Selasa, Ogos 30, 2005

Perisytiharan Selangor maju terus dipertikai

Monday, August 29 @ 16:58:21 MYT


Oleh ROY RASUL
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Hrkh) – Indikator Selangor negeri maju masih dipertikaikan oleh orang ramai, kata Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd Yusuf Abdul Rahman.

Ini katanya, semasa dihubungi Harakahdaily hari ini, tidak semua warga negeri tersebut dapat menikmati hasil kemajuannya walaupun Selangor diisytiharkan negeri maju pada 27 Ogos lalu.

“Secara umumnya tidak ramai yang merasai nikmatnya dan nampaknya ia hanya lebih gimik sedangkan keadaan kebanyakan rakyat negerinya masih tak ada sebarang perubahan,” katanya.

Malah katanya, nikmat Selangor negeri maju mungkin hanya dirasai kerajaannya.

Menurutnya, aras penanda Selangor negeri maju lebih dilihat kepada pembangunan secara kasar.

“Mungkin pelaburan di Selangor antara negeri di negara ini yang tertinggi tetapi jika diteliti secara keseluruhan banyak lagi kawasan yang masih ketinggalan terutamanya di hulu-hulu,” katanya.

Katanya, kawasan tersebut masih jauh kekurangan dari segi kemudahan asasnya malah taraf hidup mereka masih daif.

Kerajaan Selangor katanya, sepatutnya melihat keseluruhan taraf hidup rakyatnya sudah mencapai kemajuan pada tahap yang membanggakan.

“Memanglah kawasan seperti Shah Alam dan Petaling Jaya prasarananya sudah lengkap tetapi itu bukan cukup untuk mengisyhtiharkan negerinya maju,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, di daerah Sabak Bernam jalan rayanya masih tidak sempurna dan begitu juga kawasan-kawasan lain di mana bekalan airnya masih rendah kualitinya.

Satu aspek lagi katanya, apabila negeri tersebut mencapai tahap maju kos hidup rakyatnya bakal berhadapan dengan taraf hidup yang lebih tinggi.

Dengan itu tegasnya, kos hidup yang makin bertambah tidak setimpal pula dengan apa yang diperolehi. - lanh

Tiada ulasan: