RENCANA UTAMA
Wanita sebagai pengguna
Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
Tanpa perancangan kewangan dan perbelanjaan yang sistematik, seluruh isi rumah bakal menghadapi tekanan. Baik dari segi masalah bil tertunggak atau kekurangan wang perbelanjaan.
PENGALAMAN menggunakan lima kad kredit sekali gus cukup menyiksakan. Setiap bulan, separuh daripada gaji Roziah Razali, 47, hilang begitu sahaja bagi membayar hutang kad kredit.
"Ketika berkhidmat sebagai kerani di Oriental Bank (kini EON Bank), Kuala Lumpur, saya begitu teruja memiliki kad kredit kerana ia boleh digunakan pada bila-bila masa.
"Saya tidak perlu bimbang jika wang tunai tidak cukup ketika membeli-belah kerana saya mempunyai kad kredit. Namun kegembiraan itu hanya bersifat sementara apabila saya terpaksa membayar semula hutang-hutang tersebut," katanya yang berjaya menyelesaikan kesemua hutang kad kredit dan selepas itu, dia tidak mahu lagi menggunakan kad kredit.
Jelas ibu kepada enam cahaya mata itu, masalah hutang atau wang yang tidak mencukupi tidak akan berlaku jika wanita bijak mengatur perbelanjaan harian mahupun bulanan.
Pengalaman berkhidmat sebagai kerani bank selama 13 tahun dan pernah mengusahakan perniagaan barangan sukan di Pulau Langkawi, Kedah selama dua tahun telah banyak mengajarnya cara menguruskan wang dengan betul.
DIDIK diri untuk membeli barangan keperluan sahaja.
Biarpun hanya bergantung pada gaji suami yang bertugas sebagai ketua operasi teknologi maklumat di salah sebuah syarikat insurans, Roziah bersyukur wang perbelanjaannya sentiasa mencukupi.
Langkahnya mudah sahaja iaitu setiap bulan Roziah yang kreatif dalam seni menggubah bunga akan menyenaraikan segala barangan, bil dan yuran yang perlu dibayar. Ini penting bagi memudahkannya melakukan proses agihan wang selepas menerima wang belanja bulanan daripada suami.
Sama seperti saranan FOMCA dalam kempen 'Wanita sebagai Pengguna Bijak', Roziah yang gemar menyediakan makanan di rumah berbanding makan di luar, mengamalkan perbelanjaan mengikut keperluan.
Biasanya, barang kering yang tahan lama seperti beras, susu, gula atau tepung dibeli secara pukal dan bulanan. Barang basah seperti makanan laut, ayam dan sayur pula dibeli harian atau dua hari sekali.
"Sekiranya perlu ke kedai untuk membeli bahan masakan sampingan, saya memperuntukkan wang belanja sebanyak RM10 sahaja. Cara ini mengajar saya supaya tidak boros berbelanja.
"Bukan itu saja, bajet bulanan juga dapat dikawal kerana saya kerap membeli barangan daripada jenama dan kuantiti yang sama. Jadi, saya dapat menganggarkan perbelanjaan sebelum ke pasar raya," jelas Roziah sambil menunjukkan pelamin anaknya yang dihasilkannya sendiri dengan menggunakan koleksi bunga kos rendah.
PENGGUNAAN kad kredit menyebabkan wanita cenderung berhutang. - Gambar hiasan
SENARAIKAN barangan yang hendak dibeli terlebih dahulu.
ROZIAH lebih gemar masak di rumah berbanding menikmati makanan bersama keluarga di luar.
Tambahnya, tidak perlu segan meminimumkan bajet atau membeli barangan murah. Pada zaman gawat ini, amat penting untuknya berjimat-cermat biarpun pada hari persandingan anak.
"Saya sentiasa berpesan kepada anak-anak supaya mengamalkan sikap sederhana dalam kehidupan. Harus bijak merancang perbelanjaan dan menabung," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Sentul, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Siti Soleha Zaffan Tajuludin, 25, berpendapat anak-anak muda hari ini merupakan antara generasi yang obses berbelanja. Sama ada membeli barangan murah atau berjenama, mereka jarang berfikir terlebih dahulu kerana masih belum mengerti nilai wang.
"Ketika remaja, saya tidak terkecuali membeli pelbagai barang tanpa berfikir dan merancang. Tetapi, sejak berumah tangga pada tahun lalu dan bekerja sebagai Pegawai Tadbir dan Penolong Pendaftar di Universiti Malaya, barulah saya tahu susahnya mencari wang.
"Bagi mengelakkan wang dibelanja tanpa sebab, saya dan suami membuat bajet dan membawa senarai barangan ketika berbelanja," katanya ketika ditemui Kosmo! di Carrefour Ekspress, Seksyen 4, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Sempena meraikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2009, bukan sahaja aktiviti dan majlis hiburan yang disajikan. Sebaliknya, keraian itu turut menyalurkan wadah yang membentuk dan mendidik golongan wanita ke arah perkara positif dalam isu kepenggunaan.
Mendapati wanita merupakan golongan yang paling aktif membeli-belah, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah melancarkan kempen 'Wanita sebagai Pengguna Bijak' yang bertemakan, 'Rancang Perbelanjaan, Buat dan Patuhi Senarai Barangan'.
Ini berikutan golongan wanita memainkan peranan penting dalam ekonomi sebagai pengguna dan bertanggungjawab menentukan pembelian barangan, makanan dan keperluan yang dikehendaki oleh seluruh isi rumah masing-masing.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (CEO) Kempen Konsumer Kebangsaan, Siti Rahayu Zakaria, penganjuran kempen tersebut bertujuan menggalakkan wanita menjadi pengguna lestari dan berhemat melalui pengurusan kewangan yang baik dan bijak.
"Kita sedia maklum bahawa wanita adalah kumpulan yang bertindak sebagai perancang isi rumah atau popular dengan jolokan Menteri Kewangan. Saban bulan, perbelanjaan rumah (sekolah anak-anak, barang dapur dan pembayaran bil) bagaikan sudah menjadi urusan rasmi wanita (isteri).
"Tanpa perancangan kewangan dan perbelanjaan yang sistematik, isi rumah bakal menghadapi tekanan. Baik dari segi masalah bil tertunggak atau kekurangan wang perbelanjaan.
"Biarpun sudah banyak kempen berkaitan isu kepenggunaan dan perbelanjaan dijalankan, golongan wanita masih belum mampu menguruskan perbelanjaan dengan baik," jelas Siti Rahayu pada sidang media Kempen Wanita sebagai Pengguna Bijak, yang diusahakan bersama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Majlis Belia Negara (MBM), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Petronas.
Kempen ini bertujuan mendidik wanita merancang perbelanjaan dengan menyediakan senarai barangan yang hendak dibeli.
Ini kerana masih ramai wanita mengambil sikap sambil lewa mengenai penyediaan senarai barang yang hendak dibeli. Mungkin mereka berpendapat, ia perkara yang melecehkan.
Tegas Siti Rahayu, senarai barangan sebenarnya mampu mengelakkan pengguna khususnya wanita berbelanja mewah atau cenderung membeli barangan yang tidak sepatutnya.
Ini terutamanya ketika membeli-belah pada musim promosi dan jualan murah.
"Mereka akan membeli-belah sehingga puas. Soal kehabisan wang tunai tidak menjadi halangan kerana proses membeli-belah turut dibantu dengan penggunaan kad kredit.
"Salah sebuah syarikat pengeluar kad kredit tempatan mengesan, sepanjang Jualan Mega 2008 (bermula Julai hingga September), sebanyak 3.86 bilion pemegang kad kredit melakukan RM15.5 juta transaksi ketika membeli-belah," ujar Siti Rahayu yang bimbang sekiranya tabiat membeli tanpa perancangan dan menggunakan kad kredit tidak dibendung. Kesannya, ia akan melahirkan individu yang gemar berhutang.
Tambah Siti Rahayu: "Saya gesa orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh untuk memiliki kad kredit, sebaliknya disiplinkan diri membeli mengikut senarai yang ditetapkan."
LAZIMNYA dunia pengiklanan tempatan mahupun antarabangsa sering menggunakan wanita untuk melariskan produk yang ditawarkan. Ini boleh dilihat pada iklan kecantikan wajah dan pelangsingan badan.
Ia berlaku kerana syarikat pengeluar produk menyifatkan penggunaan bentuk fizikal wanita mampu mempengaruhi wanita untuk mencuba dan membeli produk tersebut.
Pengarah Pembangunan Komuniti Untuk Program Wanita, Nanthini Ramalo menyatakan, seharusnya wanita zaman moden perlu berfikiran kritikal dan mengamalkan perbelanjaan berhemah.
USAH terpengaruh dengan promosi jualan murah.
Melalui pemikiran kritikal, iklan yang dipaparkan di media cetak dan elektronik tidak mampu mempengaruhi golongan wanita.
“Bukan sekadar iklan, wanita juga dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan promosi jualan murah. Sekiranya, barangan lama masih baik dan boleh digunakan, maka adalah lebih baik wang anda digunakan untuk keperluan yang lain,” tegas Nanthini Ramalo, yang bimbang melihat tabiat boros golongan muda dan remaja membeli-belah hari ini.