Rabu, Mac 07, 2012

PENGGUNA SEMAKIN PERLU BIJAK BERBELANJA


Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Wang semakin tidak bernilai. Jangan keliru dengan ungkapan ini. Ia sebenarnya ada kaitan dengan peningkatan kos sara hidup dan yang paling membebankan ialah harga barang makanan.

Nampak gayanya masyarakat pengguna negara ini terpaksa menyesuaikan diri dengan kenaikan kos sara hidup terutama mereka yang tinggal di bandar.

Sebagai contoh, pergi ke pasar sekarang bukan seperti kita keluar berbelanja sekitar 30 atau 40 tahun lalu.

Ketika itu, bawa RM20 ringgit mungkin sudah penuh raga. Ada ayam, ikan, sayur dan barang keperluan dapur.

HARI INI

Senario hari ini jauh berbeza.

Dengan RM20 tidak banyak yang boleh diisi di dalam bakul kalau pun berkunjung ke pasar basah, jauh sekali pasar raya.

"Sekilogram daging RM25. Kalau udang laut ada yang sampai RM25 satu kg," keluh rakan sekerja, Hazlinda Hamzah.

Perbelanjaan barang dapur sahaja untuk Hazlinda yang mempunyai lima orang anak boleh mencecah lebih RM1,000 sebulan.

Bagi mereka yang mungkin mahu menjadikan ikan untuk menggantikan daging atau ayam juga berdepan dengan dilema.

Harga ikan juga tidak menentu. Ikan sardin basah yang dulu dibeli untuk makanan kucing sudah berharga sekitar RM7 satu kg. Sekeping ikan tenggiri yang dibeli di pasar raya boleh mencecah RM5.

Kalau hendak makan ketam, mungkin kena fikir panjang-panjang, bukan sahaja soal kolesterol tapi tanda harga yang dilihat tercatat RM23 sekilogram

IKUT MUSIM

Pastinya harga barang pun mengikut musim. Harga makanan laut menjadi berlipat ganda bukan sahaja masa musim perayaan tetapi juga musim tengkujuh.

Memang ada kawalan harga barang tetapi masih ada peniaga yang berjaya membelit pengguna dan membuat keuntungan.

"Masa cuti tahun baru Cina sebiji terung bulat harganya 50 sen. Baru-baru ini saya beli lobak merah satu seringgit," rungut seorang rakan.

Mereka yang befikir sayur kampung boleh dijadikan hidangan kerana murah, boleh mencongak berapa yang perlu dibeli dan dibayar jika secekak kecil pucuk paku atau ubi yang lebih banyak daun tuanya berharga RM1.

Penulis pernah bertanya kepada penjual di pasar tani mengapa harga pucuk paku mahal.

Alasan yang diberi harga minyak naik dan orang yang membekalkan pucuk paku menggunakan bot untuk menyusuri sungai mencari sayur tersebut.

DULU DAN SEKARANG

Mengimbau kehidupan 30 atau 40 tahun lalu, tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak. Si ayah yang bergaji kecil pun sudah boleh menanggung keluarga besar, anak sehingga 10 orang ramainya.

Belanja sekolah anak mungkin setakat 10 sen, sudah boleh beli nasi lemak sebungkus dan aiskrim Malaysia.

Anak-anak juga ke sekolah berjalan kaki atau yang berada sedikit, berbasikal. Ibu bapa juga tidak perlu bimbang anak dilarikan atau diapa-apakan.

Anak-anak sekarang membawa wang saku ke sekolah tidak kurang daripada RM2 sehari, ada juga yang membawa RM5 sehari.

Penulis pernah melihat seorang anak sekolah rendah memegang wang kertas RM10 untuk membeli makanan snek selepas waktu sekolah.

"Emak bagi belanja untuk tiga hari," kata anak ini sambil memegang segenggam makanan snek rumput laut.

Kebanyakan anak-anak yang menunggu ibu atau bapa untuk mengambil mereka pulang dari sekolah, mahu pun van atau bas sekolah, rata-rata mereka akan membeli makanan ringan termasuk air berkabonat.

Malah ada bas sekolah yang menjual makanan ringan serta air bergas.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) mungkin perlu bertindak tegas terhadap perkara ini.

PELBAGAI KOS

Untuk ibu bapa yang tidak berkesempatan mengambil anak mereka pulang dari sekolah, mereka terpaksa mengeluarkan belanja membayar kos bas atau van sekolah.

Lazimnya bayaran yang dikenakan bergantung kepada jarak jauh rumah dari sekolah. Kalau anak ramai, congak sendiri jumlah yang perlu diasingkan setiap bulan untuk belanja pengangkutan itu sahaja.

Kos lain yang sering menekan perbelanjaan ibu bapa ialah bila sesi baru persekolahan bermula.

Antara yang memeningkan kepala ialah hendak membeli pakaian seragam sekolah. Seorang anak mungkin memerlukan peruntukan sekitar RM100 hingga RM200 seorang, bergantung kepada jumlah pasang baju seragam.

Ini belum dikira kos menghantar anak tuisyen. Kalau ada anak kecil, perlu juga keluar kos untuk hantar ke tadika, taska atau pusat penjagaan harian.

Habis rendah kosnya mungkin sekitar RM200 seorang sebulan.

Kalau berkemampuan, ambil pembantu rumah Indonesia yang gaji bulanannya sudah meningkat antara RM600 hingga RM700 sebulan.

BANTUAN KERAJAAN

Dalam kenaikan kos hidup yang tidak dapat dibendung, ibu bapa bagaimanapun sudah tentunya boleh menarik nafas lega kerana kerajaan menyediakan buku teks percuma.

Ini ditambah pula dengan kemurahan hati kerajaan bermula penghujung tahun 2011 memberikan wang saku RM100 untuk pelajar sekolah rendah dan RM200 untuk pelajar sekolah menengah serta institut pengajian tinggi dalam bentuk baucar buku.

Keprihatinan kerajaan terhadap kenaikan kos sara hidup ditunjukkan melalui program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat Malaysia.

Bantuan kewangan bernilai RM500 ini menyasarkan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Antara usaha lain kerajaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup ini ialah pelancaran Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Kerajaan turut melancarkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah mereka sendiri.

BIJAK MEMILIH

Seperti kata Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), inisiatif kerajaan seperti KR1M adalah untuk membantu pengguna membuat pilihan bijak atau mengurangkan kos perbelanjaan.

Menurut beliau, dalam keadaan sekarang pengguna semakin perlu membuat perbandingan harga dan menyenaraikan terlebih dahulu barang yang perlu dibeli untuk mengelakkan belanja berlebihan.

Kerajaan, jelasnya tidak mengawal harga barang di pasaran melainkan barang yang bersubsidi atau pun semasa musim perayaan.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna peniaga boleh menetapkan harga sesuka hati. Ia perlu berdasarkan kos operasi dan margin keuntungan yang munasabah.

"Dalam keadaan tertentu harga juga ditentukan kepada kedudukan restoran seperti di hotel atau kafe berjenama.

"Begitu juga dengan caj tertentu yang dikenakan seperti caj perkhidmatan atau cukai perkhidmatan," tambahnya.

KAWAL BELANJA

Dalam keadaan kos kehidupan yang meningkat, pengguna sebenarnya hanya perlu memperbetul sikap.

Kalau selalu sangat makan di luar, kurangkan kekerapannya.

Lazimnya mereka yang makan di luar ini kerana kesuntukan masa untuk memasak, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang bekerja.

Ada juga yang menjadikan rutin untuk makan di luar bersama rakan atau keluarga untuk bersantai bersama.

Namun tidak dinafikan, ada kalanya membeli makanan di luar lebih menjimatkan bagi mereka yang masih bujang seperti Alan.

"Memang saya ada dapur tapi tak pernah masak. Balik kerja singgah mana-mana kedai untuk makan malam," kata anak muda ini.

Cuma budaya makan di luar ini kadang kala boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

"Memasak sendiri lebih selamat kerana kita tidak pasti apakah ramuan yang digunakan dalam masakan yang dibeli. Kebanyakan kita tidak menggunakan serbuk perasa seperti MSG di dalam masakan tetapi apabila makan di luar terpaksa makan makanan yang ada serbuk perasa ini," demikian komen Mohd Yusof.

TIDAK KISAH

Lazimnya tidak ramai yang ambil kisah melihat senarai harga makanan atau minuman apabila berkunjung ke kedai atau gerai makan mahupun restoran.

Kebanyakannya mungkin hanya melihat makanan yang dihidang atau gambar makanan yang dipamerkan dan terus duduk serta membuat pesanan.

Dalam kes air kosong yang dikenakan bayaran yang melampau, mungkin ada yang masih beranggapan mereka akan mendapatnya secara percuma atau habis pun harga segelas sekitar 20 sen.

Caj 20 sen itu sudah menjadi sejarah. Rata-rata caj yang dikenakan di kebanyakan premis kafe atau restoran antara 80 sen hingga RM1.50 seperti yang dilaporkan akhbar.

BUAT ADUAN

Pengguna perlu melihat senarai harga yang dipamerkan sebelum memesan minuman atau makanan. Ini pesan Mohd Yusof.

Menurut beliau, jika harga tidak munasabah, pengguna wajar pergi ke restoran lain yang menawarkan harga yang berpatutan.

Pesan beliau lagi, jika restoran tidak meletakkan senarai harga, buat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurut Mohd Yusof, semua perniagaan diwajibkan meletakkan tanda harga walaupun di pasar.

"Cuma ada tanda harga yang bersifat kekal dan ada yang sementara.

"Seperti ikan dan sayur-sayuran di pasar, biasanya tanda harga bersifat sementara kerana harganya sentiasa berubah bergantung kepada bekalan atau permintaan.

"Restoran, gerai atau warung yang tidak meletakkan tanda harga, telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010," katanya.

BEKAL SENDIRI

Bawa bekal, kurangkan makan di luar. Dua langkah ini mungkin dapat membantu mengekalkan wang dalam poket anda.

Bagi penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Sar, dia sememangnya membawa bekal makanan ke pejabat.

Dia yang mengamalkan pemakanan sayuran, begitu teliti dengan apa yang dimakannya untuk menjaga kesihatan.

Bapa kepada anak kembar, D.J.Paul bukan setakat membawa makanan ke pejabat tetapi makanan yang dibawanya itu dimasaknya sendiri.

Beliau tidak menggunakan santan atau serbuk perasa dan jarang membawa keluarganya makan di luar.

Anak-anaknya juga makan di rumah sebelum ke sekolah. Wang belanja ke sekolah hanya RM2, digunakan jika perlu.

"Saya tidak yakin dengan kualiti makanan yang dijual di kantin sekolah," katanya.

Begitulah cabaran kehidupan yang perlu ditangani secara berhemah. Yang penting pengguna perlu bijak mengawal perbelanjaan, berbelanja bila perlu bukan kerana menurut hawa nafsu.

-- BERNAMA