"HARGA minyak dah turun, harga barang tak turun-turun! Kalau nak naikkan harga barang memang cepat, tapi nak turun, payah betul!"
Ini antara keluhan yang kita dengar setelah kerajaan pada 23 Ogos lalu menurunkan harga runcit petrol sebanyak 15 sen seliter kepada RM2.55 dan harga diesel sebanyak 8 sen seliter kepada RM2.50 sen.
Kebanyakan pengguna tertekan dengan kenaikan harga barangan selepas harga petrol dinaikkan sebanyak 78 sen seliter dan diesel sebanyak RM1 kepada pada awal Jun lalu.
Seorang rakan mengadu beberapa hari sebelum Ramadan, mengenai harga ikan di pasar dan seorang penjual ikan memberi amaran harga ikan akan naik lagi sebab 'bulan puasa'.
Peniaga ikan itu seperti juga kebanyakan peniaga lain mungkin sudah mencongak-congak keuntungan yang boleh diraih dalam bulan Ramadan dan musim perayaan.
Mereka tahu kebanyakan pengguna akan berbelanja besar pada musim perayaan dan pengguna Islam akan banyak membeli dalam bulan Ramadan untuk berbuka puasa dan sepanjang Syawal ini untuk rumah terbuka.
Kunjungilah mana-mana kompleks membeli-belah atau bazar-bazar, senario yang sama boleh dilihat iaitu pengguna bersesak-sesak berbelanja bagai tiada penghujungnya.
Tarikan Jualan Murah, Jualan Mega, Jualan Harga Runtuh dan Jualan Musim Perayaan serta pelbagai lagi gimik jualan yang dibuat oleh peniaga menyebabkan pengguna kadangkala menjadi hilang arah dan kurang bijak mengatur perbelanjaan mereka.
Lihat sahaja statistik Karnival Jualan Mega Malaysia (MMSC) yang berakhir pada 1 September lalu.
Karnival berkenaan dilaporkan mencatat peningkatan aktiviti jualan 24 peratus pada minggu pertamanya berbanding tempoh yang sama pada 2007. Ini berdasarkan rekod dikeluarkan MasterCard.
Jualan pada minggu pertama adalah RM188 juta berbanding RM151 juta pada tahun lalu. Secara keseluruhannya, masyarakat dilapor kekal sebagai pembeli terbesar dengan nilai belian sebanyak RM171 juta.
Berbalik kepada harga barang, rata-rata komen yang sampai kepada penulis mengenai harga barang pada minggu ketiga umat Islam di negara ini menjalani ibadah puasa adalah mahal.
Harga kuih umpamanya tidak seragam, ada yang dijual 40 sen atau 50 sen sekeping. Banyak yang memaksa pengguna membeli secara borong, RM2 untuk lima keping kuih. Mereka yang hendak beli dua keping kuih yang sama untuk 80 sen, tidak dilayan.
Perbualan rambang dengan beberapa peniaga di sebuah pasar tani pada minggu pertama Ramadan pula menunjukkan harga barang tidak mungkin turun sepanjang bulan lalu.
________________________________________
Seorang peniaga berkata, harga barang mungkin akan hanya turun selepas hari raya.
"Harga barang bukan kerajaan kawal, pemborong yang tentukan," kata seorang peniaga di pasar yang sama dalam nada sinis.
Beliau turut mengeluh harga bekas makanan yang digunakannya naik mendadak sejak harga bahan bakar dinaikkan.
Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman memberitahu, pihaknya amat menyedari tentang rungutan pengguna mengenai harga barang.
"Walaupun berlaku penurunan harga bahan bakar, namun ia tidak menyebabkan penurunan harga barang khususnya barangan siap.
"Kerajaan juga tidak dapat melakukan tindakan penguatkuasaan kerana ketiadaan peraturan atau undang-undang yang membolehkan kerajaan berbuat demikian," katanya.
Fomca, amat berharap kerajaan akan membuat pertimbangan mendalam sebelum menaikkan harga bahan bakar kerana tindakan sedemikian hanya mencetuskan reaksi yang berkait kepada harga barang.
Mengulas lanjut kenaikan harga barang, beliau berkata, sememangnya menjadi kebiasaan harga barang, terutama barangan keperluan harian, sering naik semasa musim perayaan.
"Ini disebabkan permintaan yang meningkat. Seringkali juga didapati bahawa ada barang yang termasuk dalam senarai barang kawalan musim perayaan yang dijual pada harga yang tinggi.
"Namun yang agak ketara berlaku kenaikan ialah harga barang makanan yang diproses di bazar-bazar Ramadan. Pengguna merungut kerana kuantiti makanan yang dibeli semakin sedikit berbanding tahun-tahun lalu sekiranya dibeli pada harga yang sama," jelas Mohd Yusof.
Menurut beliau, kebanyakan pengguna juga sering bersikap tidak kisah terhadap harga semasa musim perayaan.
"Walaupun merungut, mereka tetap membeli walau berapapun harga yang dikenakan peniaga.
"Sikap ini perlu diubah kerana ia akan menyebabkan peniaga yang tamak terus mengambil kesempatan daripada sikap yang begini," tegasnya.
Fomca amat mengharapkan pengguna di negara ini dapat mengamalkan budaya berbelanja berhemat.
"Pengguna janganlah berbelanja secara berlebihan kecuali pada hari perayaan kerana pada masa itu, biasanya keluarga akan memasak lebih banyak untuk menjamu tetamu yang datang ke rumah mereka," katanya.
Pada masa yang sama, beliau memberi tip yang boleh dilakukan pengguna iaitu kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan buat perbandingan harga sebelum membeli. - Bernama
Kosmo, 14 Oktober 2008
MAKLUMAN!
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan