KONSEP berbuka puasa di hotel sebenarnya mengundang banyak pembaziran, bukan saja dari segi kewangan malah turut membabitkan ruang, tenaga kerja, peralatan dan masa.
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata konsep berbuka puasa di hotel tidak wajar dijadikan trend masyarakat pada masa kini kerana tambahan pula jika dijadikan rutin yang kerap diulang sepanjang Ramadan.
Mengenai pendekatan sesetengah syarikat korporat mengadakan majlis berbuka puasa di hotel bagi anak yatim, beliau berkata, tidak salah sesekali anak yatim diraikan dengan membawa mereka merasai sesuatu yang jarang mereka rasa, tetapi ia mestilah berpatutan dan tidak melampau.
“Jamuan untuk anak yatim sangat elok, tetapi jika berlaku pula pembaziran secara berlebihan, ia tidak dibenarkan pula. Contohnya, jika wang itu lebih elok disalurkan untuk tujuan yang lebih penting, jamuan itu tidak digalakkan.
“Namun, adalah wajar anak yatim diberi peluang berhibur dan merasai nikmat seperti orang lain. Makan dengan selesa dan dilayan dengan sebaiknya, namun ia mestilah berpada dan tidak menyebabkan pembaziran,” katanya.
Bagi keluarga atau individu yang memilih untuk berbuka puasa di hotel pula, Mohd Asri berkata, mereka perlu berfikir sama ada apa yang dibelanjakan itu munasabah dengan apa yang mereka dapat dan menepati apa yang mereka perlukan.
“Selain itu, mereka perlu memastikan tidak ada tanggungjawab lain yang mungkin terabai kerana berbelanja berlebihan berbuka puasa di hotel. Jika itu berlaku, ia perlu dielakkan dan keutamaan kepada tanggungjawab lain perlu diberikan,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan umat Islam yang berhasrat berbuka puasa di hotel mewah supaya menghitung terlebih dulu kemampuan diri dan mengenal pasti keutamaan lain yang menjadi tanggungjawab mereka.
Bagaimanapun, katanya, semua yang mengundang kepada pembaziran tidak dibenarkan dalam Islam dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menjauhinya, selain mengutamakan konsep kesederhanaan dalam kehidupan.
Berita Harian
16 September 2008
MAKLUMAN!
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan