Selasa, Ogos 07, 2012

JANGAN BOROS SAMBUT RAMADAN DAN HARI RAYA


1 Ogos 2012

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- "Pesta makanan." Mungkin itu ungkapan yang paling tepat untuk menggambarkan suasana di bazar Ramadan.

Di wajah pengunjung yang berasak-asak di tapak bazar, rasanya tidak nampak rasa letih dan lesu walaupun perut sudah lama berkeroncong kerana berpuasa.

Tumpuan mata hanya kepada gerai-gerai yang terletak di sepanjang jalan serta pelbagai aneka juadah yang terdapat di atas meja jualan.

Mana satu agaknya hendak singgah dulu. Aroma ikan dan ayam percik yang di panggang ditambah otak-otak, satar , sate dan ikan pekasam begitu "mengancam", meminjamkan kata seorang rakan yang berkongsi pengalaman berkunjung ke bazar Ramadan Setiawangsa pada hari kedua Ramadan.

"Terlalu ramai orang. Saya syorkan pergi awal. Selepas jam 5, janganlah pergi, sesak, kalau bawa anak kecil lagi susah.

"Nak cari tempat letak kereta pun satu masalah", seorang rakan lain memberitahu pengalamannya ke bazar Ramadan Rawang.

Begitulah senario lazim yang boleh kita lihat jika berkunjung ke bazar Ramadan terutama di hari-hari awal umat Islam menunaikan Rukun Islam ke-tiga ini.

Perut yang kosong bagaikan meronta-ronta mahu diisi dengan pelbagai makanan.

Meskipun sudah penuh tangan menjinjing plastik bungkusan, ada yang masih belum beredar seakan-akan masih mencari apa lagi juadah tambahan untuk dibawa pulang.

Begitu banyak yang dibeli, banyak jugalah yang menjadi habuan tong sampah kerana "tak boleh habis", "tak sedap" dan pelbagai lagi alasan.

HARGA MAHAL

Bagi mereka yang "tak sempat nak masak" atau hendak "mencari makanan yang lain sikit", bazar Ramadan mungkin pilihan terbaik.

Mungkin juga bagi sesetengah orang, membeli itu lebih menjimatkan jika yang hendak memakannya cuma seorang atau dua sahaja.

Tentang harga, mungkin terpaksa menutup sebelah mata. Harga makanan tiada yang turun.

"Hendak beli, beli" mungkin itu pegangan sesetengah peniaga yang menggunakan alasan, harga barang mentah yang tinggi.

Kalau dulu kuih sekeping 10 sen, naik 30 sen dan kemudian dijual tiga keping seringgit, sekarang paling murah sekeping empat puluh sen, ada juga 50 sen sehingga 70 sen.

Tidak cukup di bazar Ramadan, hotel juga menawarkan pelbagai juadah untuk berbuka puasa.

Mungkin sesetengahnya seperti tidak masuk akal kerana menawarkan sehingga 100 hingga 150 menu!

Kebanyakan hotel mempromosikan hidangan resipi makanan tradisional dan masakan ala kampung untuk menarik pelanggan yang sememangnya tercari-cari makanan yang jarang dihidang di meja makan di rumah.

Harga? Sekitar RM50 hingga RM100 lebih untuk orang dewasa! Kanak-kanak juga dikenakan caj tetapi yang lebih rendah, sekitar RM30 hingga RM40.

Pun sudah ada pihak merungut harga bufet yang tinggi berbanding tahun lepas. Seperti di bazar Ramadan, sesetengah hotel dilaporkan memberi alasan harga barang mentah yang mahal dan mahu menjaga kualiti!

BETULKAN SIKAP

Walau apa pun alasan dan keadaan, masyarakat pengguna Islam perlu memperbetulkan sikap dalam urusan berbelanja seperti di bulan Ramadan dan menjelang hari raya.

Seperti kata Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca), "pengguna Islam sewajarnya memberikan tumpuan untuk lebihkan beribadat sepanjang Ramadan.

"Bulan yang penuh kemuliaan ini seharusnya dijadikan sebagai peluang untuk mengurangkan perbelanjaan dan bersederhana.

"Wang yang dapat dijimatkan boleh digunakan sebagai perbelanjaan bagi persiapan menyambut hari raya."

Beliau turut berpandangan, amalan berbuka puasa di hotel yang mengenakan caj yang tinggi tidak sewajarnya dilakukan.

Selain menyebabkan pembaziran, tambahnya, ia juga tidak seiring dengan semangat bulan Ramadan iaitu bersederhana.

"Yang paling baik makan di rumah dengan hidangan yang sederhana. Wang yang hendak dibelanjakan diderma atau sedekahkan ke masjid atau surau untuk membiayai jamuan buka puasa", kata Mohd Yusof.

Beliau turut mengulas kebiasaan syarikat atau pihak korporat mengadakan jamuan berbuka puasa di hotel untuk meraikan anak-anak yatim atau pelajar dari pusat tahfiz.

Bagi beliau, meskipun ia satu dasar yang baik tetapi lebih baik sekiranya pihak berkenaan mengadakan jamuan di rumah anak yatim itu sendiri kerana lebih ramai yang dapat menikmati juadah tersebut.

STATUS HALAL

Mohd Yusof turut mengingatkan masyarakat pengguna Islam supaya berhati-hati memilih premis berbuka puasa.

Sebagai contoh, semakin banyak hotel menjadikan bufet Ramadan sebagai amalan pemasaran untuk menarik pengguna mengadakan jamuan berbuka puasa.

"Persoalannya jika hotel yang mengadakan bufet Ramadan itu tidak mempunyai sijil halal daripada pihak berkuasa berkenaan.

"Ini sudah tentu menimbulkan keraguan tentang status halal makanan yang dihidangkan," katanya.

Beliau menambah, amalan pihak yang mengadakan bufet Ramadan tanpa sijil halal dapat dibendung dengan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 yang mewajibkan hotel yang mengadakan promosi bufet Ramadan mempunyai sijil tersebut.

Bagaimanapun, Mohd Yusof menegaskan pihak berkuasa berkenaan perlu memantau dan mengambil tindakan tegas untuk memastikan amalan mengadakan bufet Ramadan tanpa sijil halal ini tidak berlaku lagi pada tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha, baru-baru ini menasihatkan pengusaha hotel yang tidak mendapat sijil halal yang diperakui supaya tidak mempamerkan logo halal atau sebarang ungkapan yang menunjukkan makanan bufet Ramadan mereka sebagai halal.

Statistik JAKIM menunjukkan pihak berkenaan telah mengesahkan pensijilan halal kepada 812 daripada 1,487 permohonan membabitkan dapur hotel dan premis makanan bagi mengadakan bufet Ramadan.

Jumlah tersebut membabitkan sebanyak 359 hotel dan 453 premis makanan.

TAMBAH HUTANG

Sesetengah pengguna Islam bukan sahaja belanja besar semasa untuk belanja makanan di bulan Ramadan.

Mereka ini juga berjiwa besar untuk beraya sakan meskipun kemampuan kewangan seperti usikan sesetengah rakan "baru dapat slip gaji, wang dah habis bayar hutang."

Untuk mereka ini, ungkapan "Biar papa asal bergaya" nampaknya masih tidak luput dek zaman walaupun hutang sudah mengelilingi pinggang.

"Masalah ini bermula semenjak muda lagi. Kaji selidik yang telah dilakukan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC), iaitu bahagian kajian FOMCA, baru-baru ini mendapati 46.8 peratus responden menggunakan 30 peratus daripada pendapatan kasar mereka untuk membayar hutang.

"Begitu juga kaji selidik ini menunjukkan 37 peratus responden berbelanja melebihi pendapatan mereka. Kaji selidik ini dilakukan terhadap 1,002 pekerja muda di kawasan bandar," jelasnya.

Bagi golongan yang suka berhutang ini, yang penting bila hari raya, semua mesti serba serbi baru. Ada yang sampai balik kampung nanti kereta pun mesti baru!

Alamatnya, tidak cukup kad kredit, mulalah cari ah long!

"Seorang wartawan yang membuat laporan khas tentang ah long pada tahun lepas memberitahu saya dia melihat ramai orang Melayu sedang berurusan untuk membuat pinjaman di pejabat ah long.

"Ini menunjukkan memang ada trend orang Melayu meminjam daripada ah long untuk kegunaan hari raya," Mohd Yusof memberitahu Bernama.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai membimbangkan kerana meskipun pihak media memberi liputan meluas tentang masalah yang dihadapi oleh peminjam ah long, masih ramai yang mahu meminjam daripada pihak berkenaan.

"Mungkin ada yang benar-benar terdesak memerlukan wang untuk sesuatu keperluan tetapi gagal mendapatkan daripada saluran yang sah seperti pinjaman bank kerana syarat pinjaman yang ketat," katanya.

BUAT PERSEDIAAN

Justeru, Mohd Yusof mengingatkan masyarakat pengguna Islam supaya berhemat dalam berbelanja terutamanya menjelang hari raya.

Mereka juga perlu membuat persiapan dan perancangan kewangan terlebih dahulu dan menetapkan jumlah perbelanjaan yang diperlukan.

Dalam hal ini, mereka sewajarnya menyimpan wang untuk mendapatkan sejumlah wang yang diperlukan.

"Menjelang Ramadan, mereka sudah mempunyai jumlah wang yang mencukupi untuk perbelanjaan yang diperlukan dan berbelanja berdasarkan jumlah wang yang ada.

"Masalahnya tabiat menabung dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah dan apabila timbul keperluan wang, mereka terpaksa meminjam.

"Tabiat ini perlu dikikis dan mereka perlu mula menyemai tabiat menabung," tambahnya.

Mohd Yusof memberi contoh pembelian barang kemas yang diperbuat daripada emas sebagai satu bentuk simpanan.

"Barang kemas ini boleh digadai sekiranya ada keperluan," jelasnya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: