Jumaat, Ogos 12, 2011

JANGAN SEKADAR WARTA KAWASAN



12 Ogos 2011

Oleh Luqman Ridhwan Mohamed Nor
berita@kosmo.com.my

CADANGAN menjadikan kedai mamak sebagai zon bebas rokok perlu seiring dengan penguatkuasaan bagi memastikannya berkesan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Penguatkuasaan perlu diperkasakan sekiranya Kementerian Kesihatan bercadang mewartakan kedai mamak dan kedai kopi sebagai zon bebas merokok di negara ini.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Penguna Malaysia, Mohd. Yusof Abd. Rahman berkata, kerajaan boleh melakukan pelbagai peraturan namun ia tidak bermakna sekiranya tidak seiring dengan penguatkuasaan.

"Cadangan itu baik bagi mewujudkan komuniti yang sihat tetapi apa yang penting dalam hal ini ialah penguatkuasaannya.

"Tetapi kerajaan tidak boleh mengharapkan kepada kementerian semata-mata kerana mereka tidak boleh berada di semua lokasi pada setiap masa," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman yang memberitahu pihaknya bercadang untuk menjadikan kedua-dua tempat itu sebagai kawasan baharu zon bebas merokok.