Isnin, Disember 07, 2009

STATUS IJN PERLU DIKEKALKAN SELAMA-LAMANYA



KUALA LUMPUR 6 Dis. - Status Institut Jantung Negara (IJN) perlu dikekalkan untuk selama-lamanya kerana ia hak mutlak rakyat.

Justeru institut perubatan itu tidak wajar dijual supaya rakyat terus mendapat perkhidmatan terbaik terutama mereka yang kurang mampu.

Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berharap kerajaan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita untuk mengambil hak rakyat itu.

''Ada perkara yang kita boleh bertolak-ansur atau melepaskan dan ada perkara yang tidak boleh malah jangan sesekali. Jangan menyesal lagi di kemudian hari," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan semalam memberi jaminan IJN yang merupakan aset serta khazanah bernilai bagi rakyat itu tidak akan dijual kepada mana-mana pihak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, pihak yang bercita-cita untuk membeli kepentingan kerajaan dalam IJN supaya memadamkan hasrat tersebut kerana penubuhannya bukan bertujuan komersial sebaliknya untuk rakyat.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah pula meminta kerajaan memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa IJN tidak akan dijual.

Kata beliau, langkah itu akan memberi ketenangan kepada masyarakat terutama pesakit IJN yang masih bergantung harap kepada kerajaan dalam menanggung kos perubatan yang tinggi.

''Kita minta IJN terus berada di bawah kerajaan kerana banyak pesakit yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah," kata beliau.

Firdaus bagaimanapun berpendapat, penjualan IJN masih boleh diteruskan tetapi hanya apabila ekonomi rakyat dan negara stabil sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman berkata, IJN wajar dikekalkan di bawah kerajaan kerana pusat perubatan itu tidak pernah menghadapi kekangan kewangan.

Jelas beliau, IJN merupakan satu-satunya pusat pakar jantung dalam negara yang menjaga kepentingan masyarakat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

''Kita harus berbangga dengan kewujudan IJN di bawah kerajaan, walaupun dari dulu hospital itu di bawah kerajaan namun, kualiti kerja di kalangan kakitangannya semakin mantap.

''Jika IJN di ambil oleh syarikat swasta yang kononnya akan menjalankan tanggungjawab sosial, tetapi percayalah... pada akhirnya nanti hanya keuntungan yang dicari dan mutu kerja akan berkurangan," kata beliau.

Utusan Malaysia, 7 Dis 2009

Tiada ulasan: