Selasa, November 30, 2010

SKIM BIAYA KESIHATAN NASIONAL PERLU ADIL


Pengguna berhak nikmati keperluan asas penjagaan kesihatan tanpa mengira kedudukan

ISU caj hospital swasta yang tinggi hangat diperkatakan semula ekoran kenyataan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bahawa kos perubatan yang tinggi di hospital swasta adalah punca utama mendorong seseorang berhutang bank dan menggunakan kad kredit sehingga melebihi kemampuannya.

Sejak itu, pelbagai pihak mula membicarakan semula mengenai caj hospital, termasuk Kementerian Kesihatan, yang mengatakan akan mengkaji semula caj itu dengan mewujudkan satu garis panduan khusus mengenai caj hospital kerajaan.

Kenyataan seperti ini sering diutarakan oleh kementerian apabila timbulnya isu caj hospital yang tinggi ini. Tetapi apabila isu ini reda diperkatakan, cadangan mengenai garis panduan itu juga hilang begitu saja.

Malah, caj hospital swasta adalah antara aduan yang sering diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), iaitu bahagian aduan FOMCA. Hampir 50 aduan diterima NCCC setiap bulan mengenai perkhidmatan penjagaan kesihatan, yang sebahagian besarnya berkaitan caj hospital swasta yang tidak munasabah.

Aduan lain ialah pengendalian pesakit yang kurang profesional, kecuaian doktor dan pegawai hospital, maklumat perubatan tidak jelas dan sebagainya. Aduan ini bukan saja terhadap hospital swasta, malah juga hospital kerajaan dan antara masalah sering berlaku adalah masa menunggu rawatan yang lama, kurangnya doktor pakar, layanan kurang mesra dan sebagainya.

Perkhidmatan penjagaan kesihatan adalah hak pengguna untuk mendapatkan keperluan asas. Semua orang berhak menikmati kemudahan penjagaan kesihatan tanpa mengira kedudukan. Cuma yang membezakan ialah keselesaan diperoleh ketika proses rawatan itu.

Jika mereka ingin mendapat keselesaan di samping menjalani rawatan, maka mereka perlulah membayarnya. Namun dari segi kepakaran dan kelengkapan perubatan, tidak sewajarnya wujud standard yang berbeza.

Profesion perubatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dianggap sebagai perkhidmatan yang mulia kerana membantu menyembuhkan penyakit. Jika rawatan tidak diberikan, kemungkinan akan berlaku kematian.

Namun, kini perkhidmatan penjagaan kesihatan dianggap sebagai `lubuk wang’, seolah-olah `penyakit’ menjadi sebagai bahan dagangan. Syarikat pula berlumba-lumba memasuki industri ini kerana ia memberi laba besar kepada syarikat dan pemegang sahamnya.

Caj hospital swasta yang tinggi ini juga menjadikan ia hanya boleh dinikmati golongan berada, kakitangan syarikat atau agensi kerajaan yang mempunyai hospital panel atau yang mempunyai insurans kesihatan.

Bagi yang tidak berkemampuan, mereka tidak dapat menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh hospital swasta, walaupun hanya hospital itu saja yang mempunyai kepakaran dan kemudahan untuk merawat penyakit yang mereka hadapi.

Caj hospital swasta tidak dikawal oleh kerajaan. Hanya caj rawatan klinik swasta saja yang mempunyai garis panduan ditetapkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Perkhidmatan hospital dan pusat perubatan swasta, dikawal selia di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Mengikut akta ini, iaitu fasal 106 (1) Jadual Fi, Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk menetapkan jadual Fi bagi kemudahan atau perkhidmatan jagaan kesihatan swasta. Namun ini masih belum dilakukan.

Dengan timbulnya pertikaian mengenai caj hospital yang tinggi ini, sewajarnya Menteri Kesihatan menggunakan kuasanya untuk mewujudkan satu garis panduan bagi caj rawatan. Ini bagi menentukan kaedah caj yang boleh dikenakan termasuk juga makluman lebih awal anggaran caj yang akan dikenakan sebelum mendapat rawatan.

Apa yang diamalkan pada masa ini ialah, pesakit hanya mengetahui jumlah caj selepas menjalani rawatan. Ini menyebabkan mereka berasa terkejut apabila mendapati caj yang dikenakan terlalu tinggi. Ada juga aduan mengatakan peralatan di dalam bilik seperti kerusi dan meja turut dikenakan caj.

Untuk membayar caj yang tinggi itu, ada yang terpaksa berhutang atau membayar menggunakan kad kredit. Keadaan inilah yang berlaku berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.

Penambahbaikan terhadap kepakaran dan kemudahan di hospital awam perlu sentiasa dilakukan agar perkhidmatan kepakaran dan kemudahan perubatan disediakan setanding dengan hospital swasta. Kepakaran, peralatan dan teknologi perubatan sentiasa dikemas kini mengikut perubahan semasa dan penularan penyakit.

Selain itu, usaha mewujudkan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional perlu diteruskan dengan jaminan bahawa pelaksanaannya dibuat secara telus dan tulus, tidak wujud ketirisan sehingga akhirnya membebankan rakyat.

Apabila dilaksanakan nanti, mereka yang mencarum mengikuti skim ini boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta atau hospital kerajaan dengan dibiayai Lembaga Pembiayaan Kesihatan Nasional.

Kewujudan hospital yang berasaskan kebajikan perlu diperluaskan seperti dilaksanakan oleh Perbadanan Johor melalui Waqaf An-Nur Corporation Berhad. Waqaf An-Nur sudah mewujudkan rangkaian klinik, pusat dialisis dan hospital yang memberi rawatan perubatan kepada golongan yang kurang berkemampuan. Kos operasi klinik, pusat dialisis dan hospital ini dibiayai beberapa organisasi kerajaan dan swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat mereka.

Sistem penyampaian hospital kerajaan dan swasta juga perlu diberikan perhatian. Pada 1 Mac 1993, FOMCA, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) sudah melancarkan Piagam Pesakit, dengan disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu.

Piagam Pesakit memperincikan hak dan tanggungjawab pesakit apabila mendapat rawatan di klinik dan hospital. Ia diwujudkan dengan tujuan supaya dipamerkan di klinik dan hospital untuk makluman pengguna.

Namun sehingga kini Piagam Pesakit masih belum mencapai matlamatnya kerana kurangnya sokongan daripada pihak berkaitan, khususnya Kementerian Kesihatan sendiri. Perkhidmatan penjagaan kesihatan tidak sewajarnya dilihat daripada aspek keuntungan semata-mata, sebaliknya sebagai profesion yang mulia demi kesejahteraan hidup manusia.

-----------------------
Penulis ialah Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Berita Minggu, 28 November 2010

Isnin, November 15, 2010

ARTIS CUMA PELARIS




Oleh Aniza Zainudin

KUALA LUMPUR: “Kebanyakan pengguna cuba mendapatkan produk kesihatan ataupun kecantikan, hanya kerana individu terkenal seperti artis menjadi duta ataupun penjual produk selain memenuhi kehendak peribadi mereka,” kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman.

Yusof berkata, pengguna harus bertindak lebih bijak untuk membuat pilihan produk kesihatan terutama menerusi perniagaan jualan langsung pemasaran berbilang tingkat (MLM) dan bukan hanya bergantung kepada artis yang menjadi muka produk berkenaan.

“Sudah menjadi trend terkini MLM menggunakan artis sebagai pelaris produk, namun pengguna seharusnya memilih barangan yang mempunyai pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai keberkesanannya.

“Bukan bertujuan menafikan keberkesanan mana-mana produk, tetapi ia sudah menjadi asas untuk membuktikan kesahihan fakta produk.

“Oleh itu peniaga atau pengeluar barangan perlu membuktikan kebenaran terbabit menerusi ujian dilakukan pakar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, menerusi ujian yang diiktiraf golongan pakar atau KKM, sekali gus dapat melindungi hak pengguna terutama untuk pencegahan dan pemulihan.

Beliau mengulas laporan Metro Ahad, semalam mengenai luahan artis terkenal tanah air yang juga Pengarah Eksekutif AC Konsortium, AC Mizal menjalankan perniagaan produk kesihatan, gelang magnetik yang didakwa cuma berharga RM78, tetapi dijual dengan harga RM1,000.

Harian Metro, 15 November 2010