Selasa, Ogos 26, 2008

MENJELANG BAJET 2009: INSENTIF TINGKAT SEMULA KUASA BELI

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my

Golongan berpendapatan rendah, sederhana tunggu 'khabar gembira'

PENINGKATAN kos sara hidup yang dihadapi di negara ini memerlukan kerajaan mengambil tindakan proaktif dan berkesan, khususnya dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Golongan terbabit rata-ratanya amat tertekan berikutan kenaikan dalam harga barangan yang begitu ketara selepas penstrukturan semula subsidi harga minyak susulan peningkatan harga minyak mentah global.

Keadaan berkenaan menyebabkan kuasa beli rakyat semakin mengecil, sehingga menyebabkan golongan yang dulunya tergolong dalam kategori yang berpendapatan sederhana, kini turut berdepan masalah.

Justeru, Bajet 2009 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Jumaat ini diharap memperuntukkan lebih banyak insentif dan khabar gembira kepada rakyat khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap bajet bagi tahun depan terus memberi tumpuan untuk kesejahteraan rakyat dari segi ekonomi dan sosial, sejajar hasrat kemajuan yang ingin dicapai oleh negara.

Ketua Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abd Rahman, berkata perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan pada bajet kali ini ialah bagaimana untuk membantu masyarakat mengimbangi kenaikan kos supaya taraf hidup mereka tidak terjejas

Beliau berkata, antara langkah yang dicadangkan ialah seperti menaikkan had minimum yang dikenakan cukai pendapatan individu daripada RM2,500 kepada sehingga RM3,500 serta mengurangkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja.

"Langkah sedemikian diharap dapat mengurangkan sedikit beban golongan terbabit yang semakin berkurangan kuasa beli mereka akibat kenaikan kos sara hidup," katanya.

Selain dinaikkan had minimum dikenakan cukai pendapatan serta pengurangan caruman KWSP bagi pekerja, Fomca turut mencadangkan beberapa aspek yang harus diberi penekanan oleh kerajaan seperti meningkatkan tahap pengangkutan awam, meningkatkan pengeluaran makanan serta tahap pendidikan.

Mohd Yusof berkata, masalah pengangkutan awam khususnya di bandar yang sering menjadi rungutan masyarakat, harus diperbaiki dan ditingkatkan segera berikutan ia adalah pengangkutan utama bagi masyarakat berpendapatan rendah.

Katanya, penggunaan bahan api selain fosil harus digalakkan bagi mengelakkan pergantungan terhadap petrol dan diesel yang harganya sering tidak stabil dan meningkat.

Beliau berkata, penstrukturan semula harga minyak baru-baru ini menyebabkan ramai beralih ke pengangkutan awam yang menyebabkan perkhidmatan itu tidak mencukupi terutama ketika waktu puncak.

"Pada masa sama, masalah pengangkutan awam tidak cekap juga menyebabkan masyarakat lebih suka menggunakan kenderaan sendiri yang sekali gus menambah masalah kesesakan jalan raya," katanya.

Mohd Yusof berkata, krisis kekurangan bekalan beras baru-baru ini wajar menjadi iktibar supaya peruntukkan untuk sektor pertanian ditambah selain memberi jaminan bahawa bekalan makanan utama, khususnya beras sentiasa mencukupi.

Beliau berkata, sekalipun sudah ada cadangan dan pelaksanaan untuk memajukan sektor pertanian di negara ini, ia masih belum mencukupi yang mana pengeluaran beras dalam negara hanya kira-kira 73 peratus, manakala selebihnya perlu diimport.

"Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) sebanyak lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara (KDNK) harus diperuntukkan untuk pertanian untuk menjamin bekalan mencukupi, tetapi kita baru pada kadar tiga peratus," katanya.

PPIM turut bersependapat dengan Fomca mengenai aspek yang perlu diberi perhatian dalam Bajet 2009.

Selain aspek yang diketengahkan Fomca, PPIM mencadangkan Bajet 2009 juga perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Ma'amor Osman, perkhidmatan kesihatan untuk orang ramai masih belum mencukupi terutama membabitkan khidmat kepakaran khusus yang mana perlu diwujudkan lebih banyak pusat kesihatan pakar seperti Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau berkata, perkhidmatan hospital pakar di negara ini kebanyakannya hanya ditawarkan hospital swasta, manakala hospital kerajaan yang dikhususkan untuk penyakit tertentu ketika ini hanya ada di bandar utama.

"Kami juga mencadangkan supaya peruntukan pembayaran balik perbelanjaan insuran kesihatan di bawah cukai pendapatan wajar ditambah daripada maksimum RM3,500 ketika ini, selain diperluaskan kepada ibu bapa yang ditanggung.

"Selain itu, bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat masyarakat, cukai terhadap rokok dan minuman keras perlu dinaikkan lagi," katanya.

Katanya, antara perkara lain yang diharapkan PPIM pada Bajet 2009 ialah keprihatinan terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) selain mencadangkan supaya pinjaman Pinjaman Tabung Pendidikan Negara (PTPN) yang ditawarkan harus diperluaskan kepada kursus kritikal seperti kursus penerbangan dan bukan hanya tertumpu kepada kursus popular saja.

Berita Harian, 26 Ogos 2008

Tiada ulasan: