Isnin, Oktober 02, 2006

Penternak untung 35% -- Ekoran persatuan naikkan harga ayam RM1.05/kg dalam seminggu

Oleh: SADATUL MAHIRAN ROSLI

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Persatuan penternak ayam dijangka mengaut keuntungan antara 30 dan 35 peratus ekoran kenaikan harga ayam sebanyak 65 sen dan 40 sen berkuat kuasa minggu lalu dan semalam.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, alasan untuk mengembalikan keuntungan kesan daripada penyakit selesema burung yang melanda negara sebelum ini, adalah tidak munasabah.

Selain itu, katanya, justifikasi untuk menaikkan harga ayam seperti peningkatan kos penternak, pengangkutan dan kos pengendalian juga tidak boleh diterima.

“Perbuatan ini merupakan satu penganiayaan kepada sensitiviti pengguna terutamanya pada musim perayaan.

“Persatuan penternak tahu, jika mereka naikkan harga ayam, pengguna akan beli juga kerana berdasarkan kajian yang dilakukan oleh CASSA, dalam masa empat bulan kebelakangan ini, permintaan bagi ayam meningkat lima kali ganda.

‘‘Justeru, atas permintaan yang melonjak tersebut, persatuan penternak mengambil jalan mudah mengaut keuntungan dengan menyediakan justifikasi yang palsu sedangkan kenaikan itu dijangka memberi pulangan hampir 35 peratus,’’ katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia hari ini.

Semalam Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (PPPM) menaikkan harga ayam sebanyak 40 sen lagi setelah dinaikkan 65 sen minggu lalu.

Dengan kenaikan itu, harga runcit ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedu kini RM6.05 sekilogram.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal semalam mengumumkan harga siling ayam diturunkan kepada RM6.05 sekilogram daripada RM6.70 berkuat kuasa hari ini.

Harga siling ayam standard turut diturunkan kepada RM5.40 sekilogram daripada RM6.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha‘ani Abdullah berkata, kenaikan harga ayam itu sengaja dirancang sewaktu barangan lain turut mengalami kenaikan.

Menurutnya, walaupun harga yang dinaikkan masih di bawah paras siling, namun kenaikan RM1.05 (65 sen dan 40 sen) begitu tinggi pada waktu ini.

Dalam hal ini, beliau mencadangkan kepada pengguna supaya menukar tabiat pemakanan ayam iaitu tidak mengambilnya setiap hari.

‘‘Sekiranya pengguna mengambilnya selang sehari, permintaan terhadap ayam dijangka akan menurun kepada 50 peratus, sekaligus menyebabkan lambakan di pasaran.

‘‘Oleh kerana ayam bukanlah barangan yang boleh disimpan lama, ia harus dijual dalam masa tertentu, nak tidak hendak, penjual akan menurunkan harga ayam daripada membiarkan ayam itu dibuang begitu sahaja.

‘‘Namun, tindakan sebegitu memerlukan kerjasama daripada semua pengguna,’’ katanya.

Tambahnya, sudah tiba masanya, pengguna mencari makanan alternatif yang lebih berkhasiat seperti ikan dan daging lembu yang turut membekalkan protein.

Presiden Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Datuk Dr. Maamor Osman pula berkata, margin keuntungan normal ke atas barang keperluan harian sepatutnya sekitar 10 peratus.

‘‘Tiap-tiap hari orang makan ayam. Jadi, lama kelamaan mereka akan untung kembali, walaupun mereka berulang kali mengatakan telah mengalami kerugian sebelum ini,’’ katanya.



Utusan Malaysia
30 September 2006

Tiada ulasan: