Selasa, Ogos 26, 2008

MENJELANG BAJET 2009: INSENTIF TINGKAT SEMULA KUASA BELI

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my

Golongan berpendapatan rendah, sederhana tunggu 'khabar gembira'

PENINGKATAN kos sara hidup yang dihadapi di negara ini memerlukan kerajaan mengambil tindakan proaktif dan berkesan, khususnya dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Golongan terbabit rata-ratanya amat tertekan berikutan kenaikan dalam harga barangan yang begitu ketara selepas penstrukturan semula subsidi harga minyak susulan peningkatan harga minyak mentah global.

Keadaan berkenaan menyebabkan kuasa beli rakyat semakin mengecil, sehingga menyebabkan golongan yang dulunya tergolong dalam kategori yang berpendapatan sederhana, kini turut berdepan masalah.

Justeru, Bajet 2009 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Jumaat ini diharap memperuntukkan lebih banyak insentif dan khabar gembira kepada rakyat khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap bajet bagi tahun depan terus memberi tumpuan untuk kesejahteraan rakyat dari segi ekonomi dan sosial, sejajar hasrat kemajuan yang ingin dicapai oleh negara.

Ketua Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abd Rahman, berkata perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan pada bajet kali ini ialah bagaimana untuk membantu masyarakat mengimbangi kenaikan kos supaya taraf hidup mereka tidak terjejas

Beliau berkata, antara langkah yang dicadangkan ialah seperti menaikkan had minimum yang dikenakan cukai pendapatan individu daripada RM2,500 kepada sehingga RM3,500 serta mengurangkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja.

"Langkah sedemikian diharap dapat mengurangkan sedikit beban golongan terbabit yang semakin berkurangan kuasa beli mereka akibat kenaikan kos sara hidup," katanya.

Selain dinaikkan had minimum dikenakan cukai pendapatan serta pengurangan caruman KWSP bagi pekerja, Fomca turut mencadangkan beberapa aspek yang harus diberi penekanan oleh kerajaan seperti meningkatkan tahap pengangkutan awam, meningkatkan pengeluaran makanan serta tahap pendidikan.

Mohd Yusof berkata, masalah pengangkutan awam khususnya di bandar yang sering menjadi rungutan masyarakat, harus diperbaiki dan ditingkatkan segera berikutan ia adalah pengangkutan utama bagi masyarakat berpendapatan rendah.

Katanya, penggunaan bahan api selain fosil harus digalakkan bagi mengelakkan pergantungan terhadap petrol dan diesel yang harganya sering tidak stabil dan meningkat.

Beliau berkata, penstrukturan semula harga minyak baru-baru ini menyebabkan ramai beralih ke pengangkutan awam yang menyebabkan perkhidmatan itu tidak mencukupi terutama ketika waktu puncak.

"Pada masa sama, masalah pengangkutan awam tidak cekap juga menyebabkan masyarakat lebih suka menggunakan kenderaan sendiri yang sekali gus menambah masalah kesesakan jalan raya," katanya.

Mohd Yusof berkata, krisis kekurangan bekalan beras baru-baru ini wajar menjadi iktibar supaya peruntukkan untuk sektor pertanian ditambah selain memberi jaminan bahawa bekalan makanan utama, khususnya beras sentiasa mencukupi.

Beliau berkata, sekalipun sudah ada cadangan dan pelaksanaan untuk memajukan sektor pertanian di negara ini, ia masih belum mencukupi yang mana pengeluaran beras dalam negara hanya kira-kira 73 peratus, manakala selebihnya perlu diimport.

"Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) sebanyak lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara (KDNK) harus diperuntukkan untuk pertanian untuk menjamin bekalan mencukupi, tetapi kita baru pada kadar tiga peratus," katanya.

PPIM turut bersependapat dengan Fomca mengenai aspek yang perlu diberi perhatian dalam Bajet 2009.

Selain aspek yang diketengahkan Fomca, PPIM mencadangkan Bajet 2009 juga perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Ma'amor Osman, perkhidmatan kesihatan untuk orang ramai masih belum mencukupi terutama membabitkan khidmat kepakaran khusus yang mana perlu diwujudkan lebih banyak pusat kesihatan pakar seperti Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau berkata, perkhidmatan hospital pakar di negara ini kebanyakannya hanya ditawarkan hospital swasta, manakala hospital kerajaan yang dikhususkan untuk penyakit tertentu ketika ini hanya ada di bandar utama.

"Kami juga mencadangkan supaya peruntukan pembayaran balik perbelanjaan insuran kesihatan di bawah cukai pendapatan wajar ditambah daripada maksimum RM3,500 ketika ini, selain diperluaskan kepada ibu bapa yang ditanggung.

"Selain itu, bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat masyarakat, cukai terhadap rokok dan minuman keras perlu dinaikkan lagi," katanya.

Katanya, antara perkara lain yang diharapkan PPIM pada Bajet 2009 ialah keprihatinan terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) selain mencadangkan supaya pinjaman Pinjaman Tabung Pendidikan Negara (PTPN) yang ditawarkan harus diperluaskan kepada kursus kritikal seperti kursus penerbangan dan bukan hanya tertumpu kepada kursus popular saja.

Berita Harian, 26 Ogos 2008

Rabu, Ogos 13, 2008

BUKAN PENYELESAIAN KENAIKAN KOS MAKANAN

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyifatkan cadangan supaya penduduk negara ini mengubah tabiat pemakanan dengan menjadikan kentang sebagai makanan ruji menggantikan nasi sebagai bukan penyelesaian kepada kenaikan kos makanan.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata saranan supaya rakyat mengubah tabiat pemakanan itu sukar diterima kebanyakan penduduk kerana nasi sememangnya sudah menjadi satu makanan ruji bukan saja di negara ini malah seluruh Asia.

"Meminta mereka menukar nasi sebagai makanan ruji sama seperti meminta mereka mengubah kehidupan. Nasi adalah makanan utama rakyat sejak berkurun lamanya, pastilah saranan sedemikian dianggap mustahil.

“Saya pasti jika rakyat Amerika Syarikat diminta untuk menukar kentang yang sudah menjadi makanan ruji mereka dengan nasi, pasti mereka akan turut menolaknya.

“Daripada minta mereka mengubah pemakanan lebih elok jika kita menjelaskan mengenai cara mereka boleh berjimat seperti kurangkan penggunaan elektrik dan tidak membazirkan air dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, jika kentang menjadi pilihan alternatif kepada nasi, pastinya harga makanan itu akan turut melambung.

“Sama juga masalah kita nanti. Harga kentang akan naik jika permintaan meningkat dan kita perlu menambah importnya. Sekurang-kurangnya, kita mempunyai keupayaan untuk meningkatkan pengeluaran beras,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kenaikan harga minyak sehingga 78 sen menyebabkan pengguna terpaksa berjimat cermat dan memikirkan cara terbaik untuk tidak membazirkan wang.

Perkara sama turut disokong Naib Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Prof Dr Mohd Ismail Noor, yang menganggap cadangan itu tidak akan berjaya dilaksanakan.

“Mengapa perlu kita menukar makanan asas kita semata-mata kerana harga beras naik? Masih banyak lagi cara yang lebih sesuai untuk menjimatkan wang,” katanya.

Beliau berkata, kentang tidak semestinya sesuai untuk menggantikan nasi walaupun ia juga mengandungi khasiat seperti karbohidrat.

“Kesannya juga sama dengan nasi jika makan berlebihan ia tetap akan menyebabkan masalah kegemukan. Sekiranya kentang tidak dapat memuaskan selera seseorang, mereka akan cenderung mengambilnya dengan lebih banyak.

"Adalah lebih baik mengurangkan kuantiti nasi yang dimakan setiap kali, dan melebihkan sayur-sayuran serta mendisiplinkan diri dengan memakan pada waktu tertentu saja iaitu pagi, tengah hari dan malam,” katanya.

Beliau juga mengkritik cara pemakanan rakyat negara ini yang boleh dikategorikan sebagai ‘terlebih makan’ sehinggakan obesiti dikalangan rakyat semakin meningkat setiap tahun.

“Di ibu kota, kita perhatikan, gerai makan bersepah dan dipenuhi dengan orang ramai tanpa mengira waktu. Ditambah sekarang ada kedai makan 24 jam yang dilihat kurang baik,” katanya.


Berita Harian
11 Ogos 2008

SYOR MAKAN KENTANG TAK DAPAT SAMBUTAN

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my


MAKANAN ALTERNATIF: Ramai beranggapan makan kentang tidak mengenyangkan.

Rakyat sukar ubah tabiat pemakanan ganti nasi

KUALA LUMPUR: Cadangan pelbagai pihak supaya penduduk negara mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil kentang sebagai makanan utama untuk mengganti atau mengimbangi pengambilan nasi bagi mengurangkan kos berikutan peningkatan harga beras tidak mendapat sambutan.

Ia berikutan hampir seluruh rakyat yang menjadikan nasi sebagai makanan ruji sejak sekian lama, enggan mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil kentang walaupun ketika harga beras melambung naik.

Kaji selidik yang dijalankan Berita Harian terhadap 50 penduduk sekitar Lembah Klang mendapati semua responden mengaku harga beras meningkat namun hanya empat peratus saja yang sanggup menukar kepada ubi kentang sebagai alternatif nasi.

Hasil kaji selidik itu juga mendapati kebanyakan responden enggan beralih menjadikan kentang makanan pengganti atau untuk mengimbangi pengambilan nasi kerana mereka enggan beralih selera serta menyifatkan nasi lebih mengenyangkan.

Di sebalik 90 peratus responden kaji selidik berkenaan yang berumur dalam lingkungan 28 tahun sehingga 60 tahun mengakui kenaikan harga beras kebelakangan ini membebankan dan meningkatkan kos mereka tetapi tidak akan beralih kepada kentang.

Selain itu, mereka juga menganggap cadangan supaya menukar tabiat pemakanan dengan mencuba sajian utama lain seperti yang berasaskan kentang juga bukan penyelesaian kepada beban yang terpaksa ditanggung akibat kenaikan harga beras.

MENYELERAKAN: Pelbagai sajian berasaskan kentang.

Kaji selidik itu menunjukkan 84 peratus daripada responden menganggap mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil kentang mungkin menjadikan kos sara hidup mereka lebih tinggi kerana ia lebih mahal berbanding beras.

Ketika ini, harga sekilogram ubi kentang ialah kira-kira RM2.50 manakala sekilogram beras juga dianggarkan pada harga yang sama (bergantung kepada jenama) namun ia tahan lama jika disimpan berbanding ubi kentang.

Sekilogram ubi kentang juga dianggarkan hanya boleh menampung keperluan pemakanan kira-kira empat orang individu dewasa berbanding beras yang boleh dimakan dengan jumlah yang lebih ramai daripada itu.

Sebelum ini, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia ada menyarankan rakyat mengubah tabiat pemakanan dengan mengambil ubi kayu, keledek dan kentang yang banyak ada di negara ini yang bukan saja lebih murah, malah berkhasiat.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga meminta rakyat mengubah gaya hidup dengan mengutamakan amalan berjimat-cermat, mengelak pembaziran dan berbelanja mengikut keperluan ketika dunia dilanda krisis bekalan makanan.

Bagaimanapun, kebanyakan responden menganggap makan kentang tidak mengenyangkan dan ini akan hanya menyebabkan ia perlu diambil dalam jumlah yang lebih banyak jika dibandingkan dengan nasi dan akhirnya mengakibatkan pengguna mengeluarkan belanja yang lebih membelinya.

Ada juga responden menganggap mengubah pemakanan kepada kentang bukan jalan penyelesaian kerana jika 26 juta rakyat Malaysia beralih kepada makanan itu, harganya juga akan melambung tinggi kerana permintaan sedangkan ia 100 peratus diimport.

Sehubungan itu, majoriti responden mencadangkan supaya pengguna menyambut saranan Perdana Menteri iaitu mengamalkan perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat untuk mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung akibat kenaikan harga barang.


Berita Harian
11 Ogos 2008