Isnin, Mac 16, 2009

KEMPEN MAKANN SIHAT DIDIK KANAK-KANAK UBAH POLA MAKAN

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

Masyarakat mesti bijak buat penilaian, pastikan hak dihormati

IBU bapa sering memujuk atau memberikan hadiah istimewa kepada anak dengan memberikan makanan ringan sehingga mengetepikan aspek kesihatan dan keselamatan mereka.


Malah, di hujung minggu atau hari keluarga bersantai juga dipenuhi dengan kunjungan ke restoran makanan segera atau minum petang dengan makanan ringan.
Bagi yang berkemampuan, mereka menyogok anak dengan makanan segera. Sebenarnya masih ada ibu bapa yang percaya kanak-kanak gemuk atau badan berisi lebih comel dan sihat sedangkan mereka mendedahkan anak kepada risiko mendapat penyakit kronik seperti sakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Menyedari hakikat itu, pergerakan pengguna antarabangsa meneruskan kempen Generasi Makanan Ringan: Kempen Menghentikan Pemasaran Makanan Tidak Sihat kepada Kanak-Kanak tahun ini sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia yang disambut hari ini.

Hari Hak-Hak Pengguna disambut pergerakan pengguna seluruh dunia yang bergabung dengan Consumers International, pertubuhan pengguna antarabangsa yang berpejabat di London. Consumers International dianggotai 220 persatuan pengguna daripada 115 negara.
KEBANYAKAN makanan yang sering diambil kanak-kanak, terutama makanan ringan bukan hanya mengandungi kandungan lemak yang tinggi, tetapi gula dan garam melebihi kadar dibenarkan.
Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia mula diadakan pada 1983 mengambil sempena Deklarasi Hak-Hak Pengguna yang dibentangkan mendiang oleh John F Kennedy, bekas Presiden Amerika Syarikat pada 15 Mac 1962.

Di Malaysia, sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia turut diraikan, walaupun Hari Pengguna Malaysia disambut pada 26 Julai setiap tahun. Hari Pengguna Malaysia dipilih bersempena dengan pembentangan Akta Perlindungan Pengguna pada 26 Julai 1999. Sambutan Hari Pengguna Malaysia mula diadakan pada 2001.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N Marimuthu, berkata hari hak pengguna adalah hari bagi pergerakan pengguna seluruh dunia mempromosikan hak-hak pengguna serta menuntut hak untuk dihormati dan dilindungi.

Pada masa sama, katanya pengguna akan memprotes amalan penyelewengan pasaran dan ketidakadilan sosial.

Tahun ini, tema Generasi Makanan Ringan: Kempen Menghentikan Pemasaran Makanan Tidak Sihat kepada Kanak-Kanak sekali lagi digunakan untuk sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia.

Malaysia juga berasakan perlu kempen berkenaan diteruskan selaras dengan kempen Perubahan Bermula Daripada Diri Sendiri' (Mari kita berubah), yang diadakan sejak Jun tahun lalu hingga 2012.

Kempen berkenaan antara lain bertujuan meningkatkan pengetahuan, mengubah kepercayaan (sikap dan nilai), termasuk membeli produk berjenama kepada produk generik, membeli-belah di kedai menjual barang lebih murah, mengguna pengangkutan awam, menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dan air serta menggalakkan bercucuk tanam.

Marimuthu berkata, kempen menghentikan pemasaran makanan tidak sihat kepada kanak-kanak ini akan berjalan berterusan, walaupun tahun ini kempen berkenaan diberikan penekanan.

Berdasarkan pengalaman katanya, satu-satu kempen berkaitan kepenggunaan mengambil masa lima hingga 10 tahun sebelum ia benar berjaya mencapai objektifnya.

"Malah, ada yang memerlukan tempoh masa lebih daripada itu," katanya yang berpendapat pengguna Malaysia semakin matang, walaupun banyak isu kepenggunaan masih ketinggalan.

Pengguna tempatan kini dilihat bijak membuat penilaian penting sebelum membeli sesuatu barang umpamanya tarikh luput, memeriksa kandungan dan halal atau tidak bagi umat Islam dan keselamatan seperti ada kelulusan Kementerian Kesihatan atau Sirim.

Dalam kempen menghentikan pemasaran makanan tidak sihat kepada kanak-kanak mendapati kebanyakan makanan yang sering diambil kanak-kanak, terutama makanan ringan bukan hanya mengandungi kandungan lemak yang tinggi, tetapi gula dan garam melebihi kadar dibenarkan.

Kira-kira 22 juta kanak-kanak di seluruh dunia berusia lima tahun didapati mengalami berat badan yang berlebihan dan kegemukan. Di Malaysia, Kementerian Kesihatan dalam kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional pada 2006 mendapati 21 peratus orang dewasa berusia 30 tahun ke atas, mengalami berat badan berlebihan dan 14 peratus dikategori sebagai obesiti.

Perangkaan berkenaan menunjukkan peningkatan 16.6 peratus dan empat peratus berbanding kajian 10 tahun sebelumnya.

Bagi penyakit kronik, kadar penghidap diabetis meningkat 6.6 peratus kepada 14.9 peratus dan hipertensi pula, peningkatan yang mengejutkan sebanyak 12.7 peratus yang menyebabkan kadar hipertensi sebanyak 42.6 peratus di kalangan dewasa Malaysia.

Sejak awal 2007, Kementerian Kesihatan membelanjakan RM180 juta atau 20 peratus daripada bajet tahunan RM900 juta bagi kos ubat untuk penyakit kronik iaitu hipertensi, diabetis dan kolesterol tinggi. Jumlah pesakit pula dijangka meningkat 13 peratus pada 2020.

Marimuthu berkata, setakat ini industri pembuatan makanan di negara ini sudah menunjukkan kecenderungan untuk mengubah jumlah kandungan gula, garam dan lemak untuk produk mereka dan mematuhi kod pemasaran makanan kanak-kanak antarabangsa.

"Sudah ada kesedaran dan keinginan untuk berubah di kalangan industri makanan. Malah, Fomca pernah menegur kandungan dalam minuman tenaga popular dan pengeluarnya mengambil tindakan mengubah kandungan gulanya.

"Pengeluar sebenarnya tahu kod amalan dan etika, namun tanpa penguatkuasaan mereka memandang ringan perkara ini. Namun, sejak kebelakangan ini, pengeluar nampaknya sudah mula mengambil berat permintaan dan kehendak pengguna kerana mereka tahu pengguna yang menentukan sama ada produk mereka laku atau tidak.

"Lebih menggembirakan kini, kebanyakan pengeluar minuman ada kecenderungan mengeluarkan produk kurang gula atau tiada gula. Ini satu perkembangan positif dan saya yakin dalam tempoh 10 tahun lagi kempen makanan sihat dan pemasaran makanan yang sihat untuk kanak-kanak akan berjaya," katanya.

Consumers International (CI) dan Pasukan Petugas Obesiti Antarabangsa (International Obesity Taskforce – IOTF) sudah meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengguna pakai kod global yang mengawal semua bentuk pemasaran bagi makanan bertenaga-tinggi, nutrisi-rendah yang juga mempunyai kandungan lemak, gula atau garam yang tinggi, yang disasarkan pada kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah.

Kod berkenaan termasuk:
Pengharaman iklan makanan tidak sihat dalam tempoh waktu antara jam 6 pagi sehingga 9 malam;
Larangan promosi makanan tidak sihat menerusi media baru seperti laman web interaktif, laman rangkaian sosial, pemasaran dan khidmat pesanan ringkas (SMS);
Larangan promosi makanan tidak sihat di sekolah;
Larangan hadiah percuma, barang mainan atau barang yang boleh dikumpul untuk promosi makanan tidak sihat; dan
Larangan penggunaan selebriti, watak kartun, pertandingan untuk mempromosi makanan tidak sihat.


Marimuthu berkata, setakat ini Malaysia sudah selangkah ke hadapan untuk mematuhi kod berkenaan seperti sudah melaksanakan larangan promosi makanan tidak sihat untuk waktu siaran rancangan kanak-kanak, menghentikan semua promosi makanan tidak sihat di sekolah dan sudah ada pengurangan penggunaan selebriti dan watak kartun.

Katanya, jika penguatkuasaan lebih serius dijalankan dalam tempoh lima tahun perkara ini akan dapat dicapai sepenuhnya.

"Industri makanan dan minuman dijangka mengubah polisi dalaman mereka selaras dengan kod berkenaan. Pada masa sama, kod ini juga meliputi industri pemasaran dan pengiklanan. Matlamat kod ini adalah pelaksanaan undang-undang nasional yang berkesan dan bukannya mewujudkan sebuah lagi sistem kawal selia kendiri," katanya

Tujuan utama kod berkenaan untuk mengatasi masalah obesiti dan penyakit kronik berkaitan dengan amalan pemakanan. Maka, hanya makanan dan minuman tidak sihat (yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam) yang dilarang untuk dipasarkan kepada kanak-kanak.

Dengan itu, pihak industri seharusnya dapat menghasilkan dan memasarkan produk yang lebih sihat dan berkhasiat kepada kanak-kanak.

"Fomca percaya WHO seharusnya mendefinisikan kriteria pemakanan untuk mengenal pasti produk makanan yang akan dilarang daripada diiklankan kepada kanak-kanak berdasarkan cadangan amalan pemakanan global yang wujud pada masa ini," katanya.

Beliau berkata, adalah mustahil untuk mendefinisikan semua bentuk pemasaran yang mungkin wujud pada masa hadapan.

"Kami menjangka kerajaan yang menjadi ahli WHO akan meneliti bentuk pemasaran yang perlu dikawal selia. Kod ini membabitkan semua bentuk pemasaran (langsung dan tidak langsung)," katanya.

CI sudah mengadakan perbincangan dengan ahli antarabangsanya menerusi tiga sesi konsultasi formal. IOTF juga berbincang dengan ahli akademik dan pakar pemakanan sebelum kod berkenaan ditetapkan.


Berita Minggu
15 Mac 2009

3 ulasan:

kambing biri biri berkata...

apa sebenarnya kepentingan pengeluaran makanan tempatan?

ORANG KAMPUNG berkata...

Assalamualakum dan selamat malam kepada pengguna 1Malaysia.Insyaallah di masa akan datang pengguna 1Malaysia dapat menikmati satu suasan pembelian yang terkawal setiap bulan dengan wujud nya jaringan Hard Dicount iaitu sebuah komplek perniagaan ala Tesco yang 50% barangan nya berjenama tempatan yang akan kami bina seluruh daerah di Malaysia.Konsep ini untuk makluman pengguna 1Malaysia ianya telah berjaya 100 tahun lebih di negara Perancis.Saya bersama pasukan saya buat masa ini dalam proses untuk membina jaring Hard Discount tersebut dengan pilot nya akan di bina di Pekan Pahang.Komsepnya simple jual barang keperluan harian dengan harga jauh lebih murah dari biasa dengan jenama tempatan,format promosi fist class,kualiti terjamain Halalnya serta mencapai nilai ekonomi yang selesa kepada pengguna 1Malaysia.Juga sistem Point Of Sale yang akan kami bangunkan akan menyesaikan bajet serta barangan yang kan dibeli oleh pengguna 1Malaysia mengikut keperluan yang minima pada setiap minggu dan bulan dengan kata lain pengguna tidak lagi perlu risau apakah yang akan dibeli kerna sistem ini kan menyelesaikan nya. Pada pengguna 1Malaysia semua sabar dan jangan beli pada harga yang mahal tapi kena beli juaga sebab tak ada pilihan.Jadi tunggu dan sokongan kehadiran kami nanti,Insyallah

Jemiro berkata...

:) tepat, saya setuju. sejak dini pola makan harus di jaga :)
agar kedepannya tercipta generasi yang lebih sehat dan baik