Isnin, September 22, 2008

PAKAR CADANG TURUN HARGA BAHAN API SEHINGGA 40 SEN

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menurunkan harga runcit petrol dan diesel antara 30 dan 40 sen jika harga minyak mentah dunia terus berada bawah paras AS$100 satu tong.

Pakar ekonomi, Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh, berkata jumlah itu dianggap munasabah jika mengambil kira harga satu tong minyak di pasaran dunia ketika pengguna membayar petrol pada harga RM1.92 sen seliter, iaitu antara AS$80 dan AS$90.

Bagaimanapun, katanya harga petrol dan diesel baru itu dijangka terus diapungkan mengikut harga pasaran global berikutan ketidaktentuan harga minyak dunia.
“Dengan penurunan antara 30 hingga 40 sen, kerajaan dijangka kekal menanggung subsidi sebanyak 30 sen,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas jangkaan harga runcit petrol dan diesel yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini, berikutan trend penurunan harga minyak dunia yang kini bawah paras AS$100 satu tong jika dibandingkan dengan harga pada awal Julai lalu iaitu AS$148.

Awal bulan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan kerajaan akan menurunkan 15 sen lagi harga petrol dan diesel akhir tahun ini jika harga minyak mentah dunia terus susut di bawah paras AS$109 satu tong.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan harga petrol diselaraskan setiap 1 haribulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia dan penetapan subsidi 30 sen seliter.

Formula pelarasan itu hanya dilaksanakan jika harga pasaran bulanan minyak mentah dunia susut di bawah paras AS$125 satu tong, iaitu kadar ketika penstrukturan semula subsidi minyak diumumkan kerajaan pada 4 Jun lalu.

Pada 22 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan penurunan harga runcit petrol RON97 dan RON92 masing-masing sebanyak 15 sen dan 22 sen kepada RM2.55 dan RM2.40 seliter, manakala harga diesel turun lapan sen kepada RM2.50 seliter, berkuat kuasa keesokan harinya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman menyifatkan penurunan harga petrol dan diesel antara 30 dan 40 sen wajar dipertimbangkan.

Namun, katanya penurunan berkenaan tidak seharusnya berlaku jika kerajaan terpaksa meningkatkan nilai subsidi sehingga menjejaskan dasar Jaminan Makanan Negara.


Berita Harian,
22 September 2008

Tiada ulasan: