Rabu, Ogos 16, 2006

Kekurangan gula: Hentikan monopoli ‘raja’ gula

Shufiyan Shukur


Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mempersoalkan rasional membenarkan hanya empat syarikat untuk mengimport dan memproses gula mentah, yang menurutnya, merupakan antara punca berlakunya kekurangan bekalan gula sekarang.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, syarikat pengeluar gula mengimport gula menerusi Perjanjian Kontrak Jangka Panjang (LTC) pada harga dan kouta yang telah ditetapkan, serta pada harga pasaran terbuka daripada para pengeluar utama.

Produk seperti gula yang ditapis, gula merah dan gula kastor dihasilkan untuk eksport dan untuk diedarkan di pasaran tempatan.

“Kita tidak nampak sebabnya mengapa jumlah syarikat pengeluar gula perlu dihadkan kepada empat buah sahaja, dan itupun dikuasai oleh dua orang sahaja – ‘Raja Gula’‘Sugar King’ Robert Kuok dan Syed Mokhtar Al-Bukhary,” katanya.

Kuok, melalui syarikat tersenarai miliknya,Perlis Plantation Group Bhd, menguasai Malayan Sugar Manufacturing dan Kilang Gula Felda Perlis – syarikat usahasama dengan Felda.

Syed Mokhtar pula, melalui syarikat Tradewinds (M) Bhd, menguasai Central Sugar Refinery dan Gula Padang Terap.

Fomca percaya keempat-empat syarikat berkenaan patut dipantau secara dekat bagi menentukan sama ada bekalan gula yang mencukupi diperuntukkan untuk pasaran dalam negeri, memandangkan harga bahan itu lebih tinggi di negara-negara jiran dan ini menjadi daya tarikan untuk mengeksportnya.

“Susah sangat ke untuk memantau empat syarikat berkenan?” soal Mohd Yusof.

Cari penyelesaian

Sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini memetik sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Halehwal Pengguna sebagai berkata, masalah kekurangan gula itu dikesan kepada pengeluaran Permit Import (AP) bagi import bekalan gula mentah.

Sumber itu mendakwa syarikat gula telah mengeksport bekalan gula untuk mengambil kesempatan daripada harganya yang tinggi di seberang laut, atau mengeluarkan gula jenis lain – manakala sebuah daripadanya dikatakan telah menggunakan keseluruhan kuota 56,000 tan daripada LTC untuk menghasilkan gula merah dan gula icing.

Pada 18 Julai lalu, agensi berita Bernama, memetik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Rafidah Aziz sebagai menafikan wujudkan AP seumpama itu.

Katanya, syarikat berkenaan mengeluarkan bekalan gula yang diperlukan untuk pasaran tempatan tetapi menyalahkan sistem pengedaran, aktiviti penyeludupan dan perbuatan sorok serta para peruncit sebagai punca utama berlakunya masalah bekalan bahan itu di negara ini.

Mohd Yusof berkata, daripada mencari siapakan yang bersalah dalam hal tersebut, kedua-dua kementerian itu sepatutnya bekerjasama mencari penyelesaiannya – sama ada untuk menyekat eksport gula, menambah bilangan syarikat gula, atau menaikkan harga kawalan gula yang kini RM1.40-RM1.45 sekilogram, atau mengenakan kawalan lebih ketat terhadap pengedaran gula oleh pihak syarikat dan para pengedar.

Katanya, Fomca telah lama meminta supaya digubal satu perundangan selaras dengan Akta Perdagangan Adil bagi menangani banyak isu seperti menyediakan mekanisme dan prosidur bagi membasmi perbuatan sorok dan mengaut keuntungan.

“Langkah itu perlu disegerakan kerana gula hanyalah salah satu barangan kawalan. Barangan kawalan lain seperti beras dan tepung juga mungkin menghadapi masalah yang serupa pada masa depan. Kita juga merasakan tidak perlu ada monopoli bagi barangan kawalan,” katanya.

Satu sumber industri menegaskan perlunya isu-isu struktur diselesaikan. Jika tidak, katanya, usaha-usaha penguatkuasaan tidak akan memberi kesan dan para pengguna akan berterusan menghadapi masalah mendapatkan bekalan gula.

Malaysiakini
16 Ogos 2006

Tiada ulasan: