Kerajaan batalkan rancangan pengswastaan bekalan air
Jun 21, 05 8:12pm
Terjemahan Kerajaan pusat telah memutuskan untuk menarik balik rancangan awalnya untuk mengambil alih pengurusan air negara dan mengekalkan perkhidmatan tersebut di bawah pengurusan kerajaan negeri.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata, kerajaan negeri akan menguruskan perkhidmatan air mengikut model Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, beliau berkata, kerajaan pusat pula akan menubuhkan sebuah badan untuk mengawal selia industri air negara.
Cadangan pengswastaan perkhidmatan bekalan air telah mendapat bantahan hebat berikutan kebimbangan ia akan meningkatkan kadar tarif air yang akan dibebankan ke atas para pengguna.
Dr Lim mengakui – sewaktu mesyuarat perundingan anjuran Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Julai tahun lalu – telah menyatakan bahawa perkhidmatan bekalan air akan diswastakan.
Bagaimanapun, kata beliau, kementeriannya ‘telah mengubah strategi’ tersebut selepas perbincangan dengan para pakar dalam industri tersebut, kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) di mana beliau mendapati dua model yang dicadangkan, tidak sesuai digunakan di negara ini.
Selepas itu, kata beliau, pihaknya mendapati konsep pengswastaan sepenuhnya, yang berjaya dilaksanakan di Uniterd Kingdom, tidak sesuai dipraktikkan di Malaysia.
Berikutan itu, katanya, Majlis Air Negara telah mencadangkan supaya kerajaan pusat mengambil alih sepenuhnya industri air negara.
Badan pengawal selia
Lim berkata, pihaknya kemudiannya mengadakan dialog dengan kerajaan-kerajaan negeri tetapi mendapati mereka mahu terus menguruskan perkhidmatan bekalan air di negeri masing-masing.
Berikutan itu, katanya, beliau mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah badan pengawal selia bagi memastikan perkhidmatan bekalan air diuruskan dengan sempurna.
“Saya seorang menteri baru (bertanggungjawab terhadap perkhidmatan air). Hanya selepas tiga bulan di kementerian berkenaan, saya mendapat idea yang salah, dan selepas mengadakan perbincangan lanjut, mereka memberitahu saya, yang ianya bukan satu idea yang bagus,” katanya.
Kenyataan beliau itu bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan awalnya sebelum ini bahawa kerajaan negeri, kecuali Kelantan, telah bersetuju kerajaan pusat mengambil alih bekalan air negara.
Mengulas lanjut mengenainya, Dr Lim berkata, idea mengenai pengswastaan air dan pengambilan alih perkhidmatan bekalan air oleh kerajaan pusat, telah dibatalkan secara rasmi sewaktu pindaan Perlembagaan Persekutuan awal tahun ini.
Mengenai sistem bekalan air PBAPP, Dr Lim berkata, Pulau Pinang mempraktikkan pengurusan bekalan air melalui gabungan kerajaan negeri dan pihak awam. PBAPP adalah sebuah syarikat yang tersenarai dan membenarkan para pelanggan menjadi pemegang sahamnya.
Pada masa ini, Johor dan Selangor telah mengswastakan pengurusan bekalan air. Kelantan dan Perak telah memperbadankan pengurusannya.
Cari pasaran modal
Katanya, kerajaan negeri akan menguruskan perkhidmatan air megikut model PBAPP manakala sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) akan ditubuhkan untuk mengawal selia perkhidmatan itu bersama kuasa mengeluarkan dan membatalkan lesen operatornya.
Manakala Syarikat Holding Aset Air (WAhco) milik penuh Kementerian Kewangan akan diwujudkan sebagai satu entiti perniagaan untuk mencari pasaran modal bagi membiayai pembangunan infrastruktur berkaitan air.
Mengenai tarif bayaran air pula, beliau berkata, badan pengawal atur pusat akan menetapkan kadar standard bagi semua negeri, yang menurutnya, “lebih rendah daripada kadar tertingi sekarang dan lebih tinggi daripada kadar terendah sekarang”.
“Jangan cakap pasal tarif air, jangan gunakan tarif (air) untuk menakut-nakutkan orang, sebab itulah saya tidak mahu bercakap mengenai tarif (air)...biarlah badan pengawal atur memutuskannya. Saya tahu ada (pemberita) yang mahu memainkan cerita mengenai tarif (air), tetapi tidak bercakap mengenai perkhidmatan bekalan air, anda hanya berminat pada tarif (air),” tegasnya.
Beliau berkata, Rang Undang-undang Industri Perkhidmatan Air dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara seperti yang dirancang akan dibentangkan kepada kabinet pada 29 Jun sebelum ke parlimen yang bersidang sehingga 26 Julai depan.
Dr Lim berkata, beliau akan meminta kabinet membenarkan rang undang-undang itu menjadi maklumat awam supaya orang ramai boleh memperdebatkannya.
Dengar pandangan awam
"Kami mahu mendengar pendapat orang ramai tentang rang undang-undang ini. Ia bukan sesuatu yang termaktub. Jika terdapat perubahan besar, saya sedia menarik balik rang undang-undang itu untuk dipinda dan membentangkannya semula pada sesi akan datang," katanya.
Sementara itu, Dr Lim beliau membidas tindakan 127 pertubuhan bukan kerajaan, kesatuan sekerja dan persatuan pengguna yang menggelar diri mereka "Gabungan Menentang Penswastaan Air" mengadakan demonstrasi di luar Parlimen.
"Jangan buang masa, semua input yang mereka beri kami sudah ikut. Kenapa demonstrasi menentang cadangan sendiri?" katanya.
Kira-kira 300 orang yang diketuai aktivis Charles Santiago berhimpun di pintu pagar Parlimen untuk mengedar risalah sambil melaungkan slogan "anti-penswastaan" dan "air adalah hak asasi manusia".
Mereka juga merancang menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membantah usaha kerajaan menswastakan pengurusan air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan