Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Strategi pasaran dunia dilihat menjadikan kanak-kanak sasaran raih untung
STRATEGI perniagaan hari ini dijangka bakal menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran utama mengaut keuntungan berlipat kali ganda, khususnya dalam produk berbentuk makanan segera.
Tarikan makanan yang didatangkan bersama mainan menarik atau mainan berasaskan watak kartun popular selalunya dijadikan umpan dalam menarik kanak-kanak menikmati makanan yang dibuktikan secara saintifik tidak menyihatkan dan mendatangkan kesan buruk pada kesihatan.
Memancing minat kanak-kanak terhadap permainan dengan membeli produk makanan kurang sihat dilihat semakin parah apabila ibu bapa menuruti keinginan anak tanpa memikirkan bahawa anak mereka kelak dengan mudah menjadi mangsa akibat pengambilan makanan tidak seimbang.
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata teknik pemasaran itu jelas bertentangan dan tidak membentuk sifat kepenggunaan dalam diri kanak-kanak yang sepatutnya diperkenalkan sejak mereka kecil lagi.
“Strategi pemasaran ini akan semakin tajam dan mempengaruhi. Ibu bapa tidak seharusnya mengikuti kehendak anak sebaliknya mendidik mereka menjadi pengguna yang bijak, bukan terpengaruh dengan iklan yang ditawarkan. Anak mungkin meminta apa saja kerana mereka masih kanak-kanak, tetapi sebagai orang lebih dewasa kita yang sepatutnya mencorakkan mereka.
“Menyedari hal berkenaan menjadikan topik ini sebagai tema Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2008 iaitu Generasi Makanan Ringan: Kempen Consumers International Menghentikan Pemasaran Makanan Tidak Sihat Kepada Kanak-Kanak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia disambut oleh pergerakan pengguna seluruh dunia yang bergabung dengan Consumers International, pertubuhan pengguna antarabangsa yang berpejabat di London. Consumers International dianggotai oleh seramai 220 persatuan pengguna daripada 115 buah negara.
Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia mula diadakan pada 1983, mengambil sempena Deklarasi Hak-Hak Pengguna yang dibentangkan oleh Mendiang John F Kennedy, bekas Presiden Amerika Syarikat pada 15 Mac 1962.
Sementara itu, di Malaysia pula, menyedari pentingnya peranan pengguna, kerajaan mengisytiharkan Hari Pengguna Malaysia pada 26 Julai. Tarikh ini bersempena dengan pembentangan Akta Perlindungan Pengguna pada 26 Julai 1999. Sambutan Hari Pengguna Malaysia mula diadakan pada tahun 2001.
Pada hari itu, pelbagai acara diadakan antaranya majlis pelancaran, karnival pengguna, pertandingan kepenggunaan, seminar dan sebagainya. Apa yang menjadi masalah dan mungkin juga cabaran kepada kita hari ini ialah negara kita.
Jelasnya, kesibukan ibu bapa dan pengaruh iklan yang mendesak menjadikan segala makanan boleh didapati dalam bentuk segera, tanpa perlu disediakan seperti menyediakan nasi goreng, mi goreng dan sebagainya. Malah ibu bapa lebih senang membekalkan makan siap proses seperti nuget dan sosej.
Tanpa menyedari bahan berkenaan sekiranya dihitung, membabitkan kos yang lebih tinggi berbanding sekiranya menyediakan sendiri sarapan pagi.
Katanya, perkara berkenaan besar kaitan dengan kesedaran kepenggunaan yang masih rendah di kalangan rakyat negara ini berbanding negara maju. Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini masih diperlukan untuk memperjuangkan hak pengguna berbanding negara maju yang mana pengguna tahu hak mereka dan lebih bijak mengatur perbelanjaan mengikut kemampuan masing-masing.
“Kita di sini sudah terlalu selesa menjadikan kita inginkan segala-galanya dalam keadaan selesa. Makanan segera dan sebagainya. Menyebabkan kita berasa tidak salah kalau harga naik kerana hampir 70 peratus pengguna di negara ini banyak memperuntukkan perbelanjaan mereka kepada barang yang tidak perlu. Apabila ini berlaku maka peluang untuk tertipu dan membeli sesuatu yang membazir mudah berlaku.
“Begitu juga dengan kekurangan bekalan minyak masak pada pasaran tidak lama dulu. Tindakan pengguna yang panik, lantas membeli secara banyak hanya memburukkan keadaan. Bayangkan apabila bekalan minyak masak tidak cukup di pasaran disambut dengan tindakan pengguna mengubah gaya hidup untuk seketika.
“Pengguna bertindak mengurangkan pembelian atau berhenti membeli minyak masak untuk tempoh tertentu. Dalam tempoh itu, mereka menukar kaedah memasak kepada mengukus, merebus atau memanggang. Bukan saja cara ini lebih menyihatkan, tetapi ia akan menurunkan kadar permintaan terhadap minyak masak di pasaran,” katanya.
Mengulas mengenai penubuhan Majlis Harga Barang Negara (MHBN) dan bagaimana ia membantu pengguna, katanya fokus MHBN untuk memastikan bekalan barang mencukupi, dan seterusnya dapat menstabilkan harga barang. Ini secara tidak langsung akan meringankan bebanan kos sara hidup di kalangan wanita, ibu tunggal, warga tua, masyarakat kampung, pekerja berpendapatan sederhana dan rendah.
Tiga inisiatif diwujudkan di bawah MHBN, iaitu Stok Penimbal Barang, Pusat Penggilan dan Kumpulan Pakar Perunding. MHBN dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta dianggotai beberapa menteri Kabinet.
“Pengguna sebenarnya mempunyai satu kuasa pasaran yang amat kuat dan setakat ini mereka tidak menggunakannya, sebaliknya kuasa pasaran kadangkala memerangkap mereka. Kuasa pasaran banyak terletak di tangan wanita, sekiranya wanita lebih bijak berbelanja ia amat membantu ekonomi keluarga, tetapi pada masa sama suami juga perlu berubah. Sekiranya merokok atau kerap makan luar bersama rakan ia perlu dielakkan dengan makan di rumah dan berhenti merokok,” katanya.
Beliau berkata, mengelakkan berbelanja lebih, individu perlu membuat senarai belanjawan dan barangan yang perlu beli, mengelakkan terlebih belanja, atau terpedaya dengan barangan yang tidak perlu dibeli daripada terbeli.
Jelasnya kesedaran penggunaan di negara ini dilihat semakin meningkat dengan semakin ramai pengguna tampil melakukan aduan sekiranya berlaku sebarang masalah terhadap produk atau perkhidmatan yang diterima. Sekiranya kes berkenaan lebih berat, ia akan dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia. Bagaimanapun pengguna yang bijak dilihat sebagai pengguna yang bijak memilih produk berkualiti, bukan yang murah semata-mata.
Sebagai insan yang mempunyai deria, pengguna seharusnya berfikir secara kreatif dan inovatif untuk melepaskan diri daripada bebanan harga minyak dunia yang memberikan implikasi kepada kenaikan harga barangan lain.
Katanya perbuatan marah, merungut dan sebagainya hanyalah tindakan sia-sia kerana walaupun kerajaan mengambil langkah perlu tetapi lambat laun ia tetap akan naik.
Justeru katanya bermula hari ini pengguna perlu menguruskan perbelanjaan dengan lebih berhemah. Berjimat cermat semampu mungkin dan membeli pada barangan perlu saja. Sekiranya mempunyai kemudahan telefon bimbit untuk anak pula, pastikan ia digunakan untuk yang berfaedah, usah bazirkan dengan memuat turun lagu dan sebagainya yang nyata tidak perlu.
“Alternatifnya adalah bertindak positif, berfikir kreatif dan memikirkan cara yang boleh mengurangkan kesan kenaikan harga barang terhadap ekonomi keluarga. Saya percaya untuk telefon saja tidak kurang daripada RM100 bilnya setiap bulan. Sungguhpun berkemampuan, ibu bapa perlu memastikan anak bijak berbelanja sebagai pendidikan kepenggunaan.
“Mungkin perkataan ini agak membosankan, tetapi sebagai pengguna kita mempunyai alternatif seperti membawa bekal ke pejabat atau ke sekolah untuk anak yang bersekolah, berhenti menghisap rokok, dan menaiki kenderaan awam untuk lebih berjimat. Tidak dapat tidak kita perlukan sedikit usaha dan mungkin juga pengorbanan.
“Kita tidak rugi sebenarnya bila mencari alternatif lain sebegitu, kerana secara tidak langsung kita menunjukkan contoh yang baik dan mendidik kepenggunaan dalam diri anak. Segelintir berpendapat ibu bapa hari ini rela berkorban apa saja dan memberikan apa anak ingini kerana zaman mereka kecil dulu perlu mengikat perut dan sebagainya, tetapi perbuatan sebegini tidak elok kerana anak ini mungkin tidak tahu mengurus perbelanjaan bila dewasa kelak,” katanya tegas.
INFO: Amalan bijak
· Hak untuk mendapat keperluan asas - hak kepada keperluan asas bererti hak kepada barang dan perkhidmatan asas yang perlu untuk kehidupan.
· Hak untuk membuat pilihan - kita berhak diberi peluang memilih barang dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan dan mutu yang memuaskan.
· Hak untuk mendapatkan maklumat - kita berhak mendapat maklumat yang lengkap dan jelas.
· Hak untuk mendapat ganti rugi - kita berhak mendapat ganti rugi jika barangan atau perkhidmatan tidak menepati seperti yang didakwa.
· Hak untuk mendapat keselamatan - kita berhak mendapat barangan dan perkhidmatan yang selamat digunakan.
· Hak untuk menyuarakan pendapat - kita berhak menyuarakan pendapat mengenai perkara yang membabitkan kepentingan kita sebagai pengguna.
· Hak untuk mendapat pendidikan pengguna - kita berhak mendapat pendidikan pengguna supaya boleh bertindak sebagai pengguna yang bijaksana.
· Hak untuk hidup dalam alam sekitar yang sihat - kita berhak hidup dalam alam sekitar yang bersih supaya kesihatan dan kesejahteraan hidup terjamin.
Sumber: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
CITRA – BERITA HARIAN 14 MAC 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan