Khamis, Disember 22, 2005

Persatuan tiada hak umum harga ayam

PERSEKUTUAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mempertikaikan kenyataan yang dibuat oleh Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia mengenai kenaikan harga ayam memandangkan ayam adalah barang kawalan.

Sepatutnya hanya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal yang mempunyai kuasa mengumumkan kenaikan itu, bukannya persatuan penternak.

Berdasarkan harga siling barang pengguna ditetapkan kerajaan, yang berkuat kuasa 15 Oktober lalu sehingga 28 Februari depan, harga ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal) ialah RM6 manakala harga ayam super ialah RM6.70.

Oleh itu, pengumuman kenaikan harga ini mengelirukan pengguna dalam menentukan harga sebenar ayam super di pasaran, sama ada RM6.45 atau RM6.70 seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Fomca meminta agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak lagi membenarkan Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia membuat kenyataan mengenai harga ayam.

Pada pandangan Fomca, harga ayam adalah seperti yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu ayam standard RM6 dan ayam super RM6.70, sehingga kenyataan rasmi dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Sekiranya pengguna mendapati harga ayam di pasaran melebihi paras harga siling yang ditetapkan sertakan tidak diletakkan label berwarna merah jambu, sila buat aduan kepada Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang berhampiran, atau melalui talian hotline: 1-800-886-800, laman web: www.e-aduan.kpdnhep.gov.my, sms: 36663 dan emel: aduan@kpdnhep.gov.my.

MARIMUTHU NADASON,
Presiden Fomca.

Berita Harian, 22 Disember 2005

Tiada ulasan: