Isnin, Julai 06, 2009

INSURANS KELOMPOK UNTUK KERETA TUA

Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my

Pejabat pos akan kendali permohonan mulai bulan ini

KUALA LUMPUR: Masalah mendapatkan perlindungan insurans bagi kenderaan berharga kurang RM10,000, termasuk teksi akan diatasi menerusi skim insurans berkelompok yang boleh dibeli di semua pejabat pos mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata skim yang diwujudkan kerajaan dengan kerjasama semua syarikat insurans itu berikutan masalah pemilik mendapatkan perlindungan insurans bagi memperbaharui cukai jalan.

Dr Awang Adek berkata, skim baru itu akan memudahkan penduduk luar bandar berurusan tanpa perlu mencari ejen atau syarikat insurans. Ia juga mengelakkan mereka daripada menghadapi pelbagai kerenah syarikat insurans.

"Memberi perlindungan insurans kepada kereta lama memang tidak menguntungkan syarikat insurans. Namun, isu ini tidak timbul lagi kerana syarikat insurans bergabung membentuk skim berkelompok (pool insurance) untuk memudahkan orang ramai.

"Orang ramai tidak perlu bimbang dengan permohonan mereka, pejabat pos yang akan kendalikan, jika masih juga timbul masalah atau permohonan ditolak, mereka boleh melaporkan kepada saya atau Bank Negara.

"Menolak permohonan untuk mendapatkan perlindungan insurans kenderaan adalah satu kesalahan.

Jika didapati bersalah, syarikat insurans boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk disenarai hitamkan," katanya ketika dihubungi Berita Minggu di sini, semalam. Beliau diminta mengulas tindakan beberapa syarikat menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga kurang RM10,000 kerana dianggap merugikan.

Syarikat terbabit memberi alasan kenderaan itu berisiko tinggi untuk diberi perlindungan insurans. Dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun dan ke atas bernilai kurang RM10,000 berada di jalan raya pada masa ini, termasuk lebih 900,000 Proton dan 300,000 kenderaan keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara didaftar antara 1994 hingga 1999.

Dr Awang Adek berkata, pihaknya juga dalam usaha merombak sistem atau kaedah pembayaran insurans kenderaan yang membabitkan Bank Negara, Kementerian Pengangkutan dan syarikat insurans.

Antara perkara yang dikaji ialah bayaran insurans minimum kepada pihak ketiga, menetapkan had liabiliti yang perlu ditanggung syarikat insurans jika berlaku kemalangan, membayar pampasan secara automatik kepada mangsa dan penguatkuasaan garis panduan.

"Sistem kita perlu diubah, ada yang tidak betul, kaedah baru perlu dilaksanakan supaya semua pihak dapat keadilan dan keuntungan.

"Contohnya, sistem sekarang, tidak ada had dalam memberi pampasan, semua ditentukan mahkamah sampai ada pampasan RM3 juta kepada mangsa, merugikan syarikat insurans," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kerajaan sedang memperincikan cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membabitkan penetapan had tuntutan untuk sesuatu kemalangan.

"Sekarang tuntutan tiada had, mahkamah bebas menetapkan berapa jumlah tuntutan kepada mangsa kemalangan.

"Perkara ini masih dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan, Bank Negara dan syarikat insurans, ambil masa sikit untuk diperincikan," katanya.

Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Dr Mohd Hamdan Adnan meminta kerajaan mengkaji semula kadar premium insurans yang kini semakin tinggi sehingga membebankan pengguna berpendapatan rendah.

"Syarikat insurans juga perlu dipantau kerana laporan mendapati mereka turut menipu pelanggan untuk meraih keuntungan tinggi daripada pelanggan," katanya.

Berita Minggu, 5 Julai 2009

Tiada ulasan: