Khamis, Julai 12, 2007

KEMPEN DIDIK PENGGUNA BIJAK BERBELANJA

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan Kempen Pengguna Bijak di seluruh negara bagi membendung kebimbangan pengguna berhubung kenaikan harga barang, seterusnya mengawal pasaran daripada ancaman peniaga tidak bertanggungjawab.

Menerusi kempen itu, pengguna ada pilihan untuk membeli barang keperluan harian atau menggunakan perkhidmatan.

Kempen Pengguna Bijak ini bertumpu di pasar raya besar di seluruh negara. Ia bukan bertujuan menjejaskan perniagaan peniaga runcit, malah satu strategi bagi membolehkan orang ramai mengetahui hak dan pilihan serta memperkasakan diri mereka sebagai pengguna. Serentak ini, penguatkuasaan ditingkatkan di seluruh negara, membabitkan anggota penguat kuasa dan lebih 14,000 sukarelawan.

Apa yang pasti, kempen ini sejajar dengan usaha kementerian memperkasakan pengguna supaya mereka mengetahui hak mereka sebagai pengguna. Antaranya:

  • Hak mendapatkan keselamatan

    Pengguna berhak dilindungi daripada pemasaran barang atau perkhidmatan yang boleh memudaratkan kesihatan dan kehidupan. Contoh perkhidmatan yang keselamatannya dicurigai ialah pembuatan dan penggunaan pelbagai bahan kimia dalam makanan, racun makhluk perosak, ubat-ubatan dan kenderaan bermotor.

    Justeru, bagi melindungi pengguna daripada amalan yang memudaratkan kesihatan, Parlimen meluluskan beberapa akta seperti Akta Makanan 1983 (Akta 281), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Racun Makhluk Perosak 1974.

    Bagi memastikan semua ubat di pasaran selamat, mujarab dan bermutu, akta seperti Akta Pendaftaran Farmasi 1951, Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun dan Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956 turut digubal.

    Setiap ubat yang dijual di Malaysia wajib didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan dan semua ubat hanya boleh diiklankan dengan kebenaran kementerian itu.

  • Hak mendapat penerangan

    Ini adalah keperluan membekalkan pengguna dengan maklumat tepat, terkini dan mencukupi bagi membolehkan mereka membuat pemilihan terbaik dan memastikan penggunaan yang sempurna dan lestari serta selamat bagi alam sekitar.

    Akta Perihal Dagangan 1972, misalnya membolehkan keterangan palsu atau mengelirukan terhadap sesuatu produk sebagai suatu kesalahan.

    Akta lain ialah Akta Kawalan Harga (Arahan Melabel) 1980 yang mewajibkan pengilang dan pengeluar memberi maklumat asas pada pembungkusan makanan yang dikilangkan seperti kandungan, jenis makanan, jumlah kandungan dan berat minimum, manakala Akta Pembangunan Perumahan menetapkan syarat bagi pengiklanan projek perumahan.

  • Hak mendapat pilihan

    Hak ini merujuk isu kemampuan memilih antara barang atau perkhidmatan ditawarkan. Ia bererti suatu jaminan agar jumlah barang dan perkhidmatan di pasaran mencukupi dengan harga berpatutan.

    Antara undang-undang yang menjamin pengguna bebas untuk membuat pilihan ialah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973), Akta Kawalan Harga 1946, Akta Jualan Barangan 1957. Akta Kawalan Bekalan 1961, misalnya memastikan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran dan menghukum pihak yang terbabit dalam kegiatan menyorok barang keperluan.

  • Hak mendapatkan ganti rugi

    Hak ini pula melayakkan pengguna mendapat pampasan yang adil dan berpatutan berikutan produk atau perkhidmatan yang dibeli didapati tidak seperti yang dijanjikan, cacat atau tidak berfungsi.

    Untuk itu, Tribunal Tuntutan Pengguna ditubuhkan yang membolehkan pengguna yang mengalami kerugian membuat tuntutan ganti rugi. Penyelesaian akan cuba dilakukan dalam tempoh 60 hari dan had nilai yang boleh dirujuk ialah tidak melebihi RM25,000, manakala belanja perbicaraan dalam tribunal adalah percuma.

    Setiap pengguna wajar merebut peluang menggunakan khidmat tribunal ini apabila dirundung masalah mengenai sesuatu produk atau perkhidmatan sama ada daripada pihak swasta mahupun kerajaan.

  • Hak mendapatkan keperluan asas

    Hak ini bererti pengguna berhak mendapatkan produk dan perkhidmatan yang perlu bagi meneruskan kehidupan iaitu makanan yang mencukupi, pakaian, tempat tinggal, kesihatan dan sanitasi. Untuk menjamin hak pengguna berhubung bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan harganya berpatutan, beberapa undang-undang digubal dan dilaksanakan.

    Antaranya Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 1973), Akta Timbang Sukat 1972, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

    Bagi melindungi pengguna daripada ditipu pemaju perumahan tidak bertanggungjawab, Akta Pemaju Perumahan (Mengawal dan Melesen) digubal dan dikuatkuasakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    Selain itu, Akta Pembangunan Perumahan turut memberi lebih kuasa kepada menteri untuk melindungi pembeli rumah kerana mengikut akta ini juga ditubuhkan satu Tribunal Pembeli Rumah. – Bernama


  • Berita Harian
    9 Julai 2007

    LAPORAN KHAS: KHASIAT KOPI HERBA MERAGUKAN


    Tiada badan pantau pengeluaran produk punca lambakan tanpa kawalan

    AKHIR-akhir ini pasaran minuman segera atau lebih dikenali minuman tiga atau lima dalam satu semakin menggalakkan, bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan, pantas dan banyak sekali berada di pasaran.

    Pelbagai kaedah digunakan untuk menarik pengguna membeli produk dipaparkan itu. Yang paling popular di negara kita adalah minuman campuran pelbagai jenis bahan herba, tetapi sesetengahnya, konon mampu memberi pelbagai khasiat sampingan kepada pengguna.

    Senario ini mungkin kerana pengeluar mula sedar bahawa masyarakat khususnya golongan yang prihatin terhadap penjagaan kesihatan lebih suka memilih minuman dipakejkan bersama bahan herba terkenal serta terbukti mampu memberi kesan sampingan seperti menguatkan tenaga dalaman dan menyembuhkan pelbagai penyakit.

    Namun, persoalannya sejauh mana produk dipasarkan itu benar-benar menggunakan bahan herba asli. Menurut Kementerian Kesihatan, hasil penyelidikan terperinci mendapati, tidak ada satu badan atau mekanisme tertentu mengawal pengeluaran produk sebegini.

    Justeru, dalam kebebasan mereka menghasilkan produk, pasti tidak mustahil dengan mudah juga penipuan boleh berlaku.

    Mudah saja, iaitu pengusaha boleh mendakwa produk keluaran mereka mempunyai bahan herba dan sekali gus menarik perhatian pengguna mencubanya. Untuk menambahkan lagi impak kepada produk mereka, iklankan di televisyen dengan gambaran bahawa produk mereka cukup berkesan.

    Bayangkan, jika dilihat iklan produk kopi campuran herba di media setiap hari, pengguna pastinya terpengaruh dengan helah lakonan berlebihan. Ditayangkan aksi seorang lelaki terbaring lesu, datang isteri menghidangkan kopi herba dan selepas minum, dengan cepatnya lelaki itu segar kembali.

    Ada pula iklan secara tersirat menunjukkan aksi sepasang suami isteri kembali segar untuk ‘satu tujuan’ selepas menikmati minuman kopi campuran daripada akar pokok tertentu. Jelas bahawa, ia menunjukkan seakan-akan produk itu mampu memberikan kesegaran tambahan. Benarkah semua ini?

    Merujuk kepada semua khasiat yang ada dalam bahan herba itu dan kononnya bahan itu digunakan dalam produk mereka, syarikat kopi campuran meletakkan harga lebih tinggi berbanding kopi biasa di pasaran.

    Bukan soal harga menjadi persoalan, tetapi sejauh mana harga itu berbaloi dengan kualiti bahan herba dan khasiat yang boleh diperoleh pengguna atau kemungkinan perbelanjaan mereka sia-sia kerana meminum kopi campuran yang hakikatnya sama seperti kopi biasa.

    Hasil penyelidikan sepasukan saintis dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mendapati bahan aktif, iaitu Eurycomanone yang ada dalam sepaket kopi campuran sangat sedikit dan langsung tidak memberi khasiat kepada pengguna, malah sama kualiti seperti meminum kopi biasa.

    Malah, tahap keselamatannya juga diragui kerana ada kemungkinan pihak industri mengimport bahan mentah salah, lantaran ada empat spesies pokok tongkat ali di pasaran dan tidak semua sesuai dijadikan bahan minuman.

    Kekurangan bahan mentah tongkat ali di negara ini menyebabkan industri terpaksa mengimport dari Indonesia dan negara lain. Ia menyebabkan bahan itu boleh dipertikaikan sama ada tulen atau tidak.

    Industri yang rakus mengeluarkan produk sebegini juga memungkinkan tumbuhan herba berdepan dengan kepupusan. Justeru, sejauh mana kaedah dilaksanakan pihak berwajib dalam menangani masalah ini. Perlukah ia dibiarkan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada industri perhutanan negara?

    Apabila merujuk kepada kaedah digunakan Kementerian Kesihatan dalam menangani lambakan produk sebegini, keadaan lebih mengecewakan apabila pengeluar boleh memasarkan produk sebegitu tanpa perlu dirujuk kepada mereka untuk mendapatkan sebarang perakuan.

    Alasannya, kementerian sudah menggariskan pelbagai peraturan dan menjadi tanggungjawab syarikat terbabit mematuhi peraturan ditetapkan. Kata mereka, langkah itu lebih baik bagi memastikan syarikat pengeluar makanan sentiasa memastikan produk mereka memenuhi standard tertentu, bukan sewenang-wenangnya mempergunakan perakuan dikeluarkan kementerian.

    Justeru, ia kelihatan memberikan laluan lebih mudah kepada industri menyalahgunakan kelonggaran itu untuk mengeluarkan produk tidak berkualiti dan bercanggah dengan dakwaan mereka di iklan produk masing-masing. Sudah sampai masanya, pelaksanaan peraturan itu dilihat semula supaya keselamatan dan hak pengguna dapat dipelihara.


    Berita Harian
    9 Julai 2007

    RAMUAN TANPA KAJIAN SAINTIFIK MEMUDARATKAN

    PELBAGAI keraguan boleh dikaitkan dengan penghasilan produk kopi campuran herba seperti tongkat ali, misai kucing, ubi jaga dan kacip fatimah kerana sehingga hari ini belum ada sebarang kajian saintifik yang boleh mengesahkan kaedah digunakan selama ini selamat atau memberi faedah kesihatan kepada pengguna.

    Pengarah Program Tumbuhan Ubatan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Rasadah Mat Ali, berkata persoalan itu perlu dihuraikan segera oleh pihak berwajib kerana ia membabitkan keselamatan dan kesihatan pengguna.

    Beliau berkata, walaupun kandungan tongkat ali dalam kopi di pasaran amat sedikit, jika diambil secara berlebihan dikhuatiri turut mendatangkan kesan sampingan yang buruk kerana ia masih lagi diklasifikasikan sebagai sejenis tumbuhan ubatan.

    “Apa saja jenis ubat jika diambil berlebihan pasti akan mendatangkan kesan memudaratkan. Justeru, FRIM berpendapat pengambilan berlebihan kopi campuran tongkat ali pasti juga ada kesan sampingannya, cuma belum ada kajian khusus untuk membuktikannya,” katanya.

    Selain itu, Rasadah turut membangkitkan persoalan sama ada campuran kopi dengan pelbagai jenis herba selamat dan tidak memberi sebarang kesan sampingan kerana ia juga tidak pernah dikaji secara terperinci.

    Malah, lebih meragukan apabila akhir-akhir ini campuran herba digunakan di dalam kopi lebih banyak, termasuk mencampurkan tongkat ali dengan ginseng serta pelbagai jenis bahan herba lain.

    “Kajian secara terperinci perlu dilakukan segera. Kita perlu kenal pasti sama ada campuran ini selamat kerana umum pasti sedia maklum, jika penggunaan ubat diambil secara bercampur aduk, kemungkinan besar ada masalah lain akan timbul,” katanya.

    Rasadah turut mempertikaikan kaedah pengambilan bahan tongkat ali digunakan dalam kopi campuran kerana bukan semua kaedah digunakan selamat, malah ada yang mampu membawa kesan sampingan negatif kepada pengguna.

    Katanya, ada tiga cara kandungan tongkat ali dapat diperoleh iaitu dengan cara mengekstrak air tongkat ali melalui kaedah tradisional menggunakan teknik rebusan. Selain itu, kaedah mengekstrak juga boleh dilakukan menggunakan sejenis bahan dikenali sebagai metanol, manakala satu langkah lagi ialah dengan menghancurkan batang tongkat ali sebelum dicampur dalam kopi.

    “Sekiranya industri menggunakan kaedah ekstrak, ia disahkan selamat, tetapi ekstrak menggunakan metanol ada sedikit kesan sampingan, tetapi terlalu kecil. Bagaimanapun, kedua-dua kaedah mengekstrak ini membabitkan kos tinggi dan memakan masa lama.

    “Justeru, tidak mustahil industri akan memilih cara lebih mudah iaitu dengan menghancurkan batang tongkat ali dan memasukkannya secara terus ke dalam kopi. Jika kaedah ini digunakan, ia akan turut membawa masuk toksik yang akan memberi kesan jangka panjang kepada pengguna,” katanya.

    Beliau berkata, pengguna meminum kopi campuran melalui proses itu akan menyimpan bahan toksik dalam badannya dan ini membawa kesan tidak baik terhadap kesihatan mereka kerana sistem penghadaman manusia tidak mampu menerima serbuk kayu.

    Rasadah yakin dan percaya banyak industri menggunakan kaedah mudah itu kerana ia lebih murah dan sudah menjadi tabiat industri yang lebih mengutamakan keuntungan semata-mata. Tambahan pula, belum ada satu langkah penguatkuasaan yang mengawal kaedah penghasilan kopi campuran sebegini.

    Oleh itu, Rasadah menyarankan Kementerian Kesihatan memberi fokus menjalankan penyelidikan dan kajian menyeluruh terhadap kadar kandungan toksik dalam sesuatu bahan dipasarkan supaya tidak memudaratkan pengguna.

    Mengulas mengenai tindak balas perubatan yang boleh memberi faedah kepada pengguna, Rasadah berkata, satu pembangunan kaedah penilaian kawalan mutu minuman kopi tongkat ali berasaskan penanda kimia Eurikomanon sudah dijalankan dan didapati penggunaan bahan aktif daripada ekstrak herba itu terlalu sedikit serta langsung tidak memberi faedah kepada pengguna.

    “Pengguna yang meminum kopi campuran sebegini seperti sekadar meminum kopi biasa kerana langsung tidak memberi faedah perubatan seperti yang biasa diperoleh daripada pengambilan tongkat ali.

    “Justeru, pengeluar tidak layak mendakwa produk mereka berkhasiat dan mampu memberi tambahan tenaga kepada pengguna serta menjual dengan harga mahal kerana ia sama seperti kopi segera biasa,” katanya.

    Selain itu, kebimbangan turut berasas kerana berlakunya kesilapan ketika membekalkan bahan mentah daripada spesies tongkat ali kepada pihak industri kerana ada empat spesies tumbuhan ubatan dikenali sebagai tongkat ali.

    “Kekurangan bahan mentah di hutan negara ini juga boleh menyebabkan bekalan bahan itu diimport dari Indonesia dan negara lain. Ia sekali gus menimbulkan keraguan sama ada bahan digunakan industri selama ini benar-benar tulen atau tidak,” katanya.

    GIMIK PRODUK TINGKAT KESIHATAN DILARANG

    KEMENTERIAN Kesihatan sudah menggariskan pelbagai peraturan yang perlu dipatuhi pengeluar produk makanan bagi tujuan pelabelan dan pengiklanan produk mereka di pasaran.

    Bagaimanapun, masih banyak pelanggaran dilakukan demi melariskan barang atau produk mereka bagi mengaut lebih banyak keuntungan.

    Malah, sekiranya diamati setiap peraturan digariskan, masyarakat sendiri mampu menilai dan mengenal pasti kesalahan dilakukan pengeluar produk makanan kerana secara terang-terangan setiap hari ada saja iklan mempunyai elemen dilarang ditayang serta dipamerkan.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Mohammad Jefri Crossley, berkata kementerian sudah menetapkan bahawa setiap produk mempunyai kurang daripada 20 peratus bahan aktif dikategorikan sebagai bahan makanan dan tidak perlu dirujuk kepada Biro Farmaseutikal Kebangsaan.

    Justeru, merujuk kepada kebanyakan kopi campuran herba seperti tongkat ali, ubi jaga, kacip fatimah dan seumpamanya, diklasifikasikan sebagai minuman kerana bahan aktif herbanya tidak sampai 20 peratus untuk diiktiraf sebagai bahan ubatan.

    Namun, apabila dikategorikan sebagai herba, pelbagai peraturan sudah ditetapkan supaya pengeluar tidak mengelirukan pengguna dengan iklan keterlaluan dan melebihi apa ditetapkan.

    Antaranya, pengusaha atau pengeluar tidak boleh mendakwa produk mereka mampu memberi kesan atau faedah kesihatan kerana tidak pernah melalui sebarang ujian pengesahan yang boleh membuktikan produk itu mampu mendatangkan sebarang khasiat.

    “Contohnya, adalah menjadi kesalahan bagi pengeluar produk sebegini mendakwa produk mereka mampu mengembalikan kecergasan, menyihatkan badan, memberi kekuatan dalaman dan pelbagai lagi istilah lain yang menggambarkan kesan dari sudut perubatan.

    “Sehingga kini, masih banyak pengeluar berdegil dan tetap menggunakan istilah sebegitu dengan tujuan mempengaruhi pengguna. Amaran sudah dikeluarkan kepada mereka, namun kebanyakannya akan berhenti seketika sebelum terus kembali menggunakan istilah sama,” katanya.

    Jefri berkata, kebiasaannya apabila kementerian mengenal pasti syarikat melanggar peraturan pelabelan dan pengiklanan, amaran akan dikeluarkan kepada pihak terbabit dan syarikat yang menyiarkan iklan itu, untuk mengarahkan ia dihentikan serta-merta.

    Namun, taktik digunakan syarikat pengiklanan untuk tetap meneruskan iklan itu adalah dengan menghentikan sementara atau menukar waktu siaran ke tengah malam iaitu ketika ia kurang disedari pihak berkuasa.

    “Kementerian tidak mampu menugaskan pegawai khas untuk memantau iklan sebegini secara berterusan kerana helah digunakan pengiklan sering kali berubah untuk mengelirukan kami,” katanya.

    Beliau berkata, selain ayat digunakan, antara pelanggaran peraturan lain yang kerap dilakukan pengeluar ialah menggunakan jenama atau ungkapan tidak dibenarkan kementerian seperti ‘super’, ‘king’, ‘berkualiti tinggi’, ‘segar’, ‘pemberi tenaga’, ‘baik untuk kesihatan’ dan pelbagai istilah lain.

    Selain itu, label sesuatu makanan tidak boleh mengandungi komen, rujukan atau huraian ang bercanggah dengan pernyataan atau isi kandungan label berkenaan.

    “Namun, sejak akhir-akhir ini, kami dapati semakin banyak pelanggaran peraturan berlaku, malah penggunaan istilah dilarang juga sudah seakan menjadi kewajipan kepada pengeluar untuk melariskan produk mereka. Hakikatnya, kementerian sendiri inginkan kepastian sejauh mana keberkesanan produk mereka benar seperti yang mereka dakwa.

    “Bagi pengeluar yang tidak perlu dirujuk ke Biro Farmaseutikal Kebangsaan, produk mereka juga tidak perlu dirujuk kepada kementerian dan boleh terus dijual di pasaran. Kementerian tidak mengeluarkan sebarang perakuan mengesahkan keberkesanan produk mereka. Jadi, terpulang kepada pengeluar untuk berlaku jujur dan mematuhi peraturan,” katanya.

    Jefri berkata, hanya syarikat jualan langsung saja selalunya akan merujuk produk mereka kepada kementerian bertujuan mendapatkan pengkelasan bagi memudahkan mereka memohon lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    PENGGUNA TERTIPU IKLAN, HADIAH LUMAYAH

    GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendakwa penggunaan tongkat ali dalam kopi campuran sudah menjadi satu taktik pengeluar minuman pada masa kini untuk menarik pengguna membeli produk mereka.

    Masyarakat seakan sudah kemaruk dengan khasiat tongkat ali yang dikatakan mampu memberi kesan perubatan kepada pengguna, terutama keupayaan menjadi ejen penggalak seks dan meningkatkan kesihatan tubuh badan.

    Namun, belum ada satu kajian saintifik yang benar-benar membuktikan kandungan tongkat ali yang digunakan dalam kopi campuran mampu memberikan faedah dari sudut perubatan kepada pengguna, apatah lagi yang merujuk kepada khasiat hasil pokok herba itu.

    Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pengguna selama ini tidak nampak kesan sampingan pengambilan minuman kopi campuran sebegitu, malah ada beranggapan ia sama seperti kopi biasa.

    Namun, katanya, pengguna terpaksa membayar harga lebih tinggi kononnya untuk mendapatkan satu produk minuman yang turut mempunyai kandungan herba sedangkan ia belum dapat dipastikan sejauh mana kesahihan produk diminum itu mempunyai ekstrak tongkat ali.

    “Ini jelas mengelirukan pengguna kerana peratusan penggunaan bahan tongkat ali tidak dinyatakan dengan jelas pada produk keluaran mereka. Jika kadar kandungannya terlalu sedikit, janganlah mendakwa mampu memberi kesan seperti memulihkan tenaga dan sebagainya.

    “Selain itu, produk terbabit juga tidak dibuktikan pernah menjalani proses penyelidikan bersesuaian atau tidak kerana penguatkuasaan ke atas produk makanan serta minuman di negara ini agak longgar,” katanya.

    Mohd Yusof juga mempertikaikan status kandungan tongkat ali digunakan dalam produk di pasaran sama ada tulen atau sebaliknya, sedangkan pengeluar kebiasaannya mendakwa produk mereka mempunyai kandungan tongkat ali yang tulen.

    Beliau juga mendakwa banyak syarikat pengeluar melanggar peraturan Kementerian Kesihatan dengan pelbagai gimik pengiklanan berlebihan dan tidak mencerminkan sifat sebenar produk minuman mereka.

    “Syarikat sebegini cukup bijak menilai kehendak pasaran. Apabila mereka merasakan pengguna lebih cenderung mendapatkan minuman berasaskan kesihatan, maka banyaklah produk sebegini dikeluarkan. Artis pula digunakan sebagai tarikan utama melariskan produk mereka.

    “Malah, ada yang menggunakan strategi menawarkan hadiah bertuah melalui pembelian produk mereka dan ini perlu dipantau supaya tidak berlaku sebarang unsur penipuan dan penyalahgunaan dalam semua bentuk gimik sebegini,” katanya.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez, berkata kementerian sewajarnya mengedarkan garis panduan yang perlu dipatuhi dalam menghasilkan sesuatu iklan sama ada di media cetak atau elektronik terutama kepada golongan artis supaya mereka lebih peka dengan peraturan yang sudah digariskan.

    Katanya, golongan artis hanya menjalankan tugas melakonkan watak dan mempromosikan sesuatu produk berdasarkan kontrak diberi oleh syarikat yang membayar mereka dengan tujuan untuk menggunakan populariti bagi menarik pengguna.

    Namun, bukan semua artis sedar dan mengetahui garis panduan dan larangan dalam mempromosikan sesuatu produk, terutama makanan kerana selama ini belum pernah ada sebarang penerangan mengenai perkara itu diberikan kepada mereka.

    “Mana ada artis yang arif berkenaan undang-undang pengiklanan dan pelabelan. Justeru, bagaimana mereka mampu mematuhinya. Mereka sekadar melaksanakan tugas berdasarkan perjanjian dalam kontrak.

    “Saya yakin dan Karyawan sendiri menyarankan kepada artis mematuhi setiap peraturan sekiranya perkara itu dimaklumkan dan satu garis panduan lengkap diedarkan kepada semua artis untuk rujukan setiap kali dibayar berlakon dalam iklan,” katanya.

    Khamis, Jun 28, 2007

    HENTIKAN GUNA KHIDMAT SYARIKAT BIRO MAKLUMAT KREDIT

    HENTIKAN GUNA KHIDMAT SYARIKAT BIRO MAKLUMAT KREDIT

    Masalah yang telah dihadapi oleh para pengguna tentang nama mereka disenaraihitamkan oleh institusi kewangan merupakan isu yang telah lama berlaku. Pengguna sering berada dalam keadaan dilema mengapakah permohonan mereka untuk mendapatkan pembiayaan bank seperti untuk membeli rumah atau kenderaan ditolak oleh institusi kewangan. Ini kerana institusi kewangan tidak memberikan sebarang alasan penolakan permohonan tersebut.

    Ini bukan sahaja berlaku untuk mendapatkan pembiayaan kewangan, tetapi juga kepada permohonan perkhidmatan telekomunikasi pascabayar, insurans, syarikat kad kredit, firma guaman dan sebagainya.

    Apabila seseorang pengguna ingin mendapatkan sesuatu pembiayaan kewangan sama ada untuk tujuan perniagaan, pembelian rumah, kereta dan sebagainya ataupun ingin mendapatkan perkhidmatan sebagaimana yang dinyatakan di atas, institusi kewangan atau syarikat penyedia perkhidmatan ini akan menyemak kedudukan kredit mereka melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) atau beberapa syarikat biro maklumat kredit yang mereka langgani.

    Di antara syarikat yang menawarkan biro maklumat kredit kepada institusi kewangan adalah Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) , Bris Information Services Sdn Bhd (BRIS) dan sebagainya. Sekiranya nama pemohon tersebut termasuk dalam senarai pembayar kredit yang bermasalah, permohonan tersebut akan ditolak.

    CCRIS, merupakan sebuah badan di bawah BNM yang mengumpul maklumat kredit mengenai para peminjam daripada institusi-institusi kewangan. Maklumat tersebut kemudiannya dikongsikan balik dengan institusi kewangan sebagai rujukan permohonan pembiayaan kewangan.

    CTOS, BRIS dan sebagainya pula mengumpul maklumat daripada sumber awam seperti surat khabar, warta kerajaan dan sebagainya. Maklumat ini akan dilanggani oleh institusi kewangan dan syarikat penyedia perkhidmatan sebagai rujukan bagi sesuatu permohonan untuk pembiayaan kewangan atau perkhidmatan. BRIS umpamanya dilanggani oleh hampir 80% institusi kewangan dan 20% lagi oleh syarikat bukan kewangan.

    Wajarkah institusi kewangan atau syarikat penyedia perkhidmatan ini menggunakan khidmat syarikat biro maklumat kredit ini sebagai rujukan mereka? Adakah maklumat yang disediakan oleh syarikat ini tepat dan sentiasa dikemaskini. Sekiranya nama seseorang telah diiklankan melalui media oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sebagai muflis, syarikat kawalan kredit akan memasukkan nama mereka ini di dalam pangkalan data mereka. Tetapi bagaimanapun pula sekiranya mereka ini telah bebas daripada muflis? Maklumat ini hanya diketahui oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sahaja, tanpa perlu makluman tersebut dibuat melalui media. Bagaimana syarikat kawalan kredit ini dapat mengemaskini maklumat tersebut? Ini yang menjadi pokok persoalannya.

    Banyak kes yang berlaku, walaupun seseorang itu telah bebas daripada muflis atau telah menyelesaikan tunggakan kredit mereka dengan institusi kewangan, maklumat ini tidak dikemaskini. Ini menyebabkan nama mereka sentiasa disenaraihitamkan. Keadaan seperti ini tidak sewajarnya dibenarkan berlaku.

    Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta agar Bank Negara dan agensi kerajaan lain yang berkaitan memberikan perhatian yang serius terhadap perkara ini. Institusi kewangan dan syarikat penyedia perkhidmatan tidak dibenarkan langsung menggunakan khidmat syarikat biro maklumat kredit ini kerana kewibawaan maklumat mereka boleh dipertikaikan. Begitu juga, Suruhanjaya Syarikat Malaysia tidak sewajarnya mendaftarkan perniagaan syarikat yang beroperasi memberikan maklumat kredit kerana operasi mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan.

    Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian ialah apabila permohonan seseorang itu ditolak, mereka terpaksa mencari punca yang menyebabkan permohonan mereka gagal. Ini dilakukan sendiri dengan menghubungi CRISS, CTOS, BRIS dan sebagainya untuk mengetahui sama ada nama mereka termasuk dalam senarai hitam mereka. Mereka sendiri juga yang perlu mengemaskini maklumat mereka di CRISS dan syarikat biro maklumat kredit tersebut. Sedangkan ini bukannya tanggungjawab mereka. Institusi kewangan dan syarikat penyedia perkhidmatan sepatutnya memaklumkan sebab sesuatu permohonan itu gagal, agar pemohon tersebut boleh mengambil tindakan selanjutnya jika maklumat tentang kredit mereka tidak dikemaskini.

    Rabu, Jun 27, 2007

    CTOS TAK PERNAH DIBERI LESEN

    KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah memberi kebenaran kepada Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) menyalurkan maklumat kewangan individu kepada institusi kewangan dan individu untuk dijadikan bahan rujukan.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas, berkata kerajaan juga tidak pernah mengeluarkan lesen kepada syarikat berkenaan untuk menjadi ejen carian dan menyimpan maklumat peribadi orang ramai.

    Justeru, beliau berkata, kerajaan akan menyiasat secara terperinci syarikat itu bagi menjaga kepentingan orang ramai.

    "Apa hak mereka menyimpan maklumat peribadi orang ramai...siapa yang bagi kebenaran kepada mereka. Kerajaan memandang serius kegiatan bank dan institusi kewangan atau badan lain di negara ini menggunakan khidmat syarikat itu sebagai carian mendapatkan maklumat peribadi pelanggan serta orang ramai," katanya di lobi Parlimen, di sini semalam.

    Kayveas berkata, kerajaan juga tidak pernah mengeluarkan lesen kepada syarikat terbabit untuk menjadi sebagai badan carian dan menyimpan maklumat peribadi orang ramai.

    Beliau sebelum ini memaklumkan kerajaan akan menyiasat CTOS berikutan peningkatan dakwaan agensi terbabit gagal mengemas kini status kewangan individu dalam pangkalan datanya termasuk mendedahkan terlalu banyak butiran peribadi seseorang.

    Malah, katanya, ada nama dikatakan masih disenaraikan dalam sistem CTOS walaupun melangsaikan tunggakan pinjaman, selain agensi itu memaparkan maklumat kewangan yang remeh sehingga menjejaskan kewibawaan seseorang.

    "Kini ada majikan menggunakan CTOS bagi memeriksa maklumat latar belakang bakal pekerja. Kalau agensi ini tidak memastikan maklumat yang diberi adalah terkini, ia akan menjejaskan peluang individu berkenaan.

    "Perbuatan ini tidak bertanggungjawab kerana pelanggan dikenakan bayaran bagi merujuk pangkalan data CTOS," katanya.

    Selain itu, beliau mendakwa ada sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini juga dikesan cuba mengugut pelanggannya yang tidak menjelaskan sewa, kompaun dan akan dikenakan tindakan disenarai hitam syarikat itu.

    Katanya, tindakan PBT terbabit tidak sepatutnya berlaku kerana menggunakan CTOS untuk mengugut orang ramai supaya membuat bayaran.

    Berita Harian, 26 Jun 2007

    GEDUNG SERTAI KARNIVAL MEGA DIBERI AMARAN

    KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga termasuk gedung beli belah yang dikesan menipu pelanggan melalui Karnival Jualan Mega 2007.

    Timbalan Menterinya, Datuk S Veerasingam, berkata setakat ini kementerian sudah menyita barangan bernilai RM1,700 dalam dua kes pelanggaran syarat jualan murah melalui karnival itu yang bermula 16 Jun lalu hingga 2 September ini.

    Setakat ini 230 premis menyertai jualan murah itu yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.

    “Saya harap mereka tidak pandang ringan amaran ini kerana kita sudah ambil tindakan membabitkan 122 kes dengan penyitaan barangan bernilai RM538,000 manakala 57 kes dikenakan kompaun bernilai RM28,000 antara 1 Januari dan 17 Jun lalu.

    “Kita tidak paksa mana-mana peniaga menyertai Karnival Jualan Mega tetapi jika mereka menghantar notis kepada KPDNHEP untuk menyertainya, mereka jangan tipu pelanggan.

    “Kita akan perhebat pemantauan dan jika dikesan, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

    Beliau diminta mengulas pendedahan Laporan Khas akhbar ini semalam mengenai helah segelintir pasar raya dan peniaga menipu pelanggan melalui karnival itu.

    Tinjauan Berita Harian ke beberapa premis perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai di sekitar ibu kota seperti kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman, selain premis perniagaan kecil-kecilan mendapati banyak premis menawarkan harga tidak munasabah sebelum memberi diskaun berdasarkan kualiti barangan terbabit.

    Kementerian Pelancongan mensasarkan kira-kira RM3 bilion dibelanjakan pelancong di pusat beli-belah sepanjang Karnival Jualan Mega kali ini.

    Veerasingam berkata, pihak yang menyertai jualan murah mesti menjual barangan dimaklumkan dalam notis kepada KPDNHEP lebih rendah daripada harga enam bulan dari tarikh jualan dibuat dan jika gagal boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi syarikat atau dikenakan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.

    “Jika harga asal sesuatu barangan itu RM20 tetapi mereka naikkan harga RM40 pada Karnival Jualan Mega dan kononnya memberi diskaun 50 peratus, maka tindakan ini memberi satu tafsiran salah atau menipu pengguna,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, kementeriannya dengan kerjasama KPDNHEP akan menyiasat laporan Berita Harian kerana tidak mahu matlamat asal jualan murah tersasar, selain menjejaskan imej negara ini.

    Berita Harian, 26 Jun 2007

    LAPORAN KHAS: DISKAUN BESAR KELIRUKAN PEMBELI


    Kementerian nasihat pastikan premis jualan murah pamer notis khas

    KARNIVAL jualan mega tiba lagi dan sudah pasti pasar raya serta premis perniagaan seluruh negara mula mempamerkan pelbagai poster penawaran potongan harga untuk menarik pembeli ke premis mereka.

    Jengoklah di mana saja, perang poster sudah bermula dan pembeli pula akan berpusu-pusu mengunjungi premis perniagaan tanpa mengira hari bekerja atau hujung minggu. Begitu juga dengan pelancong asing.

    Semua kerana tarikan jualan murah yang dianggap sebagai musim terbaik bagi pembeli membeli-belah dan mendapatkan barang dengan harga murah serta menikmati potongan harga yang tinggi. Malah, ada yang menawarkan sehingga 80 peratus diskaun. Siapa tidak teruja!

    Namun, sejauh mana kebenaran dan kejujuran sebahagian peniaga dalam menawarkan potongan harga itu kerana umum mengetahui tidak ada satu jenis perniagaan pun di dunia ini yang sanggup mengalami kerugian dalam perniagaan mereka.

    Bagaimana peniaga memperoleh keuntungan jika barang dijual dengan harga jauh lebih rendah daripada harga sebelumnya? Berbaloikah peniaga menurunkan harga jika berisiko untuk mengalami kerugian?

    Justeru, tidak mustahil dan ada kebenarannya jika ada pihak mendakwa wujud penipuan oleh segelintir peniaga dalam menawarkan potongan harga, terutama ketika musim jualan murah.

    Malah, penipuan itu boleh berlaku dalam pelbagai cara, sama ada dengan menaikkan harga barang sebelum memberi diskaun atau menawarkan diskaun tinggi untuk barang yang kurang berkualiti, sedangkan harga selepas diskaun adalah harga yang sesuai dengan kualiti barangan itu.

    Menyelongkar isu ini, Berita Harian meninjau beberapa premis perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai di sekitar ibu kota seperti kawasan Jalan Tunku Abdul Rahman, selain premis perniagaan kecil-kecilan, bagi membuat perbandingan.

    Sepanjang pemerhatian itu, didapati ada kebenarannya terhadap semua dakwaan itu kerana ada banyak premis menawarkan harga tidak munasabah sebelum memberi diskaun berdasarkan kualiti barangan terbabit.

    Contohnya, ada sebahagian produk yang kelihatan ‘memang layak’ dengan harga selepas diskaun kerana kualitinya adalah pada kelas harga itu. Malah, jika diamati harga yang ditawarkan selepas diskaun lebih kurang sama dengan harga sebelum kempen jualan murah.

    Itu baru masalah potongan harga dan kualiti produk, belum lagi pelbagai kesalahan dilakukan peniaga ketika mengadakan jualan murah.

    Antaranya, peniaga perlu mempamerkan kelulusan notis jualan murah pada pintu atau cermin depan kedai mereka seperti dikehendaki Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    Namun, sepanjang tinjauan, beberapa premis tidak mematuhi arahan itu. Keraguan mula timbul, sama ada promosi jualan murah itu mendapat kelulusan kementerian atau tidak.

    Selain itu, KPDNHEP juga melarang iklan atau gimik melampau seperti menggunakan ayat ‘diskaun sehingga 70 peratus’ kerana boleh mengelirukan pengguna. Namun, pergilah ke ceruk mana sekalipun, itulah ayat paling popular, malah digunakan oleh hampir semua peniaga.

    Justeru, jika peraturan berbentuk tersurat dan dapat dilihat secara langsung tidak dipatuhi, bagaimana pula peraturan penetapan harga yang hanya boleh dikesan dengan menyemak rekod jualan terdahulu. Pasti lebih sukar dan merumitkan.

    Sehubungan itu, tidak mustahil dakwaan Fomca bahawa wujud elemen penipuan dalam menawarkan potongan harga dan sewajarnya pembeli lebih berhati-hati dan menggunakan kuasa mereka untuk melaporkan keraguan mengenai promosi yang ditawarkan.

    Namun, KPDNHEP berkata, bukan semua peniaga tidak jujur, malah banyak syarikat, terutama pasar raya besar menjaga kebajikan serta kepentingan pelanggannya seperti menawarkan kad keahlian dan ia membuktikan keprihatinan mereka memenangi hati pelanggan.

    Pakar pemasaran Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Zolkafli Husin ketika diminta mengulas isu ini berkata, pelbagai strategi boleh digunakan peniaga untuk memperoleh keuntungan walaupun menawarkan potongan harga yang tinggi ketika mengadakan kempen jualan murah.

    Malah, keuntungan itu boleh menjadi berlipat kali ganda berbanding sebelum musim jualan murah.

    Beliau berkata, mustahil syarikat tidak memikirkan keuntungan dalam perniagaan mereka. Malah, strategi mengadakan jualan murah sebenarnya untuk membolehkan peniaga memperoleh lebih banyak keuntungan.

    “Jualan murah adalah pendekatan syarikat untuk mewujudkan komunikasi pemasaran bertujuan menggalakkan bakal pembeli yang pada asalnya tidak berminat, membeli barang mereka. Selain itu, ia bertujuan menggalakkan pembeli mencuba produk baru yang kurang dikenali.

    “Peniaga akan memberi diskaun tinggi bagi menggalakkan pembeli membeli barang terbabit dan selepas mencubanya, kemungkinan pembeli akan berminat dengan produk itu atau sekurang-kurangnya mencadangkan produk terbabit kepada rakan mereka,” katanya.

    Berita Harian, 25 Jun 2007

    KPDNHEP SEDAR TAKTIK PENIAGA BERI POTONGAN HARGA TIPU PELANGGAN

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengakui memang wujud penipuan dilakukan segelintir peniaga dalam menawarkan potongan harga, terutama ketika musim jualan murah seperti karnival jualan mega yang berlangsung ketika ini.

    Malah, senario ini diyakini boleh berlaku kerana peniaga mampu mengambil kesempatan berikutan kekurangan pemeriksaan dan penguatkuasaan dijalankan kementerian, lantaran masalah pegawai penguat kuasa yang terhad.

    Ketua Pengarah Penguatkuasa, Mohd Roslan Mahayudin, berkata gimik tawaran harga yang digunakan peniaga sukar dibendung kerana pemantauan menyeluruh tidak dapat dijalankan melainkan pelanggan sendiri memberi kerjasama dengan melaporkan setiap penipuan yang disedari mereka.

    Beliau mengakui taktik menaikkan harga sebelum menawarkan diskaun adalah penipuan yang kerap berlaku setiap kali kempen jualan murah tetapi perkara itu jarang diketahui kerana peniaga bijak mengaburi mata pelanggan.

    “Namun, jika pelanggan menyedari wujud penipuan dalam penawaran potongan harga sama ada membabitkan harga tawaran, kualiti atau kuantiti, pelanggan boleh membuat aduan kepada kami dan itu adalah cara terbaik memerangi penipuan daripada berterusan.

    “Melalui aduan pelanggan, kementerian akan memeriksa premis terbabit dan akan menyemak rekod harga sebelum dan ketika jualan murah. Jika didapati wujud penipuan, tindakan akan diambil,” katanya.

    Bagaimanapun, Mohd Roslan berkata, pelanggan tidak wajar membuat perbandingan membabitkan kedai yang berlainan kerana penawaran harga di setiap kedai mungkin tidak sama, terutama yang bukan membabitkan barang kawalan.

    Beliau juga mendakwa penipuan harga itu kebiasaannya berlaku terhadap barang tidak berjenama kerana tidak membabitkan kawalan harga oleh pengeluar asal, manakala barang berjenama biasanya hanya menawarkan diskaun sedikit.

    Sehubungan itu, KPDNHEP menasihatkan pelanggan supaya berhati-hati dengan gimik ketika kempen jualan murah kerana pemalsuan harga dan pelanggaran peraturan mungkin berlaku.

    “Contohnya, peniaga tidak dibenarkan meletakkan iklan seperti ‘Potongan sehingga 70 peratus’ kerana iklan seperti itu boleh mengelirukan pengguna, sedangkan barang yang ditawarkan diskaun sebanyak itu satu atau dua produk saja,” katanya.

    Menjelaskan kaedah digunakan KPDNHEP dalam mengeluarkan kebenaran mengadakan jualan murah, beliau berkata, peniaga perlu mengemukakan notis tidak kurang 30 hari daripada tarikh jualan murah dimulakan.

    Katanya, sebelum ini memang ada peraturan mewajibkan peniaga menyertakan senarai barang yang diberi potongan harga berserta jenama dan jenis produk tetapi selepas pindaan dilakukan, peniaga tidak perlu lagi berbuat demikian kerana KPDNHEP berpendapat kaedah itu tidak praktikal.

    “Bayangkan sebelum ini peniaga, terutama pasar raya besar datang ke pejabat KPDNHEP dengan satu troli senarai barang semata-mata untuk mengemukakan notis. Pegawai kami pula terpaksa memperuntukkan banyak masa menyemak setiap senarai barang mereka. Itu baru satu kedai, sedangkan notis diterima sangat banyak. Malah, setakat Jun tahun ini saja, kami sudah memproses 5,666 permohonan,” katanya.

    Selain mengemukakan notis, peniaga juga dikehendaki menyimpan rekod harga barang yang akan diberi diskaun untuk tempoh enam bulan dan tempoh sesuatu barang dijual pada harga hendak diberi diskaun ialah sekurang-kurangnya 28 hari sebelum kempen jualan murah.

    Peniaga juga tidak dibenarkan mengadakan jualan murah sesuka hati dan pada bila-bila masa kerana kerajaan hanya memperuntukkan tiga musim khas untuk peniaga mengadakan jualan murah. Namun, peniaga diberi dua pilihan tarikh lain sebagai tambahan kepada tiga musim ditetapkan kerajaan.

    “Pelaksanaan musim jualan murah ini adalah untuk memudahkan kerajaan mengawal peniaga daripada mengadakan kempen sesuka hati dan mengambil peluang menipu pelanggan mereka.

    “Namun, pelanggan jangan pula menggunakan musim jualan murah itu untuk bersuka ria dan berbelanja secara boros kerana mereka perlu ingat pada ketika itu juga berlaku penipuan harga oleh peniaga yang suka mengambil kesempatan,” katanya.

    Beliau berkata, orang ramai juga boleh mengenal pasti, sama ada sesuatu premis jualan murah mendapat kebenaran KPDNHEP dengan memeriksa di pintu masuk atau cermin depan kedai terbabit, dan jika didapati tidak mempunyai notis disahkan KPDNHEP, pengguna boleh membuat laporan. Peniaga diwajibkan mempamerkan notis itu depan kedai mereka.

    Berbalik kepada isu penipuan harga, beliau berkata, KPDNHEP yakin penipuan jarang berlaku di pasar raya besar seperti Jaya Jusco, Metro Jaya dan seumpamanya kerana premis itu mempunyai etika serta polisi yang dilaksanakan dalam menjalankan perniagaan mereka.

    Namun, beliau menasihati pelanggan supaya menggunakan hak mereka dengan bijak dan berbelanja secara berhemah supaya penipuan sebegini dapat dibendung dan gimik jualan murah dapat ditangkis dengan berkesan.

    “Orang ramai perlu memahami taktik digunakan ketika jualan murah ada ketikanya tidak melanggar peraturan tetapi dengan mudah mempengaruhi pelanggan untuk memenuhi premis mereka dan dalam masa sama membeli pelbagai barangan lain. Soal utama yang perlu diberi perhatian, berbelanjalah secara berhemah,” katanya.

    Berita Harian, 25 Jun 2007

    FOMCA TAHU `PERMAINAN' KOTOR PENJUAL

    GIMIK dalam penawaran jualan murah sebenarnya bukan isu baru, malah sudah lama diperkatakan sama ada membabitkan penipuan harga atau dengan sengaja mengelirukan pengguna dengan kaedah pemasaran yang pelbagai.

    Malah, Gabungan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), sudah lama menyedari ‘taktik kotor’ digunakan peniaga untuk mengambil kesempatan sempena karnival jualan mega dengan menawarkan pelbagai tawaran pengurangan harga yang ada di antaranya hanya gimik semata-mata.

    Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya sering melabelkan jualan murah (cheap sale) sebagai jualan tipu (cheat sale) kerana sering berlaku penipuan harga dalam penawaran potongan harga yang peniaga tawarkan.

    Beliau mengklasifikasikan penipuan harga itu berlaku dalam pelbagai kaedah dan antara taktik paling popular ialah dengan menaikkan harga sesuatu barang sebelum memberi tawaran potongan harga beberapa peratus tanpa disedari pelanggan.

    “Contohnya, barang dijual dengan harga RM40 sebelum ini dinaikkan harga menjadi RM80 ketika musim jualan murah. Peniaga meletakkan tanda potongan harga sebanyak 50 peratus dan selepas diskaun, ia menjadi RM40, sama seperti harga sebelum jualan murah.

    “Pelanggan yang kurang peka beranggapan mereka beruntung kerana membeli barang mahal separuh harga. Ia secara langsung menjadi kejayaan terhadap taktik peniaga terbabit,” katanya.

    Beliau turut memberi contoh, ketika musim jualan mega, sehelai baju dijual pada harga RM29.90, kononnya selepas diberi 70 peratus diskaun. Namun, jika diteliti kualitinya, ia memang layak dijual dengan harga itu kerana pakaian dengan kualiti sama turut dijual pada harga RM29.90 sebelum musim jualan mega.

    Namun, kebanyakan pelanggan tidak menyedari perkara itu dan sering menjadi rambang mata apabila dipengaruhi dengan pelbagai poster potongan harga yang dipamerkan di pusat beli-belah dan menerusi risalah yang diedarkan ke rumah mereka.

    Mohd Yusof berkata, Fomca bukan membuat dakwaan melulu kerana pemantauan sudah dijalankan sebelum ini dan kenyataan berlakunya penipuan harga adalah sesuatu yang berasas dengan bukti pengaduan.

    Selain itu, Fomca memahami kekurangan pegawai penguat kuasa di peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menjadi penyebab peniaga berani mengambil kesempatan kerana pemantauan serta penguatkuasaan yang dijalankan agak terhad.

    “Masalah lain ialah pengguna yang menyedari berlaku penipuan dalam pemberian diskaun pula tidak berupaya membuat laporan kerana tidak mempunyai bukti harga terdahulu. Maklumlah, rakyat di negara ini bukan mempunyai masa untuk membuat perbandingan harga sebelum dan ketika jualan murah.

    “KPDNHEP pula akan membuat pemeriksaan selepas menerima aduan dan inilah yang membuka peluang kepada peniaga menipu dalam menawarkan potongan harga. Pelanggan akan terus tertipu setiap kali ada karnival jualan mega seperti sekarang,” katanya.

    Beliau berkata, kebanyakan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan dijalankan pelbagai pihak banyak menumpukan kepada barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan manakala barangan lain terutama pakaian kurang mendapat pemantauan sewajarnya.

    Pengguna pula sering terpedaya dengan perang poster dan susun atur di kedai yang kelihatan ekslusif tetapi hakikatnya menjual pakaian yang tidak berkualiti, pada harga tinggi seperti pakaian berjenama yang lain.

    Selain penipuan dalam penawaran harga dan kualiti barangan, Fomca mendakwa ada juga kes penipuan berlaku dengan mengurangkan kuantiti barangan terutama membabitkan produk makanan seperti buah-buahan dan sayuran.

    Mengenai produk berjenama yang dikatakan dikawal harganya oleh pengeluar asal, Mohd Yusof berkata, bukan semua barangan berjenama diimport kerana ada yang dibuat di kilang dalam negara tetapi sekadar membeli jenama dari syarikat asal. Keadaan itu membolehkan peniaga menentukan sendiri kualiti barangan yang hendak dijual supaya dapat meletakkan harga murah.

    Penipuan lebih ketara apabila ia membabitkan jenama yang kurang terkenal. Ia tidak dikawal dan peniaga boleh memanipulasikan harga dengan meletakkan poster diskaun sehingga 70 peratus dengan sebesar-sebesarnya untuk memancing pelanggan ke kedai mereka.

    “Hakikatnya, barangan yang benar-benar diberi diskaun sangat kecil dan dengan kejayaan menarik pelanggan mengunjungi kedai mereka, peniaga mampu memperoleh keuntungan lebih besar hasil jualan barangan lain. Ini kerana, biasanya pelanggan akan turut membeli barang lain ketika membeli belah. Nafsu membeli rakyat Malaysia memang tinggi.

    “Memandangkan penguatkuasaan agak terhad, penggunalah yang mempunyai kuasa untuk menghalang senario ini daripada berterusan. Jika mereka berasa was-was dengan harga yang ditawarkan, buatlah aduan supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

    Mohd Yusof berkata, Fomca sebelum ini sering menasihati pengguna supaya tidak membeli belah pada ketika musim jualan murah atau musim perayaan kerana pada ketika itu, pelanggan akan lebih terdedah kepada penipuan harga.

    “Jika karnival jualan mega adalah pesta membeli belah kepada pelanggan, mereka juga perlu ingat bahawa ia juga pesta kepada peniaga memanipulasikan harga dan menipu pelanggan,” katanya.

    Berita Harian, 25 Jun 2007

    HARAMKAN KHIDMAT CTOS

    Oleh HAMDEN RAMLI

    KUALA LUMPUR 26 Jun – Persatuan-persatuan pengguna mahu kerajaan bertindak tegas ke atas Credit Tip Off Services Sdn. Bhd. (CTOS) termasuk mengharamkan perkhidmatan tersebut bagi mengelak pengguna daripada terus teraniaya.

    Selain tindakan ke atas syarikat tersebut kerana memperdagangkan maklumat peribadi, mereka juga mahu kerajaan bertindak ke atas bank-bank yang terus menjadikan CTOS sebagai rujukan utama mereka.

    Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu menegaskan, perdagangan maklumat peribadi itu perlu diharamkan bagi melindungi kepentingan rakyat.

    Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian gabungan itu, hampir satu juta pengguna telah dinafikan pinjaman kredit kerana perkhidmatan itu.

    ‘‘Sistem yang dipakai juga tidak adil kerana ia menyimpan terlalu lama maklumat dan tidak dikemas kini.

    “Sepatutnya selepas enam tahun nama sudah boleh dinyahsenaraikan, tetapi CTOS tidak. Selama-lamanya rekod kita akan menjadi tatapan pihak lain,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

    Beliau diminta mengulas mengenai rungutan sesetengah pihak yang mendakwa disenarai hitam dalam sistem CTOS setelah menghadapi masalah kewangan seperti gagal menjelaskan bayaran ansuran atau melunaskan pinjaman.

    Malah, agensi itu juga gagal untuk mengeluarkan nama peminjam daripada senarai hitam walaupun mereka telah melangsaikan tunggakan pinjaman selain memaparkan maklumat kewangan remeh yang menjejaskan kewibawaan kredit seseorang.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas semalam menjelaskan kerajaan tidak pernah mengiktiraf CTOS untuk menyalurkan maklumat kewangan individu kepada institusi perbankan atau pihak lain bagi tujuan rujukan.

    Katanya, kerajaan juga tidak pernah mengeluarkan lesen kepada CTOS untuk bertindak sebagai badan carian apatah lagi menyimpan maklumat peribadi orang ramai.

    Marimuthu berkata, segala penganiayaan itu tidak akan berlaku jika negara mempunyai Akta Maklumat Peribadi bagi melindungi pengguna dan mengelakkan mereka daripada teraniaya.

    “Kita sudah banyak kali mengadu kepada Bank Negara Malaysia (BNM) tetapi bank pusat itu buat tidak tahu sahaja,’’ katanya.

    Mengenai tindakan bank-bank yang terus menggunakan CTOS sebagai rujukan, beliau mengajak pengguna memboikot bank-bank berkenaan.

    Beliau menambah, FOMCA juga menyokong dan menggalakkan pengguna yang teraniaya menyaman syarikat terbabit.

    Sementara itu, Koordinator Persatuan Pengguna Islam, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, Kementerian Kewangan dan BNM perlu bertindak kerana bank-bank kini menjadikan status CTOS sebagai pra syarat pinjaman.

    “Ini silap. Sistem itu tidak diiktiraf kerajaan tetapi menjadi rujukan,’’ katanya.

    Beliau menambah, tindakan segera perlu diambil kerana perkhidmatan CTOS itu juga telah digunakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengugut pengguna.

    “Sebagai contoh, pengguna yang berhutang membeli perabot atau barangan elektrik tetapi tertunggak bayaran diugut nama mereka akan dimasukkan ke dalam CTOS jika tidak melangsaikan tunggakan hutang dengan segera,’’ katanya.

    Katanya, hal itu berlaku kerana tiada kawalan dan pemantauan dalam soal penyenaraian maklumat ke dalam sistem CTOS.

    Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Persatuan Penasihat Pengguna Malaysia, M. Subramaniam berkata, kerajaan perlu menstrukturkan semula kedudukan CTOS dengan meletakkannya di bawah kawalan BNM.

    Dengan itu, katanya, kawalan dapat dilakukan khususnya bagi memastikan nama dan maklumat individu tidak sewenang-wenangnya dimasukkan ke dalam senarai itu.


    Utusan Malaysia
    27 Jun 2007

    SKIM GORES, MENANG JAJA NAMA FOMCA

    PENGANJUR skim gores dan menang kini kembali aktif dan menggunakan taktik baru untuk menjerat pengguna. Mereka menjaja nama organisasi tertentu untuk mempengaruhi mangsa bahawa kegiatan mereka itu disokong oleh pihak berkenaan.

    Pusat Khidmat Aduan Pengguna (NCCC), pusat aduan bagi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menerima banyak pertanyaan dan aduan daripada pengguna mengenai kewujudan syarikat menganjurkan skim gores dan menang yang didakwa ada kaitan dengan Fomca.

    Mangsa diminta menggores pada kad yang diberikan, yang menawarkan hadiah tertentu, kononnya disumbangkan oleh Fomca. Antara hadiah yang ditawarkan ialah kereta Perodua Myvi. Namun, untuk membolehkan mangsa mendapat hadiah berkenaan, beliau perlu membayar wang pendaftaran kenderaan dan insurans serta bayaran lain berjumlah kira-kira RM5,000.

    Ada mangsa diperdaya sindiket ini dan menjelaskan wang yang dituntutnya. Salah satu kes seumpama berlaku di Jasin, Melaka apabila syarikat yang berpejabat di Tangkak, Johor mendakwa mewakili Fomca menawarkan hadiah tertentu melalui taktik gores dan menang.

    Sepasang suami isteri mempercayai dakwaan itu dan membuat bayaran. Apabila mereka ingin menuntut hadiah yang ditawarkan di pejabat syarikat berkenaan, didapati pejabat syarikat itu ditutup. Fomca membuat laporan polis berhubung perkara ini.

    Sementara itu, Ibnu Hassan dari Kepala Batas, Pulau Pinang menerusi e-mel ke ruangan ini kelmarin turut mengakui pernah dua kali didatangi pegawai pemasaran skim berkenaan.

    Syarikat induk mereka beroperasi di Pulau Pinang dan di bawahnya ada beberapa proksi pemasaran di seluruh negara. Mereka sebenarnya syarikat jualan langsung yang cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah dan memperdaya orang ramai.

    ‘Promoter’ terbabit kononnya meminta pendapat orang ramai mengenai pembinaan pasar raya di kawasan perumahan tertentu. Antara soalan yang diajukan ialah berapa banyak kita belanja untuk membeli barangan dapur untuk tempoh sebulan, bayaran menggunakan kad kredit atau wang tunai dan lain-lain lagi.

    Tujuannya ialah untuk mengetahui latar belakang kewangan mangsa berkenaan. Jika mangsa tidak berkemampuan, mereka akan mengeluarkan kad terima kasih untuknya.

    Jika mangsa mereka nampak berkemampuan, ‘promoter’ itu akan mengeluarkan enam kad untuk dipilih dan menawarkan hadiah (sebenarnya semua kad mempunyai hadiah) seperti kereta, motosikal, wang tunai dan sebagainya.

    Apabila mangsa mendapat kad yang mempunyai hadiah, ‘promoter’ berkenaan akan berlakon seolah-olah terlalu gembira dan menelefon ketuanya. Kemudian mereka akan mengeluarkan keratan akhbar menunjukkan ‘mangsa’ lain yang pernah memenangi kereta sebelum ini.

    Untuk menggores kad itu, mangsa perlu menandatangani perjanjian. Mangsa juga perlu membeli barangan daripada mereka bernilai RM3,397 (selepas diskaun daripada harga sebenar yang bernilai lebih RM6,000) terdiri daripada set kelengkapan audio untuk rumah, mesin urut dan penapis air yang jenamanya boleh dikatakan ‘cap ayam’.

    Hadiah lain termasuk tilam jed (jade mattress) dan dapur berjenama Nano yang harganya terlalu murah jika dibandingkan dengan harga diletakkan di dalam kad berkenaan.

    Contohnya, tilam jed harganya lebih RM4,000 ditawarkan pada harga RM1,600. Yang menariknya cabutan itu diadakan setiap bulan dan selepas habis tarikh akhir, cabutan diteruskan dengan tarikh akhir baru.

    Memang majoriti yang menggores semuanya hanya mendapat tilam jed atau dapur berjenama Nano. Untuk melihat aduan yang dibuat oleh semua mangsa, pembaca boleh melayari laman web http://welleywatch.heritage-tech.net/ atau www.consumer.com.my.

    Dalam pada itu, Fomca ingin mengingatkan pengguna agar berhati-hati sekiranya dihubungi oleh mana-mana pihak yang mendakwa mewakili Fomca atau ahli gabungannya. Fomca dan ahli gabungannya tidak pernah menawarkan hadiah seumpama ini atau melantik pihak lain sebagai ejen mobilisasi dana.

    Sekiranya ada yang dihubungi oleh pihak tidak bertanggungjawab ini, sila hubungi pejabat penguat kuasa berhampiran, melalui talian: 1-800-886-800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-78779000 atau e-mel: nccc@ nccc.org.my.

    MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN,
    Pengarah Komunikasi
    Gabungan Persatuan Pengguna
    Malaysia (Fomca).

    Surat & Emel, Berita Harian
    23 Jun 2007

    Jumaat, Jun 15, 2007

    COMPENSATE TRADERS HIT BY FLOOD

    Joyce Tagal
    Jun 13, 07 6:09pm
    Consumers associations have called on the government to compensate traders who were affected in Sunday’s flash flood in Kuala Lumpur.

    National Consumer Complaints Center (NCCC) director Darshan Singh said the traders who suffered were all tax-paying citizens and therefore should be compensated for the damages incurred.

    He argued that the flood was not a natural disaster and could have been averted.

    "This is not the first time, such floods have occurred in the area before." he said. "The government has failed in its duty to provide a safe environment to live and carry out business."

    Selangor and Wilayah Persekutuan Consumer's Association (SWPCA) president Mohd Yusof Abdul Rahman said he hoped that government agencies like development banks would offer aid to the traders.

    "DBKL (Kuala Lumpur City Hall) has to investigate the sources of Sunday's floods and fix the problems so that it does not happen again." he said. "We are worried that if the city centre keeps flooding, the traders will give up their businesses and move elsewhere."

    Yusof also said he had high hopes for the flood management portion of the Smart tunnel, but hoped that the government would prioritise flood investigations over toll collection.

    Ahead of schedule

    Yesterday, Irrigation and Drainage Department (DID) director-general Keizrul Abdullah announced yesterday that the Smart floodwater channel would be ready by June 23, a week ahead of schedule.

    According to Bernama, Keizrul said that the department was speeding up all flood mitigation measures.

    Other efforts will include the installation of pump systems in low-lying areas and construction of flood bypasses.

    "We will also upgrade the flood forecast and alert system. We've started sending flood warnings to Shah Alam residents by SMS (short messaging service)," he was quoted as saying.


    Malaysiakini

    PANTAU BERTERUSAN LAMAN WEB SKIM CEPAT KAYA

    LANGKAH Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Cybersecurity menutup laman web yang menjalankan perkhidmatan pelaburan tidak berlesen dan berunsur skim cepat kaya amat wajar sekali.

    Walaupun tindakan ini kelihatannya agak terlewat memandangkan telah ramai yang menjadi mangsa kepada skim seperti ini, namun sekurang-kurangnya ia dapat menghalang pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini meneruskan agenda mereka.

    Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap Suruhanjaya Sekuriti sentiasa melakukan pemantauan terhadap laman web yang menawarkan pelaburan melalui Internet secara berterusan. Ini bagi mengelakkan para pengguna daripada terus meleburkan wang mereka.

    Dalam pada itu, para pengguna juga perlu mempunyai kesedaran agar tidak mudah terpedaya untuk menyertai sesuatu skim pelaburan.

    Sebelum membuat pelaburan, lakukan semakan terlebih dahulu melalui Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara bagi memastikan bahawa skim pelaburan tersebut adalah sah dan selamat.

    Jika ragu-ragu, adalah lebih selamat jika melaburkan wang melalui skim amanah saham yang ditawarkan oleh agensi kerajaan atau unit amanah yang dikendalikan oleh syarikat unit amanah yang berlesen.

    Ia lebih menjaminkan dari segi pulangan, walaupun tidak setinggi sebagaimana yang ditawarkan oleh skim pelaburan yang tidak sah itu.

    Apa yang penting ialah kita perlu mengetahui di mana wang kita dilaburkan agar wang tersebut bukan sahaja dapat membantu dalam perkembangan ekonomi negara, tetapi juga mampu memberikan pulangan balik kepada pelaburan tersebut.

    – MOHD. YUSOF ABDUL RAHMAN,
    Pengarah Komunikasi FOMCA.


    Forum, Utusan Malaysia
    14 Jun 2007

    SALURAN PELABURAN PASTIKAN SAH

    LANGKAH Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Cybersecurity menutup laman web yang menjalankan perkhidmatan pelaburan tidak berlesen dan berunsur skim cepat kaya amat wajar sekali.

    Walaupun tindakan ini kelihatannya agak terlewat memandangkan sudah ramai menjadi mangsa skim seperti itu, ia sekurang-kurangnya dapat menghalang daripada pihak tidak bertanggungjawab ini meneruskan agenda mereka.

    Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berharap Suruhanjaya Sekuriti sentiasa melakukan pemantauan terhadap laman web yang menawarkan pelaburan melalui internet secara berterusan. Ini bagi mengelakkan pengguna daripada terus meleburkan wang mereka.

    Pengguna juga perlu mempunyai kesedaran agar tidak mudah terpedaya dengan menyertai sesuatu skim pelaburan. Sebelum membuat pelaburan, lakukan semakan terlebih dulu melalui Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara bagi memastikan skim pelaburan berkenaan sah dan selamat.

    Jika ragu-ragu, adalah lebih selamat jika melaburkan wang melalui skim amanah saham yang ditawarkan oleh agensi kerajaan atau unit amanah yang dikendalikan oleh syarikat unit amanah yang berlesen.

    Ia lebih menjaminkan dari segi pulangan, walaupun tidak setinggi seperti ditawarkan oleh skim pelaburan yang tidak sah itu. Apa yang penting ialah kita perlu mengetahui di mana wang kita dilaburkan agar wang berkenaan bukan saja dapat membantu dalam perkembangan ekonomi negara tetapi juga mampu memberikan pulangan balik kepada pelaburan itu.

    MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN,
    Pengarah Komunikasi
    Gabungan Persatuan Pengguna
    Malaysia (Fomca)

    Emel & Surat, Berita Harian
    14 Jun 2007

    Rabu, Mei 23, 2007

    FOMCA GESA PENGGUNA BANDING HARGA BARANG

    KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) — Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata pengguna hendaklah membandingkan harga barangan bagi membolehkan mereka memulau peniaga atau premis perniagaan yang menaikkan harga barang ekoran kenaikan gaji kakitangan awam.

    Pengarah Komunikasi FOMCA Mohd Yusof Abdul Rahman berkata pengguna harus bijak menggunakan kuasa mereka dengan cara membandingkan harga antara peniaga atau premis perniagaan sebelum membeli sesuatu barang.

    Katanya ini kerana tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) jika kenaikan harga itu melibatkan bukan barangan kawalan.

    “FOMCA merasakan perlu ada satu mekanisma untuk mengawal keadaan ini kerana di negara lain ada mekanisma seperti Akta Perdagangan Adil yang akan mengambil tindakan sekiranya harga sesuatu barang naik secara keterlaluan,” katanya.

    Mengenai cadangan melabel dan mendedahkan premis yang menaikkan harga barang kepada umum, beliau berkata kerajaan boleh mengambil tindakan mendedahkan nama premis yang terbabit melalui media atau di tempat yang mudah dilihat oleh orang ramai.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi meminta rakyat menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna secara bijaksana dengan mendedahkan para peniaga yang menaikkan harga barang.

    Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli berkata orang ramai hendaklah menggunakan kuasa sebagai pembeli bagi menangani masalah peniaga menaikkan harga barangan, satu fenomena penyakit sosial yang boleh diselesaikan masyarakat.

    Menasihati pengguna supaya tidak melanggan di premis perniagaan yang sengaja menaikkan harga barangan dan perkhidmatan, beliau berkata: “Saya yakin jika kita bertindak bijak, peniaga tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya menaikkan harga.

    Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Daerah Hulu Perak di Dewan Serbaguna Gerik di sini hari ini, Menteri Besar itu berkata orang ramai mesti bijak memilih kedai atau perkhidmatan yang menyediakan harga berpatutan.

    Tajol Rosli berkata tidak ada gunanya kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam jika kos hidup mereka tetap tinggi disebabkan tindakan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

    Walaupun kerajaan boleh mengawal harga barang perlu yang dikawal harganya, orang ramai katanya bertanggungjawab membantu kerajaan memastikan harga barangan lain tidak dinaikkan sesuka hati.

    Orang ramai boleh mengekang kenaikan harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab itu dengan mengurangkan kekerapan penggunaan sesuatu barangan atau perkhidmatan yang bukan keperluan harian.

    – BERNAMA

    Isnin, Mei 21, 2007

    PENGGUNA BOLEH GUNA KUASA PULAU KEDAI

    RAKYAT, terutama yang bergantung kepada gaji bulanan bagi menyara keluarga, tentunya menaruh harapan tinggi terhadap Bajet 2008 yang bakal dibentangkan beberapa bulan lagi. Ini berikutan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, memberi jaminan kerajaan akan memastikan usaha mengekang kenaikan harga barang diberi keutamaan dalam belanjawan itu. Jaminan itu kena pada waktunya ketika pelbagai barang keperluan mencatatkan kenaikan harga. Terbaru, harga siling tepung gandum dinaikkan 15 sen sekilogram, daripada RM1.20 kepada RM1.35 ekoran peningkatan harga bahan itu di pasaran dunia selain kenaikan kos pengeluaran dan pengangkutan. Sama ada kita suka atau tidak, kenaikan harga bahan itu terpaksa diterima kerana gandum diimport dari Australia, New Zealand dan United Kingdom. Apa yang membimbangkan kita ialah peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang berasaskan tepung sewenang-wenang terutama roti, biskut, roti canai dan kuih-muih. Walaupun kerajaan memberi amaran kenaikan barang tidak harus melebihi 10 peratus daripada kadar kenaikan tepung gandum sebanyak 15 sen itu, sudah ada restoran mamak yang menaikkan harga roti canai antara 10 hingga 20 sen.

    Kita percaya keghairahan peniaga menaikkan harga barang keperluan harian ada kaitan dengan janji kerajaan untuk mengkaji gaji kira-kira 1.2 juta kakitangan awam, tidak lama lagi. Peniaga ternyata menaikkan dulu harga barang sebelum kerajaan menambah gaji kakitangan awam. Harga beberapa barang dapur dan makanan dilaporkan naik antara lima hingga 15 peratus. Antara alasan pemborong dan peniaga kedai runcit ialah kononnya pengilang menaikkan harga sehingga mereka tiada pilihan lain kecuali menjual pada harga lebih tinggi kepada peruncit. Pengguna pula merungut kerana harga barang naik pada kadar tidak munasabah. Kita kerap mendengar amaran demi amaran daripada pihak berkuasa untuk bertindak terhadap peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.

    Malah kita turut didedahkan laporan mengenai tindakan terhadap peniaga berkenaan. Walau apa juga alasan yang diberikan golongan ini termasuk pengilang seperti kenaikan kos operasi dan sebagainya, tindakan menaikkan harga barang runcit sesuka hati menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab selain tidak prihatin terhadap kemampuan rakyat khususnya golongan pendapatan rendah. Kita juga tidak mahu berikutan kenaikan itu, kadar inflasi negara yang dijangka berada pada paras rendah dalam jajaran antara 1.9 peratus hingga 2.5 peratus mulai Mac lalu hingga akhir tahun ini, akan turut melonjak. Antara faktor Indeks Harga Pengguna (IHP), iaitu pengukur inflasi kekal di atas dua peratus, adalah kenaikan harga makanan dan minuman.

    Kerana itu, kita amat berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barang tanpa sebab munasabah. Pemantauan terhadap 255 jenis barang pengguna setiap minggu bagi memastikan harganya tidak melebihi paras harga siling ditetapkan perlu dibuat secara berterusan dan menyeluruh bukan saja ke atas peruncit malah pengilang dan pemborong yang boleh menipu dengan cara halus. Selain mengharapkan pihak berkuasa, kita sebagai pengguna harus memainkan peranan mengajar peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya dengan memboikot kedai atau restoran mereka.

    Berita Harian
    17 Mei 2007

    SKIM STABIL HARGA, PENGUATKUASAAN KAWAL MINYAK MASAK


    KIRA-KIRA 300 pembungkus dan 30 pengilang minyak masak dijangka menerima bayaran awal 10 peratus daripada jumlah kerugian yang ditanggung, bermula esok berikutan peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) yang sekali gus menyebabkan kenaikan kos operasi mereka.

    Itulah janji Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi diterajui Datuk Peter Chin Fah Kui minggu lalu apabila mengumumkan subsidi RM151.5 juta kepada pihak terbabit untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini – semuanya untuk memastikan bekalan mencukupi dan harga produk itu stabil di pasaran.

    Apa lagi yang perlu dikatakan, selain syabas kepada Chin yang bertungkus lumus meneliti masalah yang dihadapi pihak terbabit. Walaupun tindakan yang diambil agak lewat, berbanding ketika masalah sama melanda negara pada 2004, sekurang-kurangnya nasib pembungkus yang turut terjejas tidak diabaikan.

    Seperti kata pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB); “Buat pertama kali, pengusaha kilang membungkus minyak masak diberi pampasan kerana pada tiga kejadian sebelum ini hanya pengilang dibayar ganti rugi.”

    Bayaran awal itu akan disalurkan menggunakan baki dana akaun amanah industri (ses) pada 2004 sebanyak RM45 juta. Bagaimanapun, apabila Skim Penstabilan Harga Minyak Masak dilaksanakan bulan depan, dijangka sebanyak RM661.2 juta dapat dikutip daripada kira-kira 4,100 peladang kelapa sawit.

    Pada masa sama, satu lagi berita gembira apabila kira-kira 300,000 peneroka, peserta tanah rancangan dan pengusaha kebun kecil kelapa sawit persendirian yang memiliki keluasan tanah kurang 40.5 hektar dikecualikan daripada membayar ses.

    Jelas di sini, MPOB sebagai agensi pelaksana skim berkenaan menjalankan kajian terperinci apabila mengambil kira kepentingan pekebun kecil sebelum menyenaraikan cadangannya kepada Chin.

    Kali terakhir skim penstabilan harga dilaksanakan adalah pada 2004, apabila harga MSM melonjak ke tahap lebih RM1,700 setan.

    Isu minyak masak mula menjadi bualan ramai sejak sebulan lalu, apabila pengguna dan peniaga, khususnya di utara Semenanjung dan Lembah Klang mengadu sukar memperoleh minyak masak berasaskan sawit atau terpaksa membayar lebih daripada harga siling untuk mendapatkannya. Peruncit dikatakan enggan menjual barang itu berikutan tindakan pemborong menaikkan harga melebihi paras ditetapkan.

    Bulan lalu juga, Chin memberi jaminan harga siling minyak masak berasaskan sawit dikekalkan pada paras semasa, walaupun ia dibuat ketika harga MSM berada pada RM1,358 setan pada 10 tahun lalu.

    Walaupun kerajaan tidak melayan permintaan industri minyak masak yang meletakkan harapan untuk kerajaan menaikkan harga produk itu di pasaran, sekurang-kurangnya buat masa ini pelaksanaan skim penstabilan harga itu dapat meredakan situasi yang mula mempengaruhi pasaran sejak akhir 2006.

    Lojiknya dengan pengumuman melaksanakan skim penstabilan harga, segala masalah berkaitan minyak masak sejak beberapa bulan ini tidak seharusnya berlaku. Malah, persetujuan Konsortium Pembungkus dan Pembekal Minyak Masak Malaysia untuk menyediakan bekalan mencukupi di seluruh negara seharusnya menjadi pegangan semua pihak bagi membuktikan bahawa krisis produk ini bakal tamat dalam masa terdekat.

    Jika Chin memperjuangkan hak sektor perusahaan perladangan dan komoditi negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula tidak terlepas daripada tanggungjawabnya untuk memelihara kepentingan pengguna.

    Sejajar itu juga, 241 daripada 2,691 premis yang diperiksa penguat kuasa KPDNHEP sejak 16 April lalu, diberi amaran kerana tidak menjual minyak masak 1 kilogram (kg) dengan alasan ia tidak menguntungkan.

    Malah, arahan sudah dikeluarkan supaya pembungkus dan pembekal hanya menyediakan bekalan minyak masak sehingga 60,000 tan sebulan untuk kegunaan isi rumah tempatan, sebagai langkah kawalan untuk mengimbangi keadaan di pasaran.

    Terkini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal memaklumkan keyakinan beliau bahawa masalah kekurangan bekalan minyak masak di pasaran dapat diatasi dalam masa satu atau dua minggu lagi. Kenyataan Mohd Shafie itu dikeluarkan selepas Chin memberi jaminan mengenainya dalam perbincangan yang diadakan, baru-baru ini.

    "Insya-Allah kita boleh atasi masalah ini kerana minyak masak dikeluarkan di negara kita dan sumbernya iaitu kelapa sawit juga datang dari negara kita. Ketika ini minyak masak bagi 15kg atau 5kg memang ada, cuma bekalan 1kg atau 2kg di luar bandar yang dibungkus dalam plastik saja ada masalah," katanya.

    Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman krisis barang kawalan yang berlaku sebelum ini seperti gula, tidak mustahil jika masih ada peruncit yang mendapat tekanan pemborong dan pengilang yang menaikkan harga produk sewenang-wenangnya.

    Kawalan terhadap barang keperluan asas boleh dilaksanakan menerusi Akta Kawalan Harga 1946 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 di mana pengilang, pengedar dan peruncit, tidak boleh menaikkan harga sesuka hati dan perlu mendapatkan kelulusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

    Ketika inilah, penguat kuasa KPDNHEP boleh menunjukkan taring untuk bertindak terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu dan pada masa sama pengguna, mahupun peruncit yang ditindas sepatutnya berani tampil mengemukakan aduan untuk tindakan lanjut.

    Sebarang salah laku peniaga boleh dilaporkan menerusi talian bebas tol 1-800-886-800, khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 36663 dengan menaip ADU penipuan harga diikuti alamat premis atau e-mel ke alamat e-aduan@kpdnhep.gov.my.

    Satu lagi saluran aduan adalah menerusi Pusat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-78779000, atau mengisi borang e-aduan di laman web www.nccc.gov.my.

    Seperti yang sering kali dihebahkan KPDNHEP - pengguna boleh menjadi `mata dan telinga' kerajaan yang berkesan dengan menyalurkan aduan dan maklumat supaya dapat dilakukan sebarang tindakan susulan.

    Bagaimanapun, selain itu diharapkan KPDNHEP tidak melupakan satu lagi perkara yang wajar dipertimbangkan iaitu menetapkan harga siling minyak masak di semua peringkat pasaran, bukan seperti sekarang apabila kawalan hanya ditetapkan pada peringkat peruncit.

    Akta Kawalan Harga meletakkan 11 barang keperluan mengikut harga kawalan, bermaksud peruncit tidak boleh menjual melebihi harga siling ditetapkan. Bagaimanapun, akta ini tidak mengenakan kawalan harga terhadap pembekal atau pemborong. Jika mereka meletakkan harga melebihi harga siling, peruncit akan menghadapi masalah untuk menjualnya kepada pengguna. Justeru, adalah lebih berkesan jika kawalan harga mencakupi peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

    Berita Harian
    17 Mei 2007

    MEKANISME SEKAT KENAIKAN HARGA PERLU DIWUJUDKAN


    DARI semasa ke semasa, apabila ada berita mengenai kemungkinan kenaikan gaji kakitangan awam, keadaan bagaikan teori domino apabila harga barang juga turut naik. Lebih mendukacitakan ialah kenaikan gaji baru diuar-uarkan, peniaga sudah mula menaikkan harga. Inilah satu hakikat yang tidak boleh diterima banyak pihak, malah ada yang melabelnya sebagai tidak adil serta sengaja menangguk di air keruh.

    Mana tidaknya, setiap kali berita gembira bakal diumumkan, pasti ada juga berita kurang enak dihidangkan kepada masyarakat. Serentak itu juga, pelbagai lagi rentetan berita duka cita mula diperkatakan.

    Itulah keadaan yang berlaku ketika kerajaan sedang berkira-kira mengumumkan berita gembira membabitkan kenaikan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam tidak lama lagi. Namun, belum pun keputusan itu diumumkan, kenaikan harga barang di pasaran mendahuluinya bagaikan lagu ‘Bangau Oh Bangau’.

    Inilah yang menjadi kebimbangan semua pihak selama ini. Sering kali kegembiraan menikmati kenaikan gaji dan penerimaan bonus akan dipadamkan dengan kenaikan kos sara hidup yang juga meningkat pada masa sama. Namun, apa yang menyakitkan hati banyak pihak ialah ia seakan jelas menunjukkan sikap peniaga yang suka mengambil kesempatan.

    Keadaan ini dibuktikan apabila baru-baru ini Timbalan Presiden I, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Kamarul Zaman Seenimohideen, berkata harga roti canai dan capati akan naik 10 sen mulai bulan depan.

    Katanya, kenaikan itu tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan kos minyak masak, marjerin, gas dan terbaru tepung gandum dan memberi alasan sudah dua kali harga tepung naik dalam tempoh empat tahun, tetapi mereka masih menjual roti canai pada harga sekitar 60 sen hingga 80 sen sekeping.

    Kononnya kenaikan harga roti canai itu berkaitan dengan kenaikan harga siling tepung gandum yang dinaikkan 15 sen sekilogram, berkuat kuasa 14 Mei lalu berikutan peningkatan harga bahan itu di pasaran dunia selain kenaikan kos pengeluaran dan pengangkutan.

    Dengan kenaikan itu, harga runcit tepung gandum di Semenanjung meningkat daripada RM1.20 kepada RM1.35 sekilogram, manakala di Sabah dan Sarawak daripada RM1.30 kepada RM1.45 sekilogram.

    Namun, apa yang mengecewakan, kenyataan Kamarul Zaman itu menyusul sejurus selepas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, memberi jaminan kerajaan akan memastikan usaha mengekang kenaikan harga barang diberi keutamaan dalam Bajet 2008.

    Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jelas sekali ada elemen mengambil kesempatan oleh peniaga setiap kali ada krisis kenaikan harga barang, malah apabila ia turut disokong dengan kemungkinan kerajaan umum kenaikan gaji.

    Namun, sebelum masyarakat terus menuding jari kepada peniaga, kerajaan sepatutnya terlebih dulu memikirkan alternatif terbaik untuk mencari jalan mengelakkan kenaikan harga barang asas seperti tepung gandum daripada berlaku.

    “Memang pada masa ini ada masalah kenaikan harga kerana gandum diimport dari Australia, New Zealand dan United Kingdom yang mungkin sedang menghadapi masalah pengeluaran. Namun, pada masa sama menurut laporan sebuah stesen televisyen antarabangsa, ada wilayah tertentu di India yang mengalami lambakan gandum kerana tiada negara mahu mengimport daripada mereka.

    “Justeru, mungkin kerajaan perlu mengalih tumpuan import gandum dari negara lain untuk mengelakkan kenaikan harga ini. Selain itu, satu daripada mekanisme yang wajar diwujudkan bagi tujuan ini ialah penubuhan Suruhanjaya Harga. Menerusi Suruhanjaya Harga ini, sebarang tuntutan kenaikan harga akan dibincangkan suruhanjaya ini yang membabitkan kerajaan, pengeluar atau pengilang dan pengguna.

    “Justeru, Fomca meminta supaya digubal Akta Perdagangan Adil supaya tindakan boleh diambil kepada peniaga yang menaikkan harga bagi sesuatu barang bukan kawalan dengan sewenang-wenangnya. Menerusi Akta Kawalan Harga 1946, kerajaan hanya boleh mengambil tindakan kepada peniaga yang menjual barang kawalan melebihi harga siling yang ditetapkan atau tidak meletakkan tanda harga bagi barang yang dijual, sama ada barang berkenaan dikawal ataupun tidak,” katanya.

    Namun, beliau menyelar tindakan menaikkan harga roti canai dan barang berasaskan tepung yang lain kerana kenaikan harga tepung 15 sen sekilogram itu sebenarnya terlalu kecil dan tidak menjejaskan keuntungan.

    Bagaimanapun, beliau berpendapat peniaga sebenarnya mempunyai pelbagai kaedah untuk tidak menaikkan harga kerana setiap kenaikan harga pastinya tidak akan disenangi banyak pihak terutama pengguna, malah lebih teruk lagi jika kenaikan harga itu diburukkan dengan pengurangan saiz atau kuantiti makanan terbabit.

    “Inilah masalahnya, ada yang ambil kesempatan dengan melampau. Mereka ini bukan sekadar naikkan harga, malah saiz roti canai pun dikurangkan. Ini lebih tidak adil. Pelanggan mungkin kurang bersuara jika saiz itu kecil sedikit, tetapi kenaikan sebanyak 10 sen itu agak tidak adil berbanding kenaikan harga tepung yang diumumkan.

    “Antara kaedah yang boleh digunakan oleh peniaga ialah membeli pada kadar yang banyak secara borong di gedung jualan borong untuk mendapatkan harga lebih murah. Itu antara satu daripada kaedah penjimatan yang boleh mereka buat selain menaikkan harga,” katanya.

    Mohd Yusof mendakwa kenaikan harga harga roti canai tidak setimpal dengan kenaikan harga tepung dan ini perlu dikawal kerajaan sebelum menjadi lebih membebankan pengguna pada masa akan datang.

    “Jika sebelum ini kos sarapan pagi adalah RM2, jangan nanti tidak lama lagi ia akan menjadi RM2.50 kerana pelbagai kenaikan lain akan berlaku jika kawalan harga tidak dilaksanakan mulai sekarang.

    “Satu perkara lagi yang peniaga perlu bersifat lebih adil ialah jangan sewenang-wenangnya menaikkan harga apabila berlaku sesuatu yang tidak menjejaskan kos pengeluaran mereka. Apa kena mengena kenaikan gaji dengan mengeluarkan sekeping roti canai?” katanya.


    Berita Harian
    19 Mei 2007

    SYOR TUBUHKAN SURUHANJAYA HARGA NEGARA

    BATU PAHAT: Biro Ekonomi Umno Bahagian Batu Pahat menyarankan kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Harga Negara (SHN) bagi membendung kenaikan harga barangan keperluan.

    Pengerusinya, Datuk Mohd Sehat Mahmud, berkata langkah berkenaan perlu untuk mengelak rakyat menjadi mangsa dan menanggung beban kesan tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

    Beliau berkata, antara fungsi dan tanggungjawab suruhanjaya terbabit ialah memantau kenaikan harga barangan keperluan di samping mengelak pengeluaran atau pengedarannya dimonopoli pembekal atau pemborong tertentu.

    Katanya, penubuhan suruhanjaya berkenaan dapat membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat pertimbangan wajar terhadap permohonan menaikkan harga barangan yang dikemuka pihak terbabit.

    "Pada masa ini, kita mendengar pengeluar serta pemborong barangan tertentu mengemukakan pelbagai alasan untuk menaikkan harga sesuatu barangan, terutama barangan kawalan.

    "Dalam keadaan seperti ini, SHN perlu menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kebenaran asas dakwaan permasalahan dihadapi pembekal atau pemborong terbabit. Siasatan wajar mencakupi beberapa perkara penting seperti dakwaan yang mengatakan pengeluar serta pembekal mengalami kerugian," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas keputusan membenarkan pengilang menaikkan harga siling tepung gandum sebanyak 15 sen bagi setiap kilogram.

    Kebenaran diberikan itu, katanya, bakal menyebabkan berlaku tindak balas rantaian yang mendorong pengeluar barangan berasaskan tepung gandum menaikkan harga produk masing-masing dan ini akan memberi kesan negatif ketara terhadap perbelanjaan dan kehidupan rakyat.

    "Kenaikan harga tepung gandum didakwa pihak kementerian sebagai tidak dapat dielakkan, dipercayai bakal memberi banyak kesan negatif kepada pengguna.

    "Dalam hal ini, saya berpendapat pihak kementerian sewajarnya lebih bertanggungjawab membela nasib rakyat dan tidak mudah tunduk kepada desakan pihak tertentu," katanya.

    SURUHANJAYA HARGA PATUT DITUBUH

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNDHEP) mengumumkan kenaikan harga siling bagi tepung gandum sebanyak 15 sen, menjadikan harganya kini, RM1.35 satu kilogram.

    Antara sebab yang diberikan bagi menaikkan harga kawalan tepung gandum ialah peningkatan kos pengeluaran pada peringkat antarabangsa kerana sebahagian besar gandum digunakan untuk memproses tepung gandum di negara ini diimport dari Australia atau United Kingdom.

    Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) bimbang kenaikan harga tepung gandum ini akan menyebabkan kenaikan bahan berasaskan tepung khususnya bahan makanan seperti roti, roti canai, kuih-muih dan sebagainya.

    Fomca berpandangan bahawa kerajaan sewajarnya mengadakan perbincangan dengan persatuan pengguna terlebih dulu sebelum sesuatu kenaikan harga barang atau perkhidmatan dilakukan. Tindakan ini bagi memastikan kenaikan harga berkenaan tidak membebankan pengguna.

    Satu daripada mekanisme yang wajar diwujudkan bagi tujuan ini ialah penubuhan Suruhanjaya Harga. Menerusi Suruhanjaya Harga ini, sebarang tuntutan kenaikan harga akan dibincangkan suruhanjaya ini yang membabitkan kerajaan, pengeluar/pengilang dan pengguna.

    Sekiranya ada alasan yang wajar bagi kenaikan, maka kenaikan itu akan dibenarkan. Suruhanjaya ini juga akan membincangkan sekiranya struktur harga sesuatu barang itu perlu disemak semula selepas sekian lama ia ditetapkan.

    Ada antara 11 barang kawalan itu tidak disemak sejak mula ia ditetapkan. Sekiranya semakan semula itu dilakukan secara berkala, sebarang kenaikan yang berlaku adalah kecil dan ia tidak akan menjejaskan kos pengeluaran dan pengguna tidak akan berasa beban kenaikannya.

    Oleh kerana tidak wujud Suruhanjaya Harga pada masa ini, maka apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga sesuatu barang, kenaikan berkenaan agak tinggi sehingga pelbagai pihak mengalami kesan kenaikan itu.

    Apabila timbul ura-ura mengenai kenaikan gaji bagi kakitangan kerajaan, beberapa barang bukan kawalan mengalami kenaikan harga. Ia disebabkan tindakan sesetengah pihak yang ingin meraih faedah daripada kenaikan gaji.

    Dalam hal ini, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya kenaikan harga berlaku.

    Justeru, Fomca meminta supaya digubal Akta Perdagangan Adil agar sesuatu tindakan boleh diambil kepada peniaga yang menaikkan harga bagi sesuatu barang bukan kawalan dengan sewenang-wenangnya.

    Menerusi Akta Kawalan Harga 1946, kerajaan hanya boleh mengambil tindakan kepada peniaga yang menjual barang kawalan melebihi harga siling yang ditetapkan atau tidak meletakkan tanda harga bagi barang yang dijual, sama ada barang berkenaan dikawal ataupun tidak.

    Pada masa ini,KPDNDHEP sedang menggubal Dasar Amalan Perdagangan Adil (DAPA).

    Namun, peraturan ini lebih memberikan tumpuan kepada persaingan tidak sihat dalam sektor industri saja dan tidak mengandungi peruntukan antara peniaga dengan pengguna.

    KPDNHEP wajar mewujudkan peruntukan dalam Dasar Amalan Perdagangan Adil, iaitu jika wujudnya amalan perniagaan yang tidak beretika termasuk mengenakan harga tidak munasabah, maka tindakan boleh diambil terhadap sesuatu perniagaan, sama ada pada peringkat pengeluar, pengilang, pemborong atau peruncit.

    MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN,
    Pengarah Komunikasi
    Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

    Surat & Emel, Berita Harian
    17 Mei 2007

    TUBUHKAN SURUHANJAYA HARGA BARANGAN, PERKHIDMATAN

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengumumkan kenaikan harga siling bagi tepung gandum sebanyak 15 sen, menjadikan harganya kini RM1.35 satu kilogram.

    Antara sebab yang diberikan bagi menaikkan harga kawalan tepung gandum ialah peningkatan kos pengeluaran di peringkat antarabangsa kerana sebahagian besar daripada gandum yang digunakan untuk memproses tepung gandum di negara ini diimport dari Australia atau United Kingdom.

    FOMCA bimbang dengan berlakunya kenaikan harga tepung gandum ini akan menyebabkan kenaikan bagi bahan-bahan berasaskan tepung khususnya bahan makanan seperti roti canai, kuih-muih dan sebagainya.

    FOMCA berpandangan bahawa kerajaan sewajarnya mengadakan perbincangan dengan persatuan pengguna terlebih dahulu sebelum sesuatu kenaikan harga barangan ataupun perkhidmatan dilakukan. Ini bagi memastikan kenaikan harga tersebut tidak membebankan para pengguna. Salah satu mekanisme yang wajar diwujudkan bagi tujuan ini ialah penubuhan Suruhanjaya Harga. Melalui Suruhanjaya Harga ini, sebarang tuntutan kenaikan harga akan dibincangkan di suruhanjaya ini yang melibatkan pihak kerajaan, pengeluar/pengilang dan pengguna.

    Sekiranya terdapat alasan yang wajar bagi kenaikan, maka kenaikan itu akan dibenarkan. Suruhanjaya ini juga akan membincangkan sekiranya struktur harga sesuatu barangan itu perlu disemak semula setelah sekian lama ia ditetapkan. Ini kerana ada di antara 11 barang kawalan itu telah tidak disemak sejak mula ia ditetapkan Oleh yang demikian, sekiranya semakan semula itu dilakukan secara berkala, sebarang kenaikan yang berlaku adalah kecil sahaja dan ini tidak akan menjejaskan kos pengeluaran dan pengguna tidak akan terasa bebanannya.

    Oleh kerana tidak wujudnya Suruhanjaya Harga pada masa ini, maka apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga sesuatu barangan, kenaikan tersebut agak tinggi sehingga pelbagai pihak mengalami kesan kenaikan itu.

    Selain itu, apabila timbulnya ura-ura tentang kenaikan gaji bagi kakitangan kerajaan, beberapa barangan bukan kawalan telah mengalami kenaikan harga. Ini disebabkan oleh tindakan sesetengah pihak yang ingin meraih faedah daripada kenaikan gaji ini. Dalam hal ini juga kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya kenaikan harga ini berlaku. Justeru, FOMCA meminta akan digubal Akta Perdagangan Adil agar sesuatu tindakan boleh diambil kepada peniaga yang menaikkan harga bagi sesuatu barangan bukan kawalan dengan sewenang-wenangnya.

    Pada masa ini, di bawah Akta Kawalan Harga 1946, kerajaan hanya boleh mengambil tindakan kepada peniaga yang menjual barangan kawalan melebihi harga siling yang ditetapkan atau tidak meletakkan tanda harga bagi barangan yang dijual, sama ada barangan tersebut dikawal ataupun tidak.

    Pada masa ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang menggubal Dasar Amalan Perdagangan Adil (DAPA). Namun peraturan ini lebih memberikan tumpuan kepada persaingan tidak sihat dalam sektor industri sahaja, dan tidak mengandungi peruntukan di antara peniaga dengan pengguna. Oleh itu, KPDNHEP wajar mewujudkan peruntukan dalam Dasar Amalan Perdagangan Adil, iaitu jika wujudnya amalan perniagaan yang tidak beretika termasuk mengenakan harga yang tidak munasabah, maka tindakan boleh diambil terhadap sesuatu perniagaan, sama ada di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong atau peruncit.

    – MOHD. YUSOF ABDUL RAHMAN,
    Pengarah Komunikasi FOMCA.


    Pendapat, Utusan Malaysia
    18 Mei 2007

    Khamis, Mei 10, 2007

    KENAIKAN GAJI TANDA PILIHANRAYA UMUM SEMAKIN HAMPIR, KATA HAMDAN


    Selvarani Mogan
    May 9, 07 12:09pm



    Pengumuman kenaikan gaji bagi 1.2 juta kakitangan awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, menandakan pilihanraya umum semakin hampir, kata Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Hamdan Adnan.

    Bagaimanapun, bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) itu menyifatkan keputusan kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam adalah wajar dan kena pada masanya.

    Di samping itu, beliau juga menjangka berlaku kenaikan harga barangan kerana ada peniaga yang akan mengambil kesempatan daripada kenaikan gaji tersebut.

    "Barangan keperluan asas seperti gula, beras dan tepung merupakan barangan kawalan, tapi harga barangan lain juga harus dikawal.

    "Jika berlaku kenaikan harga barangan keperluan, pekerja swasta, mereka yang berkerja sendiri, petani serta nelayan akan terpaksa berbelanja lebih banyak," katanya.

    Ketika mengumumkannya semalam, Perdana Menteri berkata, kakitangan kerajaan di seluruh negara berhak mendapat kenaikan gaji tersebut.

    Abdullah berkata, perbezaan pendapatan antara pegawai rendah dan tinggi akan diambilkira dalam menentukan formula kenaikan gaji itu kerana kos hidup yang tinggi membebankan golongan bergaji rendah.

    Kawal harga barang

    "Kakitangan awam wajar diberi kenaikan gaji tetapi banyak mana setakat ini hanya (Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam) Tan Sri Ismail Adam sahaja yang tahu," katanya dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, di Putrajaya.

    Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut mengalu-alukan pengumuman kenaikan gaji itu dan menegaskan keutamaan harus diberikan kepada kumpulan sokongan dan yang berpendapatan rendah.

    Sehubungan itu, presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berharap kakitangan berkenaan akan memanfaatkan tambahan pendapatan itu untuk menabung dan melabur.

    "Tetapi adakah kenaikan yang dimaksudkan itu selaras dengan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs)," katanya.

    Bagaimanapun, Syed Shahir berkata, kos pengangkutan awam harus dikawal kerana dalam tempoh lima atau enam tahun ini, telah berlaku banyak kenaikan tambang.

    Ditanya sama ada akan berlaku kenaikan harga barangan ekoran kenaikan gaji tersebut, beliau berkata, ia tidak dapat dijangka kerana tanpa kenaikan gaji pun, harga barangan tetap meningkat.

    Apa yang perlu dilakukan, katanya, ialah mengawal dan memantau dengan serius harga barangan asas seperti beras dan minyak masak.


    Malaysiakini
    9 Mei 2007