Khamis, November 27, 2008

PENURUNAN HARGA BARANG PINGGIR PENDUDUK KAMPUNG

Oleh Jami'ah Shukri
rencanabh@bharian.com.my

KERAJAAN melancarkan beberapa strategi untuk merangsang ekonomi negara dan mengurangkan beban rakyat termasuk penyaluran pakej rangsangan ekonomi dan penurunan harga minyak buat kali kelima hingga harga petrol kini RM2 seliter.

Tetapi kita belum lagi mendengar pengumuman dibuat sektor perniagaan untuk menurunkan harga barangan dan perkhidmatan. Apabila harga minyak naik sebelum ini, bermacam-macam alasan diberikan, untuk 'menghalalkan' mereka menaikkan harga barang, tetapi berdiam diri atau mengambil masa lama apabila harga minyak diturunkan.

Cuma beberapa pasar raya besar seperti Giant, Tesco dan Carrefour baru-baru ini mengumumkan penurunan harga pelbagai jenis barangan makanan dan keperluan harian pada kadar sekurang-kurangnya 30 peratus sejajar dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia dan tempatan bertujuan meringankan beban masyarakat yang turut menerima tempias kelembapan ekonomi global.

Tetapi pasar raya besar itu terletak di bandar, dan masyarakat desa dan ceruk pedalaman masih tetap setia membeli barangan daripada kedai runcit dan pasar raya kecil, dengan harga masih sama seperti beberapa bulan lalu.

Pergilah minum dan makan di restoran atau kedai kopi sama ada di bandar atau kampung, harganya masih sama. Apakah tindakan kerajaan untuk menurunkan harga itu? Lihatlah harga ikan dan sayur di pasar, sesetengahnya terus melambung tanpa peduli harga minyak sudah diturunkan beberapa kali.

Pihak berkuasa termasuk menteri rasanya tidak boleh lagi cuma meminta peniaga menurunkan harga. Pemantau amat perlu dan pergilah periksa harga di kedai makan, restoran dan kedai runcit bagi melihat sendiri harga jualan.

Jika pun tidak boleh turunkan harga dengan mendadak, lakukan beransur-ansur dan sekarang kita lihat pasar raya besar sudah bertindak ke arah itu. Pengusaha pasar raya besar sudah membuktikan harga barang boleh dikurangkan, maka peniaga di kedai biasa juga perlu berbuat demikian.

Bermula dengan Giant yang menyaksikan penurunan 1,200 jenis barangan keperluan sehingga 30 peratus daripada harga asal diikuti Tesco, dua hari kemudian bagi 50 jenis barang keperluan harian sehingga 47 peratus seperti ikan, daging, ayam, sotong, tomato, beras, bawang kecil, bawang besar dan sayur-sayuran, ia sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan kepada pengguna yang masih menghadapi tekanan berikutan kenaikan harga minyak dan bahan makanan dunia.

Langkah menurunkan harga itu sekali pandang mempamerkan keprihatinan pasar raya terbabit terhadap keperitan ditanggung pengguna. Kerjasama Giant dan Tesco yang terawal melancarkan kempen penurunan harga berjaya menarik minat beberapa lagi pasar raya lain termasuk Carrefour dan Mydin untuk melakukan perkara sama dan sedang berunding dengan pihak berkuasa untuk menyertai kempen itu. Selain itu, Jaya Jusco turut digesa mengikut langkah pasar raya terbabit demi kepentingan pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, menyifatkan perkembangan itu sebagai fenomena positif kerana penurunan harga barang didapati berlaku lebih awal sebelum kementerian mengadakan pertemuan dengan pengeluar, pembekal, peniaga dan persatuan pengguna untuk membincangkan kaedah menurunkan harga, pada bulan ini.

Penurunan harga bahan makanan pasti meringankan beban pengguna dalam suasana kerajaan mahu melihat berlaku penurunan harga bagi bahan keperluan harian.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata penurunan harga barangan di pasar raya itu dianggap sebagai langkah sementara untuk mengurangkan beban kepada pengguna.

Sambil menegaskan, penurunan harga barangan makanan dan keperluan harian itu dianggap tidak menyeluruh kerana hanya dinikmati penduduk bandar yang mudah mengunjungi pasar raya itu, manakala penduduk luar bandar tidak mempunyai peluang membeli-belah di tempat seumpama itu.

Jika dilihat, penurunan harga barangan itu dilakukan secara bermusim dan bukan satu perkara baru sebaliknya pernah dilakukan sebelum ini dan dianggap sebagai kempen ulangan saja.

"Bagi pengguna berpendapatan rendah dan sederhana yang tinggal di kota, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit bebanan, tetapi bagi penduduk luar bandar mereka tidak merasainya kerana hanya membeli barangan keperluan harian di kedai runcit selain pasar raya kecil.

"Justeru, Fomca mencadangkan supaya kerajaan mengadakan perundingan dengan mendesak peniaga dan pengeluar syarikat multinasional yang menghasilkan produk untuk keperluan dalam negara turut menurunkan harga barang.

Bagaimanapun, Fomca berpendapat penurunan harga barangan itu bersifat sementara untuk tempoh tertentu dan apabila kenaikan harga minyak dan bahan makanan di pasaran dunia ia turut memberi kesan kepada harga barangan tempatan.

Negara masih bergantung kepada makanan import untuk kebanyakan jenis barangan makanan utama. Ini sudah pasti memberi impak sekiranya berlaku kenaikan harga di pasaran dunia, sedangkan penduduk tempatan membelanjakan kira-kira 50 peratus daripada pendapatan untuk makanan berbanding negara maju hanya 14 peratus.

Sehubungan itu, kerajaan perlu menyediakan strategi jangka pendek dan panjang sebagai langkah selamat memastikan rakyat tidak terasa beban dengan sebarang kenaikan harga barangan makanan pada masa depan.

Bagi Fomca, kerajaan perlu memperluaskan Sistem Rangkaian Runcitan seperti yang pernah dilakukan Pernas Edar yang menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menjadi pemborong barangan keperluan utama untuk memastikan bekalan makanan itu dipasarkan dengan harga berpatutan.

Selain itu, Sistem Rangkaian Runcitan itu boleh dijadikan penanda aras mengawal harga barang di pasaran, manakala pengguna pula mempunyai pilihan dalam berbelanja.

Dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia iaitu AS$60 setong pasti memberi perkhabaran gembira kepada rakyat. Sejak kenaikan harga minyak tiga bulan lalu, rakyat gelisah kerana terpaksa memperuntukkan perbelanjaan tinggi untuk minyak sehingga memaksa kerajaan melakukan penstrukturan semula harga.

Mohd Yusuf berkata, jalan terbaik adalah dengan menyediakan sistem pengangkutan awam yang cekap dan mengurangkan penggunaan kenderaan sendiri, selain insentif membabitkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang banyak menggunakan minyak dan petrol.

Berita Harian, 27 November 2008

Khamis, November 06, 2008

KEMPEN TANAM SENDIRI AJAR RAKYAT BERJIMAT

HULU SELANGOR 26 Okt. - Seramai 50 penduduk perumahan Bukit Sentosa 3 dekat sini menyahut 'Kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja' dengan menerima anak pokok cili, biji benih dan baja untuk memulakan penanaman sayur-sayuran di halaman rumah masing-masing.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason (gambar) berkata, kempen tersebut bertujuan mendidik generasi muda hari ini untuk menjadi rakyat yang berjimat-cermat.

''Kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja sebenarnya satu kempen sempena Kempen Konsumer 2008-2010 dan ia telah bermula sejak Julai lalu untuk tempoh 84 bulan,'' katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan anak pokok cili, biji benih dan baja kepada penduduk di Padang Kemboja 4A di sini hari ini.

Beliau berkata, FOMCA bersama tiga rakan gabungannya iaitu Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) mengajak rakyat mengubah kehidupan sejak harga barangan naik secara mendadak.

Katanya, rakyat yang bijak seharusnya boleh merancang perbelanjaan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.

Justeru, ujarnya, langkah awal yang harus dipraktikkan oleh generasi muda hari ini ialah mengelakkan pembaziran supaya lahir masyarakat yang tidak membazir pada masa akan datang.

Beliau menambah, adalah menjadi tugas FOMCA hari ini untuk mendidik generasi muda sekarang dengan kefahaman yang lebih mendalam supaya mereka menjadi rakyat yang berjimat-cermat.

Katanya, kerajaan turut memainkan peranan lebih berkesan dengan mengusahakan kembali tanah-tanah pertanian yang didapati terbiar di seluruh negara.

''Jika tanah pertanian seluas 800,000 hektar yang terbiar itu dapat diusahakan oleh pesawah kecil-kecilan seperti dijadikan bendang maka kadar 35 peratus beras yang diimport dari luar negara untuk kegunaan rakyat dapat dikurangkan,'' katanya.

Utusan Malaysia 27 Oktober 2008

INSENTIF CUKAI ALAT GANTI BOLEH ELAK TAMBANG NAIK

KUALA LUMPUR: Insentif bagi mengurangkan kos operasi pengusaha pengangkutan awam seperti pengurangan cukai alat ganti kenderaan mampu memastikan kadar tambang yang bakal dinaikkan awal tahun depan, tidak membebankan rakyat.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ini kerana, pengusaha dalam tuntutan kenaikan tambang menjadikan kenaikan kos sebagai alasan, selain daripada kenaikan harga bahan api kenderaan.

“Jadi, insentif seperti memberikan pengurangan cukai alat ganti kepada sektor itu adalah jalan terbaik kerana beban pengusaha dapat dikurangkan di mana ia secara langsung turut memberi kesan kepada harga tambang.


“Dijangka kadar perlu dibayar tidak terlalu tinggi sehingga membebankan kerana pengguna hanya perlu menyerap sedikit saja daripada kos operasi yang sudah menunjukkan penurunan. Mungkin mereka hanya perlu membayar untuk kos lain seperti gaji pemandu.

“Langkah itu lebih baik bagi kedua-dua pihak kerana orang ramai tidak dibebani kadar tambang mahal, manakala pengusaha pula tidak perlu menanggung kos operasi lebih tinggi. Ini adalah situasi menang-menang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau ditanya mekanisme boleh dilaksanakan kerajaan untuk memastikan kadar tambang baru bagi teksi, kereta sewa, bas henti-henti, bas sekolah dan bas ekspres yang akan dinaikkan tidak menyusahkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Ketika ini, kerajaan ada memberikan pelbagai insentif kepada sektor pengangkutan awam bagi mengurangkan beban pengusahanya antaranya hanya perlu membayar separuh daripada kadar tol dan subsidi diesel serta petrol.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar yang mengesahkan kenaikan tambang itu dilaporkan berkata, ia tidak dapat dielakkan bagi mengelakkan ramai pengusaha menghadapi risiko muflis berikutan terpaksa menanggung bebanan kos operasi tinggi.

Beliau bagaimanapun memberikan jaminan bahawa kerajaan akan mengambil kira pelbagai faktor utama dalam menentukan kadar baru iaitu ia mestilah munasabah, tidak membebankan rakyat dan tidak menjejaskan operasi pengusaha.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, kerajaan boleh memberikan insentif berkenaan sebelum kenaikan kadar tambang bagi memberikan pengusaha peluang meningkatkan kualiti per-khidmatan.

“Mungkin boleh diberikan dalam dua bulan terakhir tahun ini kerana tambang baru dijangka awal tahun depan. Jadi, apabila tambang baru diperkenalkan, maka kualiti perkhidmatan sudah pun pada tahap memuaskan.

“Pengguna pun akan gembira dan tidak terlalu kisah dengan tambang lebih tinggi kerana perkhidmatan lebih selesa,” katanya.


Berita Harian, 4 November 2008