Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR, 16 Jan (Hrkh) - Kerajaan terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta segera memperjelas keadaan sebenar Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang hari ini dibimbangi tahap keselamatan penggunaannya, kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusoff Abdul Rahman.
Menurut Mohd Yusoff, pihaknya meminta satu penjelasan secara jujur dan tepat dibuat JKR memandangkan banyak rungutan dari pelbagai pihak berhubung tahap keselamatan MRR2 yang dibuka semula pada November 2005 setelah ditutup akibat masalah yang sama sebelum ini.
"JKR sepatutnya perlu memastikan bahawa status jalan tersebut benar-benar selamat sebelum membukanya.Kita tidak nafikan MRR2 penting bagi mengatasi kesesakan lalulintas yang teruk di Kepong,
"Tetapi kerajaan atau JKR diingatkan supaya jangan memperjudikan nyawa orang ramai yang menggunakan lebuh raya tersebut," katanya ketika dihubungi sebentar tadi bagi mengulas isu keluhan orang ramai berhubung tahap keselamatan MRR2.
Mengulas lanjut isu itu Mohd Yusoff berkata, sebelum ini ketika MRR2 ditutup buat sementara pada tahun lalu akibat punca yang sama kerajaan berjanji akan mengarahkan kontraktor Bumi Hinghway menyudahkan kerja-kerja pembaikpulihan struktur jalan yang rekah, katanya.
Sehingga MRR2 dibuka pada November lalu, pengguna lebuh raya itu merasakan ianya sudah selamat memandangkan JKR sendiri yang mengumumkan pembukaan semula lingkaran tengah itu kepada kenderaan ringan sahaja, katanya.
Bagaimanapun mutakhir ini, kejadian yang sama berulang kembali mengakibatkan pengguna was-was menggunakan lebuh raya tersebut, katanya.
"Pengguna bimbang sebab MRR2 tidak selamat, tetapi mereka tidak ada alternatif lain bagi mengelak kesesakan yang teruk di kawasan terbabit.
"Jika JKR mendapati keadaan MRR2 tidak selamat digunakan, pengumuman dan penjelasan secara rasmi perlu dibuat segera.Jika MRR2 ditutup, satu jalan alternatif lain bagi mengelak kesesakan perlu diadakan," katanya.
Sehubungan itu Fomca sekali lagi menggesa kerajaan terutamanya JKR segera menjelaskan status MRR2 kepada umum supaya pengguna lebuh raya tersebut tidak merasa tertekan dengan situasi yang dihadapi kini, katanya.
"Jika JKR enggan berbuat demikian kita akan menulis surat kepada Kabinet dan pihak berwajib bagi meminta penjelasan," katanya.
Menurut laporan akhbar harian, jejambat retak MRR2 yang ditutup tiga bulan dan dibuka semula November lalu, masih tidak selamat digunakan kerana ia berhayun kuat dan dipercayai berada di tahap akhir toleransinya.
Laporan itu menyebut lebuh raya bertingkat itu boleh runtuh jika kerja-kerja membaiki keretakan strukturnya (31 daripada 33 tiang dan palangnya retak) tidak dilakukan segera.
Maklumat sulit teknikal yang diperoleh mendedahkan, runtuhan boleh berlaku apabila tahap rekahan yang sedang membesar (expansion) itu mencecah pada kadar 0.4 peratus.
Pada masa ini, tahap merekahnya berada pada kadar 0.2 peratus. Proses merekah itu melebar pada kadar 0.1 peratus setahun.
Ini bermakna, jangka hayat jejambat itu hanya boleh bertahan dua tahun lagi.
Akhbar itu juga menyebut bahawa pakar pembinaan jambatan menyatakan tempoh setahun ini merupakan tempoh yang ``penuh dengan risiko jika kerja-kerja pembetulan tidak dilakukan segera. Tahap risikonya meningkat dari sehari ke sehari.
"Jejambat itu perlu ditutup sehinggalah kerja-kerja itu dijalankan. Apa yang berlaku sekarang beban kenderaan yang berada di laluan itu, terutama ketika waktu puncak sungguh berbahaya kepada jejambat itu. Jejambat itu berhayun. Saya sendiri takut apabila berada di atasnya, kita akan rasa pening," kata sumber teknikal itu yang tidak mahu didedahkan identitinya.
"Kekuatan besi di dalam strukturnya telah lemah (yield) kerana besi semakin memanjang. Ini mengakibatkan kekuatan simpanan (reserve) pada besi itu sudah berkurangan," katanya yang menerangkan secara teknikal kedudukan jejambat itu.
Keretakan pada jejambat sejauh 1.7 kilometer itu telah menimbulkan kontroversi sehingga memaksa ia ditutup pada 8 Ogos 2005.
Ekoran itu satu kumpulan pakar perunding yang menjalankan kajian keretakan itu, Halcrow Group Limited dari United Kingdom dilantik bagi mengkaji kedudukan jejambat tersebut selama sebulan.
Kerajaan pada November tahun lalu mengeluarkan kenyataan bahawa MRR2 selamat digunakan sementara kerja-kerja pembaikpulihan MRR2 yang dijangka menelan RM20 juta dijangka akan disiapkan setidak-tidaknya pada Jun 2006.-wn.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan