Dalam keadaan kos petroleum yang kian meningkat, serta kadar tol yang semakin tinggi, ramai memilih untuk menunggang motosikal ke tempat kerja atau ke sesuatu destinasi tertentu. Ini adalah pilihan kepada pengguna yang tidak mahu terbeban dengan kos pengangkutan yang meningkat.
Keputusan kerajaan melarang motosikal menggunakan lebuh raya seolah-olah tidak memberi peluang kepada pengguna mengurangkan kos pengangkutan mereka kerana menggunakan motosikal sebagai salah satu alternatif pengangkutan.
Pada 1 Jun 2007 Perdana Menteri ada mencadangkan agar semua lebuh raya baru mempunyai lorong berasingan untuk motosikal. Jelas bahawa Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia seolah-olah tidak mempedulikan cadangan itu.
Amat dikesali apabila Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuh Raya boleh membenarkan pembinaan lebuh raya KL-Putrajaya dalam keadaan mereka menyedari lebuh raya itu tidak mempunyai lorong motosikal yang berasingan atau ruang bahu jalan yang lebar.
Langkah Kementerian Kerja Raya melarang mengguna motosikal di lebuh raya itu seolah-olah ingin menunjukkan keprihatinannya terhadap penunggang motosikal yang berhadapan dengan risiko kemalangan jika menggunakan lebuh raya itu, sedangkan daripada peringkat awal lagi, pihak Kementerian mengetahui bahawa ia tidak mempunyai lorong motosikal dan bahu jalan yang lebar.
Kerajaan sewajarnya bersikap adil terhadap pengguna motosikal apabila merangka pembinaan sesebuah lebuh raya. Nasib penunggang motosikal tidak wajar diabaikan dalam keadaan kerajaan sendiri menyedari risiko pengguna motosikal apabila menggunakan lebuh raya yang tidak mempunyai lorong motosikal yang berasingan.
Oleh itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta kerajaan menimbang semula arahan larangan itu dan membina lorong motosikal berasingan di lebuh raya itu dan lebuh raya lain.
2 Februari 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan