Isnin, Januari 16, 2006

Orang ramai dinasihat elak pembaziran guna SMS

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Orang ramai perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, walaupun ia merupakan hak mereka tetapi mereka perlu meneliti setiap kali menggunakan khidmat itu.

``Pengguna perlu membuat pertimbangan dan waspada dalam menggunakan perkhidmatan itu memandangkan kadar pesanan itu adalah tetap walaupun pengguna menggunakan satu huruf sahaja,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif TM Net Sdn. Bhd., Micheal Lai bahawa rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira 47 juta sehari melalui SMS.

Jumlah tersebut dibuat berdasarkan andaian bahawa setiap SMS dikenakan bayaran purata 10 sen.

Berdasarkan perangkaan itu, ini bermakna bahawa setiap pengguna telefon bimbit di seluruh negara membelanjakan sebanyak RM88 sebulan hanya untuk menggunakan perkhidmatan itu.

Jumlah itu tidak termasuk dengan kadar panggilan, perkhidmatan memuat turun nada dering, mesej bergambar dan sebagainya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan (SWPCA), Mohd Yusof Abdul Rahman menyifatkan bahawa pengguna kadangkalanya tidak menyedari ketika menggunakan perkhidmatan itu sehingga menyebabkan mereka menanggung kos yang tinggi.

Selain itu, beliau juga memberitahu pengguna bahawa mereka perlu lebih berhemah dalam pendapatan mereka memandangkan kos hidup yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Koordinator Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pihaknya memandang perkara tersebut sebagai satu aliran yang tidak sihat dan mengelirukan pengguna.

Utusan Malaysia - 16 Disember 2005

Tiada ulasan: