Selasa, Oktober 14, 2008

TUBUHKAN PUSAT KAWALAN PENYAKIT NEGARA - FOMCA

TUBUHKAN Pusat Kawalan Penyakit Negara untuk menjamin produk tempatan mahupun yang diimport selamat dimakan oleh pengguna.

Malah pusat itu akan menjadi perintis pengujian produk makanan dan menganalisis tahap keselamatan makanan di seluruh dunia agar selamat dinikmati pengguna negara ini.

Tegas Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusof Abdul Rahman, pusat kawalan itu diwujudkan bagi menangani krisis keselamatan makanan yang kini menjadi masalah global.

"Semua kementerian yang bersangkut paut mengenai makanan dapat bersama-sama memikirkan mekanisme terbaik dan menjamin produk makanan yang terdapat di negara tidak meragukan.

"Kita lihat kadang-kadang terdapat percanggahan fungsi dan peranan setiap jabatan kerajaan. Isu makanan ini ibarat duri dalam daging. Seharusnya kita memikirkan langkah terbaik," katanya.

Mengulas mengenai melamin yang terdapat pada makanan terutamanya yang diimport dari China, Yusof berpendapat kerajaan kurang mengambil langkah proaktif bagi menangani isu melamin.

"Penyakit ini telah dikesan sejak penghujung tahun lalu di China tetapi kita hanya mengambil langkah tegas apabila sudah tersebar dan serius,

"Mengapa bukan dari awal lagi kita tidak mengkaji segala produk makanan mahupun barangan yang dihasilkan di Tanah Besar itu," ujarnya.

Pakar susu Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Azizah Hamid, pula berpendapat, melamin sepatutnya tidak digunakan sebagai salah satu bahan untuk memproses makanan.

"Kebiasaannya melamin digunakan sebagai bahan kimia untuk membuat baja dan plastik untuk buat baja kerana ia bahan toksik yang bahaya.

"Jangan kerana mengejar keuntungan yang tidak seberapa sehingga kita menjejaskan kesihatan pengguna," katanya tegas.

Azizah memberitahu, tubuh yang mengambil mengambil melamin dalam kuantiti yang banyak melalui proses pemakanan boleh memberi kesan buruk kepada buah pinggang.

"Malah dalam jangka masa panjang ia boleh melibatkan penyakit kanser," katanya pengakhir bicara.

Kosmo

Tiada ulasan: