Isnin, Jun 21, 2010

PENGGUNA PERLU BERSATU ELAK DIPERLEKEH PENIAGA

Sedia ubah gaya hidup, miliki kesedaran kepenggunaan tinggi patut jadi panduan masyarakat

KRISIS bekalan gula melanda lagi di beberapa negeri sejak bulan lalu. Pasar raya atau kedai runcit yang mempunyai bekalan gula pula mengenakan catuan pembelian, iaitu seorang hanya dibenarkan membeli dua kilogram saja.

Keadaan ini menimbulkan kegusaran kepada pengguna, sehingga di negeri yang tidak mempunyai masalah bekalan, berlaku pula pembelian panik, iaitu pengguna membeli gula melebihi keperluan biasa mereka.

Ironinya, dalam keadaan negara berdepan masalah bekalan gula, negara jiran seperti Thailand tidak pula menghadapi masalah ini, malah beberapa tempat di Selatan Thailand ada banyak bekalan gula yang berjenama keluaran Malaysia yang di paket sebagai gula bersubsidi. Mengapakah ini berlaku?

Kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil pelbagai langkah bagi mengatasi masalah bekalan ini. Beberapa laporan media menyiarkan tindakan penguat kuasa kementerian menyerbu beberapa premis yang didapati menyorok bekalan gula.

Sebagai langkah mengatasi krisis ini, kerajaan melaksanakan semula lesen barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang berkuat kuasa 1 Julai ini, tetapi keputusan itu dibantah Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (PPPBRM) yang dikatakan menaungi 20,000 peruncit.

Mereka mengugut untuk tidak menjual barang kawalan sekiranya kerajaan meneruskan pelaksanaan lesen terbabit yang sebenarnya bertujuan membolehkan kerajaan memantau bekalan gula pada peringkat runcit bagi memastikan tidak wujud ketirisan seperti kegiatan menyorok bekalan atau diseludup ke negara jiran.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menerima baik langkah ini sebagai usaha kerajaan memastikan bekalan barang kawalan sentiasa ada di pasaran. Pada masa sama, FOMCA juga berharap pelaksanaan lesen ini tidak menimbulkan kesulitan sehingga pengguna sukar mendapat bekalan daripada peruncit yang tidak mempunyai lesen.

Selain lesen runcit barang kawalan, pada masa ini pun kerajaan melaksanakan skim kawalan musim perayaan yang memerlukan setiap peruncit memohon lesen jika ingin menjual barang yang disenaraikan sebagai barang kawalan musim perayaan.

Peraturan ini bermula sejak tahun 2000 lagi, membabitkan tiga lesen yang perlu dimohon, iaitu pada Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Deepavali. Pada 2010 pula, kerajaan memperluaskan skim kawalan harga musim perayaan ini bagi Hari Gawai di Sarawak dan Pesta Kaamatan di Sabah dan Labuan.

Tidak pula kedengaran rungutan daripada peruncit terhadap pelaksanaan peraturan skim kawalan harga musim perayaan. Tetapi apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula lesen bagi barang kawalan, timbul pula bantahan.

Sewajarnya PPPBRM dan semua ahlinya bekerjasama dengan KPDNKK bagi mengatasi masalah bekalan gula yang sedang meruncing. Jika masalah ini disebabkan pemborong membekalkan gula yang kurang daripada sepatutnya, laporkan kepada KPDNKK supaya tindakan diambil terhadap mereka.

Pada masa ini, tiada pihak tampil memberi gambaran sebenar mengapa masalah bekalan gula berlaku. KPDNKK, pengeluar, pemborong dan peruncit hanya mendiamkan diri, manakala pengguna menjadi mangsa kepada keadaan yang berlaku ini.

Pengguna sedia menerima hakikat kenaikan harga gula sebanyak 20 sen awal tahun ini. Biarpun harga gula dinaikkan, masalah bekalan masih berlaku. Siapa dalang krisis gula ini?

Walaupun ugutan memboikot dibuat PPPBRM dibatalkan, ia sepatutnya menjadi pengajaran kepada pengguna. Tindakan memboikot oleh peruncit ini sekiranya berlaku, sudah pasti akan menimbulkan kesulitan kepada pengguna untuk mendapat bekalan barang kawalan, tetapi ia tidak menjadi persoalan bagi peruncit terbabit. Bagi kumpulan peruncit berkenaan, kepentingan mereka sendiri perlu diberikan perhatian.

Bagaimana pula dengan pengguna? Adakah bersedia untuk memboikot peniaga yang menyusahkan mereka, seperti menyorok bekalan, menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya dan sebagainya?

Jika pengguna menggunakan kuasa beli yang ada pada mereka, sudah pasti peniaga juga tidak akan berani `memperlekehkan’ mereka. Begitu juga sekiranya tindakan memboikot yang dirancang PPPBRM benar-benar berlaku, adakah pengguna bersedia untuk memboikot mereka... ‘tepuk dada tanya selera’.

Negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-53 tahun ini. Sewajarnya tahap kesedaran pengguna juga seiring dengan usia kemerdekaan itu. Pengguna tidak sewajarnya hanya menagih agar hak pengguna dilaksanakan, sebaliknya pada masa sama juga perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai pengguna.

Antara tanggungjawab itu ialah bersatu padu. Jika pengguna bersatu padu, pastinya mereka tidak akan menjadi mangsa peniaga tidak bertanggungjawab. Justeru ‘Kuasa Pengguna: 1Pengguna 1Suara’ yang sekali lagi menjadi tema bagi sambutan Hari Pengguna Malaysia pada tahun ini perlu dihayati.

Pada masa sama, pengguna juga perlu bersedia melakukan perubahan menghadapi cabaran hidup masa kini. Jika gaya hidup yang diamal membebankan kewangan mereka, berubahlah ke arah gaya hidup bersederhana dan lestari.

‘Perubahan Bermula Dengan Saya’ – demikian tema Kempen Konsumer Kebangsaan yang dijalankan oleh FOMCA bagi menyedarkan pengguna bahawa mereka sendirilah yang perlu melakukan perubahan jika ingin hidup dalam keadaan sejahtera.

----------------------
Penulis ialah Pengarah Komunikasi Kumpulan, FOMCA.

Berita Minggu, 20 Jun 2010