Isnin, Julai 06, 2009

PREMIUM TAMBAHAN KERETA LAMA

Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my

Kadar maksimum 50 peratus insurans boleh dibeli di semua pejabat pos

KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan lama bernilai kurang RM10,000 akan hanya dikenakan bayaran premium tambahan (loading) tidak lebih 50 peratus menerusi skim insurans berkelompok yang boleh dibeli di semua pejabat pos mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung, berkata kadar premium tambahan itu ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pemilik kenderaan lama terus mendapat perlindungan insurans tanpa ditekan syarikat insurans.

Katanya, kadar premium tambahan maksimum 50 peratus itu ditetapkan bagi memastikan pemilik kenderaan lama yang bernilai kurang daripada RM10,000 terus mendapat perlindungan, manakala syarikat insurans pula terus mengekalkan kadar keuntungan.

"Premium tambahan akan tetap dikenakan menerusi skim insurans berkelompok yang kita perkenalkan tetapi kita menetapkan supaya kadarnya tidak terlalu tinggi, iaitu maksimum 50 peratus," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai skim insurans berkelompok yang diperkenalkan kerajaan mulai bulan ini bagi membantu mengatasi masalah mendapatkan perlindungan insurans bagi kenderaan termasuk teksi berharga kurang RM10,000.

Kelmarin, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata skim yang diwujudkan dengan kerjasama semua syarikat insurans itu dibuat berikutan masalah pemilik mendapatkan perlindungan insurans bagi memperbaharui cukai jalan.

Chor berkata, kadar premium tambahan yang akan dikenakan menerusi skim insurans berkelompok itu akan ditentukan berdasarkan beberapa faktor termasuk rekod berkaitan pemandu serta kenderaan mereka.

Sehubungan itu, katanya, pemilik kenderaan mungkin berdepan dengan proses saringan yang lebih teliti seperti penilaian terhadap rekod pemilik, pemandu, keadaan kereta serta berapa lama ia sudah berada di pasaran.

"Kita juga mungkin akan meneliti rekod tuntutan insurans pemilik berdasarkan kadar bonus tidak membuat tuntutan (NCB) sedia ada dan jika ia baik, kadar premium tambahan yang dikenakan mungkin lebih rendah berbanding mereka yang sebaliknya"' katanya.

Diminta mengulas gesaan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang meminta kerajaan mengkaji semula kadar premium insurans yang kini semakin tinggi sehingga membebankan pengguna, Chor berkata, kadarnya sekarang jauh lebih rendah berbanding negara jiran.

Beliau berkata, sebenarnya kadar perlindungan insurans bagi pihak ketiga tidak pernah berubah sejak 1978 sehingga menyebabkan syarikat insurans mengalami kerugian, sekali gus menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga bawah RM10,000.

"Kita masih ikut tarif yang ditetapkan kerajaan sedangkan negara jiran seperti Singapura, Hong Kong dan Vietnam sudah memperkenalkan kadar fleksibel yang boleh naik turun bergantung kepada syarikat insurans," katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Chor berkata, kerajaan sudah mengarahkan Bank Negara dan syarikat insurans mengkaji satu kadar munasabah bagi mengelakkan kerugian besar dan pada masa sama memberi keadilan kepada pengguna.

"Itu adalah penyelesaian dalam jangka masa pendek, tetapi bagi penyelesaian jangka panjangnya, saya percaya bahawa kita kena keluar daripada sistem kadar tetap yang kita guna pakai selama ini," katanya.

Ditanya faktor yang menyebabkan syarikat insurans mengalami kerugian seperti didakwa industri itu dan menyebabkan pengguna menanggung beban jika kadar baru dilaksanakan, beliau berkata, mereka berdepan pelbagai peningkatan kos yang ketara.

Antaranya, kata beliau, kos operasi pentadbiran, membayar jumlah pampasan tinggi kepada pengguna bila berlaku kemalangan kerana tiada had jumlah pampasan ditetapkan mahkamah dan banyak kes kereta hilang atau dicuri setiap hari.

"Memandangkan semua alasan ini, syarikat insurans berpendapat setiap RM1 yang diterima dari pelanggan, mereka mungkin perlu bayar RM2.50 dan ia menimbulkan kerugian sehingga tidak lagi mahu jual insurans pihak ketiga," katanya.

Berita Harian, 6 Julai 2009

Tiada ulasan: