Jumaat, November 10, 2006

ExxonMobil diarah bekal minyak

Oleh Rohaniza Idris

Kerajaan tak mahu stesen tamat kontrak putus bekalan sekali gus susahkan pengguna


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengarahkan ExxonMobil terus membekalkan minyak kepada stesen minyak yang kontrak perjanjian mereka sudah tamat bagi memastikan bekalan kepada pengguna tidak terjejas.

Menterinya, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata ExxonMobil pada mulanya keberatan berbuat demikian kerana bimbang pengusaha terbabit tidak membuat bayaran berikutan perjanjian sudah tamat.

Bagaimanapun, katanya ExxonMobil kemudian menyatakan persetujuan membekalkan minyak supaya bekalan tidak terjejas.

“Saya juga meminta 300 pemilik stesen minyak Esso dan Mobil membatalkan hasrat menutup perniagaan mereka berikutan rasa tidak puas hati dengan kenaikan sewa bulanan stesen minyak.

“Tindakan pengusaha terbabit hanya merugikan diri sendiri dan mewujudkan suasana panik serta memberi kesan langsung kepada pelabur asing yang melabur di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Aidilfitri dan Deepavali Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan 300 pemilik stesen minyak Esso dan Mobil di Semenanjung yang mengancam menutup perniagaan jika kerajaan gagal menyelesaikan isu kenaikan sewa bulanan stesen minyak yang mereka kendalikan.

Sebanyak 300 syarikat itu mendakwa mereka sebahagian 600 pemilik stesen minyak ExxonMobil yang enggan menandatangani surat perjanjian pelesenan baru berikutan kadar sewa bulanan dinaikkan sehingga 200 peratus.

Mengulas lanjut, Shafie berkata, kementerian sudah mendapat penjelasan awal daripada ExxonMobil mengenai pertikaian itu dan akan memanggil syarikat itu serta wakil pengusaha selewat-lewatnya Ahad ini bagi membincangkan isu itu.

Beliau berkata, ExxonMobil memaklumkan 565 stesen minyak Esso dan Mobil beroperasi di Semenanjung yang mana 143 adalah milik pengusaha sendiri manakala selebihnya milik syarikat itu tetapi dikendalikan pengusaha.

Katanya, sebanyak 235 daripada 565 stesen minyak sudah tamat kontrak lima tahun September lalu.

“Bagaimanapun, hanya 71 pengusaha belum menandatangani perjanjian semula kerana tidak berpuas hati syarat ditetapkan ExxonMobil manakala 101 pengusaha akan tamat kontrak Disember ini,” katanya.

Shafie berkata, 71 pengusaha berkenaan belum menandatangani perjanjian itu berikutan kenaikan sewa 28 peratus.

“Selepas sesi perbincangan, kadar sewa yang mahu dinaikkan diturunkan kepada 13 peratus dan sebanyak 164 bersetuju serta menandatangani kontrak baru dengan syarikat minyak itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan perlu menjadi orang tengah untuk menyelesaikan pertikaian itu bagi memastikan bekalan tidak terjejas.

“Pengusaha pasti bersetuju kenaikan kadar sewa premis jika mereka diberikan komisen lebih tinggi untuk minyak yang dijual,” katanya.

ExxonMobil dalam kenyataan semalam berkata, syarikat tidak pernah menaikkan sewa stesen minyak sejak lima tahun lalu dan kenaikan itu hanya membabitkan kos yang kecil.

Berita Harian, 10 Nov. 2006