2012/12/13 - 22:53:31 PM
Pengguna perlu bijak rancang
perbelanjaan, elak terperangkap gimik tidak menguntungkan
Promosi hujung tahun boleh dilihat
di mana-mana. Perang poster beraneka rupa dan warna, pula ditampal, digantung,
dipacak di mana saja lokasinya, selain dimasukkan dalam peti surat dengan
tujuan menarik perhatian orang ramai berbelanja dan membuat perbandingan dari
segi harga dan kualiti sesuatu produk.
Peniaga berlumba-lumba memberikan
potongan harga terhebat. Belian terbaik, beli satu percuma satu dan
sesetengahnya diskaun sehingga 90 peratus. Itulah frasa lazim kita saksikan
termasuklah ‘Jualan Harga Runtuh’ atau ‘Jualan Penghabisan Stok’ dan Jualan
Penghujung Tahun’.
Lazimnya banyak promosi itu itu
membabitkan jualan kelengkapan rumah seperti perabot, dan barangan keperluan
sekolah.
Pada satu sudut ketika promosi
jualan murah itu adalah masa paling sesuai untuk membeli kerana memberi
potongan menarik. Namun, jangan pula pengguna terperangkap dengan jerat jualan
murah.
Bukan semua promosi ditawarkan
benar-benar menguntungkan. Dalam banyak keadaan jualan murah hanyalah ‘topeng’
untuk memerangkap pengguna berbelanja lebih. Dalam keadaan lebih teruk, mungkin
terbelit dengan hutang.
Tinjauan FAMILI ke sebuah pasar
raya baru-baru ini, seorang jurujual mendedahkan produk jualan murah khususnya
pakaian memang dihasilkan khusus untuk jualan murah, dengan menggunakan jenama
asal, sesetengahnya stok lama.
“Produk jenama terkenal diskaun
tidak pernah lebih daripada 20 peratus. Jika begitu keadaannya, penggunalah
menjadi mangsa,” katanya.
Pengarah Komunikasi Gabungan
Persatuan Pengguna (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ramai pengguna
tidak arif mengenai sesuatu promosi barangan dan mudah menjadi mangsa.
Katanya, produk biasa ‘dijadikan’
sasaran potongan harga murah ialah mengenai produk keperluan harian seperti
baju, kasut, peralatan sekolah dan beg tangan.
“Sekiranya kita perhatikan, produk
berjenama jarang sekali dijual murah pada promosi hujung tahun. Produk
berjenama biasanya dijual murah hanya pada jualan penghabisan stok. Ini kerana
bagi pengguna berpendapatan tinggi mereka biasanya lebih arif dengan produk
ditawarkan,” katanya dihubungi, baru-baru ini.
Tarikan harga rendah
Mohd Yusof berkata, jualan murah
juga dijadikan ‘gimik’ tarikan kepada orang ramai untuk membeli, contohnya
peniaga mungkin menawarkan hanya 30 peratusproduk untuk jualan murah, sedangkan
selebihnya adalah produk dengan harga biasa.
Bagi sesetengah pengguna, mereka
akan mudah terpedaya dan terperangkap membeli barangan yang tiada potongan
harga.
Malah, ada juga rangkaian pasar
raya besar mengeluarkan katalog yang menawarkan pelbagai jenis barang khususnya
untuk barangan dapur, makanan, lauk-pauk dan sayur-sayuran dengan harga murah.
“Malangnya, ada kalanya gambar dan
produk produk ditawarkan dalam katalog tidak sama dengan yang ditawarkan di
pasar raya. Tawaran juga berbeza. Ada menawarkan belian atas belian atau
berbelanja sekian banyak untuk mendapatkan cabutan bertuah dan sebagainya.
“Oleh itu, pengguna juga perlu
pastikan ketika membayar di kaunter, jumlah perlu pengguna bayar adalah pada
harga yang sudah diberi diskaun. Ini kerana ramai pengguna hanya perasan
mengenai harga dibayar bukan harga potongan adalah ketika sudah sampai ke
rumah.
“Kalau ingin menuntut kembali di
pasar raya itu mungkin pengguna malas kerana banyak kerenah. Semua itu perlu
pengguna ambil tahu kerana kadangkala sebagai pengguna kita tidak sedar
terutama jika membeli dalam kuantiti yang banyak,” katanya.
Hak pengguna
Mengulas mengenai aspek
perundangan, kata, Mohd Yusof berkata sesebuah premis tidak boleh menawarkan
potongan harga sesuka hati, sebaliknya perlu mendapat kelulusan mengadakan
promosi jualan murah dengan 70 peratus daripada produk dalam premis ditawarkan
diberikan potongan harga.
Satu notis akan dikeluarkan kepada
peniaga dan ia perlu dipamerkan kepada umum. Sekiranya tidak memenuhi syarat,
peniaga boleh dikenakan tindakan.
“Kalau pengguna rasa tertipu,
mereka boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Menerusi aduan, pihak berkenaan akan ke
premis berkenaan dan mereka akan membuat perbandingan harga barangan dibeli
pengguna itu untuk tempoh enam bulan sebelum pengadu membeli sesuatu produk
ditawarkan sama ada harga dibeli pengadu, barangan diskaun sebaliknya,”
katanya.
INFO
Elak terjerat
- Membuat senarai barangan perlu dibeli.
- Elakkan beli barangan tidak perlu.
- Pengguna perlu ‘patuh’ pada senarai itu.
- Elakkan membeli di pasar raya besar, sebaliknya kedai biasa yang menawarkan produk khusus.
- Sekiranya ingin membeli baju sekolah, kunjungi kedai pakaian seragam bukannya pusat beli-belah untuk mengelak terjebak membeli produk lain yang memungkinkan pengguna berbelanja lebih.
- Aduan - Sebarang aduan pengguna boleh disalurkan KPDNKK ke : 1-800-88-6800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional atau hubungi 03 7877 9000.