Isnin, Januari 16, 2006

Ejen tarik kereta perlu patuhi kod etika

Saudara Pengarang,

KEGIATAN ejen tarik kereta yang menggunakan kekerasan semasa menarik kereta sering berlaku. Kejadian ini menunjukkan seolah-olah tidak wujud satu bentuk peraturan khusus bagi ejen tarik kereta ini.

Sebenarnya telah wujud satu kod etika pengambilan semula milik sejak tahun 1992, yang dirangka oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, FOMCA, Persatuan Syarikat Sewa Beli Malaysia dan Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia.

Antara kandungan kod etika ini ialah:

Bilangan orang yang bertugas untuk mengambil semula milik hendaklah kecil melainkan keadaan memerlukan bantuan tambahan.

Pengambil semula milik (ejen tarik kereta) hanya boleh memasuki kawasan premis dengan pengetahuan dan kebenaran penghuni.

Pengambil semula milik hendaklah bersopan-santun dan berpakaian kemas. Mereka harus mengekalkan tahap profesionalisme dan kewibawaan dalam menjalankan tugas.

Menggunakan kekerasan dalam apa jua bentuk adalah dilarang semasa menjalankan tugas.

Semasa mengambil semula milik, pengambil semula dimestikan mengemukakan notis kepada penyewa dan memaklumkan perkara-perkara berikut:

Alamat dan nombor telefon syarikat kewangan dan pegawai yang diberi kuasa untuk dihubungi segera bagi menyelesaikan sebarang masalah.

Pengambil semula milik perlu memberi masa yang berpatutan kepada penyewa untuk memeriksa kenderaan dan mengeluarkan barang-barang kepunyaannya.

Seboleh-bolehnya pengambilan semula milik hendaklah dijalankan di hadapan penyewa atau sesiapa yang dibenarkan membawa kenderaan tersebut.

Pengambil semula milik hendaklah pada bila-bila masa mengambil tindakan mengikut undang-undang dan peraturan yang sedia ada.

Semasa pengambilan semula milik, penyewa perlu meminta daripada pengambil semula milik:

Satu salinan notis mengikut Jadual Keempat Akta Sewa Beli 1967.

Kad pengenalan dan kad kuasa.

Meminta masa mencukupi untuk memeriksa kenderaan dan mengeluarkan barang-barang persendirian.

Bagi mengelakkan kejadian tarik kereta secara kekerasan ini terus-menerus berlaku, semua pihak yang terlibat dalam peraturan dan industri sewa beli seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Bank Negara serta pihak-pihak berkaitan seperti Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia dan Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia hendaklah mengguna pakai dan mematuhi kod etika pengambilan semula milik ini.

Sekiranya kod etika ini dapat dipatuhi, pengguna tidak lagi akan berhadapan dengan masalah ejen tarik kereta yang tidak bertanggungjawab ini.

Dalam pada itu pihak yang berkaitan seperti syarikat kewangan perlu lebih bertanggungjawab agar ejen tarik kereta mereka tidak melakukan sesuatu yang di luar batasan undang-undang. - MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN, Presiden, Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Utusan Malaysia - 28 Disember 2005

Tiada ulasan: