Khamis, November 06, 2008

INSENTIF CUKAI ALAT GANTI BOLEH ELAK TAMBANG NAIK

KUALA LUMPUR: Insentif bagi mengurangkan kos operasi pengusaha pengangkutan awam seperti pengurangan cukai alat ganti kenderaan mampu memastikan kadar tambang yang bakal dinaikkan awal tahun depan, tidak membebankan rakyat.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ini kerana, pengusaha dalam tuntutan kenaikan tambang menjadikan kenaikan kos sebagai alasan, selain daripada kenaikan harga bahan api kenderaan.

“Jadi, insentif seperti memberikan pengurangan cukai alat ganti kepada sektor itu adalah jalan terbaik kerana beban pengusaha dapat dikurangkan di mana ia secara langsung turut memberi kesan kepada harga tambang.


“Dijangka kadar perlu dibayar tidak terlalu tinggi sehingga membebankan kerana pengguna hanya perlu menyerap sedikit saja daripada kos operasi yang sudah menunjukkan penurunan. Mungkin mereka hanya perlu membayar untuk kos lain seperti gaji pemandu.

“Langkah itu lebih baik bagi kedua-dua pihak kerana orang ramai tidak dibebani kadar tambang mahal, manakala pengusaha pula tidak perlu menanggung kos operasi lebih tinggi. Ini adalah situasi menang-menang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau ditanya mekanisme boleh dilaksanakan kerajaan untuk memastikan kadar tambang baru bagi teksi, kereta sewa, bas henti-henti, bas sekolah dan bas ekspres yang akan dinaikkan tidak menyusahkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Ketika ini, kerajaan ada memberikan pelbagai insentif kepada sektor pengangkutan awam bagi mengurangkan beban pengusahanya antaranya hanya perlu membayar separuh daripada kadar tol dan subsidi diesel serta petrol.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar yang mengesahkan kenaikan tambang itu dilaporkan berkata, ia tidak dapat dielakkan bagi mengelakkan ramai pengusaha menghadapi risiko muflis berikutan terpaksa menanggung bebanan kos operasi tinggi.

Beliau bagaimanapun memberikan jaminan bahawa kerajaan akan mengambil kira pelbagai faktor utama dalam menentukan kadar baru iaitu ia mestilah munasabah, tidak membebankan rakyat dan tidak menjejaskan operasi pengusaha.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, kerajaan boleh memberikan insentif berkenaan sebelum kenaikan kadar tambang bagi memberikan pengusaha peluang meningkatkan kualiti per-khidmatan.

“Mungkin boleh diberikan dalam dua bulan terakhir tahun ini kerana tambang baru dijangka awal tahun depan. Jadi, apabila tambang baru diperkenalkan, maka kualiti perkhidmatan sudah pun pada tahap memuaskan.

“Pengguna pun akan gembira dan tidak terlalu kisah dengan tambang lebih tinggi kerana perkhidmatan lebih selesa,” katanya.


Berita Harian, 4 November 2008

Tiada ulasan: