Jumaat, Februari 20, 2009

MELINDUNGI PENGGUNA

Pemantauan harga barang perlu dibuat secara berterusan untuk membendung manipulasi harga oleh peniaga.

PELBAGAI usaha dilakukan kerajaan untuk melindungi pengguna daripada kesan kegawatan ekonomi global. - Gambar hiasan

TAHUN 2009 adalah tahun sukar dan lebih mencabar! Ungkapan itu pasti mencemaskan khususnya masyarakat pengguna yang saban waktu tersepit apabila berlaku kegawatan ekonomi terutamanya kenaikan harga barang perlu.

Ekonomi global yang merudum pada tahun lalu bermula dengan krisis kewangan di Amerika Syarikat. Antara kesan yang sudah dapat dilihat ialah tindakan kebanyakan syarikat memperlahankan aktiviti atau pelaburan serta memberhentikan pekerja.

Setidak-tidaknya, kita masih boleh menarik nafas lega kerana harga bahan bakar global sudah menjunam ke bawah paras AS$50 (RM160) setong sekali gus membolehkan kerajaan menurunkan harga petrol kepada RM1.80 seliter.

Di tengah-tengah senario ekonomi dunia yang tidak menentu ini, pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil langkah proaktif bagi memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi. Antaranya ialah Kempen Penurunan Harga yang dilancarkan pada penghujung Oktober 2008, melibatkan bukan sahaja pasar raya besar tetapi juga pasar raya lain, restoran dan pasar mini.

Untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam menghadapi krisis ekonomi dunia, KPDNHEP telah melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia pada 16 Januari lalu.

Kempen itu sebenarnya sudah dijalankan sebelum ini dengan penggunaan logo buatan Malaysia pada produk tertentu. Bagaimanapun, fokus kempen berkenaan lebih tertumpu kepada sektor pengeksportan.

Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad ketika mengumumkan kempen itu berkata: "Dalam keadaan hari ini, kita tidak boleh lagi bergantung kepada sektor eksport, jadi keutamaan perlu diberikan kepada pembelian barangan buatan Malaysia." Langkah kementerian melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia itu mendapat sokongan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

"Dengan berlakunya kenaikan harga barang pada masa ini, wajar sekiranya penekanan diberi pada barang tempatan.

"Ini kerana harga barang import yang sentiasa berubah berdasarkan harga bahan mentah di pasaran antarabangsa serta pertukaran mata wang, menyebabkan harga tinggi dan perubahan harga juga tidak terkawal," ujar Ketua Eksekutif Fomca, Mohd. Yusof Abdul Rahman.

Di samping pelbagai kempen yang diadakan, pemantauan harga barang perlu dibuat secara berterusan khususnya untuk membendung manipulasi harga oleh peniaga dan mendidik mereka supaya beretika.

Dalam hal ini, Majlis Harga Barang Negara (MHBN) yang diwujudkan pada 22 Januari lalu menggalas tugas besar.

Penubuhan majlis itu sendiri dibuat ekoran isu kenaikan harga dan masalah bekalan barang perlu yang rata-rata menjejaskan kehidupan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah serta penduduk di luar bandar dan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Ketua Urusetia Sekretariat MHBN, Rodin Mamat berkata, kerajaan telah melantik 2,000 graduan sebagai pegawai pemantau harga (PPH).

Pelantikan itu, jelas beliau, dibuat secara kontrak perkhidmatan selama setahun dan berakhir pada Mac ini.

Menurut Rodin, tugas utama PPH adalah membuat kutipan harga runcit harian ke atas 350 barang keperluan pengguna di semua premis perniagaan seperti kedai runcit, pasar basah dan pasar raya.

"Langkah itu diambil bagi mengetahui trend pergerakan harga runcit supaya peniaga tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan melampau dan memastikan bekalan di pihak peruncit sentiasa ada," jelasnya.

Beliau berkata, harga yang dikumpulkan itu juga dipamerkan di bawah program Price Watch yang dipaparkan di laman web KPDNHEP.

Lazimnya bila harga bahan bakar turun, pengguna pasti membuat andaian harga barang perlu juga akan turun. Ini sebenarnya tidak berlaku sepantas yang diharapkan.

Harga minyak juga bukanlah satu-satunya sebab berlaku kenaikan harga barang.

Seperti yang dijelaskan oleh Mohd. Roslan, kos pengeluaran sesuatu produk ditentukan oleh kos input yang digunakan untuk menghasilkan produk berkenaan.

Sebahagian besar daripada komponen input terdiri daripada bahan mentah.

"Contohnya, bahan mentah untuk produk tenusu adalah susu, hasil tanaman adalah baja, makanan ternakan adalah bijirin seperti jagung. Di samping itu, kenaikan harga petroleum juga mempunyai impak ke atas kos bahan pembungkusan seperti resin dan juga kos pengangkutan.

"Kos pengangkutan pula bukan disebabkan oleh harga minyak semata-mata tetapi juga kos harga alat ganti yang terlalu tinggi yang menyumbang kepada tanggungan bebanan kos operasi sektor pengangkutan," jelas Mohd. Roslan.

Dalam menangani impak kegawatan ekonomi, pengguna tidak wajar semata-mata bergantung kepada usaha kerajaan.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP, Dr. Mohd. Mokhtar Tahar yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan program Kempen Pengguna Bijak berkata, pengguna perlu turut memainkan peranan.

"Dalam hal ini, pengguna mesti membuat aduan jika tidak berpuas hati. Manfaatnya mungkin bukan untuk diri sendiri tetapi boleh membantu orang lain," katanya.

Mohd. Mokhtar bagaimanapun berpendapat tahap kesedaran kepenggunaan dalam kalangan rakyat negara ini lebih baik berbanding 10 tahun lalu. - Bernama

Kosmo, 19 Feb. 2009

Tiada ulasan: