Isnin, Oktober 02, 2006

Kementerian perlu campur tangan harga ayam naik mendadak

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu campur tangan bagi mengawal kenaikan harga ayam yang terlalu mendadak sehingga membebankan pengguna.

Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nor Nirwandy Mat Noor berkata, walaupun kenaikan terbaru sehingga 40 sen masih di bawah harga siling tetapi perlu ada satu mekanisme untuk mengelak kenaikan mendadak.

‘‘Dalam tempoh satu minggu harga ayam boleh naik 95 sen hingga mencecah harga siling maksimum dan ini akan memberi kesan yang besar kepada pengguna.

‘‘Kementerian sepatutnya mempunyai mekanisme kenaikan harga barang kawalan agar ia tidak terlalu mendadak,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, pihak penternak memang sudah merancang mengguna kesempatan musim perayaan untuk mengaut keuntungan lebih tinggi.

Sehubungan itu katanya, kementerian perlu segera campur tangan bagi mengelak pengguna ditindas semata-mata kerana sifat tamak penternak dan peniaga.

Justeru katanya, satu langkah pengawalan perlu dilaksanakan dan jika perlu pihak kementerian boleh menurunkan harga siling bagi ayam untuk membantu pengguna.

Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) hari ini sekali lagi mengumumkan kenaikan harga ayam sehingga 40 sen bermula esok.

Kenaikan tersebut merupakan yang kedua dalam tempoh satu minggu selepas dinaikkan 65 sen berkuatkuasa 21 September lepas.

Dengan kenaikan itu, harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal kini ialah RM6.05 sekilogram manakala harga siling ditetapkan ialah RM6.70 sekilogram.

Sementara itu, Presiden Fomca, N. Marimuthu berkata, insiden terbaru ini menunjukkan kementerian terbabit tidak konsisten dalam menangani isu-isu kepenggunaan.

Kementerian katanya, perlu menetapkan syarat lebih ketat seperti memberi alasan munasabah berhubung sesuatu kenaikan harga bagi barang kawalan walaupun ia masih di paras harga siling.

‘‘Saya tahu pengguna juga sudah beranggapan kementerian tidak konsisten dalam menguatkuasakan harga barangan.

‘‘Kadang-kadang nampak tegas tapi kadang-kadang tunduk kepada kehendak peniaga sehingga boleh menaikkan harga begitu sahaja tanpa perlu melaporkan kepada kementerian,’’ katanya.

Menurutnya, dalam situasi sekarang, jelas menunjukkan bahawa peniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan daripada pengguna.

‘‘Apa saja krisis akhir sekali pengguna yang jadi mangsa. Sekarang harga ayam naik dua kali dalam satu minggu dan kementerian tidak boleh berdiam diri,’’ ujarnya.


Utusan Malaysia
28 September 2006

Tiada ulasan: