Rabu, Jun 22, 2005

Pastikan golongan sasaran dalam pemberian subsidi diesel - PPIM

Tuesday, June 21 @ 16:55:45 MYT


Oleh Omar Saidi
KUALA LUMPUR, 21 Jun ( Hrkh) – Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dato’ Dr Maamor Osman menggesa kerajaan mengkaji pelaksanaan pemberian subsidi diesel kepada golongan sasaran yang berhak menerimanya.

Beliau berkata demikian , ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak , kemungkinan kerajaan akan menghapuskan subsidi diesel secara berperingkat dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang.

Beliau juga mengesa kerajaan memastikan tidak berlaku penyelewengan diesel termasuk perbuatan yang mengambil kesempatan menjual bahan tersebut kepada yang tidak berhak menerimanya.

Dalam pada itu, beliau tidak bersetuju dengan cadangan beberapa pengguna kenderaan persendirian diesel, yang mengesa kerajaan mengkaji semula bayaran cukai jalan.

“Yang penting kerajaan perlu memastikan golongan miskin seperti nelayan menerima subsidi, mendapat kemudahan itu,” katanya.

Sementara itu , Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-persatu Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) , Mohd. Yusof Abdul Rahman ketika dihubungi bersetuju supaya kerajaan mengkaji cara pelaksanaan pemberian subsidi diesel supaya dapat diterima oleh golongan miskin.

“Kerajaan perlu kaji cara beri subsidi diesel, kita mahu golongan miskin turut dapat manfaat dengan subsidi ini,”katanya.

Selain itu, Mohd Yusof turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kadar inflasi dan berharap ianya tidak melibatkan kenaikan harga barang dan menjejaskan kehidupan rakyat. – mks.

Tiada ulasan: