasukkan nama mereka ini di dalam pangkalan data mereka. Tetapi bagaimanapun pula sekiranya mereka ini telah bebas daripada muflis? Maklumat ini hanya diketahui oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sahaja, tanpa perlu makluman tersebut dibuat melalui media. Bagaimana syarikat kawalan kredit ini dapat mengemaskini maklumat tersebut? Ini yang menjadi pokok persoalannya.

Banyak kes yang berlaku, walaupun seseorang itu telah bebas daripada muflis atau telah menyelesaikan tunggakan kredit mereka dengan institusi kewangan, maklumat ini tidak dikemaskini. Ini menyebabkan nama mereka sentiasa disenaraihitamkan. Keadaan seperti ini tidak sewajarnya dibenarkan berlaku.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta agar Bank Negara dan agensi kerajaan lain yang berkaitan memberikan perhatian yang serius terhadap perkara ini. Institusi kewangan dan syarikat penyedia perkhidmatan tidak dibenarkan langsung menggunakan khidmat syarikat biro maklumat kredit ini kerana kewibawaan maklumat mereka boleh dipertikaikan. Begitu juga, Suruhanjaya Syarikat Malaysia tidak sewajarnya mendaftarkan perniagaan syarikat yang beroperasi memberikan maklumat kredit kerana operasi mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan.

Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian ialah apabila permohonan seseorang itu ditolak, mereka terpaksa mencari punca yang menyebabkan permohonan mereka gagal. Ini dilakukan sendiri dengan menghubungi CRISS, CTOS, BRIS dan sebagainya untuk mengetahui sama ada nama mereka termasuk dalam senarai hitam mereka. Mereka sendiri juga yang perlu mengemaskini maklumat mereka di CRISS dan syarikat biro maklumat kredit tersebut. Sedangkan ini bukannya tanggungjawab mereka. Institusi kewangan dan syarikat penyedia perkhidmatan sepatutnya memaklumkan sebab sesuatu permohonan itu gagal, agar pemohon tersebut boleh mengambil tindakan selanjutnya jika maklumat tentang kredit mereka tidak dikemaskini.

Rabu, Jun 27, 2007

SKIM GORES, MENANG JAJA NAMA FOMCA

PENGANJUR skim gores dan menang kini kembali aktif dan menggunakan taktik baru untuk menjerat pengguna. Mereka menjaja nama organisasi tertentu untuk mempengaruhi mangsa bahawa kegiatan mereka itu disokong oleh pihak berkenaan.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna (NCCC), pusat aduan bagi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menerima banyak pertanyaan dan aduan daripada pengguna mengenai kewujudan syarikat menganjurkan skim gores dan menang yang didakwa ada kaitan dengan Fomca.

Mangsa diminta menggores pada kad yang diberikan, yang menawarkan hadiah tertentu, kononnya disumbangkan oleh Fomca. Antara hadiah yang ditawarkan ialah kereta Perodua Myvi. Namun, untuk membolehkan mangsa mendapat hadiah berkenaan, beliau perlu membayar wang pendaftaran kenderaan dan insurans serta bayaran lain berjumlah kira-kira RM5,000.

Ada mangsa diperdaya sindiket ini dan menjelaskan wang yang dituntutnya. Salah satu kes seumpama berlaku di Jasin, Melaka apabila syarikat yang berpejabat di Tangkak, Johor mendakwa mewakili Fomca menawarkan hadiah tertentu melalui taktik gores dan menang.

Sepasang suami isteri mempercayai dakwaan itu dan membuat bayaran. Apabila mereka ingin menuntut hadiah yang ditawarkan di pejabat syarikat berkenaan, didapati pejabat syarikat itu ditutup. Fomca membuat laporan polis berhubung perkara ini.

Sementara itu, Ibnu Hassan dari Kepala Batas, Pulau Pinang menerusi e-mel ke ruangan ini kelmarin turut mengakui pernah dua kali didatangi pegawai pemasaran skim berkenaan.

Syarikat induk mereka beroperasi di Pulau Pinang dan di bawahnya ada beberapa proksi pemasaran di seluruh negara. Mereka sebenarnya syarikat jualan langsung yang cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah dan memperdaya orang ramai.

‘Promoter’ terbabit kononnya meminta pendapat orang ramai mengenai pembinaan pasar raya di kawasan perumahan tertentu. Antara soalan yang diajukan ialah berapa banyak kita belanja untuk membeli barangan dapur untuk tempoh sebulan, bayaran menggunakan kad kredit atau wang tunai dan lain-lain lagi.

Tujuannya ialah untuk mengetahui latar belakang kewangan mangsa berkenaan. Jika mangsa tidak berkemampuan, mereka akan mengeluarkan kad terima kasih untuknya.

Jika mangsa mereka nampak berkemampuan, ‘promoter’ itu akan mengeluarkan enam kad untuk dipilih dan menawarkan hadiah (sebenarnya semua kad mempunyai hadiah) seperti kereta, motosikal, wang tunai dan sebagainya.

Apabila mangsa mendapat kad yang mempunyai hadiah, ‘promoter’ berkenaan akan berlakon seolah-olah terlalu gembira dan menelefon ketuanya. Kemudian mereka akan mengeluarkan keratan akhbar menunjukkan ‘mangsa’ lain yang pernah memenangi kereta sebelum ini.

Untuk menggores kad itu, mangsa perlu menandatangani perjanjian. Mangsa juga perlu membeli barangan daripada mereka bernilai RM3,397 (selepas diskaun daripada harga sebenar yang bernilai lebih RM6,000) terdiri daripada set kelengkapan audio untuk rumah, mesin urut dan penapis air yang jenamanya boleh dikatakan ‘cap ayam’.

Hadiah lain termasuk tilam jed (jade mattress) dan dapur berjenama Nano yang harganya terlalu murah jika dibandingkan dengan harga diletakkan di dalam kad berkenaan.

Contohnya, tilam jed harganya lebih RM4,000 ditawarkan pada harga RM1,600. Yang menariknya cabutan itu diadakan setiap bulan dan selepas habis tarikh akhir, cabutan diteruskan dengan tarikh akhir baru.

Memang majoriti yang menggores semuanya hanya mendapat tilam jed atau dapur berjenama Nano. Untuk melihat aduan yang dibuat oleh semua mangsa, pembaca boleh melayari laman web http://welleywatch.heritage-tech.net/ atau www.consumer.com.my.

Dalam pada itu, Fomca ingin mengingatkan pengguna agar berhati-hati sekiranya dihubungi oleh mana-mana pihak yang mendakwa mewakili Fomca atau ahli gabungannya. Fomca dan ahli gabungannya tidak pernah menawarkan hadiah seumpama ini atau melantik pihak lain sebagai ejen mobilisasi dana.

Sekiranya ada yang dihubungi oleh pihak tidak bertanggungjawab ini, sila hubungi pejabat penguat kuasa berhampiran, melalui talian: 1-800-886-800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-78779000 atau e-mel: nccc@ nccc.org.my.

MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN,
Pengarah Komunikasi
Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia (Fomca).

Surat & Emel, Berita Harian
23 Jun 2007

Jumaat, Jun 15, 2007

PANTAU BERTERUSAN LAMAN WEB SKIM CEPAT KAYA

LANGKAH Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Cybersecurity menutup laman web yang menjalankan perkhidmatan pelaburan tidak berlesen dan berunsur skim cepat kaya amat wajar sekali.

Walaupun tindakan ini kelihatannya agak terlewat memandangkan telah ramai yang menjadi mangsa kepada skim seperti ini, namun sekurang-kurangnya ia dapat menghalang pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini meneruskan agenda mereka.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap Suruhanjaya Sekuriti sentiasa melakukan pemantauan terhadap laman web yang menawarkan pelaburan melalui Internet secara berterusan. Ini bagi mengelakkan para pengguna daripada terus meleburkan wang mereka.

Dalam pada itu, para pengguna juga perlu mempunyai kesedaran agar tidak mudah terpedaya untuk menyertai sesuatu skim pelaburan.

Sebelum membuat pelaburan, lakukan semakan terlebih dahulu melalui Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara bagi memastikan bahawa skim pelaburan tersebut adalah sah dan selamat.

Jika ragu-ragu, adalah lebih selamat jika melaburkan wang melalui skim amanah saham yang ditawarkan oleh agensi kerajaan atau unit amanah yang dikendalikan oleh syarikat unit amanah yang berlesen.

Ia lebih menjaminkan dari segi pulangan, walaupun tidak setinggi sebagaimana yang ditawarkan oleh skim pelaburan yang tidak sah itu.

Apa yang penting ialah kita perlu mengetahui di mana wang kita dilaburkan agar wang tersebut bukan sahaja dapat membantu dalam perkembangan ekonomi negara, tetapi juga mampu memberikan pulangan balik kepada pelaburan tersebut.

– MOHD. YUSOF ABDUL RAHMAN,
Pengarah Komunikasi FOMCA.


Forum, Utusan Malaysia
14 Jun 2007