Rabu, Disember 03, 2008

KERETA PENUMPANG DIHADKAN 5 ORANG

Oleh Suffian A Bakar dan Mohamed Farid Noh
bhnews@bharian.com.my

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengehadkan jumlah muatan kereta penumpang kepada maksimum lima orang termasuk pemandu mulai 1 Januari depan berikutan pelaksanaan dasar pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, berkata penguatkuasaan dasar satu kereta untuk lima orang itu dibuat dengan alasan hanya tiga tali pinggang keledar dipasang bagi penumpang belakang sesebuah kereta.

“Kajian JKJR mendapati 80 peratus penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar khususnya di belakang menghadapi risiko maut dan cedera parah, malah padah lebih buruk menanti kereta membawa lebih lima penumpang kerana melebihi muatan dibenarkan.


“Oleh itu, apabila kerajaan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang tahun depan, kenderaan seperti kereta hanya dibenarkan membawa maksimum lima orang bagi mengurangkan risiko ketika kemalangan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kempen pemasangan tali pinggang keledar tempat duduk belakang di Proton Platinum Centre, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewajaran pelaksanaan dasar pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang itu tahun depan jika sesebuah kereta membawa penumpang melebihi tiga orang di tempat duduk belakang.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Long See Wool; Pengerusi Proton Holdings Bhd, Datuk Mohamed Azlan Hashim; Pengarah Urusan Proton Holdings, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Shukor Ibrahim.

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan memansuhkan pelaksanaan dasar pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang walaupun ada rungutan ia menyusahkan pemilik kenderaan yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai.

Bagaimanapun, Ong berkata kerajaan sedia memberi kelonggaran tertentu kepada keluarga besar contohnya jika tiga orang dewasa duduk di bahagian belakang, seorang kanak-kanak dibolehkan jadi penumpang keempat

Suret berkata, langkah mengehadkan jumlah bilangan penumpang kereta itu dilakukan selepas JKJR membuat dua kajian mengenai jumlah muatan yang dibawa sesebuah kereta di negara ini.


Berita Harian 3 Disember 2008

Tiada ulasan: