Isnin, September 22, 2008

CADANG WUJUD AKTA PRODUK STATUS HALAL

Oleh Nurul Farina Nazlan nfarina@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mewujudkan akta khusus berkenaan produk berstatus halal bagi mengelakkan peniaga menjual barang tidak halal kepada pengguna Islam dengan sewenang-wenangnya, sekali gus mempersendakan hukum syarak.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata keengganan pemilik dan pengusaha premis meletakkan tanda amaran adalah tindakan tidak wajar kerana ia boleh mengelirukan masyarakat Islam.

Sehubungan itu, katanya, Fomca menasihatkan pengguna, khususnya umat Islam supaya berwaspada sebelum membeli barang, khususnya yang berasaskan kulit haiwan kerana dikhuatiri menjadi mangsa pemilik premis tidak bertanggungjawab.

“Hal membabitkan produk berasaskan kulit babi adalah mengikut Akta Perihal Dagangan. Banyak kes membabitkan hal ini kerana ketiadaan akta khusus dan ia menyebabkan ada pemilik premis mengambil kesempatan dengan tidak meletakkan label khas mengenainya.

“Pelabelan produk haram mesti diberitahu kepada pengguna bagi elak wujud pertikaian kerana ia membabitkan maruah umat Islam.

“Kebanyakan premis mengambil sikap sambil lewa apabila tidak meletakkan label seperti ditetapkan kerajaan dan dalam hal ini pengguna mesti tegas serta membuat aduan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar seorang pemilik premis memberi amaran kepada pekerjanya agar tidak memberitahu secara terperinci spesifikasi barang kepada pengguna jika tidak mahu diberhentikan.


Berita Harian
22 September 2008

Tiada ulasan: