Isnin, Julai 11, 2011

PINDAAN AKTA SEWA BELI MELINDUNGI KEPENTINGAN PENGGUNA



Written by Mohd Yusof Abdul Rahman
Friday, 08 July 2011 09:45

Walaupun Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) telah dikuatkuasakan pada 15 Jun 2011, namun masih kedengaran beberapa pihak yang membantah pindaan baru Akta ini, khususnya Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia dan pengusaha kereta terpakai.

Antara bantahan mereka ialah pemeriksaan tambahan 14 perkara, yang dikenali sebagai B7, sebelum sesuatu kenderaan itu dibolehkan dipindah milik kepada pembeli baru, selain pemeriksaan wajib empat perkara yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, iaitu B5.

Selain itu, mereka juga mendakwa peraturan baru dalam pindaan ini akan melibatkan kos tambahan dan kelewatan dalam proses jual beli kereta. Mereka mendakwa melalui pindaan baru ini penjual boleh meminta deposit sebanyak 10 peratus daripada pembeli.

Terkini, ada pula yang mendakwa pindaan baru ini tidak memberi perlindungan kepada ejen penarik kereta, sebaliknya lebih banyak menyebelahi pemilik kereta sahaja.

FOMCA bersetuju bahawa kajian semula perlu dilakukan agar pemeriksaan dua kali tidak sewajarnya dilakukan. Sebaliknya dengan melalui satu pemeriksaan sahaja, sesebuah kenderaan ini telah melepasi keperluan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan peruntukan pemeriksaan di bawah Akta Sewa Beli Pindaan 2010.

Begitu juga dengan pemeriksaan 18 perkara yang dilakukan oleh Puspakom dan bayaran RM90 bagi pemeriksaan tersebut. Keperluan pemeriksaan 18 perkara mungkin tidak perlu dilakukan sepenuhnya terutamanya bagi kereta lama yang tidak dilengkapi dengan kemudahan tertentu, seperti pendingin hawa dan sebagainya. Bayaran RM90 boleh dikurangkan jika pemeriksaan tidak dilakukan sepenuhnya terhadap 18 perkara.

Walau bagaimanapun, FOMCA tidak bersetuju bahawa pindaan Akta Sewa Beli ini hanya mementingkan satu pihak sahaja, iaitu pengguna. Pengguna telah lama bersabar dengan masalah mereka hadapi sebelum ini. Pengguna tidak dilindungi, malah mengalami kerugian, apabila kereta yang dimiliknya adalah kereta potong sambung.

Demikian juga kegiatan ejen penarik kereta yang berlagak seperti `samseng’ apabila menarik balik kereta yang gagal melunaskan ansuran bulanan mereka. Di mana perginya pihak-pihak ini apabila pengguna dikasari? Walaupun sebelum ini, Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia telah mengeluarkan "Garis Panduan Mengenai Perlantikan dan Perilaku Penarik”, namun ia tidak dipatuhi sehinggalah pindaan baru Akta Sewa Beli ini dibuat.

FOMCA amat mengalu-alukan pindaan baru Akta Sewa Beli ini. Sebahagian daripada pindaan itu merupakan cadangan yang pernah dibuat oleh FOMCA sendiri. Ini bagi memastikan pengguna yang membeli melalui transaksi sewa beli dilindungi.

Bayaran deposit sebanyak 10 peratus sebagaimana yang didakwa, sebenarnya telah wujud dalam Akta Sewa Beli 1967. Semua transaksi di bawah Akta Sewa Beli perlu mengenakan bayaran perdahuluan atau deposit tidak kurang daripada 10 peratus. Cuma pada masa ini ada penjual kereta yang membuat promosi ”Sifar Wang Pendahuluan”, yang dikhuatiri melanggar Akta Sewa Beli.

Dalam pindaan baru Akta Sewa Beli ini memberikan perhatian kepada bayaran tempahan atau booking fee, yang biasanya dikenakan bagi kereta baru yang akan dilancarkan. Pindaan baru ini menetapkan bayaran tempahan sebanyak satu peratus daripada harga tunai boleh dikenakan. Jika pembatalan dibuat oleh pembeli, maka 90 peratus daripada wang tempahan akan dikembali, manakala jika pembatalan dibuat oleh penjual pula, sebanyak 100 peratus wang tempahan dikembalikan. Wang tempahan satu peratus ini pula akan dijadikan sebahagian daripada wang pendahuluan 10 peratus jika pembelian diteruskan.

Pindaan baru ini memberikan keadilan kepada pembeli kereta. Sebelum ini FOMCA sering menerima aduan tentang penjual kereta yang enggan mengembalikan bayaran tempahan, sehingga pembeli terpaksa membawa kes tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Pindaan baru Akta Sewa Beli ini bertujuan agar kepentingan pengguna terpelihara apabila membeli kereta, khususnya kereta terpakai. Selain daripada memastikan kereta yang dibeli itu bukannya kereta potong sambung atau kereta curi, ia juga memastikan kereta terpakai tersebut dalam keadaan yang selamat dan baik untuk dipandu di jalan raya.

Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa banyak kereta terpakai yang berisiko tinggi berada di jalan raya. Usaha kerajaan untuk mewajibkan pemeriksaan berkala bagi kereta terpakai juga tidak dapat dilaksanakan. Di beberapa buah negara, kereta terpakai diwajibkan melakukan pemeriksaan secara berkala dalam tempoh tertentu.

Walaupun Kerajaan tidak perlu mengenakan peraturan yang ketat tentang pemeriksaan kereta seperti ini, namun pemeriksaan kereta dalam tempoh tertentu, khususnya kereta yang telah mencapai umur tertentu, mungkin perlu dilakukan bagi memastikan kereta itu selamat dipandu di jalan raya agar ia melindungi keselamatan pemandunya dan pengguna jalan raya yang lain.

FOMCA berharap pihak kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia dan pengusaha kereta terpakai bagi menyelesaikan permasalahan yang wujud dalam pindaan baru Akta Sewa Beli. Dalam masa yang sama FOMCA tetap bertegas agar KPDNKK tidak berkompromi dalam aspek perlindungan kepada pengguna sebagaimana yang termaktub dalam Akta Sewa Beli Pindaan 2010.

Sebenarnya masih banyak lagi pindaan yang perlu dilakukan di dalam Akta Sewa Beli. Antaranya ”Skim Bayaran Mudah” yang berleluasa dijalankan pada masa ini. Pembeli di bawah ”Skim Bayaran Mudah” tidak tertakluk di bawah Akta Sewa Beli kerana transaksi tersebut tidak menepati keperluan yang ditetapkan oleh Akta Sewa Beli. Oleh itu pembeli di bawah skim ini akan menanggung sendiri risiko sekiranya berlaku sesuatu masalah berkaitan dengan pembelian tersebut.

Tiada ulasan: