Jumaat, Februari 27, 2009

NGO SIFATKAN KADAR BARU GAGAL FAHAM BEBAN DITANGGUNG RAKYAT

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Persatuan-persatuan pengguna kesal dengan kadar kenaikan tol yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed hari ini.
Kebanyakan mereka menyifatkan kadar baru itu gagal memahami bebanan yang sedang ditanggung oleh rakyat dalam menghadapi kemelesetan ekonomi.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman (gambar) berkata, kenaikan kadar tol berkenaan tidak tepat pada masanya.
Jelas beliau, kerajaan sewajarnya menunggu sehingga keadaan ekonomi kembali stabil sebelum mengambil keputusan menaikkan kadar tol.

‘‘Kenaikan itu agak tinggi dan saya pasti ramai rakyat akan marah dan kecewa dengan keputusan kerajaan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Kementerian Kerja Raya mengenai kenaikan kadar tol bagi lima lebuh raya mulai 1 Mac ini.

Kenaikan antara lima hingga 34 peratus melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Dr. Jacob George turut terkejut dengan kenaikan kadar tol tersebut.

‘‘Dulu, kerajaan pernah memberi maklum balas kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa kadar tol tidak akan dinaikkan dan dibekukan buat sementara waktu, tetapi pengumuman hari ini menunjukkan sebaliknya,’’ jelasnya.

Baginya, kehendak rakyat perlu diutamakan daripada menghormati kepentingan pemegang konsesi semata-mata.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Maamor Osman berharap kerajaan memikirkan cara untuk mengelakkan kenaikan harga tol pada masa akan datang.
Beliau juga sangsi dengan dakwaan bahawa syarikat konsesi lebuh raya mengalami kerugian jika kadar tol tidak dinaikkan mengikut terma perjanjian.

Utusan Malaysia
27 Februari 2009

Tiada ulasan: