KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta kerajaan bertindak tegas terhadap pemborong yang memanipulasi harga beberapa barang yang disenarai dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pengguna kini bimbang apabila mendapati harga beberapa jenis barangan kawalan seperti ayam, telur, tomato dan daging lembu tempatan sudah dijual pada harga maksimum SKHMP.
"Fomca melihat aliran ini sebagai tidak sihat kerana SKHMP hanya akan bermula Rabu ini, tetapi sesetengah pemborong dan peniaga didapati sudah mula memanipulasi harga menyebabkan pengguna mulai panik.
"Kita bimbang pemborong dan peniaga akan menjual barangan kawalan melebihi harga maksimum apabila SKHMP bermula dan ini tentunya menganiaya pengguna yang mahu membuat persiapan Aidilfitri," katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, peniaga mendakwa SKHMP tidak berkesan kerana setiap tahun pemborong akan tetap menetapkan harga beberapa barang kawalan lebih tinggi berbanding harga ditetapkan menyebabkan peniaga terpaksa menjual barang berkenaan lebih daripada harga siling.
Peniaga turut mendakwa harga ayam yang kini ditetapkan pemborong pada kadar RM6.20 sekilogram akan dinaikkan antara 10 sen dan 30 sen sehari sehingga menjelang 1 Syawal, menyebabkan mereka terpaksa menjual ayam standard melebihi daripada harga ditetapkan kerajaan.
Harga borong maksimum ayam standard yang ditetapkan SKHMP tahun ini adalah RM6.20 manakala harga runcit dibenarkan adalah RM7.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Tan So Tiok berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas jika berlaku manipulasi harga barang kawalan di peringkat pemborong atau peniaga.
"Sebagai contoh harga cili merah minggu lalu pemborong menetapkan harga RM4 sekilogram ketika membeli daripada penanam, tetapi mulai semalam mereka mula menetapkan harga RM6 sekilogram.
"Kami (penanam) tidak dapat berbuat apa-apa kerana pemborong yang menetapkan harga. Jika peniaga terpaksa membeli pada harga borong lebih tinggi dan terpaksa pula menjual pada pengguna melebihi daripada harga siling, kerajaan harus mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab," katanya.
Berita Harian,
23 September 2008
MAKLUMAN!
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan