Isnin, Oktober 16, 2006

Isu barang: Tanda harga merah jambu kurang sambutan

Oleh Salmiyah Harun
Harakahdaily
12 Okt 2006

Briged Pemantau Pengguna yang ditubuhkan oleh Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS mendapati 20 peratus sahaja pelaksanaan tanda harga warna merah jambu diletakkan bagi 15 barang di bawah skim kawalan harga.

Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman mendedahkan perkara itu ketika membuat pemantauan harga di Pasar Borong Selangor pada 8 Oktober lalu.

Katanya, terdapat juga peniaga yang meletakkan harga melebihi harga kawalan sebagai contoh RM10 bagi sekilogram ikan kembung saiz sederhana sedangkan harga kawalan yang diwartakan bagi negeri Selangor adalah RM9 sekilogram.

Sehubungan itu Mazlan berkata, Briged Pemantau Pengguna bersedia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menjaga kepentingan orang ramai.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui selepas menyerahkan memorandum mendesak tindakan KPDNHEP terhadap isu kenaikan harga barangan dan kepenggunaan.

Memorandum tersebut diterima Jaujan Sambakong, setiausaha politik menteri berkenaan, Dato' Shafie Afdal, di kementerian terbabit di sini hari ini.

Turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut ialah Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS, Taufik Abdul Ghani; Exco Pemuda PAS, Jamsari Marsum dan Adram Musa.

Sementara itu sewaktu ditanya berkenaan isu kekurangan bekalan gula baru-baru ini, Mazlan mencadangkan Kabinet mewujudkan pelan tindakan agar tidak lagi timbul masalah berkenaan.

"Saya berharap tidak lagi masalah timbul selepas pihak kerajaan mengimpot bekalan gula," katanya.

Briged Pemantau Pengguna yang ditubuhkan pada 3 September lalu mempunyai anggota seramai 40 orang di seluruh negara, menumpukan tugas-tugas seperti kawalan harga pada musim perayaan, memantau barang dan tanda halal serta memastikan bekalan barang keperluan mencukupi.

Kenaikan tarif air tinggi, kerajaan didesak dedah perjanjian konsesi

Sun | Oct 15, 06 | 04:29:22 PM
Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Hrkh) - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata kenaikan kadar tarif air sebanyak 15 peratus bagi kawasan Lembah Klang tidak lama lagi agak tinggi.

Oleh sebab itu, Pengarah Korporat Komunikasi Fomca, Mohd Yusuf Abd Rahman berkata, kerajaan sepatutnya memaklumkan kepada rakyat butir-butir yang termaktub dalam perjanjian konsesi antaranya dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) Sdn Bhd.

"Kenaikan 15 peratus itu agak tinggi namun masalahnya kita tidak tahu sama ada 15 peratus itu perkara yang termaktub dalam perjanjian itu ataupun tidak," katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ini disebabkan dakwa Yusuf, jika dilihat pada kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato' Seri Dr Lim Keng Yaik kadar 15 peratus itu seolah-olah ia termasuk dalam perjanjian.

"Jika termasuk dalam perjanjian tersebut sudah pasti mereka akan menaikkan sebanyak 15 peratus apabila berlaku kenaikan, sebagaimana terjadi dalam konsesi tol dulu, di mana setiap tiga tahun mereka menaikkan 10 peratus dan mungkin keadaan yang sama akan berlaku kepada Syabas," katanya.

Tetapi katanya, jika perjanjian itu dibuat tanpa ditetapkan kadarnya, keputusannya hanya ditentu oleh kerajaan sendiri.

"Jika tidak termaktub dalam perjanjian konsesi, walaupun Syabas meletakkan 15 peratus, kerajaan mempunyai kuasa untuk pertimbangkan sama ada kurang atau lebih seperti mana tarif elektrik yang tidak tertakluk kepada perjanjian," katanya.

Sehubungan itu, katanya, sewajarnya perjanjian konsesi Syabas dengan kerajaan perlu didedahkan kepada orang ramai agar mereka tahu apa isi kandungannya.

"Tapi ini tidak berlaku kerana itu kadang-kadang susah untuk dinilaikan sama ada kenaikan itu wajar atau tidak.

"Tambahan pula jika dilihat kenyataan menteri terbabit, bahawa jika kerajaan tidak menaikkan kadar tarif kerajaan kena bayar pampasan kepada Syabas dan sudah tentu duit yang dibayar kerajaan itu datang daripada hasil kutipan cukai yang dibayar rakyat," katanya lagi.

Dr. Lim Keng Yaik dalam kenyataan semalam berkata, kadar tarif air di Lembah Klang akan dinaikkan sebanyak 15 peratus tidak lama lagi setelah keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

Malah katanya, kerajaan memberi jaminan ia tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah yang mewakili 42 peratus penduduk kawasan itu. - mks.

Isnin, Oktober 02, 2006

Soal Jawab: Entiti berbeza kementerian atasi masalah kenaikan


Kekurangan bekalan gula di pasaran, diikuti kenaikan harga sesetengah barangan seperti ayam mula meresahkan pengguna. Pelbagai dakwaan dibuat menjurus kepada perbuatan peniaga cuba meraih keuntungan secara berlebihan dan tuduhan kegagalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bertindak. Wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin mewawancara Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusuf Abdul Rahman.

MENGAPA sesetengah harga barangan naik mendadak ketika musim perayaan.
Inilah keadaan yang sering berlaku pada musim perayaan. Antara alasan yang diberikan peniaga ialah permintaan meningkat. Ia antara alasan Persekutuan Penternak Malaysia apabila menaikkan harga ayam sebanyak dua kali dalam tempoh singkat.

Sepatutnya apabila permintaan meningkat, peniaga mengekalkan harga atau mengurangkan harga kerana dapat mengaut keuntungan besar. Selain itu, inilah masa peniaga mengaut keuntungan secara berlebihan, terutama barangan berkaitan perayaan seperti pakaian. Pengguna akan membeli-belah mengikut perasaan. Walaupun harga tinggi, mereka tetap beli.

Mungkinkah ada unsur manipulasi peniaga.

Memang ini yang berlaku. Peniaga cuba untuk memanipulasi harga bagi mendapat keuntungan lebih tinggi. Dalam kes Skim Kawalan Harga Musim Perayaan. Apabila kerajaan menetapkan harga siling bagi beberapa barang keperluan harian, peniaga meletakkan harga pada paras siling, sedangkan sebelum ini harga barang itu lebih rendah. Ia yang menyebabkan pengguna merungut kenaikan harga berlaku setiap kali skim kawalan harga dilaksanakan.

Begitu juga peranan orang tengah seperti pemborong. Orang tengah banyak menentukan harga sesuatu barangan. Peranan mereka perlu dikurangkan atau kalau boleh, dihapuskan terus. Dulu apabila pasar tani menjadi medan untuk petani memasarkan tanaman secara langsung kepada pengguna.

Sekarang, orang tengah pula mengambil alih. Sebab itu harga di pasar tani pun tinggi. Kementerian Pertanian dan Asas Tani wajar mengembalikan semula peranan pasar tani seperti asal.

Mengapakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kelihatan gagal mengawal keadaan ini berlaku hampir setiap kali musim perayaan.

Keadaan ini mungkin akibat undang-undang yang ada tidak banyak membantu kementerian untuk mengambil tindakan terhadap peniaga menaikkan harga barang, terutama barangan yang tidak dikawal harganya.

Peraturan mengikut Akta Kawalan Harga menetapkan peniaga menetapkan tanda harga. Bagi barang menerusi skim kawalan harga musim perayaan, perlu meletakkan tanda harga berwarna merah jambu dan harga tidak boleh melebihi harga siling ditetapkan.

Bagaimanapun, bagi barang bukan kawalan, walaupun peniaga meletakkan tanda harga, tetapi harga mahal, itu tidak menjadi kesalahan. Ini yang menyebabkan Fomca meminta supaya Akta Perdagangan Adil digubal membolehkan peniaga yang menaikkan harga barangan untuk tujuan mengaut keuntungan dikenakan tindakan.

Apakah cadangan Fomca untuk mengelakkan harga barangan meningkat ketika musim perayaan.

Kerajaan sepatutnya maklum bahawa permintaan terhadap barangan akan meningkat ketika musim perayaan. Oleh itu, kerajaan boleh merangka strategi bagi menampung permintaan ini. Ia boleh dilakukan dengan membuka lebih banyak permit import bagi barang keperluan ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pernah adakan sistem amaran jika sesuatu barangan mengalami kekurangan bekalan di pasaran. Apabila ia berlaku, lebih banyak permit import dikeluarkan.

Apabila barangan keperluan mencukupi, pengguna perlu menggunakan kuasa mereka. Jika ada peniaga menjual barangan dengan harga lebih tinggi daripada kebiasaan, jangan beli dari kedai itu.

Bagaimana dengan kekurangan gula berlarutan lebih enam bulan lalu.

Ini yang menimbulkan kemusykilan kepada pengguna. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menyatakan bekalan gula mencukupi, tetapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendakwa bekalan tidak mencukupi.

Pelbagai alasan diberikan seperti sistem pengangkutan pengedaran gula kurang berkesan, kegiatan menyorok dan menyeludup bekalan gula. Walau apapun alasan diberikan, pengguna menghadapi kesukaran mendapat bekalan gula.

Kenapa masalah ini lambat diselesaikan.

Pada pandangan saya, keadaan ini berlaku disebabkan sistem yang diamalkan sekarang membolehkan monopoli. Ia bukan saja membabitkan gula, tetapi komoditi lain seperti tepung dan beras.

Kerajaan juga gagal memberikan tekanan kuat terhadap pengeluar kerana kerajaan perlu memastikan perdagangan dalam negara terus berkembang.

Inilah konflik dihadapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana secara serentak perlu menjaga kepentingan pengguna dan sektor perniagaan. Mungkin untuk mengelakkan konflik begini berterusan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu dipisahkan.

Fomca mendesak supaya Jabatan Hal Ehwal Pengguna ditubuhkan dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya kepentingan pengguna akan lebih kuat.

Selain itu, kawalan harga gula hanya berlaku pada peringkat peruncitan. Ia yang menyebabkan ada peniaga mendakwa pemborong menjual gula melebihi harga ditetapkan seperti RM1.70 sekilogram. Ini akan menimbulkan dilema kepada peniaga runcit kerana sudah tentu terpaksa menjual pada harga lebih tinggi.

Apabila ini dilakukan mereka melakukan kesalahan. Oleh itu, cara lebih selamat ialah tidak menerima bekalan dan tidak menjual gula kepada pengguna. Apabila kawalan harga dikenakan pada peringkat pengeluar dan pemborong, keadaan begini tidak lagi boleh dilakukan.

Apakah keadaan ini berlaku akibat strategi pihak tertentu untuk menaikkan harga gula.

Memang inilah strategi sedang dirancang pihak terbabit dalam pengeluaran dan pengedaran gula. Keadaan ini berlaku apabila harga gula mentah di pasaran antarabangsa naik hingga RM1,300 satu tan. Oleh itu, pengeluar mendapati margin keuntungan berkurangan kerana harga gula kasar yang dikawal antara RM1.40 hingga RM1.45.

Oleh itu, mereka meningkatkan pengeluaran gula halus yang pada masa itu tidak dikawal. Di samping itu mereka meningkatkan penjualan kepada sektor industri yang sebelum ini mendapatkan bekalan dari negara jiran seperti Thailand. Apabila harga gula pasaran antarabangsa tinggi, mereka beralih kepada pengeluar gula tempatan pula.

Sebab itulah secara sinisnya Fomca mencadangkan supaya harga gula dinaikkan sedikit. Apabila ini dilakukan, `secara tiba-tiba’ kita mendapati bekalan gula pulih seperti biasa. Selain ‘membantu memulihkan keuntungan pengeluar’ dan mengurangkan kegiatan penyeludupan, ia dapat mengurangkan penggunaan gula.

Bagaimana dengan tindakan kerajaan bagi menyelesaikan masalah ini.

Langkah kerajaan untuk meliberalisasikan pasaran gula mungkin dapat membantu meningkatkan bekalan gula. Ia bertujuan memecahkan monopoli dari segi pengeluaran dan pengedaran gula yang berlaku pada masa ini. Kerajaan juga perlu memberi lesen kepada lebih banyak pengusaha ingin mengeluarkan gula di negara ini. Oleh itu, bekalan gula tempatan bukan saja mencukupi, malah boleh dieksport. Industri membekalkan pengeluaran gula perlu digalakkan seperti penanaman tebu secara besar-besaran. Oleh itu, pengeluar boleh mendapatkan bekalan daripada penanam tebu tempatan dan tidak lagi mengimport bekalan gula mentah.

Saudara ada mencadangkan supaya monopoli gula ini dipecahkan, boleh ulas.

Pengeluaran gula ketika ini dikuasai empat kilang gula, iaitu Malayan Sugar Manufacturing, Kilang Gula Felda Perlis, Gula Padang Terap dan Central Sugar Refinery. Daripada empat kilang ini, ia dikuasai oleh dua syarikat utama, iaitu Malayan Sugar Manufacturing dan Kilang Gula Felda Perlis dikawal oleh Perlis Plantations Berhad (PPB), manakala Gula Padang Terap dan Central Sugar Refinery oleh Tradewinds Corporation Berhad.

Sudah tentu apabila wujud pasaran bersifat monopoli oleh pengeluar tertentu, mereka boleh membuat pakatan untuk menentukan bekalan dan harga. Apatah lagi kerajaan tidak boleh mengenakan tekanan keterlaluan kepada pengeluar.

Lantaran itu, pengeluar boleh membuat pelbagai pilihan untuk meningkatkan margin keuntungan seperti menjual kepada sektor industri, meningkatkan jumlah eksport atau mengeluarkan barangan yang bukan di bawah barangan kawalan.

Ini dilakukan dengan mengeluarkan lebih banyak gula halus (sebelum dijadikan barang kawalan) atau mewujudkan gula yang diperkayakan kandungannya yang membolehkan ia tidak lagi terletak di bawah barangan kawalan.

Info: Manipulasi harga

  • Peniaga cuba memanipulasi harga bagi mendapat keuntungan lebih tinggi.

  • Apabila kerajaan menetapkan harga siling beberapa barang keperluan harian, peniaga meletakkan harga pada paras siling, sedangkan sebelum ini harga barang itu lebih rendah.

  • Pengguna merungut kenaikan harga berlaku setiap kali skim kawalan harga dilaksanakan.

  • Orang tengah banyak menentukan harga sesuatu barangan. Peranan mereka perlu dikurangkan atau dihapuskan terus.

  • Dulu apabila pasar tani menjadi medan untuk petani memasarkan tanaman secara langsung kepada pengguna. Sekarang, orang tengah pula mengambil alih. Sebab itu harga di pasar tani pun tinggi.

  • Berita Minggu
    1 Oktober 2006

    Penternak untung 35% -- Ekoran persatuan naikkan harga ayam RM1.05/kg dalam seminggu

    Oleh: SADATUL MAHIRAN ROSLI

    KUALA LUMPUR 29 Sept. – Persatuan penternak ayam dijangka mengaut keuntungan antara 30 dan 35 peratus ekoran kenaikan harga ayam sebanyak 65 sen dan 40 sen berkuat kuasa minggu lalu dan semalam.

    Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, alasan untuk mengembalikan keuntungan kesan daripada penyakit selesema burung yang melanda negara sebelum ini, adalah tidak munasabah.

    Selain itu, katanya, justifikasi untuk menaikkan harga ayam seperti peningkatan kos penternak, pengangkutan dan kos pengendalian juga tidak boleh diterima.

    “Perbuatan ini merupakan satu penganiayaan kepada sensitiviti pengguna terutamanya pada musim perayaan.

    “Persatuan penternak tahu, jika mereka naikkan harga ayam, pengguna akan beli juga kerana berdasarkan kajian yang dilakukan oleh CASSA, dalam masa empat bulan kebelakangan ini, permintaan bagi ayam meningkat lima kali ganda.

    ‘‘Justeru, atas permintaan yang melonjak tersebut, persatuan penternak mengambil jalan mudah mengaut keuntungan dengan menyediakan justifikasi yang palsu sedangkan kenaikan itu dijangka memberi pulangan hampir 35 peratus,’’ katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia hari ini.

    Semalam Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (PPPM) menaikkan harga ayam sebanyak 40 sen lagi setelah dinaikkan 65 sen minggu lalu.

    Dengan kenaikan itu, harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedu kini RM6.05 sekilogram.

    Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal semalam mengumumkan harga siling ayam diturunkan kepada RM6.05 sekilogram daripada RM6.70 berkuat kuasa hari ini.

    Harga siling ayam standard turut diturunkan kepada RM5.40 sekilogram daripada RM6.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha‘ani Abdullah berkata, kenaikan harga ayam itu sengaja dirancang sewaktu barangan lain turut mengalami kenaikan.

    Menurutnya, walaupun harga yang dinaikkan masih di bawah paras siling, namun kenaikan RM1.05 (65 sen dan 40 sen) begitu tinggi pada waktu ini.

    Dalam hal ini, beliau mencadangkan kepada pengguna supaya menukar tabiat pemakanan ayam iaitu tidak mengambilnya setiap hari.

    ‘‘Sekiranya pengguna mengambilnya selang sehari, permintaan terhadap ayam dijangka akan menurun kepada 50 peratus, sekaligus menyebabkan lambakan di pasaran.

    ‘‘Oleh kerana ayam bukanlah barangan yang boleh disimpan lama, ia harus dijual dalam masa tertentu, nak tidak hendak, penjual akan menurunkan harga ayam daripada membiarkan ayam itu dibuang begitu sahaja.

    ‘‘Namun, tindakan sebegitu memerlukan kerjasama daripada semua pengguna,’’ katanya.

    Tambahnya, sudah tiba masanya, pengguna mencari makanan alternatif yang lebih berkhasiat seperti ikan dan daging lembu yang turut membekalkan protein.

    Presiden Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Datuk Dr. Maamor Osman pula berkata, margin keuntungan normal ke atas barang keperluan harian sepatutnya sekitar 10 peratus.

    ‘‘Tiap-tiap hari orang makan ayam. Jadi, lama kelamaan mereka akan untung kembali, walaupun mereka berulang kali mengatakan telah mengalami kerugian sebelum ini,’’ katanya.



    Utusan Malaysia
    30 September 2006

    FOMCA mahu harga siling ayam RM5.40/kg

    KUALA LUMPUR 28 Sept. – Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendesak kerajaan menurunkan harga siling ayam sekarang dari RM6.70 sekilogram kepada RM5.40 sekilogram.

    Presidennya, N. Marimuthu berkata, ia bagi mengelakkan peniaga mengaut untung sewenang-wenangnya apatah lagi harga siling yang ditetapkan sekarang terlalu tinggi.

    Beliau juga menggesa menteri yang bertanggungjawab supaya lebih tegas dan menggunakan kuasa yang ada untuk menurunkan harga siling ayam.

    ‘‘Jangan terlampau tunduk kepada kehendak peniaga sehingga boleh menaikkan harga begitu sahaja tanpa perlu melaporkan kepada kementerian.

    ‘‘Sudah tiba masanya kementerian jangan melayan permintaan pihak penternak atau pemborong yang cuba mengambil kesempatan dengan kelembutan kerajaan sekarang,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) mengumumkan kenaikan harga ayam sehingga 40 sen bermula hari ini.

    Dengan kenaikan itu, harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal kini RM6.05 sekilogram.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman turut menggesa kerajaan menurunkan harga siling ayam dengan segera.

    Beliau berkata, harga siling yang tinggi mendorong pihak tertentu untuk mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.

    ‘‘Kenaikan harga ayam dua kali dalam seminggu adalah tidak masuk akal dan ini menunjukkan kerakusan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan lebih.

    ‘‘Kalau betul permintaan ayam meningkat, berapakah peningkatannya. Mereka (penternak) perlu menunjukkan bukti sahih kepada kerajaan bahawa permintaan ayam meningkat di bulan Ramadan,’’ katanya.



    Utusan Malaysia
    29 September 2006

    Kementerian perlu campur tangan harga ayam naik mendadak

    KUALA LUMPUR 27 Sept. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu campur tangan bagi mengawal kenaikan harga ayam yang terlalu mendadak sehingga membebankan pengguna.

    Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nor Nirwandy Mat Noor berkata, walaupun kenaikan terbaru sehingga 40 sen masih di bawah harga siling tetapi perlu ada satu mekanisme untuk mengelak kenaikan mendadak.

    ‘‘Dalam tempoh satu minggu harga ayam boleh naik 95 sen hingga mencecah harga siling maksimum dan ini akan memberi kesan yang besar kepada pengguna.

    ‘‘Kementerian sepatutnya mempunyai mekanisme kenaikan harga barang kawalan agar ia tidak terlalu mendadak,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Tambahnya, pihak penternak memang sudah merancang mengguna kesempatan musim perayaan untuk mengaut keuntungan lebih tinggi.

    Sehubungan itu katanya, kementerian perlu segera campur tangan bagi mengelak pengguna ditindas semata-mata kerana sifat tamak penternak dan peniaga.

    Justeru katanya, satu langkah pengawalan perlu dilaksanakan dan jika perlu pihak kementerian boleh menurunkan harga siling bagi ayam untuk membantu pengguna.

    Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) hari ini sekali lagi mengumumkan kenaikan harga ayam sehingga 40 sen bermula esok.

    Kenaikan tersebut merupakan yang kedua dalam tempoh satu minggu selepas dinaikkan 65 sen berkuatkuasa 21 September lepas.

    Dengan kenaikan itu, harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal kini ialah RM6.05 sekilogram manakala harga siling ditetapkan ialah RM6.70 sekilogram.

    Sementara itu, Presiden Fomca, N. Marimuthu berkata, insiden terbaru ini menunjukkan kementerian terbabit tidak konsisten dalam menangani isu-isu kepenggunaan.

    Kementerian katanya, perlu menetapkan syarat lebih ketat seperti memberi alasan munasabah berhubung sesuatu kenaikan harga bagi barang kawalan walaupun ia masih di paras harga siling.

    ‘‘Saya tahu pengguna juga sudah beranggapan kementerian tidak konsisten dalam menguatkuasakan harga barangan.

    ‘‘Kadang-kadang nampak tegas tapi kadang-kadang tunduk kepada kehendak peniaga sehingga boleh menaikkan harga begitu sahaja tanpa perlu melaporkan kepada kementerian,’’ katanya.

    Menurutnya, dalam situasi sekarang, jelas menunjukkan bahawa peniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan daripada pengguna.

    ‘‘Apa saja krisis akhir sekali pengguna yang jadi mangsa. Sekarang harga ayam naik dua kali dalam satu minggu dan kementerian tidak boleh berdiam diri,’’ ujarnya.


    Utusan Malaysia
    28 September 2006

    FOMCA arah pemantau teliti harga barang

    KUALA LUMPUR 25 Sept. – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini mengarahkan 50 pemantau yang terdiri daripada anggotanya mengesan dan memantau sebarang kenaikan harga barang di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

    Presidennya, N. Marimuthu berkata, orang ramai juga turut diminta memaklumkan kepada pihaknya sekiranya berlaku kenaikan harga sempena musim perayaan yang bakal tiba ini.

    ‘‘Mulai Isnin depan, FOMCA akan mengemukakan laporan berhubung kenaikan harga barang yang dikesan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

    Jelas beliau, pihaknya kini telah mengenal pasti beberapa lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang dan menjual barangan yang telah tamat tempoh.

    Mengenai kenaikan harga barang di negeri-negeri lain, beliau memberitahu, ia terpulang kepada persatuan pengguna negeri masing-masing.

    Beliau menjelaskan, para pengguna yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan mengenai kenaikan harga barang yang melebihi harga siling boleh menelefon Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000 atau emel kepada nccc@nccc.org.my.


    Utusan Malaysia
    26 September 2006

    Bekalan gula kasar meruncing

    KUALA LUMPUR 24 Sept. – Masalah kekurangan gula kasar terus menghantui orang ramai ketika dua perayaan besar, Hari Raya Puasa dan Deepavali bakal menjelang tidak lama lagi.

    Laporan dua persatuan pengguna berhubung masalah tersebut menjelaskan lagi senario semasa yang dihadapi pengguna.

    Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendapati sebuah pasar raya di Bangsar sukar mendapatkan bekalan gula kasar selepas stok sedia ada habis seminggu lalu.

    Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, keadaan itu memaksa pengguna di situ mendapatkan gula kasar di tempat lain dengan harga yang lebih mahal berbanding harga yang ditetapkan kerajaan.

    ‘‘Selepas gula halus diletakkan sebagai barang kawalan, kita jangkakan masalah (kekurangan gula kasar) akan bertambah baik. Tetapi PPIM masih menerima laporan berhubungan kekurangan gula kasar.

    ‘‘Keadaan ini akan menyukarkan lagi orang ramai apabila menjelang musim perayaan tidak lama lagi,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

    Menurut Noor Nirwandy, pihaknya turut menerima aduan mengenai masalah kekurangan gula kasar daripada peruncit di sebuah Felda di Pahang.

    Katanya, aduan tersebut diterima dua minggu lalu dan pihaknya difahamkan keadaan tersebut masih berlarutan.

    Dalam perkembangan lain, kata beliau, PPIM akan menggerakkan ahlinya di seluruh negara untuk turun padang bagi memantau harga barangan kawalan yang ditetapkan kerajaan.

    Tambahnya, PPIM menjangkakan kenaikan harga akan tetap berlaku menjelang dua minggu terakhir umat Islam berpuasa.

    ‘‘Ini kerana permintaan terhadap barang keperluan seperti ayam dan daging akan meningkat,’’ tambahnya.

    Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan PersatuanPersatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, pihaknya turut mendapat aduan daripada para pengguna berhubung kekurangan gula kasar di sekitar ibu kota.

    Tambahnya, selain itu, persatuan tersebut akan turun padang bagi memantau 15 barangan kawalan menjelang musim perayaan ini.

    ‘‘Kita (Fomca) akan terus memantau bagi memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sempena musim perayaan,’’ katanya.


    Utusan Malaysia
    25 September 2006

    Krisis bekalan cili merah boleh ‘berjangkit’

    Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

    KUALA LUMPUR 1 Okt. – Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan sikap pemborong mengeksport bahan pertanian ke Singapura, sedangkan bekalan tempatan tidak cukup sebagai satu tindakan tidak bertanggung jawab, penganiayaan dan membelakangkan rakyat sendiri.

    Pengarah komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman, sepatutnya bekalan dalam negara harus dipenuhi terlebih dulu dan bukan sebaliknya, sehingga menyebabkan harga bahan itu naik mendadak di pasaran tempatan.

    Menurut beliau, pemborong seperti itu seharusnya ditarik lesen mereka di samping dikenakan tindakan paling tegas kerana lebih mementingkan keuntungan daripada kepentingan negara.

    ‘‘Ia merupakan satu penganiayaan kepada golongan pengguna di negara ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Katanya, hasil kaji selidik yang dilakukan oleh pihak FOMCA, harga siling cili merah RM8 sekilogram sudah cukup tinggi. Berbanding sebelum ini harganya adalah sekitar RM6 sekilogram.

    ‘‘Oleh itu mereka tidak wajar mengeksport cili merah ke luar negara jika ia menjejaskan jumlah bekalan untuk pasaran tempatan. FOMCA yakin bekalannya cukup untuk keperluan kita sekiranya pemborong-pemborong ini lebih bertanggungjawab,’’ tambahnya.

    Kata Mohd Yusof, masalah kekurangan bekalan cili merah di pasaran merupakan satu petunjuk bahawa bekalan bahan makanan lain boleh menerima nasib yang sama sekiranya kerajaan tidak bersungguh-sungguh menangani isu tersebut.

    Beliau berkata, pada peringkat ini kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif bagi menangani masalah itu dan antara tindakan segera ialah menyekat sebarang aktiviti eksport yang boleh menjejaskan jumlah bekalan untuk pasaran tempatan.

    ‘‘Cili merah adalah contoh terbaik. Masalah yang menimpa pada cili ini tidak mustahil akan ‘berjangkit’ kepada bahan makanan (mentah) yang lain. Apa yang berlaku ini adalah kesan daripada aktiviti tidak bertanggungjawab pemborong dan peruncit.

    ‘‘Fomca berpendapat kerajaan perlu lebih campur tangan supaya krisis kekurangan bekalan dapat dielakkan. Jangan benarkan mereka eksport cili merah ke Singapura sekiranya bekalan di negara ini tidak cukup. Jika terus berdegil kenakan tindakan paling tegas ke atas mereka,’’ katanya.

    Beliau mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini ini bahawa selepas mengalami kesukaran mendapatkan bekalan gula di pasaran diikuti dengan kenaikan harga ayam, para pengguna kini dijangka berhadapan pula dengan masalah kekurangan cili.

    Ini kerana faktor hujan sekarang dan masalah untuk mendapatkan bekalan import dari Indonesia dan Thailand ekoran musim perayaan akan menyebabkan bekalan cili di pasaran tempatan berkurangan.

    Keadaan diburukkan lagi dengan sikap pemborong yang lebih suka mengeksport cili tempatan ke Singapura kerana harganya lebih mahal.

    Sehubungan itu, Naib Presiden Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran Malaysia (PPPSM), Chong Tek Keong tidak menolak kemungkinan kenaikan harga bahan itu dalam masa terdekat.

    Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kerajaan perlu mempunyai satu pelan tindakan yang lebih komprehensif serta bersifat jangka masa panjang untuk menangani masalah krisis kekurangan bekalan seperti cili merah.

    Katanya, ketika ini pelan hanya berbentuk ad-hoc yang kadang kala hasilnya tidak memuaskan.

    ‘‘Sekarang ini cili merah dan mungkin pada masa akan datang bahan makanan lain pula susah hendak kita dapati dan kita tidak mahu perkara itu berlaku.

    ‘‘Kita tidak mahu setiap kali hari perayaan masalah yang serupa berlaku. Kerajaan perlu lebih bersungguh-sungguh dan jika terpaksa segala pengeluaran, pemasaran dan pengedaran bahan makanan diseliakan oleh syarikat milik kerajaan,’’ tambahnya.


    Utusan Malaysia
    2 Oktober 2006