Ahad, Oktober 17, 2010

TAMBAH PUSAT KUMPUL BARANG MUDAHKAN PEMBELI DAPAT BEKALAN



17/10/2010

BAGAIMANA FOMCA melihat Bajet 2011 terutama berkaitan pengguna dan orang ramai?

Ia sebenarnya seimbang dalam semua aspek membabitkan semua golongan masyarakat. Tidak ada yang terkecuali dan tiada yang mendapat lebih atau terlalu istimewa. Pelbagai insentif baru diumumkan dan sudah tentu ia membabitkan golongan muda, penjawat awam, masyarakat luar bandar termasuk aspek pembangunan teknologi hijau. Bajet kali ini dilihat kesinambungan kepada objektif Bajet 2010 ke arah memaju ekonomi berpendapatan tinggi, cuma ia lebih fokus kepada aspek pelancongan, bagaimana menjadikan sektor itu antara sumber penting pendapatan ekonomi negara.

Ini juga berkaitan pengguna kerana tentu membabitkan peluang perniagaan dan kemampuan membeli barangan yang dikategorikan kegemaran pelancong. Skim Rumah Pertama untuk orang muda, peluang kedua untuk golongan muflis dan pemansuhan duti import 300 barangan keperluan sebenarnya perkembangan baru. Walaupun ada anggap ia perkara kecil, sebenarnya memberi impak besar kepada rakyat.

Bagaimana pula peruntukan untuk Program Pengedaran Barangan Perlu yang ditambah 100 peratus?

Peruntukan tambahan itu diterima dengan hati terbuka kerana dulu (Bajet 2010), peruntukan cuma RM100 juta tetapi kali ini ditambah kepada RM200 juta. Ini bermakna kerajaan prihatin dan mendengar masalah rakyat kerana ia membabitkan barangan perlu, jika mahal pun mereka terpaksa beli kerana itu saja pilihan yang ada. Melalui peruntukan baru ini harga barangan lebih murah dan boleh diseragamkan di semua tempat. Sebelum ini, program itu hanya dilaksanakan di beberapa tempat tetapi kali ini lebih banyak kawasan menikmati kemudahan sama. Peruntukan itu bagi menampung kos pengangkutan ke pedalaman bagi memastikan penduduk luar bandar mudah mendapatkan barangan dengan harga patut. Kami harap pelaksanaannya mampu dijalankan secara berkesan dan mencapai matlamat memastikan tiada rakyat teraniaya kerana masih membayar harga mahal untuk mendapat bekalan.

Kerajaan juga menaik taraf Portal Interaktif untuk memudahkan pengguna membuat semakan harga barang?

Sistem itu sudah diguna pakai dalam laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggunakan program price watch membabitkan 7,000 premis di seluruh negara. Kini ia dinaik taraf bagi menggalakkan lebih ramai pengguna bijak, iaitu tahu di mana untuk dapatkan barang dengan harga patut. Mereka boleh terus membuat perbandingan harga di premis yang dikunjungi dan membuat pilihan bijak. Langkah ini akan mengupayakan pengguna bijak yang tahu menggunakan hak. Apa guna beli barang dengan harga mahal sedangkan ada pilihan mendapat harga murah di tempat lain.

FOMCA harap kemudahan itu diperluaskan ke kawasan luar bandar, sesuai dengan perancangan kerajaan meningkatkan penggunaan jalur lebar di seluruh negara. Pengguna bijak akan guna kemudahan ini dengan efektif. Sekarang zaman teknologi, semuanya canggih dan maklumat di hujung jari. Pengguna perlu sedar, kerajaan sudah umumkan penghapusan duti import telefon bimbit, bermakna rakyat semakin mampu memiliki telefon bimbit yang lengkap dengan kemudahan internet, boleh dilayari dengan mudah dan murah termasuk menyemak harga barang keperluan yang disediakan. Terpulang kepada kita bagaimana hendak memanfaatkannya.

Bagaimana FOMCA melihat kesan bajet baru ini kepada bidang peruncitan dan perniagaan serta pengguna?

Kerajaan umumkan RM73 juta untuk bidang ini termasuk cadangan menubuhkan bengkel automotif pasar komuniti. Apa yang kita harapkan ialah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewujudkan rangkaian runcit yang boleh menjual barang pada harga patut termasuk dapat membantu pengguna membuat perbandingan harga. Kini, tiada penanda aras khas boleh dijadikan rujukan setiap kali berlaku kenaikan harga.

Ada juga dakwaan situasi ini berlaku disebabkan wujudnya sistem monopoli tapi pada pandangan saya, ia tidak begitu ketara pada peringkat peruncitan. Contoh paling mudah penjual ayam, mereka sebenarnya amalkan pakatan iaitu jual harga sama, maknanya pengguna tiada pilihan membeli murah di tempat berlainan, sedangkan kita tahu ada peniaga dapat bekalan ayam pada harga murah, sepatutnya jual lebih murah. Kerajaan perlu pastikan sistem monopoli tidak merebak terutama pada peringkat bawahan kerana sudah tentu mereka akan kawal harga untuk kaut untung besar. Perlu diperbanyakkan pusat mengumpul barangan yang membolehkan pembeli mendapat bekalan terus daripada pengeluar tanpa melalui orang tengah. Contohnya konsep pasar tani di mana urusan berlaku secara langsung antara petani, penternak dan pembeli.

Namun, semua perancangan ini tidak akan berjaya jika tidak mendapat sokongan dan kerjasama masyarakat yang bertindak sebagai pemain utama dalam merealisasikan dasar kerajaan. Apa nasihat FOMCA?

Apa saja perancangan kerajaan perlu disebarkan kepada masyarakat secara terus dan perlu dipastikan mereka mendapat maklumat tepat dan tidak ketinggalan supaya mereka bergerak seiring dengan kerajaan. Kerajaan sebenarnya sudah pun mengkaji keperluan masyarakat supaya setiap dasar itu difahami dan mudah dilaksanakan. Jika merujuk perancangan GST (Cukai Perkhidmatan Kerajaan) pada 2007, ia ditangguh kerana masyarakat tidak faham. Sistem penyampaian maklumat tidak berkesan, jadi perlu disebarkan sebanyak mungkin ke segenap penjuru supaya rakyat faham. Contoh mudah pastikan maklumat sampai ke akar umbi ialah konsep wayang pacak yang banyak digunakan di era 70-an dan awal 80-an.

Ketika itu jabatan penerangan memainkan peranan berkesan, masuk kampung dan pedalaman untuk sebarkan maklumat. Mereka pasang filem yang cuma dipancarkan pada skrin besar dan diselitkan penerangan terkini dasar kerajaan. Ramai hadir kerana berminat tonton wayang percuma, tetapi penyampaian maklumat cukup berkesan. Kenapa kita tak boleh guna konsep sama sekarang, cuma perlu diubah suai ikut perkembangan semasa kerana matlamat utama ialah pastikan rakyat faham. Jangan malu guna kaedah lama yang diberi imej baru asalkan matlamat tercapai, cuma perlu ada kreativiti dan ubah suai ikut keadaan semasa.