Jumaat, Mac 28, 2008

Minda: Rakyat perlu dididik jadi pengguna bestari

Oleh Muhammad Haafizuddin Abirerah

TAHUKAH pengguna mengenai kewujudan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia? Setiap tahun Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia ditetapkan pada 15 Mac. Setiap daripada kita bergelar pengguna tetapi sejauh mana kita mengetahui mengenai Hari Pengguna itu?

Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia mula diadakan pada 1983, mengambil sempena Deklarasi Hak-Hak Pengguna yang dibentangkan Mendiang John F Kennedy, bekas Presiden Amerika Syarikat pada 15 Mac 1962.

Di Malaysia, kerajaan mengisytiharkan Hari Pengguna Malaysia pada 26 Julai sempena pembentangan Akta Perlindungan Pengguna pada 26 Julai 1999. Sambutan Hari Pengguna Malaysia mula diadakan pada 2001.

Mungkin kita akan tertanya, untuk apakah Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia disambut? Untuk menjelaskan kepentingannya, marilah kita bincangkan permasalahan yang dihadapi pengguna pada masa ini.


Apabila kita melihat dan meneliti, pasar raya di Malaysia menjadi pusat hentian setempat untuk membeli semua barang keperluan rumah.

Pengiktirafan barang di pasar raya adalah satu faktor yang perlu dititikberatkan. Siapakah yang bertanggungjawab ke atas barang berkenaan?

Pengguna meletakkan kepercayaan mereka kepada pasar raya tetapi apabila barang yang dibeli rosak atau mempunyai masalah, pengguna terpaksa berdepan dengan pembuat dan bukan pemborong.

Ini adalah satu konsep yang tidak menepati perkhidmatan pusat sehenti. Pasar raya tidak harus memikirkan keuntungan saja, sebaliknya patut menjalankan tanggungjawab dengan membantu pengguna mempraktikkan penggunaan lestari dan belanja berhemah.

Bagaimana pula dengan kemalangan jalan raya? Bukankah kita sebagai pengguna jalan raya amat gerun apabila mendapat perkhabaran mengenai peningkatan kadar kemalangan, terutama pada musim perayaan.

Peningkatan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan adalah satu fakta. Kebanyakan pakar dan agensi menyatakan pengguna jalan raya adalah faktor utama kepada peningkatan itu.

Kita tidak boleh menafikan bahawa setiap manusia mempunyai tabiat dan tingkah laku yang berbeza. Ia tidak boleh diubah dalam sekelip mata.

Seorang pengguna jalan raya atau lebuh raya mengharapkan pihak berkenaan mengambil langkah tertentu untuk memastikan keselamatan mereka.

Mengubah tabiat pengguna jalan raya atau lebuh raya dan reka bentuk jalan yang selamat dapat mengurangkan kemalangan bersama secara berkesan.

Berita Harian baru-baru ini mengulas mengenai strategi pasaran dunia menjadikan kanak-kanak sasaran meraih untung.

Tarikan makanan yang didatangkan bersama mainan menarik atau mainan berasaskan watak kartun popular selalunya dijadikan umpan dalam menarik kanak-kanak menikmati makanan yang dibuktikan secara saintifik tidak menyihatkan dan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.

Memancing minat kanak-kanak terhadap permainan supaya mereka membeli produk makanan kurang sihat semakin parah apabila ibu bapa dengan mudah menuruti kehendak anak tanpa memikirkan anak kelak menjadi mangsa pengambilan makanan tidak seimbang.

Jelasnya, kesibukan ibu bapa dan pengaruh iklan yang mendesak menjadikan segala makanan boleh didapati dalam bentuk segera tanpa perlu disediakan seperti menyediakan nasi goreng, mi goreng dan sebagainya.

Malah ibu bapa lebih senang membekalkan makan siap proses seperti nuget dan sosej.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, dilaporkan berkata teknik pemasaran itu jelas bertentangan dan tidak membentuk sifat kepenggunaan dalam diri kanak-kanak yang sepatutnya diperkenalkan sejak mereka kecil.

“Strategi pemasaran ini akan semakin tajam dan mempengaruhi. Ibu bapa tidak seharusnya mengikuti kehendak anak, sebaliknya mendidik mereka menjadi pengguna yang bijak, bukan terpengaruh dengan iklan yang ditawarkan.

“Anak mungkin meminta apa saja kerana mereka masih kanak-kanak, tetapi sebagai orang lebih dewasa kita yang sepatutnya mencorakkan mereka.

“Menyedari hal berkenaan menjadikan topik ini sebagai tema Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2008 iaitu Generasi Makanan Ringan: Kempen Consumers International Menghentikan Pemasaran Makanan Tidak Sihat Kepada Kanak-Kanak,” katanya.

Baru-baru ini satu bengkel penjimatan air diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedai Buloh, Kota Bharu, Kelantan membabitkan 172 pelajar daripada 17 sekolah, anjuran Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca).

Program bertujuan mendedahkan pelajar kaedah pemetaan air dan kegiatan lapangan pemeriksaan kualiti air.

Setiap sekolah diberikan satu set ujian kualiti air bernilai RM120 yang mengandungi bahan kimia untuk menguji kandungan nitrat, fosfat, nilai pH, kekeruhan air, suhu air, oksigen terlarut dan ujian keperluan oksigen biokimia.

Inilah yang perlu dicontohi sekolah di Malaysia. Setiap orang bergelar pengguna perlu diterapkan dengan nilai yang baik serta murni.

Sebagai seorang pengguna bijak, kita perlu mengetahui hak dan tanggungjawab sebagai pengguna. Jadilah pengguna bestari hari ini.


Harian Metro, 27 Mac 2008

Tiada ulasan: