Khamis, November 15, 2007

Langkah Kurangkan Beban Kenaikan Harga Bahan Bakar

13 November, 2007 09:28 AM

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kita semakin hampir untuk melangkah ke tahun 2008 dan sebagai pengguna, sudah tentu kita akan menyambutnya dengan penuh debaran.

Perkara utama yang menjadi punca debaran itu sudah pasti mengenai harga barangan petrol. Berapa banyak kenaikan yang akan dibuat pada 2008 setelah kerajaan mengotakan janji tiada kenaikan pada 2007?

Ini memandangkan masyarakat pengguna negara ini sudah menanggung kenaikan pelbagai jenis barangan sepanjang 2007 di mana yang terbaru ialah kenaikan harga tepung gandum yang menyebabkan harga roti dilaporkan naik di antara 10 sen hingga 30 sen pada 1 November lepas.

Jika harga barangan petroleum dinaikkan pada 2008, sudah tentu pengguna berhadapan dengan kos kehidupan yang lebih tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan penggulungan perbahasan di perhimpunan agung Umno sudah pun membuat kenyataan bahawa "kerajaan akan melakukan pengstrukturan semula sistem subsidi" termasuk subsidi minyak dan gas.

SUKAR UNTUK KEKAL HARGA

Sememangnya berat bagi kerajaan untuk terus-menerus mengekalkan harga runcit bahan bakar pada tahap semasa memandangkan harga minyak mentah global yang melambung tinggi dan semakin menghampiri paras AS$100 (kira-kira RM334) setong.

Meskipun kenaikan harga minyak mentah memberi manfaat dalam bentuk keuntungan yang besar kepada Malaysia kerana kedudukannya sebagai pengeksport utama minyak mentah, namun ia turut menambah beban kepada kerajaan.

Menurut Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, sebarang kenaikan harga minyak bermakna kerajaan terpaksa mengeluarkan lebih banyak subsidi memandangkan harga petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dikawal pihak kerajaan.

Kerajaan, tambahnya perlu berbuat demikian bagi memastikan harga runcit bahan bakar berada pada tahap yang rendah.

Untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini sahaja, kerajaan dilaporkan terpaksa menanggung subsidi berjumlah RM16 bilion bagi membolehkan harga runcit bahan bakar kekal pada paras semasa meskipun harga minyak mentah dunia melambung tinggi.

Pada masa ini harga runcit semasa di Semenanjung Malaysia bagi petrol premium RON97 ialah RM1.92 seliter, petrol RON92 RM1.88 seliter, diesel RM1.581 seliter dan LPG RM1.75 sekilogram.

TIADA PILIHAN

Memandangkan minyak merupakan bahan asas dalam sektor pengangkutan dan perkilangan, maka sebarang kenaikan yang berlaku kepada harga minyak sudah tentu akan meningkatkan kos bagi kedua-dua sektor berkenaan.

Menurut Mohd Yusof, peningkatan kos kedua-dua sektor berkenaan bakal mendatangkan kesan ke atas harga barangan dan perkhidmatan di mana kesan terakhir bakal ditanggung oleh pengguna.

"Jika dilihat kepada reaksi rakyat ekoran kenaikan 30 sen minyak pada 2006, yang membimbangkan mereka ialah peningkatan belanja pengangkutan di samping harga barangan dan perkhidmatan.

"Apatah lagi dalam keadaan kurangnya pilihan menyebabkan sesetengah pengguna terpaksa menggunakan pengangkutan sendiri untuk membuat perjalanan sama ada ke tempat kerja atau sebarang urusan lain," kata beliau yang merujuk kepada sektor pengangkutan awam yang pada pendapatnya masih belum cukup memuaskan.

Beliau berkata rakyat mungkin tidak akan menimbulkan reaksi yang negatif berhubung kenaikan harga petrol sekiranya mereka mempunyai pilihan.

"Umpamanya sekiranya harga petrol naik dan mereka boleh menggunakan pengangkutan awam yang cekap dan selesa atau wujudnya alternatif bagi bahan petrol seperti gas asli kenderaan (NGV) dan sebagainya.

"Pada masa ini kemudahan NGV amat sedikit dan kebanyakan penggunanya adalah pemandu teksi. Jika kereta keluaran Malaysia seperti Proton dan Perodua mengeluarkan kenderaan yang mempunyai dua tangki iaitu petrol dan NGV, ini boleh memberi peluang kepada pemilik kenderaan ini untuk menjimatkan wang mereka," kata Mohd Yusof.

SALAH GUNA SUBSIDI

Mengenai pemberian subsidi bahan bakar, Mohd Yusof berpendapat adalah wajar untuk kerajaan mengkaji semula subsidi yang diberikan untuk petrol dan diesel.

"Pada masa ini subsidi untuk petrol dinikmati oleh semua pengguna kenderaan persendirian termasuk golongan kaya dan berpendapatan tinggi yang tidak sewajarnya menikmati subsidi.

"Begitu juga subsidi ini dinikmati oleh rakyat negara asing seperti warga Singapura yang membeli minyak untuk kenderaan mereka di Johor Baharu dan warga Thailand yang membeli bahan bakar ini di Perlis dan Kelantan," jelas Mohd Yusof.

Menurut beliau, terdapat juga pihak yang menyalahgunakan subsidi di mana segelintir nelayan yang mendapat subsidi diesel sebanyak RM1 seliter, kemudiannya menjual kepada warga asing ketika keluar menangkap ikan.

"Kajian yang dilakukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menunjukkan peningkatan pemberian subsidi diesel tetapi jumlah tangkapan ikan nelayan kian berkurangan. Oleh itu, pemberian subsidi diesel tidak setimpal dengan jumlah tangkapan ikan," tambahnya.

Mohd Yusof menegaskan memandangkan kerajaan memikul pemberian subsidi dan pelepasan cukai yang begitu tinggi untuk bahan bakar dan adalah lebih wajar jika subsidi tersebut digunakan antaranya untuk menaiktaraf pengangkutan awam, kemudahan kesihatan dan pelajaran.

PERLU TANGGUNG BERSAMA

Sementara itu, penasihat FOMCA, Dr Hamdan Adnan berkata rakyat negara ini perlu menerima kenaikan harga minyak dengan hati yang terbuka memandangkan kerajaan telah begitu lama memberikan subsidi bagi mengekalkan harga minyak pada paras yang rendah yang dinikmati sekarang.

"Walau apa pun kita perlu mengikut perkembangan masa. Kerajaan sebelum ini telah banyak menolong dan apa yang berlaku bukan salah kerajaan tetapi pasaran global minyak," katanya.

Beliau menegaskan kerajaan hanya mampu memberi sedikit subsidi dan yang selebihnya perlu ditanggung bersama oleh orang ramai.

Dalam masa yang sama, Dr Hamdan berkata rakyat negara ini sebenarnya sudah merasa perit bahang kenaikan harga pelbagai jenis barangan.

"Mereka ini macam dah tak boleh bernafas. Rasa seronok dah tak ada," kata Dr Hamdan.

Beliau memberitahu, rakyat juga sebenarnya semakin bimbang dengan perkembangan semasa memandangkan lambat laun harga barangan lain akan naik juga. Tambahan ada juga desas-desus kadar tol turut akan dinaikkan pada tahun baru.

"Untuk itu kita berharap kalau pun kerajaan akan menaikkan harga bahan bakar jumlah kenaikan tidak akan terlalu tinggi kerana ia akan hanya memburukkan kadar inflasi," kata beliau kepada Bernama.

Kadar inflasi negara ini dilaporkan menokok satu hingga dua peratus daripada lima peratus tahun lalu kepada tujuh peratus.

LANGKAH KAWAL HARGA

Kerajaan juga disaran supaya mengambil langkah yang perlu bagi memastikan tiada kenaikan melampau harga barangan atau perkhidmatan sekiranya harga bahan bakar dinaikkan.

Menurut Dr Hamdan, kerajaan perlu menjamin keadaan tersebut memandangkan banyak pihak akan mendesak kerajaan untuk menaikkan harga termasuk syarikat pengangkutan awam.

"Kita tidak mahu berlaku keadaan di mana kakitangan kerajaan terpaksa menuntut satu lagi kenaikan gaji dan umum tahu kenaikan ini akan mencetuskan lingkaran inflasi yang tidak berkesudahan," jelas beliau.

Bagaimanapun, Dr Hamdan berkata rakyat Malaysia setakat ini bernasib baik kerana meskipun negara ini mengamalkan sistem kapitalisme dan perdagangan bebas, pihak kerajaan turut mengenakan kawalan harga bagi sejumlah barangan keperluan.

Dalam masa yang sama, beliau turut berkata orang ramai perlu diperingatkan bahawa peniaga perlu membuat keuntungan tetapi yang pentingnya kerajaan perlu mengawal margin keuntungan terutamanya bagi barangan terkawal.

"Saya harap pihak kerajaan dapat bekerjsama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam hal ini dan saya juga merayu pihak NGO supaya memberikan kerjasama yang perlu dengan kementerian yang berkenaan," tambahnya.

UBAH SIKAP

Dalam apa jua keadaan, sikaplah yang akan menentukan sama ada kenaikan harga bahan bakar akan menjejaskan teruk kedudukan kewangan seseorang pengguna itu. Sama ada kita semakin jimat berbelanja atau hanya menurut nafsu tanpa "mengukur baju di badan sendiri", ini yang akan menjadi penentu.

Seperti kata Dr Hamdan, rakyat Malaysia tidak boleh terus bermewah sebaliknya perlu menerima kenyataan dan membina ketahanan diri.

"Kita telah berada dalam zon selesa terlalu lama. Zon selesa ini akan mengecil dengan kedatangan tahun baru," jelasnya.

Di samping berjimat-cermat serta mencari pendapatan sampingan untuk menampung tambahan perbelanjaan, kita juga boleh menghidupkan semula semangat "Bumi Hijau" dengan menanam apa yang boleh ditanam di sekitar kawasan rumah serta mengurangkan penggunaan petrol melalui perkongsian kenderaan.

Walau apa pun sikap atau tindakan yang kita ambil, sebagai pengguna pilihan masih di tangan kita untuk menentukannya .

-- BERNAMA

Tiada ulasan: