Selasa, Ogos 01, 2006

Hamdan:‘Saya bukan anti-kerajaan...’

Muhammad Razif

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Prof. Datuk Hamdan Adnan tidak menolak kemungkinan satu hari nanti akan bergiat aktif dalam politik.

“ Buat masa ini saya belum berminat tetapi saya sentiasa bersikap terbuka. Matlamat saya hanya satu, untuk berkhidmat kepada orang ramai.

Saya pernah menjadi ahli Umno dan masih kekal sebagai ahli Umno. Seorang pemimpin pembangkang pernah bertanya pada ayah saya samaada saya mahu bertanding dalam pilihanraya,” katanya dalam satu wawanacara dengan malaysiakini di rumahnya di Sungai Buluh, minggu lalu.


Menurut Hamdan, dia menjadi ahli Umno sekarang kerana mahu memastikan beliau dapat memberikan khidmat yang berkesan kepada orang ramai.

“ Semua orang maklum apabila menganggotai parti kerajaan, suara kita akan didengar. Umpamanya apabila sesebuah perkampungan setinggan itu dipacak dengan papan tanda cawangan Umno, jentolak tidak akan merobohkan kampung tersebut,” ujarnya.

Bagaimanpun menurut Hamdan, walaupun menjadi ahli Umno itu tidak bererti beliau telah menolak parti-parti lain.

“ Saya bersikap terbuka, kalau saya dapati Umno tidak membenarkan saya berkhidmat untuk rakyat, saya boleh menimbangkan parti-parti lain,” kata bekas Presiden Gabungan Persatuan-persatauan Pengguna Malaysia (Fomca).

Menurut beliau lagi, apa yang penting baginya sekarang ialah berkhidmat untuk orang ramai tanpa mengira apa bangsa, agama atau parti mereka.

Hamdan digugurkan dari Suhakam pada Mac lalu setelah tamat tempoh perkhidmatan. Beliau menjadi pesuruhjaya badan hak asasi manusia itu selama dua penggal. Kerajaan membahruhi tempoh perkhidmatan pesuruhjaya Suhakam setiap tiga tahun.

Pejuang isu kepenggunaan

Sebelum menyertai Suhakam, Hamdan, 57, adalah pensyarah di UiTM. Kini beliau menjadi penasihat Fomca dan Era Konsumer di samping meneruskan kerja-kerja amal.

Hamdan juga menolak tanggapan sesetengah pihak yang menganggapnya sebagai anti-kerajaan.

“Bagaimana mereka kata saya anti-kerajaan sedangkan saya seorang ahli Umno. Saya bersuara untuk membela nasib rakyat, bukan untuk memburuk-burukkan atau menyokong mana-mana parti,”tegasnya.

Menyentuh tentang perkhidmatannya sebagai ahli Suhakam, pula, Hamdan berkata beliau puas hati dengan apa yang telah disumbangkannya selama ini.

“ Saya gembira, saya tidak mengabaikan tugas yang diamanahkan. Saya tidak berasa berdosa atau bersalah kerana saya telah melakukan yang terbaik dan termampu oleh saya. Saya tidak goyang kaki, orang ramai tahu rekod perkhidmatan saya dan hingga sekarang pun orang masih mencari saya bagi menyelesaikan masalah mereka” ujarnya.

Aktivis sosial yang berasal dari Negeri Sembilan ini merupakan antara pesuruhjaya Suhakam yang paling lantang bersuara ketika berkhidmat selama enam tahun di agensi tersebut.

Hamdan sering memperjuangkan isu-isu panas seperti tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, hak berhimpun, keganasan polis dan hak milik tanah pribumi serta isu-isu kepenggunaan.

Mengenai prestasi Suhakam sekarang, Hamdan melahirkan kekecewaannya terhadap imej dan peranan yang dimainkan oleh peranan itu.

“ Suhakam sekarang lesu, itulah yang saya dengar dari orang ramai. Saya berpendapat Suhakam dan para pesuruhjayanya perlu pro-aktif, ia tidak boleh sekadar menerima memorandam dan kemudiannya mengatakan perkara ini di luar bidang kuasa kami.”


“Apa yang dihadapi oleh Suhakam sekarang ialah masalah kepimpinan. Mereka yang berada dalam Suhakam perlu melihat diri sendiri samaada mereka layak atau tidak duduk di situ. Adakah mereka sekadar mahu mendapat elaun RM6,000 sebulan dan sebuah kereta atau benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat,”ujarnya.

Hamdan juga menekankan, peranan yang dimainkan oleh badan itu banyak bergantung pada apa sebenarnya yang dikehendaki oleh kerajaan.

“ Apa yang dikhendaki oleh kerajaan sebenarnya tergambar dari perlantikan angggota suruhanjaya ini,”katanya tanpa mengulas lanjut.

Beliau menambah, jika kerajaan benar-benar mahu Suhakam berfungsi dengan berkesan membela hak asasi manusia, para pemimpin negara perlu bersedia menerima teguran dan kritikan.

Sehubungan itu bekas pesuruhjaya Suhakam ini menasihatkan orang ramai yang tidak puas hati dengan layanan yang diterima dari badan itu membawa aduan mereka kepada kerajaan.

“Orang ramai jangan mudah putus asa, jika Suhakam memekakkan telinga, bawalah rasa tidak puas hati anda kepada kerajaan,”ujarnya lagi.


MalaysiaKini
31 Julai 2006

Tiada ulasan: