Laporan khas oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
Pemborong ikan di utara, pantai timur Semenanjung dakwa KIB sukar dikendali
KUALA LUMPUR: Kebanyakan pemborong ikan di Utara dan Pantai Timur Semenanjung meminta Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) meneliti semula spesifikasi dan reka bentuk kotak ikan berinsulasi (KIB) jika mahu penggunaannya diterima pada semua peringkat.
Isu utama yang dibangkitkan mereka ialah reka bentuk kotak itu yang didakwa lebih banyak mendatangkan kesukaran terutama bagi operasi pengangkutan selain ketahanannya berbanding digunakan mereka sebelum ini.
Tinjauan Berita Harian mendapati senario sebenar di sebalik keengganan kebanyakan pemborong ikan terutama di Kelantan menerima pakai KIB ialah aspek kemudahan dan pengendalian yang dianggap menyukarkan.
Hasil tinjauan itu, kebanyakan pemborong ikan di Kelantan tidak menggunakan KIB yang diperkenalkan LKIM dan lebih selesa menggunakan kotak bergentian serta kotak bersaiz 30 kilogram (kg) yang sudah digunakan sejak sekian lama.
Antara alasan utama diberikan mereka ialah kesukaran ketika proses pemindahan kotak ikan dari bot ke jeti yang tidak mempunyai kemudahan kren menyebabkan mereka terpaksa mengangkatnya menggunakan cangkuk besi yang dikendalikan beberapa pekerja.
Selain itu, penggunaan KIB menyukarkan mereka membawa ikan dari Thailand lantaran reka bentuk tapaknya yang rata, sekali gus boleh menyebabkan ia jatuh jika laut bergelora.
Isu lain ialah KIB dikatakan tidak tahan lama serta mudah pecah.
Pengimport di Pangkalan Kubur, Kelantan, Mat Yusof Jaafar, yang sudah membeli 200 KIB berkata beliau lebih selesa menggunakan kotak fiber dengan fungsi insulasi yang dibeli dari Thailand dan beberapa pengeluar tempatan sebelum ini kerana ia lebih murah dan tahan lama.
Beliau berkata, harga bagi satu kotak fiber keluaran Thailand adalah RM150 bagi kapasiti 100kg berbanding RM225 yang dijual oleh LKIM.
Malah, kotak fiber yang sebelum ini digunakan kebanyakan pengimport di situ boleh diperbaiki jika rosak sekali gus menjimatkan kos pengoperasian berbanding kotak keluaran LKIM yang dikatakan langsung tidak boleh diperbaiki.
"Lagi teruk ialah KIB selalu hilang. Daripada 200 yang dibeli, separuh daripadanya sudah hilang. Susah nak jumpa atau mengecam kotak itu kerana semua warnanya sama iaitu biru. Jika kotak lama, ada pelbagai warna. Senang nak bezakan.
"Kesimpulannya, kami sebagai pengimport tak nampak apa kelebihan pada KIB yang boleh mendorong kami bertukar dari kotak lama. Jika diatur di atas lori, ia memakan ruang kerana bentuknya yang condong. Ia nyata kelemahan utama yang kami nampak," katanya.
Pengerusi Persatuan Pemborong dan Pengimport Ikan Kelantan, Ahmad Tarmizi Mamat, pula berkata tidak semua pengimport ikan di Kelantan menghantar ikan mereka ke destinasi yang jauh, sekali gus tiada keperluan menggunakan KIB.
Katanya, jika ikan itu mahu dihantar ke Kuala Lumpur atau ke mana saja yang perjalanannya memakan masa sehingga lebih enam jam, adalah logik kotak khas itu digunakan, namun untuk jualan dalam Kelantan, ia tidak perlu.
Bagaimanapun, pengimport di Bukit Kayu Hitam, Kedah, Zulkahdir Hamzah, berkata penggunaan KIB bagi ikan yang diimport sangat penting kerana kebanyakan ikan itu melalui perjalanan melebihi lapan jam sebelum sampai ke Malaysia.
Fomca mahu kementerian tegas kuat kuasa
GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mahu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani lebih tegas dalam menguatkuasakan penggunaan kotak ikan berinsulasi (KIB) kepada semua pengimport ikan di negara ini bagi menjaga kualiti ikan di pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kementerian sewajarnya tidak boleh berkompromi dalam aspek kualiti serta keselamatan bahan makanan kerana ia adalah satu langkah utama dalam menjaga kesihatan rakyat negara ini secara keseluruhannya.
Beliau berkata, selama ini rakyat tiada pilihan kerana ikan di pasaran hanya mempunyai kualiti yang sama serta tidak diketahui kesegarannya lantaran kemungkinan tertipu dengan bahan pengawet yang khabarnya digunakan negara jiran untuk mengekalkan kesegarannya.
“Ada dakwaan mengatakan ikan yang diimport dari negara jiran menggunakan bahan pengawet mayat. Semuanya dilakukan untuk mengaburi mata pengguna supaya ikan itu nampak segar.
“Justeru, adalah wajar apa saja kaedah yang boleh mengekalkan kesegaran ikan dan yang benar-benar berkualiti serta terjamin keselamatannya perlu dilaksanakan tanpa ada tolak ansur lagi.
“Namun, kementerian perlu menyediakan sesuatu insentif bagi memastikan penggunaan kotak itu tidak pula menyebabkan harga ikan di pasaran melambung tinggi. Ia pastinya menimbulkan masalah lain pula kerana ia akan membebankan pengguna,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Yusof mengakui sikap pengguna negara ini yang lebih mengutamakan harga murah berbanding kualiti menjadi penyebab utama mengapa penguatkuasaan penggunaan KIB sukar dilaksanakan.
Namun, katanya, di sebalik realiti itu, masih ramai pengguna yang prihatin dan mengambil berat berkenaan aspek keselamatan dan kualiti pemakanan tetapi tidak mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan hak mereka.
Spesifikasi baru ikut kehendak pelbagai pihak
PENGIMPORT ikan di Perlis, Oi Che Teong menunjukkan bekas retakan di kotak ikan berinsulasi yang diperkenalkan LKIM.
PENGUATKUASAAN penggunaan kotak ikan berinsulasi (KIB) bagi ikan import yang dijadualkan 1 Mac tahun ini bukan dibatalkan sebaliknya ditangguhkan sehingga semua ciri sedia ada digantikan dengan spesifikasi serta reka bentuk yang menepati kehendak pelbagai pihak.
Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM), Mohd Khazin Hamzah, berkata laporan menyatakan penguat kuasaan itu dibatalkan serta merta adalah tidak tepat kerana LKIM dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani masih optimis untuk melaksanakannya.
Bagaimanapun, katanya, penguatkuasaan itu akan dilaksanakan apabila beberapa aspek berkaitan KIB yang sebelum ini dipertikaikan oleh kebanyakan pihak terutama pengimport dan pengusaha pengangkutan berjaya diselesaikan.
"Setakat ini, beberapa aspek yang dipertikaikan oleh mereka seperti kualiti kotak itu yang mudah menggelembung sudah berjaya diatasi. Kami juga sedang merangka reka bentuk baru yang mampu menyelesaikan masalah pengangkutan menggunakan bot.
"Sebenarnya, semua aspek yang ditekankan mereka (pengimport) lebih berbentuk alasan semata-mata disebabkan keengganan bertukar ke kotak ikan baru ini sedangkan mereka sendiri mengakui bahawa ia mempunyai kualiti tinggi dalam mengekalkan kesegaran ikan.
"Perbandingan dari segi harga yang sebelum ini dibangkitkan juga tidak relevan. Mana boleh bandingkan KIB dengan harga kotak ikan lama, tanpa penutup yang seakan raga. KIB juga ada ciri keselamatan makanan yang tiada pada kotak lama," katanya kepada Berita Harian.
Beliau mengakui bahawa KIB yang dikeluarkan pada peringkat awal mempunyai beberapa kelemahan kerana ia baru diperkenalkan, namun semua permasalahan itu sudah berjaya diselesaikan.
Katanya, punca kebanyakan KIB yang digunakan mudah rosak ialah kerana mereka membelinya daripada pembekal tidak sah yang mengambil kesempatan menjual kotak yang diklasifikasikan sebagai rosak oleh pengilang.
Beliau turut meminta pengimport supaya lebih terbuka dalam menerima sesuatu pembaharuan kerana jika reka bentuk baru dikeluarkan, ia masih tidak akan menyelesaikan masalah itu selagi pengimport enggan menerimanya.
Menjelaskan dakwaan pengimport di Kelantan yang mengatakan ikan import di situ melalui perjalanan beberapa jam saja sekali gus tidak perlu menggunakan KIB, Mohd Khazin berkata mereka silap kerana realitinya ikan yang masuk ke Kelantan melalui Tak Bai, Thailand sudah berhari-hari di laut sebelum sampai ke pusat pendaratan.
"Kaedah konvensional yang digunakan pengimport di Kelantan tidak mampu mengekalkan ketahanan kualiti ikan. Dengan KIB, sekurang-kurangnya ia terbukti mampu mengekalkan kesegaran ikan sehingga 72 jam," katanya.
"Selain itu, sudah sampai masanya kita mencontohi negara Eropah dan Jepun yang mensyaratkan semua makanan termasuk ikan yang mahu dieksport ke negara mereka perlu menggunakan kotak dengan gred makanan serta diakui selamat," katanya.
Timbalan Pengarah LKIM Perlis, Abdul Rahim Md Mustaffa, berkata kebanyakan pengimport di negeri itu menerima pakai arahan dikeluarkan sebelum ini untuk menggunakan KIB sebanyak 10 peratus kerana sedar kelebihan yang ada padanya.
Katanya, meskipun ada timbul rungutan mengenai saiz kotak itu yang dikatakan menyukarkan penyusunan atas lori serta untuk mengisi ikan, ia berjaya diatasi kerana realitinya pengimport boleh memilih untuk menggunakan kotak bersaiz 30 kilogram (kg), 50kg atau 100kg.
Berita Harian, 13 April 2009
MAKLUMAN!
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan